Completed
18121
Ayaris Orked tidak mampu menahan diri sebaik sahaja melihat Callum Damien dan gengnya melintas di hadapan. Cepat-cepat dia menyenggol lengan Elna di sebelah. Elna Darlene, yang sedang ralit menyuap mi goreng kerana kelaparan, mendongak malas.
“Kenapa?” soalnya acuh tak acuh.
“Crush aku… kacaknya dia.”
Mata Ayaris bersinar, mengekori langkah Callum. Elna turut memalingkan wajah, mencari kelibat lelaki yang dimaksudkan.
“Cal? Dia memang tak pernah tak kacak, Yaris.” rungutnya, lalu kembali tekun menikmati makanan.
Sudah tiga bulan mereka bersahabat rapat. Dan dalam tempoh tiga bulan itu jugalah, Elna tidak pernah kebuluran di sekolah. Setiap hari perutnya terisi dengan makanan kantin yang ditanggung oleh Ayaris. Tidak sia-sia keputusan untuk menjadi kawan baik Ayaris Orked.
“Kau dah serahkan hadiah aku tu pada Cal?” soal Ayaris, berbisik penuh harap.
Elna mengangguk. Tiga bulan jugalah dia menjadi orang tengah, menyampaikan hadiah-hadiah daripada Ayaris kepada Callum.
“Mengapa sampai sekarang Cal tak pernah pandang aku? Aku tegur pun… sepatah dua je dia balas. Kau kata dia gembira setiap kali kau serahkan hadiah aku dekat dia, kan?”
Kali ini, Elna terhenti mengunyah. Bola matanya tepat menikam wajah Ayaris.
“Kau ni… takkanlah dia nak tunjuk terlonjak-lonjak depan kau. Standard, Yaris. Dia ketua pengawas, ada imej nak jaga. Tenanglah. Aku yakin dia suka, cuma dia tak tunjuk je.”
Seketika, senyuman puas terukir di bibir Ayaris. Ada rasa bangga menyelinap di hati. Dia sudah nekad. Lelaki itu pasti jadi miliknya. Tiga bulan menjadi secret admirer, tiga bulan menabur hadiah, bunga, makanan, dan macam-macam lagi. Semua melalui Elna, kawan baik yang paling dipercayainya. Mustahil dalam tempoh itu, hati Callum Damien langsung tidak terusik.
HARI yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba juga. Hari istimewa yang sudah lama ditanda dengan marker merah di kalendar bilik tidurnya. Hari lahir Callum Damien. Segala perancangan rapi telah disusun, dibantu sepenuhnya oleh Elna Darlene yang beria-ia menawar diri untuk menjayakan kejutan istimewa buat lelaki itu.
“Kau yakin ke rancangan ni jadi, El?”
“Percayalah pada aku, Yaris. Aku yang selalu berurusan dengan Cal, kan? Aku tahu apa dia suka, apa dia tak suka. Kali ni… aku yakin dia akan jatuh cinta sampai tak sanggup lepaskan kau. Trust me!”
Sengihan terukir di wajah Ayaris. Dengan penuh sabar dia menunggu di depan kelas ketika waktu rehat. Kata Elna, bila semua persiapan selesai, dia akan menghantar seorang teman untuk memanggilnya ke kelas Callum.
Namun, beberapa kali mata melirik ke jam tangan. Masa berlalu, tetapi bayang Elna langsung tidak muncul. Kawan yang dijanjikan pun tak kelihatan. Hati dia mula resah.
“Yaris! Cal nak jumpa kau. Dia tunggu dekat kelas dia sekarang!” Suara tiba-tiba menyergah dari belakang.
Senyuman bahagia mekar serta-merta di bibir Ayaris. Tanpa ragu, dia melangkah laju menuju kelas Callum Damien. Sepanjang perjalanan, dia gigih mengulang-ulang dialog dalam kepala. Kata-kata indah yang bakal dia luahkan pada lelaki pujaan hati.
Tiba-tiba… bumm! Tubuhnya dirempuh kasar dari belakang.
Splash!
Sekelip mata, separuh tubuh lencun disimbah air sirap. Ayaris terpaku, berdiri kaku dengan wajah pucat terkejut. Dua pelajar lelaki di belakangnya juga kelihatan tergamam… sebelum mereka sama-sama ketawa besar.
“Sorry!” laung mereka dan meninggalkan Ayaris yang terkebil-kebil, berdiri basah kuyup.
Dia tunduk, memandang baju kurung sekolahnya yang lencun dan cawan plastik kosong di lantai.
“Yaris! Oh my god! What happened?”
Suara itu membuatkan Ayaris segera menoleh. Suara yang cukup dia kenal… suara yang mengembalikan secubit harapan.
“El… help me!” rayunya, sebak, hampir menitis air mata bila melihat Elna Darlene berlari anak ke arahnya.
Elna terus memaut bahunya. Wajah penuh simpati. “It’s okay, Yaris. Kita ke tandas dan bersihkan baju kau dulu.”
Ayaris hanya mampu mengangguk laju. Dia menurut tanpa suara ketika Elna menggenggam tangannya, menariknya ke arah tandas.
“Masuk dalam tandas ni, buka baju kau. Biar aku cuba bersihkan dulu. Kalau tak ada baju ganti pun, at least taklah melekit.” ujar Elna lembut sambil menolak perlahan tubuh Ayaris ke dalam salah satu bilik tandas.
Sebaik pintu dikunci, Ayaris mula menanggalkan baju kurung putihnya yang basah. Pakaian dalamnya turut melekat dingin pada tubuh.
“Yaris! Dah buka ke? Bagi aku baju kotor tu.” suara Elna kedengaran dari luar, disertai ketukan perlahan pada pintu.
Dengan hati-hati, Ayaris membuka kunci. Pintu ditarik sedikit, sekadar cukup ruang untuk menjengahkan kepala keluar. “Nah…” ujarnya perlahan sambil menghulur baju basah itu.
Elna pantas menyambutnya. “Kau tunggu sini kejap, jangan kunci pintu. Aku datang balik temankan kau. Kejap je tau, tunggu aku!”
Ayaris bersandar lemah pada pintu tandas selepas tidak lagi mendengar bunyi tapak kasut Elna. Tidak lama kemudian tiba-tiba… bumm! Pintu yang menjadi sandarannya ditolak kasar dari luar. Tubuh Ayaris terdorong ke depan, hampir menghentam dinding tandas.
“What the…”
Mata Ayaris terbeliak. Di hadapannya berdiri sesusuk tubuh tinggi dan sasa. Lelaki itu sama terkejut, tangan yang asalnya bercekak pinggang terjatuh longlai di sisi.
“Kau!!!” jerit Ayaris panik, wajah terus pucat.
“You! Are you crazy?!” suara garau itu menyergah. Nada keras, sarat amarah… namun jelas lebih banyak terkejut daripada marah.
Belum sempat mereka menarik nafas, tiba-tiba pintu tandas tertarik rapat dari luar dengan bunyi gedebuk. Terkunci. Kedua-duanya kaku, berbalas pandang.
“What the…” Lelaki itu segera menyambar tombol pintu, memutarnya berkali-kali. Namun tetap tidak bergerak. Terkunci kemas.
Renungan mereka bersilang lagi. Pucat. Panik. Terperangkap.
“Kenapa?! Tariklah pintu tu kuat sikit. Kau lelaki kan?!”
Lelaki itu melepaskan dengusan kasar. Sekali lagi, tangannya yang sasa menarik tombol pintu dengan sekuat hati. Namun hasilnya tetap sama. Pintu itu tidak berganjak. Mereka masih terkunci di dalam.
“Siapa kat luar tu?! Buka pintu ni sekarang!!!” suaranya bergema, penuh amarah. Namun sepi. Tiada jawapan.
Degup jantung Ayaris semakin menggila. Sedar dirinya berdua-duaan dengan seorang lelaki, dalam keadaan tidak sempurna menutup tubuh… maruah terasa diinjak-injak.
“Kita… terperangkap,” ujar lelaki itu perlahan, cuba menahan resah yang jelas terpampang pada wajahnya.
“Tak! Aku nak keluar!” Ayaris menolak tubuh sasa yang menghalangnya, lalu merempuh ke arah pintu. Paniknya menutup segala logik, hingga terlupa keadaan dirinya sendiri.
Lelaki itu tersentak, cepat-cepat mengalih pandangan. Gila! Perempuan ni… tak sedar keadaan diri ke, atau sengaja buat-buat?
Ayaris mencuba. Tarik, tolak, hentak. Pintu tetap tidak mahu terbuka. Nafasnya semakin pendek, wajah pucat, peluh dingin merembes di dahi. Dia berpaling, merenung tajam lelaki di belakangnya.
“Kau!!!” jeritnya nyaring, sampai bergetar ruang kecil itu. “Kau lelaki! Kenapa lembik sangat hah?! Takkan pintu tandas macam ni pun kau tak boleh buka?!”
“Kau bukalah kalau kau rasa kuat sangat!” balas lelaki itu sinis, jelingan matanya menikam terus ke wajah Ayaris.
Ayaris mencebik, meluat bukan kepalang. “Kau! Ini mesti rancangan kau, kan?! Sengaja nak kenakan aku. Nak sabotaj plan aku! Memang tak guna!!!”
Dia meluru, tangan terangkat mahu menghentam lelaki itu. Segala benci yang terpendam sejak pertemuan pertama meledak. Pandangan, suara, setiap gerak lelaki itu… semuanya bara yang membakar jiwa.
Namun sebelum sempat tangannya mendarat, pergelangan Ayaris dicekup kemas.
“I have nothing to do with this!” desis lelaki itu, tajam nadanya. “And let me remind you, spoiled girl! Daripada sibuk fikir rancangan bodoh kau tu, baik kau risaukan diri sendiri dulu! Tak nampak ke keadaan kau sekarang?!”
Ayaris terdiam. Pandangannya jatuh ke tubuh sendiri. Bahagian bawah masih terlindung dengan kain biru laut, tetapi bahagian atas… hanya tinggal baju dalam warna kulit. Darah menyerbu wajahnya. Pipinya merona merah jambu, menyalut malu yang tidak terhingga. Dan di hadapan… lelaki itu tersenyum sinis. Matanya melirik nakal, seolah-olah menikam terus ke bahagian tubuh yang terdedah.
“Celaka…” bisik Ayaris, hampir menggigil menahan marah dan malu yang bersatu. “You! Pervert!!!” jeritnya lagi, cepat-cepat menyilang lengan di dada.
“Pervert? Aren’t you the one who gave me the chance?” Lelaki itu tertawa sinis, kepalanya digeleng laju.
Ayaris kaku, menelan liur dengan perit. Tatapannya menikam tepat ke arah lelaki itu. Berani saja mata itu hinggap pada tubuhnya yang terdedah… sumpah, dia akan cungkil keluar kedua-dua biji mata itu dengan jari sendiri. Biar hancur, biar buta seumur hidup!
“You better not look at me, pervert! Aku sumpah aku cungkil keluar biji mata kau kalau kau berani tengok tubuh aku!”
Lelaki itu terdiam seketika, kemudian ketawa kecil. Sinis, menikam telinga. Mata menikam tepat ke anak mata Ayaris.
“Cungkil? Dengan tangan selembut tu? Don’t make me laugh, spoiled girl.”
Ayaris melangkah setapak ke depan, wajah mendekat, jarinya diangkat hampir ke mata lelaki itu yang terlihat masih tenang, wajah tayang senyum sinis, wajah yang benar-benar mencabar seketul Ayaris.
“Nak cuba? Kau nak tengok macam mana jari-jari lembut aku ni korek biji mata kau?”
“Don’t even try your luck, spoiled girl!” Lelaki itu menepis kasar tangan Ayaris, lalu menolak bahunya hingga dia terundur setapak ke belakang.
Mata Ayaris terbeliak apabila lelaki itu tunduk dan mula membuka butang kemeja pengawasnya satu persatu. Perlahan, dengan gerakan teratur.
“Kau!!! Kau nak buat apa?!” jerit Ayaris, suaranya bergetar. Rasa takut dan panik menerpa serentak, membuat tubuhnya kaku di tempat berdiri.
Lelaki itu terus diam, tidak memberi sebarang jawapan. Jemarinya tekun melepaskan butang demi butang sehingga kemeja itu terlucut sempurna.
Ayaris terpaku. Mulutnya terkunci rapat sebaik sahaja dada bidang dan perut lelaki itu terpampang tanpa seurat benang pun. Dia… bukankah cuma seorang pelajar sekolah menengah? Dari mana datangnya otot-otot keras dan padu itu? Dia… bersenam? Masuk gym?
Ayaris cepat-cepat mengalih pandangan, wajahnya panas membara. Jantung berdegup kencang, entah kerana panik, takut, atau… sesuatu yang dia sendiri tak nak akui.
“Gila! Apa kau buat ni?!” jeritnya, namun suara itu kedengaran goyah. Tangan segera meraba-raba sisi tubuh, mencari apa-apa yang boleh dijadikan senjata untuk menjarakkan lelaki itu darinya.
Lelaki itu hanya ketawa kecil, sinis, sambil melangkah setapak ke depan. Dada bidangnya makin mendekat, menghimpit ruang sempit antara mereka.
“Why? Scared already?” bisiknya rendah, membuat bulu roma Ayaris meremang.
“Kau!!!” Ayaris yang sudah gelabah setengah mati, terus meluru, mahu menolak tubuh lelaki itu.
Kerana tergopoh, kaki terpijak kain gaunnya. Tubuh tertolak ke depan tanpa mampu dia kawal, menghentak tubuh sasa di harapannya. Dentuman itu cukup kuat hingga dada lelaki itu bergetar menahan tubuh Ayaris. Sekelip mata, wajah mereka hanya sejengkal. Nafas bertemu nafas.
Mata Ayaris terbeliak, tubuhnya kaku. Panas wajah merayap hingga ke telinga. Segera dia cuba menjauh, namun jemari lelaki itu pantas mencengkam lengannya.
“Lepaslah!!!” jerit Ayaris, meronta, cuba melepaskan diri.
Lelaki itu tersenyum nipis, senyuman yang membuat darahnya mendidih. “Kau sendiri yang jatuh ke dalam pelukan aku… so, tell me… siapa sebenarnya yang cari pasal?”
Ayaris kelam kabut meronta, melepaskan diri lalu mengesot, menjauhi tubuh lelaki itu. Lelaki itu memandang sinis. Baju kemeja pengawasnya di dalam genggaman dihulur kepada Ayaris.
“Pakai ni!”
Ayaris tergamam, seolah-olah dunia terhenti sesaat. Lidahnya kelu, hati berdegup kencang. Dia sama sekali tidak menduga yang lelaki itu membuka bajunya bukan untuk niat jahat, tetapi demi menutup auratnya.
Rasa malu, lega, dan keliru bercampur baur. Segala kebencian yang selama ini membakar dalam dadanya tiba-tiba goyah. Lelaki itu… tidak sekejam, tidak sejahat yang disangkakan.
Namun hatinya tetap keras menolak. Dia enggan percaya bulat-bulat. Pasti ada niat tersembunyi! Kalau tidak, kenapa lelaki itu tiba-tiba muncul di sini… di dalam tandas pelajar perempuan? Akal logiknya menolak keras bahawa lelaki itu berniat baik.
Ayaris baru sahaja mahu membuka mulut untuk menyoal lelaki itu, namun suaranya tersekat di kerongkong saat pintu tandas tiba-tiba ditolak kasar dari luar.
“Ya Allah! Khai Sinclair! Kamu… kamu dah buat apa dengan pelajar baru ni?!”
Suara guru disiplin itu bergema, memenuhi ruang tandas sempit, menghadirkan getar yang serta-merta membuat bulu roma mencanak.
“Cikgu, saya…”
“It’s okay, Khai! Cikgu akan cuba tutup kes ni. Papa kamu takkan tahu. Ikut cikgu sekarang.”
Ayaris terpaku. Khai Sinclair sempat menoleh ke arahnya. Tatapannya sarat dengan simpati, sebelum baju kemeja di tangannya disarungkan ke tubuh Ayaris. Belum sempat dia memasang semua butang, pergelangan tangannya ditarik oleh guru disiplin itu, memaksanya segera keluar.
“Take care… you are a strong girl… this… shall pass too!” sempat Khai Sinclair jerit sebelum tubuhnya hilang dibawa keluar.
Ayaris masih terpaku di situ. Beberapa guru wanita meluru masuk, segera mengelilinginya. Dengan wajah membara malu, dia cepat-cepat memasang butang kemeja yang membungkus tubuhnya.
“Ayaris Orked, kan? Ikut cikgu ke bilik guru sekarang. Papa kamu sudah dihubungi. Dia sedang dalam perjalanan ke sini.”
Ayaris hanya mampu termangu. Dunia seakan berhenti berputar.
Share this novel
best we
mez