Bab 2: Cuti Raya yang Tak Berakhir
Waktu orang lain kemas beg nak balik ke asrama lepas cuti raya, aku masih duduk dalam bilik. Sunyi. Tak ada debar nak balik. Tak ada rasa bersalah. Yang aku tahu, aku dah buat keputusan: aku takkan balik.
Aku rasa bebas. Bebas dari jadual hafazan, bebas dari peraturan asrama, bebas dari semua yang aku anggap menyesakkan. Tapi kebebasan tu cuma sementara. Hakikatnya, aku hilang arah. Tak ada siapa tahu aku tengah buntu — aku sendiri pun tak tahu apa aku nak sebenarnya.
Hari-hari aku di rumah hanya berlalu begitu saja. Bangun lambat, baring depan telefon, berbual dengan dia — lelaki yang aku sangka akan jaga aku. Kadang-kadang aku rasa bersalah. Tapi setiap kali aku dengar suara dia, semua rasa bersalah tu hilang.
Mak dan ayah tak tahu aku tak nak balik. Mereka ingat aku nak rehat lama sikit, mungkin tak sihat, mungkin ada masalah kecil. Tapi yang mereka tak tahu, aku dah mula rancang sesuatu yang lebih besar.
Aku mula cari kerja. Aku fikir, kalau aku ada duit sendiri, aku boleh buat keputusan sendiri. Aku boleh tinggal rumah, tak perlu harapkan sesiapa. Tapi kerja pertama aku bukan tentang cita-cita, cuma tempat untuk aku lari dari pandangan orang.
Sebenarnya, sebelum aku berhenti belajar, aku dah sempat belajar selama 10 bulan. Sepanjang tempoh tu, aku cuba bertahan. Cuba lawan rasa kosong dalam hati. Tapi akhirnya, rasa untuk ikut lelaki tu lebih kuat dari rasa nak teruskan belajar.
Lepas 10 bulan, aku buat keputusan paling besar — aku berhenti belajar. Aku betul-betul tinggalkan semuanya. Demi lelaki tu. Demi rasa yang aku sangka cinta. Demi janji-janji yang aku harap jadi nyata.
Dan dari situlah, aku mula jauh. Bukan setakat dari asrama. Tapi dari keluarga. Dari diri sendiri. Dari Tuhan.
Share this novel