SEPERTI yang dijanjikan mereka akan bertemu muka pada hari ini.
Aariz benar-benar mengotakan janjinya untuk tidak mengganggu wanita itu sepanjang dua minggu ini. Tiada mesej atau pun panggilan yang diterima daripada lelaki itu. Najda kelegaan kerana dia dapat berehat tanpa gangguan. Dia cuma keluar untuk ke tempat kerja setelah dia diberi cuti 5 hari.
Tanpa pengetahuan Najda lelaki itu diam-diam melalui hadapan rumah Najda apabila berkesempatan selepas pulang dari hospital. Pernah sekali dia hampir tertangkap apabila Najda yang berdiri di balkoni terus memerhatikan keretanya. Dia hanya diam di situ sehinggalah Najda masuk ke dalam rumah.
Najda mengerling jam di tangan. Aariz sudah lewat sepuluh minit.
I lewat sikit.
Mesej Aariz dibaca.
Setahunya Aariz mendapatkan nombor telefonnya daripada Nasrul. Jika ikutkan tidak sudi dia berkongsi nombor telefonnya dengan lelaki itu.
Najda menarik nafas dalam-dalam cuba mengawal keresahan yang mengetuk pintu hatinya. Sejak semalam dia sudah bersedia untuk berbincang tentang hala tuju hubungan mereka. Dia benar-berharap perbincangan mereka akan berlangsung dalam keadaan aman dan damai. Dia berharap kecerdikan akal lelaki itu akan membawa kepada perbincangan yang matang dan terbuka.
Sedang mennti kedatangan lelaki Aariz dia disapa seseorang. Cuba untuk mengingat kembali empunya badan namun saluran ingatannya bagai tersumbat dan mengeras.
" Siapa ya. Cikgu lupalah", soal Najda membahasakan dirinya begitu biarpun dirinya bukan lagi bergelar guru.
" Wafi cikgu",
" Ya Allah. Cikgu minta maaf. Cikgu tak boleh ingat Wafi", terus cuba memerah ingatannya.
" Ya lah. Cikgu ingat Aariz je..", bernada rajuk.
Najda ketawa mengawal debar. Langsung terbayang bagaimana reaksi Wafi jika melihat Aariz berada dengannya sebentar lagi. " Janganlah cakap macam tu. Awak dah banyak berubah. Kacak bergaya macam ni tentulah cikgu tak perasan. Ingatkan model syampu mana tadi ", cuba memujuk saat melihat rambut Wafi yang kelas.
Matanya sesekali memandang ke arah jalan, mengharapkan Aariz tidak muncul sekarang.
" Yalah dah lama sangat. Dah lebih 10 tahun juga rasanya. Tapi saya masih dapat kenal cikgu. Tak berubah masih awet muda dan cantik macam dulu..", puji Wafi dengan senyuman terhias di bibirnya.
" Okay. Cikgu terima pujian tu", pujian Wafi disambut mesra oleh Najda.
" Cikgu tunggu seseorang ke?", soal Wafi apabila dapat mengesan tingkah Najda yang memandang ke luar restoran.
" Ya.. ", sekali lagi memandang ke arah jalan.
Janganlah you sampai sekarang Aariz. Najda bermonolog sendiri.
" Oh.. Hmm..Boleh saya ambil nombor cikgu? Boleh keluar minum sama lain kali ",
" Oh boleh..", tidak menolak dia terus memberikan nombor telefonnya kepada lelaki itu.
" So saya boleh mesej atau telefon cikgu? Mana tahu cikgu berminat nak buat pelaburan emas. Jongkong emas ke. Dinar ke..", terus sahaja mempromosi perniagaannya.
Najda ketawa senang. " Haih. Tanya khabar pun tidak terus nak jual emas",
Wafi ketawa lepas mendengar sindiran manja wanita di hadapannya.
" Maaf cikgu. Cikgu sihat..",
" Sihat. Alhamdulillah. InsyaAllah. Ada rezeki nanti cikgu cari kamu ya. Cikgu pun belum ada pelaburan emas ni",
" Bolehlah cikgu sokong perniagaan kecil saya ni", ceria suara Wafi apabila seakan mendapat maklum balas positif daripada bekas gurunya itu.
" Jual emas bukan perniagaan kecil dah tu Wafi. Silap-silap bisnes juta-juta ni",
Wafi ketawa senang. " Cikgu doakanlah saya ya",
" Aamin. Dah jadi jutawan jangan lupa diri pula",
" Ya cikgu..",
Jantung Najda berdebar laju apabila matanya sempat menangkap langkah Aariz yang mendekatinya.
" Assalamualaikum" , sapa Aariz tenang.
Saat kedua lelaki saling berpandangan keduanya terdiam.
" Aariz?",
" Wafi?",
Serentak suara mereka berdua. Terus sahaja mereka saling bersalaman dan berpelukan. Cukup dramatik.
" Tak sangka jumpa kau hari ni. Smart kau sekarang..", puji Wafi menepuk lembut bahu Aariz.
Aariz hanya ketawa senang dengan pujian itu. Matanya sempat melirik wajah manis di hadapannya.
" Kau dengan cikgu..", Wafi langsung menyoal sambil matanya bersilih ganti memandang Aariz dan Najda.
" Aariz ni cucu angkat atuk saya..", laju Najda membalas.
" Oh..", berlagak seperti berpuas hati dengan jawapan Najda biarpun dia dapat melihat ekspresi tidak senang di wajah Aariz.
Tidak sempat berbual lama Wafi meminta diri kerana ada temu janji dengan pelanggannya.
" Nombor cikgu saya dah ada. Nanti lapang saya call cikgu ya.", sempat Wafi memberitahu sebelum berlalu meninggalkan keduanya.
***
KERUSI ditarik lalu melabuhkan punggungnya di situ. Wajahnya tampak serius dan matanya tidak lari dari memandang wajah di hadapannya.
Mata bundar dengan hidung kecil serta bibir yang mungil. Ah! Begitu sempurna ciptaanMu Ya Allah. Aariz benar-benar terpesona.
" Aariz.." tegur Najda tidak senang dengan ekspresi Aariz yang kaku begitu.
" Hmm..", mengawal riak kerana ditegur Najda. "Cepat betul bagi nombor telefon..." suaranya serius merenung wajah di hadapannya.
" Salah ke?", berkerut dahi Najda dengan soalan lelaki itu.
" Lain kali jangan bagi nombor you pada sembarangan orang", tangannya mula mengimbas qr menu.
" Bukan sembarangan orang pun. Dia tu bekas pelajar I. Kawan you jugak",
" Memamglah bekas pelajar. Tapi mata dia tu..", Aariz tidak dapat menyembunyikan perasaan cemburunya. Berhadapan dengan Najda langsung tiada canggungnya biarpun sudah lama dia tidak bersua muka dengan wanita ini. Tiada langsung rasa malu dengan peristiwa dia ditolak bertahun dulu. Tetapi debarnya masih ada dan dia sedang menyembunyikannya.
" Apa masalah dengan mata dia. I tengok okay je. Dahlah jangan nak panjangkan pertemuan ni dengan perkara tak penting. I datang sini nak berbincang hal kita", mahu menyekat soalan yang bukan-bukan dari lelaki itu.
" Nak order apa?", menghulurkan telefon kepada Najda
" I puasa",
" Sunat ke ganti?",
" Sunat",
" Lepas ni bila dah tinggal sama nak puasa sunat kena cakap dengan I", Aariz cuma memesan minuman untuknya. Jika dari awal dia tahu Najda berpuasa tidaklah dia mengajak ke sini.
" Ya Allah. Over dia ni kan", sakit pula hati Najda dengan cara lelaki itu.
" Orderlah untuk buka puasa nanti..", sekali lagi Aariz menghulurkan telefonnya kepada lNajda.
" Tak payah. I masak..",
" Wow. Nanti boleh masak untuk I juga", teruja saat mendengar Najda boleh memasak.
Najda mendengus.
Meletakkan telefon di atas meja. Wajah Najda direnung. " Kenapa cakap macam tu pada Wafi?", malas memanjangkan hal puasa itu Aariz terus menyatakan rasa tidak puas hatinya.
" Apa?", Najda cuba mengawal rasa tidak selesa apabila wajahnya terus direnung lelaki itu.
" Cucu angkat? I ni suami you. Kenapa tak terus terang?",
" You nak orang tahu yang kita dah kahwin? Macam tu?",
Aariz mengangguk laju.
" I tak nak. I tak nak orang tahu siapa I dengan you. Lagipun you sendiri cakap you pun tak nak kahwin dengan I kan. So lebih baik kita diam-diam dan sampai masa kita sama-sama bebas",
" I tak nak macam tu. I nak bawa you tinggal dengan I. Macam suami isteri yang lain. Tinggal sebumbung. Hidup bersama",
Najda terdiam. Apa sebenar mahu lelaki ini. Beberapa minggu lepas dia dilayan dengan kasar dan sekarang lelaki itu mahu dia terus hidup dengannya.
" I bagi you masa seminggu untuk bersedia. Lepas tu I sendiri akan bawa balik you rumak kita", langsung tiada senyum di wajah Aariz.
Rumah kita? Berkerut dahi Najda dengan bicara lelaki itu.
" Tiada kita antara you dan I. I tak beri persetujuan. Lagipun kenapa I nak tinggal dengan you sedangkan I boleh hidup sendiri",
" You nak Abang Nas datang sebat you lagi baru you nak ikut I", ugut Aariz.
" Aariz.. I nak hidup tenang dengan pilihan I. I tak nak hidup dalam telunjuk orang lain. Abang Nas ataupun you. I dan you sama-sama terpaksa setuju dengan pernikahan yang bukan pilihan kita. Boleh tak sekarang kita pilih haluan hidup kita. I nak kita sama-sama dengan jalan hidup masing-masing. You dengan hidup you. I dengan hidup I. Apa yang jadi kita dah tak boleh nak patah balik tapi kita masih ada pilihan untuk teruskan bagaimana kita nak teruskan hidup" , Najda merenung wajah Aariz mengharapkan pengertian daripada lelaki itu.
" You dah ada orang lain?",
" Ini tiada kaitan dengan orang lain. Ini antara I dan you..", tegas Najda.
" Tapi I ada hak sebagai suami. You jangan lupa tu",
" I tak lupa. I cuma tak nak terus terikat dengan ikatan tu. I harap you faham",
" Maksud you nak kita cerai?",
Najda mengangguk.
" I tak nak",
" Aariz. I rasa you yang lupa sekarang ni. You juga tak nak nikah dengan I..sekarang kenapa nak teruskan?",
" Sebab I tak nak you dengan orang lain",
Najda menggeleng. " Aariz. You masih tak faham? I tak nak teruskan",
" Najda. You tahu apa hukumnya seorang isteri minta cerai tanpa alasan yang kukuh. Hanya sebab you dan I dipaksa nikah oleh Abang Nas. Hanya sebab I cakap I tak kahwin dengan you itu bukan alasan", Aariz tetap dengan kemahuannya. Mahu Najda terus menjadi isterinya.
" You sungguh-sungguh pujuk I ni. Apa alasan you?",
" I ada alasan I sendiri",
" I juga ada alasan I sendiri untuk tak teruskan pernikahan n",
" Peguam pun malas nak layan alasan sebab terkahwin paksa. Siapa suruh kena tangkap duduk berdua-duaan",
" I tak datang sini untuk bergaduh Riz. I datang untuk beritahu keputusan I",
" I tak setuju",
***
SKRIN telefon digeser. Matanya menatal deretan gambar pernikahannya yang diambil oleh Nurin. Wajah tanpa perasaan Aariz terus direnung.
Aku tahu Aariz bukan lelaki jahat. Tapi aku juga tahu, aku perlukan tenang lebih dari segalanya.
Telinganya masih terngiang dengan bicara lelaki itu siang tadi.
" I tak setuju. I akan bertanggungjawab pada you",
" Kita tak buat apa-apa pun you nak bertanggungjawab apanya", suara Najda mula keras. Fikirnya Aariz akan setuju dengan permintaannya dan semuanya akan diselesaikan segera.
" You nak I buat apa-apa ke?", sengihan nakal terentang di wajah itu.
" Inilah I tak boleh terima you. Usia you lebih muda pada I. Cara fikir tak sama dengan cara fikir I. Fikiran kita tak seiring. Sekufu bukan soal kewangan semata-mata Aariz. Ini soal bagaimana cara kita berfikir",
" I muda empat tahun je Najda. Bukan empat belas tahun. I pun dah dewasa. Bukan lagi anak murid you yang hanya pandang you dari jauh bertahun dulu. Sekali I dah dapat you I takkan lepaskan you. You akan jadi milik I sampai mati", pandangan mata Aariz bagai menikam jantungnya. Bicara lelaki itu begitu tegas.
Najda mengeluh berat.
"You bangga cakap I milik you sampai mati? Itu ego Aariz. Tak ada sesiapa jadi milik siapa. I tak nak hidup dalam terpaksa dan perlu mengikut telunjuk orang "
" Siapa kata you kena hidup dalam telunjuk orang. You akan hidup dengan seorang suami yang tahu erti tolak ansur yang tahu hormat pasangan yang tahu timbang rasa dalam hubungan",
" Tolak ansur. Hormat pasangan. Timbang rasa itu hanya janji. I tak nak you berjanji apa- apa pun dengan I. I cuma nak kita tamatkan", tetap tegas dengan keputusannya.
" Degil juga you ni kan. Nampak muka ayu je", Aariz tersenyum cuba meredakan situasi perbincangan mereka yang semakin serius.
Najda tidak membalas senyum itu. Cuma merenungnya lama wajah itu.
" Degil untuk pertahan diri sendiri bukan satu dosa Aariz. I belajar yang kalau I tak lindung diri I tak ada siapa akan buat untuk I. I tak main -main Aariz. I betul-betul nak tamatkan pernikahan ni. Ini pilihan I",
Senyuman Aariz mati.
Najda begitu nekad. Namun Aariz juga nekad dengan keputusannya mahu membawa Najda ke rumahnya. Apa cara sekalipun isteri paksa itu mesti mengikut katanya!
" You tetap kena ikut I",
Najda tersentak. Lama dia berkhayal. Sejak pernikahan itu kepalanya sentiasa sahaja memikirkan hal itu. Penat. Letih. Kecewa. Sedih. Semuanya ditanggung sendiri.
Telefon dicapai. Mahu menghubungi rakannya Medina. Namun cepat mematikan hasratnya. Tentu sahaja Medina sedang sibuk dengan peperiksaan.
Apalah respon dan kata Medina jika tahu dia sudah berkahwin. Dengan bekas anak murid. Muda pula tu. Huh!
Aariz aku datang! Ah! Jika sebelum ini dia mahu bertemu muka dengan Aariz menyelesaikan segalanya. Tetapi sekarang kalau boleh dia tidak mahu berfikir atau berjumpa lelaki itu. Tetapi kenyataan yang perlu dia terima adalah dia sudah terikat dengan lelaki itu. Tidak mudah rupanya mahu membuat Aariz mengikuti permintaannya. Tidak mudah mahu bebas dari lelaki itu.
Tubuhnya dibawa bersandar ke kepala katil. Kepalanya terus merencana mencari jalan bagaimana mahu bebas dari lelaki itu.
Pergi jauh? Meninggalkan semua. Meninggalkan kerjaya yang dia ada? Tapi ke mana? Silap hari bulan Nasrul mengurungnya pula. Ah! itu cuma lari dari masalah dan menambahkan masalah lain pula. Tak selesai masalah pun!
Apakah aku harus mengikut permintaan Aariz supaya lelaki itu juga akan mengikuti permintaannya?
Najda mencapai telefon. Tangannya laju menaip pesanan.
I akan balik rumah you dengan syarat you pun ikut kemahuan I
Hantar. Najda menarik selimut. Memejamkan mata. Langsung tidak berniat mahu melihat apa jawapan Aariz.
Share this novel