BAB 1
DENGAN pergerakan yang perlahan Najda naik ke katil usai menunaikan solat Subuh. Bau hospital yang tidak pernah disukai hampir sebati dengan deria baunya apabila sudah lebih 5 jam dia berada di dalam wad ini.
Malam tadi dia dibawa ke jabatan kecemasan oleh Farhan. Dia dihubungi Farhan kerana perihal kerja tetapi sudahnya saat mendapat tahu Najda yang tidak sihat terus sahaja lelaki itu ke rumahnya. Dalam terpaksa diikutkan juga gesaan Farhan kerana sememangnya dia juga sudah benar-benar tidak berdaya. Demam tinggi dan badannya yang begitu sakit. Jika tiada Farhan semalam tentu sahaja dia biarkan sahaja dirinya berkurung dalam bilik sahaja.
Dia berbaring sambil matanya meliar melihat kawasan sekeliling ruang wad. Selimut ditarik menutupi tubuhnya sehingga paras dada.
Sejuk! Itulah yang dia rasa apatahlagi dengan demamnya yang belum kebah. Jika di rumah tentu sahaja dia sudah menutup penghawa dingin jika sejuk begini. Setahunya di hospital suhunya perlu berada dalam suhu yang telah ditetapkan bagi mencegah pertumbuhan bakteria dan virus.
Dalam sakit-sakit sempat lagi kepalanya berfikir-fikir. Berapa banyak bil utiliti hospital yang perlu dibayar untuk satu bulan. Tentu sekali besar perbelanjaannya.
Duit kerajaan!
Tapi..Duit aku juga. Aku kan pembayar cukai!
Matanya mengira bilangan katil. Banyak. Najda menoleh pesakit di sebelahnya. Pesakit itu masih berbaring di katil. Mahu sahaja dia mengejutkan pesakit itu untuk solat Subuh namun segera dibatalkan niatnya. Mungkin sahaja pesakit itu tidak berupaya untuk bangun.
Tadi dia juga memaksa diri untuk bangun menunaikan perintah Yang Satu. Badannya masih lagi lemah kerana demamnya belum betul-betul kebah. Tetapi tidaklah seteruk malam tadi.
Dia mahu melelapkan matanya apabila melihat jam 6.54 pagi. Dia masih kurang berdaya. Dia masih demam, kepala begitu sakit dan berdenyut dan seluruhnya tubuhnya kesakitan. Sakit dan masih perit kesan dari libasan beberapa hari lepas!
Tidak lama apabila semua lampu dipasang dan terdengar suara jururawat mengejut bangun. Najda segera membuka mata mahu menunjukkan yang dia telah bangun.
Ah! Beginikah berada di hospital? Dia yang tidak pernah dimasukkan ke dalam wad berfikir-fikir. Perkara yang terpaksa dilaluinya hari ini berkongsi bilik air dengan ramai pesakit yang berbagai ragam. Ah! Cepatlah aku keluar.
Sapaan mesra jururawat bertugas menyoal tentang keadaannya pagi ini disambut dengan senang hati walaupun tidak berdaya. Meminta tidak ditukarkan cadar kerana cadarnya masih dalam keadaan yang bersih lalu dia terus memejamkan matanya semula. Dia benar-benar perlukan rehat sementara menunggu kedatangan doktor meronda wad.
***
AARIZ Zahreen terpaku pada tubuh yang sedang berbaring di katil. Pandangan mereka bersatu seketika sehingga Najda segera melarikan pandangannya. Matanya terus menumpu pada telefon pintar di tangannya.
Seluruh tubuhnya masih sakit-sakit. Melihat lelaki itu di hadapan mata bukan bikin tubuh badannya sahaja jadi sakit tetapi hatinya juga.
Teringat bentakan kasar lelaki itu kepadanya dua hari lepas benar-benar bikin hatinya remuk redam.
Aariz tidak berniat untuk menegur wanita itu kerana telinganya sedang fokus mendengar butiran tentang pesakit di hadapannya oleh doktor pelatih yang bertugas.
" Mak cik kena sukat minuman mak cik ya sebab kencing mak cik dah kurang", lembut sahaja bicara Aariz kepada seorang wanita sudah berusia di hadapannya.
" Dah dahaga. Mana boleh nak tahan-tahan minum doktor. Doktor cakap senanglah. Sukat air. Sukat air. Mak cik ni kerja tukang masak. Duduk di dapur tu panas. Berasap. Dahaga kena minum air" , balas pesakit di katil bernombor 13.
" Ya. Betul tu. Dahaga minum air. Tapi mak cik perlu sukat jumlah air. Tak boleh lebih 500 ml untuk satu hari. Sehari satu botol kecil tu sahaja mak cik boleh minum. Kalau minum lebih nanti air masuk dalam paru-paru. Boleh sebabkan sesak nafas macam malam tadi. Masuk lagi sini. Ke mak cik suka jumpa saya..", seloroh Aariz.
" Tak suka...", bersahaja wanita itu membalas. " Suka apa . Cucuk sana cucuk sini. Doktor pelatih tu bukan reti ambil darah. 5 kali pun tak dapat lagi. Habis bengkak tangan mak cik ni", adu pesakit itu lagi sambil menunjukkan kesan lebam di tangannya.
Najda menjeling sekilas mencari riak wajah Aariz. Entah kenapa dalam sakit hati dan benci kepada susuk di hadapannya ini dia masih mencari wajah itu
" Okay. Lepas ni sekali cucuk dapat. InsyaAllah", janji Aariz.
" Tak nak dah mak cik..",
Beberapa ketika terdengar suara Aariz berkata sesuatu kepada barisan doktor pelatih di situ. Najda cuba mencuri dengar namun dia langsung tidak dapat menangkap butiran terma perubatan yang keluar dari mulut lelaki itu.
Sebentar lagi pesakit akan dilawati oleh doktor pakar pula. Jadi tentu sahaja mereka perlu membuat persediaan.
Najda menjeling sekilas apabila kumpulan tadi bergerak ke katil lain. Dia kelegaan. Mungkin sahaja dia bukan pesakit di bawah seliaan lelaki itu.
Pura-pura tidak kenal. Itu lebih baik! Dia juga setuju dengan tindakan lelaki itu. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu bersoal jawab akan keberadaannya di sini.
***
" BED 15 tu kenapa?", soal Aariz apabila dia selesai menghabiskan rondaan wad di Mawar 7B.
" Kes dera..", bersahaja Ainatul membalas.
" Dera?", kuat suara Aariz kerana begitu terkejut. " Dah buat report?",
" Patient tak nak buat laporan",
" Sebab?",
" Dia cakap dia sihat mental dan fizikal dan dia cakap hak kerahsian perubatan pesakit mesti dihormati. Bersoal jawab juga dengan Kak Zai. Fahamlah Kak Zai macam mana. So Kak Zai cakap ikut SOP. Refer kaunseling dan lengkapkan laporan pesakit menolak untuk buat laporan. Dewasa sihat mental mana boleh paksa-paksa",
Aariz diam.
" Katanya jatuh. Tapi..Kak Zai cakap berbirat macam kena libas dengan tali pinggang", Ainatul terus memberi maklumat.
" Libas tali pinggang? Biar betul you ni Aina?", bicara Ainatul bikin Aariz bertambah terkejut.
" Ya. Semalam Kak Zai cakap dia datang dengan demam tinggi. Ada luka.dan lebam pada belakang tubuh. Teruk juga itu yang sampai demam tu agaknya",
" Siapa hantar?" ,
" Kak Zai cakap bakal suami patient",
Lagi-lagi bikin Aariz terkejut. Dera! Tali pinggang! Bakal suami!
Langkah Aariz terhenti sehingga Ainatul juga turut berhenti.
" Kenapa boss?",
Laju Aariz menggeleng dan mengatur semula langkahnya. Namun kepalanya tetap tidak berhenti berfikir.
Bakal suami? Berapa ramai lelaki yang dia ada? Mahu sahaja dia berpatah balik untuk menyoal wanita itu. Tetapi kerana masih marah dengan apa yang telah berlaku dalam dua hari ini dia malas ambil tahu. Lantaklah!
" Betul ke bakal suami dia?", ketus suara Aariz.
" Kak Zai kata lelaki tu yang cakap", Ainatul menolak pintu masuk ke wad Orkid memberi laluan pada Aariz untuk masuk dahulu.
" Hmm..Bed berapa ni?",
" 6 boss..", Ainatul juga melangkah lebih laju mengikut rentak kaki Aariz.
Nampak seperti dia begitu fokus dengan kerja namun hati dan fikirannya tercuit juga perihal Najda walaupun dia cuba untuk tidak mengendahkan wanita itu.
Siapa dera dia? Teruk sampai demam-demam. Lelaki tu. Siapa pula? Bakal suami? Suami tahi kucing! Entah kenapa menyirap pula rasa hatinya!
***
TiGA hari juga Najda berada di wad. Tiada pelawat melainkan lelaki yang dikenali sebagai bakal suami Najda. Dia tidak memberitahu sesiapa perihal apa yang berlaku kepadanya. Hatta kepada rakan sekerja sekalipun. Dia cuma memberi alasan cuti kerana ada urusan keluarga kepada pihak pengurusan.
Tiga hari di wad maka tiga hari jugalah dia melihat Aariz. Namun lelaki itu terus dengan lagak tidak mengenalinya. Bagus juga. Dia pun malas mahu beramah mesra dengan lelaki itu. Dengar sahaja suara Aariz di ruang itu Najda akan bertindak memejamkan matanya.
Dan yang dia benar-benar mahu adalah dia tidak mahu ada kaitan langsung dengan lelaki itu. Tetapi sekarang ini dia sedang terikat dengan satu hubungan yang dia dan lelaki itu sama-sama tidak mahu.
" Sebelum I hantar you balik rumah kita singgah makan dulu. Okay?", soal Farhan memandang wajah pucat Najda.
" Hmm. I pun lapar", bersetuju sahaja sementelah tiga hari ini dia langsung tiada selera untuk makan. Badan sakit. Tubuh lemah tentu sahaja bikin seleranya mati. Apatahlagi dengan menu makanan di hospital yang sangat sihat. Langsung tiada rasa. Ah! Makanan untuk sihat. Begitulah. Makanan yang dibawa Farhan juga tidak mampu membuka seleranya biarpun berbagai jenis makanan dibawa lelaki itu. Sudahnya Farhan juga yang tolong menghabiskan makanan itu.
" I ambil wheelchair sekejap", ujar Farhan apabila melihat pergerakan Najda yang perlahan.
" Tak payahlah Paan. I masih boleh jalan", cepat sahaja Najda menghalang.
" You kan sakit",
" Sakit pun tak boleh nak manjakan diri sangat. Lagipun kaki I elok je ni",
" Apa pula. I ada sudi manjakan you sayang..", nakal suara Farhan mengusik wanita itu. Gemar sungguh memanggil wanita itu begitu biarpun dilarang.
" Jangan nak mengada. Ada kena baling dengan selipar ni karang", menjeling tajam memandang lelaki itu.
Farhan hanya ketawa. Langsung tidak tersinggung dengan gurauan Najda.
" Kalau tak nak wheelchair biar I dukunglah", terusan mengusik.
" Ada yang makan selipar ni. Nak rasa ke?",
Farhan terus ketawa. Senang dengan tingkah Najda yang begitu. Tiga hari lepas Najda begitu lemah dan tidak berdaya. Seperti hampir mahu mati sahaja gayanya. Sudahnya apabila sudah hampir sihat mula wanita itu menunjukkan dirinya.
Halimatun di sebelah hanya melihat tingkah keduanya.
" Cik Tun. Saya balik dulu ya", salam dihulur lalu tangan tua itu dikucup.
" Untunglah boleh balik dah. Cik Tun ni tak tahulah bila boleh balik rumahnya. Kot balik ke rumah tiang dua terus", berseloroh dengan dia sendiri yang ketawa.
" Ish. Jangan cakap macam tu. Saya doakan Cik Tun cepat sihat dan cepat keluar wad. Jangan curi-curi minum air botol manis-manis tu lagi tahu", merenung mata Halimatun yang dianggap seperti ibunya.
" Ya lah. Dah ramai doktor kat sini. Kamu pun nak jadi doktor juga", gurauan Halimatun disambut dengan tawa dari Najda dan Farhan. " Nak kenduri kahwin nanti jangan lupa ajak Cik Tun ya", matanya beralih ke wajah Farhan yang sedang tersengih.
" Kalau kahwin Cik Tun..", balas Najda.
" Eh. Rugi. Kacak macam ni kamu tak nak ke. Kalau tak nak bagi Cik Tun", nakal gurauan wanita itu memajsudkan Farhan yang berdiri disamping Najda.
Keramahan Halimatun membuatkan Najda tidak berasa sunyi selama tiga hari ini. Ada sahaja bicara Halimatun yang buat dia ketawa. Lupa seketika dengan perihal gawat yang berlaku beberapa hari lepas.
" Paan you nak ke dengan Cik Tun?", soal Najda memandang Farhan.
Belum sempat Farhan menjawab lengan Najda dicubit Halimatun.
" Aduh!", menggosok lengannya dengan riak wajah yang memuncung.
" Sakit lagi tuh di sini", meletakkan jemarinya di dada.
Farhan tertawa. Ah! Wanita ini benar-benar terlebih mesra!
***
USAI makan Farhan menghantar Najda pulang ke rumahnya. Dia keluar membantu membawa beg pakaian wanita itu.
" Nanti bagi resit baju yang you belikan ni", ujar Najda saat berdiri di hadapan pintu pagar.
" Tak payahlah. I bukan nak suruh you bayar semula pun", tidak gembira apabila Najda seperti terhutang budi dengan pertolongannya.
" I tak nak berhutanglah Paan",
" Dah. Tak payah fikir. Hutang ke apa. I tak nak you sakit lagi. I tak nak ada orang sakitkan you lagi", bimbangnya usah dicakap apabila mendapat panggilan Najda malam itu.
Puas disoal Farhan apa yang terjadi kepada wanita itu tetapi Najda terus mengunci mulutnya.
" Jangan risau. Tak ada orang akan sakitkan I lagi lepas ni. Thanks Paan", tersenyum memandang wajah lelaki itu.
" I akan buat apa sahaja untuk orang yang I sayang",
" Hmm..Dahlah. Malas nak cakap fasal tu", cepat sahaja Najda mahu mengelak apabila Farhan membangkit perihal perasaan.
" Baru nak mengayat dah kena reject",
" You tak bosan ke kena reject?",
" Dengan you tak..",
" Suka hati you lah. I malas nak melayan. " ", Najda mengalah sahaja. " Terima kasih tolong I beberapa hari ni. Ingat. Jangan cerita pada orang", memberi ingatan keoafa Farhan entah untuk kali ke berapa dia juga tidak menghitung.
" Ya lah. Ya lah. Masuk hospital pun nak rahsia. Patutnya you beritahu orang supaya orang boleh dokan you cepat sihat dan diberi kebaikan untuk you",
" I ada sebab tersendiri..",
" Okay..",
Farhan hanya berlalu selepas memastikan Najda masuk ke dalam rumah. Dia benar-benar mahu menjaga wanitu itu tetapi sudah dua tahun Najda tetap tidak memberi peluang.
***
TANGANNYA menggenggam kejap stereng kereta. Pedal minyak ditekan dan keretanya berhenti betul-betul di hadapan rumah Najda. Hatinya membuak marah melihat kemesraan dua figura tadi. Mungkin jika digambarkan kepalanya sedang berapi sekarang ini.
Telefon dicapai lalu menghubungi seseorang.
" Buka pagar sekarang. I ada depan rumah you", keras suara Aariz.
Najda menyengir. " I tak buka pagar untuk lelaki tak guna macam you",
" Jangan kurang ajar dengan I Najda. You lupa I siapa?",
" Lelaki tak guna pada I. Dahlah Aariz. Jangan ganggu I", Najda terus mematikan talian.
" Tak guna! Berani perempuan ni kata aku tak guna!", matanya merenung skrin yang sudah gelap.
Selamat membaca..
Share this novel
Lamanya xde update...