Bab 3

Romance Completed 119516

SEDANG asyik dua bersahabat itu bersembang sementara menunggu pelanggan datang membeli jualan mereka, satu suara menegur dari arah depan. Serentak dua orang wanita itu menoleh.

"Eh, Remy! Dari tadi aku tunggu kau. Lewat pula kau datang hari ni. Selalunya pukul 7.00 kau dah datang dah. Kemarin pun kau tak datang," ujar Afiqah seraya berdiri, lalu dia memandang Hanis. "Nis, dia nilah yang aku maksudkan semalam."

"Aku ada datanglah kemarin. Hmm, hari ni aku tak joging kat luar. Bos aku ajak pergi ke gim. Korang mengumpat aku eh?"

"Oh! Dia ni ke? Dia ada datang beli kemarin masa kau pergi tandas." Hanis tersenyum nipis memandang lelaki itu, tetapi dalam masa yang sama, ada sinar ketidakpuasan hati di matanya.

"Bukan mengumpatlah! Korang dah berjumpa rupanya, tapi mesti tak tahu nama, kan? Perkenalkan, ni kawan aku, nama dia Hanis." Afiqah memegang bahu Hanis sambil tersenyum. "Nis, tu Remy, kawan merangkap pelanggan tetap aku."

Remy dan Hanis lantas menyilangkan tangan ke dada masing-masing sebagai respons.

"Dah tu, kalau bukan mengumpat, apa? Mengata?" Remy kembali membicarakan tentang topik tadi sambil menjongketkan keningnya.

"Dia ni kan, tak habis-habis dengan prasangka buruk dia. Bukanlah, ni Hanis ni nak cari kerja part time. Yalah, bos kau kan anak pemilik syarikat besar. Kut-kut ada kekosongan kerja kan?"

"Part time?" Remy melirik Hanis sambil mengerutkan dahi. "Kerja part time aku tak pasti ada ke tak, kekosongan untuk kerja full time je ada. Hmmm... tapi, apa kelayakan yang dia ada? Mana tahu sesuai dengan kriteria kerja kosong tu kan?"

"Lah! Tanya aku pula. Tanyalah Hanis sendiri. Ni, dia kat sebelah aku je ni," balas Afiqah disusuli dengan tawa kecil.

Remy langsung memandang Hanis. "Macam nilah. Nanti aku bagitahu bos aku pasal kau. Ermm, lepas lunch break nanti, kau datang ke office, direct jumpa dengan bos aku sendiri. Macam mana?"

Laju Hanis memandang Afiqah dengan pandangan seperti meminta pendapat.

"Okeylah tu. Kau pergi je. Sebelum tengah hari kita dah balik dah ni," ujar Afiqah sambil menepuk-nepuk perlahan bahu Hanis.

Hanis memandang semula wajah lelaki di depan mereka. "Okey, boleh."

"Kalau macam tu..." Remy lantas membuka dompetnya dan menarik keluar sekeping kad. Ni kad saya. Ada alamat office, lepas tu nombor telefon pun ada kat situ. Apa-apa nanti, kau call atau chat je. Jangan lupa bawa resume tau."

Hanis mengangguk sambil membaca butiran yang tertera di atas kad itu sebelum dia tersenyum memandang lelaki itu. "Thanks."

"You're welcome. Haa, Fiqah, dah siap ke? Aku lama-lama kat sini, nanti bunyi pula bos aku tu," ujar Remy sambil memandang beberapa buah beg plastik berisi pesanannya di atas meja.

"Dah, ni. Harga macam biasa." Afiqah lantas menghulurkan semua beg plastik tersebut.

Setelah lelaki itu menghilang daripada pandangan, Hanis tiba-tiba menarik Afiqah supaya duduk di sebelahnya. "Macam mana kau boleh kenal Remy?"

"Sebab dia selalu beli kat sini. Ada masa-masa kalau dia tak kejar masa, kami bersembang. Sebab tu aku tahu serba sedikit pasal kerjaya dia. Dia tu orang kanan bos dia."

"Dia buat apa beli cookies dan kek tu banyak-banyak? Untuk staf kat office ke?"

"Bukan, tu bos dia yang suruh beli tu. Untuk bagi kat rumah asuhan anak-anak yatim."

Hanis membulatkan mulut sambil mengangguk-angguk tanda faham. "Weh! Kau nak tahu cerita kemarin tak?"

"Cerita pasal apa?"

"Pasal si Remy tulah! Boleh-boleh dia tanya aku tingkatan berapa kemarin. Cis! Dia ingat kau kakak aku tau. Paling aku tak boleh hadam, dia cakap aku comel, rasa macam nak buat keychain."

Meletus tawa besar Afiqah selepas mendengar cerita ringkas daripada rakan baiknya itu. "Patutlah dia asyik tersengih memanjang tengok kau tadi. Tak patut dia tanya macam tu tau! Sepatutnya dia tanya kau darjah berapa. Katik comel."

"Fiqah!" Laju Hanis mencubit pinggang Afiqah sambil menjegilkan mata. "Bukan aku yang katik, tapi korang yang galah!"

"Haa, yalah. Aku iakan aje, karang ada pula yang merajuk." Afiqah berusaha menahan tawa selepas dia melihat riak muka tidak puas hati rakannya itu.

HANIS melilau-lilau ke sekeliling melihat dan mengamati ruangan yang luas itu dengan perasaan kagum sebaik sahaja dia masuk ke dalam bangunan lima tingkat itu. Terasa dirinya yang sememangnya bertubuh kecil itu benar-benar kerdil di tengah-tengah ruangan yang luas dan tampak mewah itu.

"Cik Hanis ya?" tegur satu suara wanita dari arah belakang.

Laju Hanis menoleh. "Ya, saya."

"Saya Linda, jom ikut saya." Wanita itu lantas membawa Hanis menuju ke lif.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat lima, wanita itu terus membawa Hanis menuju ke pintu bilik yang tertera satu nama serta jawatan.

Hanis memegang dadanya buat beberapa saat sambil menelan liur. Relakslah, Nis. Jumpa orang je pun, bukannya jumpa hantu, hatinya menggetus menenangkan dirinya. Pelbagai andaian bermain di fikirannya pada ketika ini dan semestinya dia fikir, bos yang dimaksudkan oleh Remy itu pasti seorang lelaki tua yang sangat tegas dan cerewet.

"Tuan, Cik Hanis dah sampai," ujar Linda sebaik sahaja dia menguak pintu, lalu dia memandang Hanis bersama dengan senyuman. "Cik Hanis, silakan masuk."

Hanis masuk beberapa langkah ke dalam sambil mengetap bibir. Jantungnya berdegup semakin kencang sejurus selepas dia melihat dua orang lelaki di dalam bilik itu. Seorang lelaki sedang berdiri membelakang menghadap jendela, manakala seorang lagi sedang duduk menyilangkan kaki di sudut meja kopi.

"Bos, dia dah sampai dah tu. Saya keluar dulu. Kalau ada apa-apa, bos call aje," kata Remy seraya berdiri dan melangkah menuju ke pintu. "Good luck!" ucap Remy sambil mengenyitkan mata kepada Hanis ketika dia melepasi wanita itu.

Hanis kekal berdiri di sebelah pintu menanti arahan daripada lelaki yang masih pegun di depan jendela pejabat itu. Dari sudut pandangannya pada ketika ini, dia fikir lelaki bertubuh sasa yang terlihat segak dari belakang itu bukanlah seorang lelaki tua seperti yang dia gambarkan.

Seminit kemudian, lelaki itu berpaling dan berjalan menghampiri Hanis. Spontan Hanis menelan liur. Kagum melihat kesegakan dan kekacakan lelaki itu dan pada masa yang sama, gemuruh melihat wajah serius yang sedang memandang tepat ke arahnya itu.

"You dah lunch ke?"

Buat ke sekian kalinya Hanis menelan liur. Lelaki itu berdiri tepat-tepat di depannya pada jarak kurang daripada satu meter dan dia perlu mendongak untuk memandang wajah lelaki itu.

Kut ya pun, tak perlulah berdiri depan aku dekat sangat. Saja nak buat aku sedar diri yang aku ni katik ke? Sempat hatinya merungut sebelum dia berdeham. "Dah, tuan."

"I belum lunch lagi. Jom temankan I. Kita bersembang pasal kerja kat luar je," kata lelaki itu dengan nada dan muka serius. Tanpa menunggu persetujuan daripada Hanis, lelaki itupun terus keluar daripada ruangan itu dengan sebelah tangan di dalam poket seluarnya.

Hanis segera mengejar langkah lelaki berwajah dingin itu tanpa membuang masa. Dia ni tak boleh jalan perlahan ke? Dahlah satu langkah dia tu dua langkah aku. Sempat dia merungut dalam hati memarahi lelaki yang semakin menghampiri lif itu.

"YOU nak makan apa?"

"Hah?" Spontan Hanis memandang buku menu di tangan lelaki itu. "Eh, tak apa! Saya dah makan, masih kenyang lagi ni."

Lelaki itu lantas menunjukkan menu yang hendak dipesannya kepada pelayan yang sedang berdiri di sebelahnya. "Dua set."

"Err, tuan, saya dah kenyang," ujar Hanis selepas dia mendengar pesanan yang dibuat oleh lelaki itu.

Seolah-olah tidak mendengar kata-kata daripada Hanis, lelaki itu membuat isyarat kepada pelayan itu bahawa pesanannya muktamad.

"You kena makan banyak sikit supaya..." Wajah Hanis dipandang lama sebelum dia menyandarkan belakangnya pada kerusi sambil berpeluk tubuh. "supaya lebih sihat," lanjutnya dengan muka bersahaja. "Siapa nama you?"

Cepat-cepat Hanis menghulurkan sebuah fail nipis yang mengandungi resumenya.

"Bila I tanya direct depan-depan macam ni, I nak you jawab dengan mulut. Fair, kan?" Fail yang dihulurkan oleh wanita itu tidak dipandang langsung.

Ah, sudah! Dah nampak dah ala-ala Mr. Perfectionist lelaki ni! Kalau macam ni, nampak gayanya, memang aku takkan dapat kerjalah dengan dia ni! Hanis meletakkan semula fail tadi ke atas ribanya, lalu dia berdeham. "Nama saya, Hanis Binti Razaley."

"Nama I, Emir. Emir Hud." Lelaki itu merenung tepat sepasang mata berwarna coklat cair di depannya dengan renungan kosong tanpa riak, tetapi terlihat sangat serius membuatkan wanita itu tidak senang duduk. "Tell me about yourself. Kenapa you nak kerja dengan I dan kenapa you nak kerja part time dan bukannya full time?"

Hanis pun mula menjelaskan tentang apa yang diminta oleh lelaki itu dengan begitu bersemangat sekali.

"It seems like, kelulusan you tak layak untuk kekosongan yang ada sekarang. Lagipun, I tak hire pekerja part time."

Dah tahu tak hire pekerja part time, kenapa tak cakap je masa aku mula-mula datang tadi? Sibuk nak minta teman dia makan pula! Namun, kata-kata itu hanya bergema di dalam hati sahaja.

"Tak apalah kalau macam tu, tuan. Dah tak ada rezeki saya bekerja dengan syarikat tuan, nak buat macam mana lagikan?" Hanis memaksa bibirnya untuk tersenyum, walaupun dia berasa sedikit kecewa.

Tiada kata-kata balasan daripada lelaki berwajah dingin dan serius itu. Sejak tadi, tiada secalit pun senyuman yang terukir pada wajahnya.

"Kalau macam tu..."

Belum sempat Hanis meneruskan percakapannya, pelayan tadi datang semula, namun kali ini membawa hidangan yang dipesan oleh Emir Hud di atas meja troli.

"Selamat menjamu selera," kata pelayan itu dan berlalu pergi.

"Boleh tak kalau minta bungkus je makanan ni?"

Emir Hud menjongketkan keningnya memandang Hanis.

"Ermm, kalau tak boleh tak apa. Saya memang dah tak mampu nak makan lagi. Saya minta diri dulu," ujar Hanis seraya berdiri. Dia rasa tiada maknanya dia terus berada di situ dengan lelaki itu sedangkan sudah terang dan jelas bahawa permohonan kerjanya ditolak.

"You boleh pergi lepas I selesai makan."

"Tapi..."

"Please!" kata Emir Hud dengan nada tegas.

Hanis duduk semula dengan perasaan terpaksa dan sebal. Dia sempat terpandang senyuman sumbing sekilas yang terukir pada wajah lelaki itu. Mungkin berasa bangga kerana arahannya dituruti.

"JANGAN lupa makanan you tu," kata Emir Hud setelah dia memberhentikan keretanya di depan sebuah rumah teres.

Hanis segera mencapai beg plastik berisi makanan yang dimaksudkan, lalu dia terus keluar dari kereta mewah itu. "Terima kasih untuk makanan ni dan terima kasih juga sebab hantar saya balik," ucapnya dengan perasaan segan. Baru dia hendak menutup pintu, Emir Hud memanggilnya.

"Hanis, sekejap!"

Hanis menjengahkan semula kepalanya ke dalam kereta menanti apa yang hendak diperkatakan oleh lelaki itu.

"Ni tempat kerja part time you." Sekeping kad dihulurkan kepada Hanis. "Bayaran sama dengan gaji sebulan supervisor kilang I. Kalau you setuju, call je number dalam kad ni."

Serta-merta berkerut dahi Hanis, namun pada masa yang sama, dia menyambut huluran daripada lelaki itu. "Boleh tahu kerja apa?"

"Maid kat kondominium I."

Semakin bertambah kerutan di dahinya selepas mendengar jawapan daripada lelaki berwajah dingin itu. Dia tengok muka aku ni memang sesuai jadi maid je ke?

"I tunggu jawapan daripada you. I pergi dulu."

Hanis cepat-cepat menutup pintu dan memerhati kereta itu meluncur pergi dari situ, lalu dia memandang kad di tangannya. "Kerja part time, tapi dia bayar gaji sebulan supervisor? Lantaklah maid pun, aku tak boleh lepaskan peluang!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience