Bab 1

Romance Completed 119516

KERIUHAN suara manusia dan bunyi kenderaan di pasar tani seawal pukul 6.30 pagi itu serta-merta menusuk gegendang telinga sebaik sahaja pintu teksi dibuka.

Seorang wanita muda berusia penghujung dua puluhan tahun keluar dari teksi jenis Proton Saga lama itu membawa sebuah beg pakaian sambil melilau-lilau ke sekeliling melihat suasana dan ragam para peniaga yang baru hendak mula berniaga. Buat seketika, dia menghayati suasana di sekelilingnya.

Para peniaga kelihatan sedang sibuk memunggah barang-barang daripada kereta yang berparkir di lorong tapak perniagaan masing-masing. Ada yang bersendirian, ada yang berteman dan ada juga pasangan yang membawa anak kecil.

Kasihan, tetapi itulah realiti kehidupan. Tidak semua orang terlahir dalam keluarga yang senang dan tidak semua orang mampu hidup mewah. Ada yang keluar bekerja sebelum matahari terbit demi mencari rezeki cukup sekadar untuk mengisi perut sehari-hari, seperti dalam peribahasa Melayu, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sedang asyik menghayati suasana, dia dikejutkan dengan bunyi deringan telefon. Cepat-cepat dia mengeluarkan telefonnya dari beg yang bersilang di tubuhnya.

"Hello, Nis, kau kat mana dah sekarang?" soal suara nyaring di hujung talian.

"Aku dah sampai dah kat pasar yang kau cakap ni. Baru je. Aku turun je dari kapal tadi, terus aku naik teksi. Aku cakap kat pak cik driver tu alamat yang kau bagi," jawab Hanis sambil memandang ke sekelilingnya. "Kau kat mana?"

"Aku kat tapak niaga aku. Aku pun baru juga sampai ni. Kau sekarang dekat bahagian mana?"

Hanis mencari jika ada papan tanda di sekitarnya, namun tiada satupun dilihatnya, lantas dia memandang seorang peniaga di depannya yang sedang menyusun jualan di atas meja. "Aku kat bahagian yang ada jual harimau besar."

"Eh! Kau biar betul ni? Sejak bila pula pasar ni ada jual harimau?"

"Bukan harimau betul, harimau mainanlah! Pak cik ni seorang je jual mainan kat sini. Berdekat dengan mak cik yang jual buah-buahan."

"Lah! Cakaplah awal-awal harimau mainan! Tak jauh dari tempat aku tu. Kau jalan lurus je sampai kau nampak bangunan kecil yang ada tertulis perkataan surau. Aku kat tepi belah kanan."

"Haa, okey, aku jalan sekarang. Jangan letak dulu! Bagi aku nampak kau, baru letak," ujar Hanis sambil mengayun langkah kakinya menuju ke lokasi yang diberitahu oleh Afiqah sebentar tadi.

Setelah berjalan lebih kurang dua minit, akhirnya dia ternampak sebuah bangunan kecil di tengah-tengah pasar yang tertulis perkataan surau.

"Aku dah nampak surau."

"Kau jalan je terus, nanti kau nampaklah aku. Sebelah kanan tau."

Hanis pun melakukan seperti yang disuruh dan selepas melangkah lebih kurang dua puluh langkah, senyuman lebar serta-merta tersungging pada wajahnya selepas dia melihat Afiqah yang sedang melambai ke arahnya. Talian langsung diputuskan, lalu Hanis lantas melangkah girang menuju ke tempat rakan lama bekas sekampungnya itu.

"Akhirnya! Sampai juga kau kat KL ya!" ujar Afiqah, lalu mereka saling berpelukan dan melagakan pipi.

"Ya, akhirnya," balas Hanis sambil tersenyum.

"Mak kau bagi pula kau ke datang ke sini kali ni. Dulu kau cakap, mak kau tak bagi kau kerja jauh-jauhkan?"

Hanis tersengih sambil meletakkan beg pakaiannya di atas meja. "Desakan hidup, Fiqah. Nak harapkan kerja kat pekan di kampung tu, tak banyak pun gaji aku dapat kerja waiter kat restoran. Penganggur ramai, tapi ruang pekerjaan terhad. Yalah, pekan kecil kan? Tapi, layaklah dengan kelulusan aku yang belajar setakat sampai tingkatan enam aje kut."

"Result STPM kau gempak apa! Cuma kau je yang tak sambung belajar, lepas tu kau pun tak try cari kerja yang setaraf dengan kelulusan kau kat luarkan? Tapi itulah, nak cakap pasal kelulusan, aku ada ijazah, tapi kat pasar ni jugalah tempat aku," balas Afiqah disusuli dengan tawa kecil.

"Pasar tak pasar, at least perniagaan kau ni laris dan banyak untung. Aku tengok, ramai je pelanggan bagi feedback positif dalam posting kau kat sosial media. Orang yang belajar tinggi-tinggi pun belum tentu ada pendapatan macam kau, tahu tak! Rezeki akulah kau nak ambil aku kerja dengan kau."

"Yalah, aku bukan merungut pun aku berniaga kat sini. Aku bersyukur sangat. Tak elok membandingkan kehidupan kita dengan orang lain," hujah Afiqah sambil mula menyusun biskut dan kek buatannya di atas meja. "Aku bukan nak kau jadi pekerja aku, tapi kita share. Kita sama-sama jadi kuli, sama-sama jadi bos. Haa, kau pergilah letak dulu beg kau dalam kereta, ni kunci."

"Mana kereta kau?" soal Hanis setelah dia menyambut huluran kunci daripada Afiqah.

"Tu," jawab Afiqah sambil menjuihkan bibirnya ke arah sebuah kereta berwarna biru metalik yang berparkir tidak jauh dari tapak jualannya.

Hanis terpempan buat seketika. Kagum melihat kereta yang boleh dikatakan mewah milik rakan lamanya itu. Terbit rasa cemburu dalam hatinya. Bukan iri atau dengki, tetapi lebih kepada rasa bersemangat ingin mencapai pencapaian yang sama seperti itu.

"Mari sini aku buat." Hanis menawarkan diri untuk menggantikan kerja yang sedang dilakukan oleh Afiqah setelah dia kembali di tapak jualan rakannya itu.

"Kau nak terus kerja ke? Kau tak nak rehat dulu kat rumah? Aku boleh je hantar kau balik sekejap. Jualan ni, aku minta tolong akak meja sebelah tu jaga sekejap. Mesti kau letih tempuh perjalanan jauh kan?"

"Eh! tak apa. Aku dah lali dah dengan rasa letih. Kita sama-sama balik je nanti. Tiga jam aje naik kapal tadi. Kau dah solat subuh ke?"

"Aku 'cuti'. Kau?"

"Aku dah solat kat airport tadi," jawab Hanis sambil tangannya lincah mengeluarkan jualan daripada bekas besar lut sinar berbentuk segi empat, lalu diletakkan ke atas meja. "Fiqah... kau tak nak buka kedai ke? Maksud aku kedai bakeri ala-ala mini kafe macam tu."

"Ada juga aku terfikir, tapi buat masa ni, aku lebih suka meniaga macam ni. Jimat kos. Sewa tapak pasar ni jauh lebih murah berbanding dengan sewa kedai. Bukan murah sewa kedai kat bandar raya ni. Tapi, kalau aku jumpa kedai yang murah sewa, aku terus masuk kut. Aku ni bujang, tapi tanggungan aku besar. Anak sulunglah katakan."

Hanis mengangguk-angguk kecil tanda faham. "Bagus betul anak sulung macam kau, bertanggungjawab. Tak macam abang aku tu. Bukannya meringankan beban, menambah beban adalah!"

"Eh! Abang kau masih macam tu lagi ke? Aku ingat lagi last aku pergi ke rumah kau masa aku datang ke rumah kau lapan tahun lepas sebelum kami pindah balik ke sini, abang kau mengamuk baling barang dan tumbuk dinding sebab tak ada makanan kat rumah masa tu."

"Masih lagi. Makin teruk," luah Hanis sambil mengetap gigi. Geram dan sakit hati teringatkan sikap dan perangai abangnya yang suka berjudi. Disebabkan lelaki itulah dia terpaksa keluar dari rumah demi mencari wang untuk melunaskan hutang-hutang abangnya. Jika tidak, ibu dan adiknya yang akan menjadi mangsa para pemiutang yang datang ke rumah.

"Aku faham, kau ajelah harapan mak dan adik-adik kau. Kita senasib aje. Aku harap kau banyak-banyak bersabar ya? In shaa Allah, kita sama-sama tempuh kehidupan yang serba-serbi mencabar ni. Hmm, aku nak order sarapan daripada warung hujung pasar ni. Kau nak makan apa?"

Hanis cepat-cepat menyeluk saku seluarnya. "Beli ajelah apa-apa yang dapat," ujarnya seraya menghulurkan sekeping wang kertas berwarna hijau.

"Eh, tak apa! Aku belanja. Kau simpan je duit kau tu. Aku order guna chat, bayar online je. Pekerja warung tu dah biasa dah dengan aku. Haa, cakaplah, apa kau nak makan."

"Tak menyusahkan kau ke?"

"Hisy! Tak susah pun. Cakaplah, aku nak chat dah ni."

"Mee goreng kosong ajelah. Minuman tak payah. Ada lagi air mineral dalam beg aku," kata Hanis, lalu dia duduk di atas kerusi lipat setelah dia selesai menyusun semua jualan di atas meja.

Afiqah pun terus menghantar mesej untuk memesan makanan. "Okey, dah!" Tiba-tiba, dahinya berkerut sambil memegang perutnya. "Eh! Nis, aku nak pergi ke tandas ni. Kau bolehkan jaga sini sekejap? Duit tukar dalam beg atas meja depan kau tu."

"Okey, boleh je, lagipun semua jualan ni dah ada tanda hargakan? Haa, pergilah... karang bocor pula kau kat sini," balas Hanis sambil ketawa.

Tanpa membuang masa, Afiqah segera berjalan menuju ke tandas awam yang berjarak lebih kurang tiga puluh meter dari tapak jualannya.

Sementara menunggu Afiqah dan juga pelanggan datang membeli, Hanis membuka akaun laman sosialnya sekadar hendak menghilangkan bosan dengan membaca status dan hantaran daripada rakan-rakan mayanya.

"Saya nak beli oatmeal cookies ni lima keping per set, buat sepuluh set."

Laju Hanis mendongak, lalu dia bingkas berdiri selepas dia melihat seorang pelanggan lelaki berpakaian sukan yang sedang memandangnya. Mungkin lelaki itu hendak pergi berjoging.

"Oatmeal cookies berapa tadi?" soal Hanis sambil tersenyum seraya mencapai kotak kecil khas dan juga penyepit.

"Lima keping oatmeal cookies per set, buat sepuluh set," ulang lelaki itu. "Lepas tu, carrot cake satu slice, buat sepuluh set juga."

"Okey." Hanis segera melakukan seperti yang diminta dengan gerakan lincahnya. "Okey, dah siap! Total, seratus dua puluh ringgit, encik."

"Kakak awak tak datang hari ni ke?" soal lelaki itu sambil menghulurkan dua keping wang kertas berwarna ungu.

"Kakak saya?" Hanis lantas memandang lelaki itu sambil menjongketkan kening.

"Ha'ah, perempuan tocang dua yang selalu pakai bandana kepala tu. Dia tu kakak awak ke bos awak? Adik tingkatan berapa sekarang?" Bertubi-tubi soalan yang meluncur daripada mulut lelaki berkumis nipis itu.

Hanis spontan mengetap giginya. Pertanyaan seperti itu bukanlah baru pertama kali didengarnya. Yakin betul ya kau tanya aku tingkatan berapa! Aku ni lebih daripada layak untuk jadi bini dan mak orang, tahu tak! Entah-entah, aku lagi tua daripada kau! Namun, kata-kata itu hanya bergema dalam hatinya sahaja.

"Dik, oh, dik! Mengelamun eh?" Lelaki itu menggerakkan tapak tangannya di depan muka Hanis.

"Hah? Eh! Lupa, ni baki." Cepat-cepat Hanis mengambil duit baki daripada beg di depannya, lalu dihulurkan kepada lelaki itu.

Lelaki itu menyambut huluran Hanis, namun matanya tertumpu pada wajah wanita itu. "Tak jawab pun soalan tadi."

Hisy, mamat ni! Aku smackdown karang, baru tahu! Hanis berdeham, lalu dia memaksa bibirnya untuk tersenyum. "Saya dah tak sekolah lagi. Umur saya dah dua puluh lapan tahun."

"Ya ke umur dua puluh lapan tahun?"

"Kenapa? Tak percaya ke?" Hanis mendongak sambil menjongketkan keningnya dengan lagak sinis.

"Ha'ah, tak percaya. Mungkin sebab..."

"Sebab tubuh saya kecil?" Laju Hanis memintas percakapan lelaki itu.

Lelaki itu mengangguk laju. "Ya, tapi comel. Geram rasa macam nak buat keychain je," ujarnya sambil ketawa dan terus berlalu pergi.

"Keychain?" Jari telunjuknya dihalakan pada wajahnya sendiri dengan muka tidak puas hati sambil memandang lelaki jenis main cakap lepas yang kian menjauh itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience