"Semua salah emak. Sebab selalu lebihkan Athirah. "Itu kata-kata Hana yang menusuk seperti sembilu, tajam dan tidak berperasaan.
Emak memandang wajah Hana perlahan. Nafasnya pendek, dadanya terasa sesak. Namun tetap juga emak cuba menenangkan, “Emak tak pernah lebihkan sesiapa. Emak sayang semua anak emak…”
“Tapi kenapa semua orang nampak Athirah yang paling baik? Dia tak jaga emak pun! Kalau bukan saya, siapa yang urus emak waktu sakit?” Nada Hana semakin tinggi. Kata-katanya bukan sekadar marah, tetapi penuh dendam yang disimpan bertahun-tahun.
Emak cuba senyum, walau hatinya perit. “Athirah… dia selalu ambil tahu. Dia datang tengok emak beberapa hari seminggu, walau sibuk. Cuma dia… dia tak suka menunjuk.”
“Tipu!” bentak Hana. “Emak sentiasa bela dia. Saya ni anak jahat pada pandangan emak, kan?”
Wajah emak berubah. Jantungnya mula berdegup laju, nafasnya makin pendek. Dia pegang dadanya, terasa seperti ada sesuatu yang menghimpit. Debaran jantung yang dulu menyerang, kini datang lagi.
“Emak…” suara Hana yang tadi keras, kini sedikit panik. Tapi bukan kerana risau, sebaliknya kerana bimbang dilihat bersalah.
Emak terhincut ke sofa. Wajahnya pucat, peluh sejuk mula membasahi dahi. Tapi lidah Hana tetap tak berhenti.
“Sampai bila emak nak jadi buta dengan kasih sayang yang palsu tu? Dia bukan sebaik yang emak sangka!”
“Cukup, Hana…” suara emak lemah, hampir tidak terdengar. “Jangan sakiti hati emak begini…”
Tapi Hana tetap terus berkata-kata. Lidahnya bagaikan pisau yang menghiris, satu persatu. Kata-katanya ibarat racun yang menyusup ke dalam jiwa emak. Hingga akhirnya, tubuh tua itu rebah ke lantai, terkulai.
Hana terpaku.
Namun tiada air mata. Hanya panik, kerana muslihatnya mungkin terbongkar.
Ambulans dipanggil. Di hospital, doktor mengesahkan emak mengalami serangan jantung yang teruk, dipercayai akibat tekanan emosi yang melampau.
Athirah tiba tidak lama kemudian. Melihat tubuh emak yang lemah di katil hospital, hatinya luluh. Dia tidak tahu apa yang berlaku sebelum itu, tetapi dia tahu — sesuatu yang sangat dahsyat telah dikatakan.
Suaminya menggenggam tangan Athirah. “Kita sabar. Emak perlukan doa dan kekuatan sekarang.”
Athirah mengangguk, matanya merah. Dan dalam hati, dia berjanji — dia akan lindungi emak, walau apa pun terjadi.
Sementara itu, Hana duduk di rumah, memandang telefon bimbitnya. Tiada rasa bersalah. Hanya rancangannya yang masih berjalan seperti biasa.
Tapi satu perkara yang dia tak pernah jangka… cinta sejati seorang emak tak pernah mampu dibunuh hanya dengan lidah.
Share this novel