Sejak emak dibawa pulang ke rumah oleh Athirah secara senyap, suasana rumah Athirah kembali tenang dan damai. Wajah Wani yang selama ini muram, kembali berseri. Di sisi Athirah dan menantunya, seorang ustaz yang selalu melayani ibu mertuanya,mengaji bersama, menonton filem P. Ramlee kegemaran Wani bersama dengan penuh bahagia. Wani seakan kembali bernafas. Namun jauh di sudut hati, dia masih dihimpit rasa bersalah.
“Mak tahu mak salah… mak tak patut ikut cakap kak Hana dulu,” bisik Wani sambil memegang tangan Athirah.
Athirah mengusap lembut tangan emaknya. “Mak tak salah. Mak hanya ikut naluri mak sebagai seorang ibu. Tapi sekarang, mak dah bersama orang yang takkan sakiti mak lagi.”
Namun, di pihak Hana, kepanasan semakin membuak. Bila dia tahu emak sudah tiada di rumahnya, kemarahan yang tersimpan bertukar menjadi dendam.
“Dia curi emak dari aku?!” Hana mengetap bibir. “Takpe. Aku akan pastikan semua orang tahu siapa sebenar yang pentingkan emak… dan siapa yang pura-pura.”
Sejak itu, Hana mula menyebarkan cerita di sana sini. Kepada jiran, saudara-mara, malah sahabat-sahabat lama emak.
“Entahlah… sejak mak duduk rumah Athirah, langsung tak tanya khabar saya. Padahal saya ni yang jaga dia waktu dia sakit. Saya yang berjaga malam. Tapi orang tetap nampak Athirah tu kononnya baik…” katanya dengan suara sebak yang direka-reka.
Ramai yang pada awalnya simpati. Mereka lihat Hana sebagai anak yang teraniaya. Mereka percaya pada air mata dan cerita Hana, kerana Hana memang pandai bermain peranan.
Namun, sedikit demi sedikit, orang mula ragu.
“Athirah tu kan isteri ustaz. Takkan lah dia sanggup abaikan mak sendiri?” bisik jiran kepada jiran.
“Ustaz tu siap selalu bawa mak ke masjid dan ke mana yang mak suka. Kita nampak sendiri,” balas seorang lagi.
Cerita-cerita palsu Hana mula berbalik pada dirinya. Kepercayaan yang dibina dengan air mata palsu mula retak apabila kebenaran perlahan-lahan timbul di permukaan.
Sementara itu, Hana semakin terdesak. Dia menyedari, segala perancangan untuk menjatuhkan Athirah tidak berjaya. Dan emaknya pula langsung tidak menghubunginya lagi. Hanya beberapa mesej masuk dari emak, semuanya tidak dibalas.
Namun, kasih sayang Wani tidak pernah pudar.
Setiap kali merindui Hana, dia tetap menghantar pesanan yang sama:
> “Emak sayang Hana… Emak minta maaf kalau emak pernah sakitkan hati Hana…”
Tapi mesej itu hanya dibaca, tak pernah dibalas.
Dan di dalam hatinya yang hitam, Hana menyimpan dendam baru. Bukan hanya terhadap Athirah… tapi juga terhadap emak dan anak sulungnya sendiri.
Share this novel