“Bos, Rezha Holdings masih tak beri sebarang respon. Apa harus kita buat sekarang?” suara seorang wanita memecah lamunan panjangnya. Dia menghela nafas berat.
“I kena dapatkan kontrak tu, by hook or by crook. Kalau tidak, Abang Han akan ambil alih syarikat ni. I takkan benarkan keluarga masuk campur dalam syarikat yang I bina dengan titik peluh sendiri. You faham, Wiya?”
Setiausahanya, Adwiya, hanya mengangguk perlahan.
“You dah dapatkan jadual CEO Rezha Holdings?” soalnya lagi, makin tegas nadanya. “Kalau terlalu susah nak atur temujanji dengan dia, biar I sendiri yang cari jalan. Apa pun caranya, I akan pastikan kontrak tu jadi milik kita.”
Wajahnya tekad. Dia rela lakukan apa saja demi menyelamatkan syarikat meski terpaksa melangkaui batas.
“Maaf, bos. Saya dah cuba pujuk setiausaha CEO Rezha tu, tapi dia tak beri banyak maklumat. Cuma satu je dia bocorkan. Sabtu ni, CEO tu akan main golf di Saujana Golf Centre.”
Bersinar anak matanya mendengar berita tersebut. Spontan dia bangkit berdiri, wajahnya kembali segar penuh semangat.
“Book me there, now!”
“Err… tapi bos, itu kelab eksklusif. Hanya ahli je boleh masuk.”
Dia terdiam seketika, kemudian mengulum senyum penuh yakin. “That’s not a big problem, Wiya. Aku ada cara.”
Sengihnya melebar. Dia tahu, abang-abangnya pasti boleh membuka laluan.
Semuanya jadi terlalu mudah bila ada duit dan kuasa. Hanya dengan satu panggilan daripada Abang Han, namanya terus tersenarai sebagai tetamu kehormat kelab eksklusif itu. Malangnya, Adwiya tidak dibenarkan masuk bersama. Namun, dia yakin… seorang diri pun, dia tetap mampu selesaikan segalanya.
Jujur, dia tak pernah pegang kayu golf apatah lagi main benda tu. Tapi penampilannya pada hari ini bak pemain professional. Blaus putih, skirt pendek jenis kulot, topi lebar dan sneakers. Semua berona putih bersih.
Laju dia jalan sambil mata liar mencari seraut wajah yang dia sendiri tidak tahu. Berpandukan arah yang ditunjukkan oleh mamat kedi yang sempat dia tahan sebentar tadi, dia melangkah yakin menuju destinasi. Melihat sekumpulan lelaki dalam empat orang sedang berdiri di tengah padang, langkahnya perlahan serta-merta.
Menurut kedi tadi, kumpulan tersebut datang daripada sebuah syarikat besar dan ternama. Cuma, nama syarikatnya tidak pula disebut. Lama dia berdiri tidak jauh dari mereka, memerhati. Cuba meneliti satu persatu wajah yang sesekali berpaling, mencari-cari ciri seorang CEO dalam kalangan mereka.
Salah seorang lelaki mula perasan kehadirannya. Keningnya terangkat, sebelum dia menepuk bahu rakannya sambil mengerling ke arahnya. Perlahan-lahan, tiga pasang mata lain turut menoleh.
Dan saat pandangannya bertaut dengan salah seorang lelaki itu, jantungnya berdetak kencang. Tempurung lutut terasa longgar, hampir buat dia hilang keseimbangan.
Lelaki itu…
Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba mengekalkan wajah setenang mungkin. Matanya sengaja dibiarkan bertembung dengan pandangan tajam lelaki tersebut. Mahu menguji sesuatu. Dua belas tahun telah berlalu, tetapi seraut wajah itu masih jelas terukir dalam memorinya. Wajah yang tidak pernah padam, tersimpan rapi dalam minda.
Persoalannya kini, adakah lelaki itu juga masih mengingati dirinya? Atau dia memang tidak pernah ada dalam memori lelaki itu?
Lelaki itu akhirnya berpaling dan kembali meneruskan aktiviti yang terhenti tadi. Dua belas tahun telah berlalu… namun hatinya tetap merasa kecewa, luka itu masih tajam menikam. Hanya dia yang masih menyimpan rasa. Sedangkan lelaki itu langsung tidak ingat siapa dirinya.
Urgh! Dia sepatutnya sudah melepaskan semua perasaan itu sejak dua belas tahun yang lalu. Tanpa sedar, matanya terus menikam lelaki itu. Auranya masih sama… penuh karisma, memukau, seolah-olah ada daya magnet yang menarik pandangan.
Tubuh sasa itu pula kian menggiurkan. Wajah tampan yang kini kelihatan lebih matang hingga terlalu sukar untuk dialihkan pandangan. Gila! Adakah dia… benar-benar jatuh cinta sekali lagi pada lelaki itu?
“Cal! You kenal tak dengan gadis tu? Dari tadi dia asyik pandang you tak berkelip.”
“Tak kenal… biarkan jela…”
Jelas tertangkap di telinganya. Dada digenggam perlahan. Dia tahu lelaki itu langsung tak ingat siapa dirinya, tapi jawapan selamba itu tetap menghiris hati. Terlalu pedih. Perlahan, tubuh dipusing, berniat mahu beredar. Malangnya…
“Aduh!”
Tubuh dirempuh kasar hingga dia hilang keseimbangan lalu jatuh terduduk di atas rumput.
“Ya Allah! Yang kau pergi berdiri tengah laluan ni kenapa hah?!” jerkah suara lelaki, kasar dan lantang.
Dia meringis, lalu mendongak dengan mata yang mula menyala menahan geram. Lelaki itu membongkok, pantas mengutip kayu-kayu golf yang bertaburan sebelum disumbat rakus ke dalam beg golf. Tingkahnya jelas sombong, seolah-olah dia tak bersalah langsung. Makin mendidih darah dibuatnya.
*Buta ke kau?! Main redah langgar orang lepas tu salahkan aku pulak?! Laluan ni luas gila, kan? Tak boleh ke lalu tempat lain?!” jeritnya kembali, suara bergetar dek marah yang sudah tak terbendung. Bingkas dia bangun, menepuk-nepuk skirt untuk menyingkirkan rumput yang melekat.
Lelaki itu akhirnya menegakkan tubuh lalu berpaling, menghadap dia. Dan ketika pandangan mereka bertaut…
“Kau!!!” hampir serentak mereka jerit. Wajah masing-masing terkejut.
“Ayaris Orked!’
“Khai Sinclair!”
Masa bagai terhenti. Pandangan mereka bertaut, dan lidah tiba-tiba kelu. Hanya seketika. Khai Sinclair mengukir senyum sinis, sempat mengerling ke arah sekumpulan lelaki tidak jauh dari situ.
“You are still the same, aren’t you, huh? Ayaris Orked? Apa jadi stalker Callum tu dah jadi kerja tetap dan berpencen kau ke?”
Ayaris mendengus, dada berombak menahan marah. Benci terhadap Khai Sinclair kembali mengakar, menusuk hingga ke hati. Namun, jauh di sudut rasa… dia tetap tersentuh. Dua belas tahun berlalu, dan Khai masih ingat siapa dirinya, masih ingat apa yang pernah berlaku. Jauh berbeza dari lelaki yang pernah dia puja setengah mati dahulu. Callum Damien!
“Please, tak payah sibuk hal peribadi aku. Kau buat saja kerja kau, mamat kedi! Jangan sampai aku lapor pada bos kau pasal apa yang kau dah buat! Kau nak hilang kerja ke?”
Khai tertawa sinis, kepala digeleng perlahan.
“Tipikal! Jenis spoil macam kau memang cuma tahu ugut orang dengan kuasa dan duit. Seronok buli orang lemah, kan? Kau tak takut kifarah?”
Ayaris genggam penumbuk, marahnya membuak-buak. Siapa sebenarnya pembuli di sini? Lelaki itu kan yang sedap-sedap melontarkan kata-kata menyakitkan.
“Kau cakap apa ni, hah?! Siapa nak buli kau? Aku tak hingin pun!”
Tawa Khai makin pecah, sinis, seolah sengaja menyiram minyak ke api.
“Khai! What took you so long?!” jeritan seorang lelaki dari arah padang mematikan tawanya.
Khai segera menoleh, menyeringai yang jelas mengejek ke arah Ayaris sebelum bersuara lantang, penuh sinis. “Hold on, guys… I just met a long-lost friend!”
Sekumpulan lelaki di tengah padang segera menoleh ke arah mereka berdua, termasuklah Callum Damien.
“Cal, bukan perempuan tu ke yang asyik pandang you tadi?”
“Eh, yalah! You kata tak kenal tadi, kan? Tapi rupanya dia kawan Khai. Betul you tak kenal ke, Cal?”
Celaka! Ayaris menyumpah dalam hati. Gara-gara mulut lancang Khai, dia kini jadi tumpuan. Lelaki itu memang sengaja mahu memalukannya di depan Callum.
Sempat mata melirik ke wajah tampan itu. Callum hanya senyum nipis. Mata sejuk itu menyorot sekilas ke wajah Ayaris, sebelum kembali pada rakan-rakannya lalu menggeleng selamba. Tiada tanda dia mengenali, apatah lagi mahu mengingatinya. Hati Ayaris bagai direnyuk. Dua belas tahun mengimpikan pertemuan ini… dan inilah yang dia dapat?
“Kau… memang jahat!” bentak Ayaris, suaranya bergetar di hujung. Mata yang sedikit berkaca menikam tajam ke arah Khai Sinclair. Bencinya pada lelaki itu, sukar digambarkan!
“Tepi!” Bahu sasa Khai dilanggar kasar. Langkah Ayaris dihayun besar-besar, seolah mahu melepaskan segala marah yang bersisa.
Khai terundur setapak. Matanya tajam mengiringi setiap langkah Ayaris yang menjauh. Senyum sinis di bibir perlahan-lahan memudar. Pandangannya tiba-tiba terhenti pada sesuatu di atas rumput. Dia tunduk, mengutip sampul bersaiz A4 yang tertinggal. Tanpa berfikir panjang, sampul itu dibuka.
“Proposal kontrak?” gumamnya perlahan, kening terangkat. Beberapa helaian kertas diteliti sepintas. “Syarikat Polaris… huh.”
“Khai! Buat apa lagi tu?! Jom teruskan game!”
Panggilan itu menyentakkan Khai Sinclair daripada lamunannya. Cepat-cepat dia menyelitkan kertas proposal ke celah lengan, lalu melangkah pantas menghampiri kumpulan lelaki yang sedang menunggu di tengah padang.
AYARIS Orked melangkah longlai masuk ke pejabatnya. Hancur luluh harapannya selepas kejadian pagi Sabtu itu. Dia sudah bersedia andai bila-bila masa sahaja abang kembarnya menghubungi untuk mengambil alih Polaris, syarikat yang dibinanya dengan titik peluh sendiri.
Ketukan halus pada daun pintu mematikan lamunannya. Adwiya, setiausahanya, menjenguk dengan wajah ceria. Ayaris menarik nafas berat. Dia tahu, Adwiya yang sentiasa positif itu pasti menyangka dia sudah berjaya mendapatkan kontrak daripada Rezha Holdings.
“Please… don’t ask, Wiya. I gagal…”
“They called us, boss!”
Ayaris tergamam. Belum sempat habiskan ayat, kata-kata Adwiya mencantasnya. Jantungnya berdentum hebat.
“Maksud you?”
“Setiausaha CEO Rezha Holdings baru telefon I tadi, bos. Dia dah atur temujanji untuk bos jumpa sendiri dengan CEO mereka.”
“What?!” Ayaris terus berdiri tegak, kaku seperti tiang lampu di tepi lebuh raya. Mata terbeliak, mulut ternganga.
“Unbelievable, right?! Bos memang power!” ujar Adwiya teruja.
“Aaahhh!!!” Spontan mereka berdua saling berpelukan, menjerit sambil melonjak-lonjak keriangan seperti kanak-kanak dapat hadiah besar.
Petang itu, tepat jam dua, Ayaris sudah terpacak di hadapan sebuah bangunan mewah mencakar langit. Beberapa saat dia terpaku, matanya terpukau menatap struktur gah itu. Bangunan milik Rezha Holdings. Tinggi, megah dan perkasa, seolah menjadi simbol betapa hebat dan berkuasanya pemilik empayar tersebut.
Ayaris menghembus nafas keras, penuh tekad dan keyakinan, sebelum langkah diorak masuk ke perut bangunan gah itu.
“Cik Ayaris Orked dari Polaris, ya? Cik boleh terus ke lif sebelah kiri, paling hujung, kemudian tekan terus ke tingkat presiden,” ujar wanita di kaunter depan dengan ramah.
Ayaris hanya mengangguk sambil mengucapkan terima kasih. Kakinya kembali melangkah ke arah yang ditunjukkan. Sebaik masuk ke dalam lif, dia segera menekan punat ke tingkat presiden. Degup jantungnya terasa seiring dengan gerakan lif yang terus naik. Berbelas, mungkin puluhan tingkat. Dia sendiri tidak pasti, hanya sabar menanti.
Saat pintu lif terbuka, pandangan Ayaris terus terpaku. Satu sosok melintas di hadapannya. Tubuh terus kaku, mata membesar. Mulut terbuka mahu memanggil, tetapi suara tersekat di kerongkong. Dia masih tidak yakin dengan penglihatannya.
Tanpa berfikir panjang, Ayaris segera melangkah keluar, niat mahu mengejar dan memastikan dengan jelas sosok itu. Namun, langkahnya tiba-tiba terhenti, terpasung! Dari salah satu bilik di ruang itu, muncul pula sosok lain yang sangat dia kenali. Kedua-duanya bertemu, lalu saling menghadiahkan senyuman mesra.
“Cal, free tak this evening? Let’s have dinner together.”
“I have to meet someone, El. Tak pasti pukul berapa akan selesai.”
Di depan mata Ayaris, wanita berpakaian ketat dan agak singkat itu memaut manja lengan jejaka tampan yang segak bersut lengkap.
“Janganlah macam ni, Cal. Dah lama kita tak keluar sama-sama. I tunggu sampai you selesai, boleh?”
Tanpa menunggu jawapan, wanita itu menarik tangan lelaki itu, membawanya melangkah ke depan.
“You know I’m super busy, El. I tak boleh janji…”
“I dah kata I sanggup tunggu you. Tadi you cakap nak jumpa someone kan? Mesti pasal kontrak tu, kan? I nak join, boleh? Lagipun I secretary you, tak salah kalau I ikut sekali. I cuma nak bantu. Boleh kan?”
Perbualan dua insan itu semakin menjauh, namun masih jelas menusuk ke pendengaran Ayaris. Jari-jemarinya kaku, buku lima digenggam erat hingga menggigil halus. Dada berombak kencang.
Apa semua ini? Bagaimana Callum Damien dan Elna Darlene boleh jadi begitu rapat, semesra itu? Apa sebenarnya yang telah berlaku sepanjang dua belas tahun ketiadaannya di kota raya ini?
Tidak! Dia mahukan penjelasan. Callum tahu betapa dalam perasaannya terhadap lelaki itu. Dan Elna… gadis itu bukan sekadar teman, tetapi sahabat yang paling dia percaya! Sahabat tempat dia sandarkan harapan, tempat dia titipkan impian untuk suatu hari memiliki Callum. Sampai hati mereka… sanggup tikam dari belakang!
Ayaris meluru laju, mengejar dua insan yang sudah menghilang di sebalik pintu sebuah bilik. Tubir matanya bergenang, hampir melimpah meskipun cuba ditahan sedaya upaya. Dadanya perit, seolah dirobek dari dalam. Hatinya remuk, dipenuhi rasa dikhianati.
Ayaris menarik nafas sedalam-dalamnya ketika berdiri di hadapan sebuah pintu bertanda ‘CEO’. Sebutir air mata yang jatuh segera dikesat perlahan. Baru sahaja tangannya mahu menyentuh tombol…
“I suggest you don’t act recklessly, Ayaris Orked!”
Tubuhnya kaku. Pantas dia menoleh.
Di dinding tidak jauh darinya, berdiri tegak satu susuk sasa yang bersandar selamba. Tangan bersilang di dada, wajah tenang tapi penuh angkuh. Ketampanan lelaki itu sukar dinafikan, namun sinis di bibirnya… ya Tuhan, cukup buat Ayaris rasa mahu campak terus ke tengah laut, biar jerung kenyang.
Share this novel