NYAH : PROLOG

Drama Series 11155

HUJAN malam itu turun seperti rahsia yang dibisikkan oleh langit. Setiap titisnya menimpa jendela bilik, menimbulkan dentingan yang seakan menertawakan kesunyian yang aku peluk setiap hari. Aku menatap siluet lelaki itu di hujung bilik. Suamiku, yang masih tersenyum mesra kepada bayangan yang hanya aku lihat di hatinya.

Aku pernah percaya cinta mampu menyembuhkan luka. Tapi, cinta yang aku simpan terlalu berat, terlalu gelap. Ia bukan sahaja gagal memberi hidup baru, malah perlahan-lahan menelan jiwaku sendiri. 'MANDUL'. Kata itu berulang di kepala, seperti bara yang tidak pernah padam. Aku tahu aku tidak mampu memberinya zuriat, tetapi aku tidak sangka kegagalan ini akan menjerut bahagia kami, menguji cinta kami dengan cara paling kejam.

Dan malam ini, aku membuat keputusan yang tak pernah aku bayangkan. Aku akan mengundang dia kembali. Bekas cinta lamanya, wanita yang pernah membakar hatinya dengan janji dan nafsu yang tidak pernah padam. Bagi sesiapa yang melihat dari luar, ia pasti kelihatan gila, bahkan hina. Tapi bagi aku, ini adalah pengorbanan tertinggi untuk menguji cinta, merelakan nafsu dan menyerahkan bahagia yang tidak mampu aku miliki.

Aku duduk di tepi katil, tangan mengepal selimut, hati berdegup antara kesedihan dan keberanian. Aku tahu langkah ini akan meninggalkan luka pada diriku, pada dia, bahkan pada lelaki yang aku cintai sepenuh jiwa. Tapi... kadang-kadang, untuk mencintai sepenuhnya, kau mesti membiarkan cinta itu membakar dirimu sendiri.

Malam itu, di bawah hujan dan bayang-bayang, aku mengucapkan doa paling sunyi.

"Biarlah aku yang merana, biarlah aku yang tersakiti, asalkan dia bahagia… walaupun bahagia itu bukan untukku."

Dan begitu, langkahku menuju takdir yang kelam dimulakan satu pengorbanan yang manis, satu nafsu yang aku halalkan dan satu kisah cinta yang bakal menghancurkan, membakar dan memikat jiwa dalam cara yang tidak pernah aku jangka.

***

HUJAN malam itu tidak sekadar turun. Ia seperti sedang meluruhkan langit, seolah-olah seluruh alam sedang berkabung bersama hatiku. Bau tanah basah menyelinap masuk melalui tingkap yang sedikit terbuka, bercampur dengan aroma lavender yang biasanya menenangkan… tetapi malam ini, ia menyesakkan.

Aku memandang Rafka dari hujung katil, lelaki itu duduk memandang dinding, jari-jarinya menelusuri bingkai foto kosong yang sepatutnya menempatkan gambar anak kami. Foto yang tidak pernah wujud. Impian yang tidak pernah menjadi nyata.

Aku melihat bayang senyumannya itu… bukan senyuman gembira, tetapi senyuman kehilangan. Senyuman yang menampar hatiku dengan realiti yang aku cuba elakkan.

"Dia masih berharap."

Dia masih berharap aku akan memberikannya zuriat. Masih berharap rahimku mampu bertahan dengan doa yang aku sudah tahu tidak lagi mampu mengubah apa-apa.

Aku tahu, kerana setiap malam ketika dia fikir aku lena dia menyentuh perutku dengan rindu yang tidak pernah dia luahkan. Rindu kepada anak yang tidak sempat wujud.

Dan malam ini, buat pertama kalinya, aku tidak mampu lagi berpura-pura tabah.

“Rafka…” suaraku serak, pecah seperti kaca yang dilempar ke lantai. Lelaki itu berpaling, wajahnya teduh seperti biasa, tetapi matanya… matanya memendam sesuatu yang sudah lama aku baca. Kebimbangan yang dia tidak mahu aku tahu.

“Kenapa menangis lagi?” Dia duduk di sisiku, ibu jarinya menyeka air yang jatuh ke pipi. Sentuhannya lembut, tetapi aku dapat rasakan ketakutannya. Dia takut kehilangan aku. Dia takut menyakiti aku dengan kebenaran yang kedua-duanya kami cuba hindari.

“Aira,” katanya perlahan, “kita masih ada satu sama lain. Anak bukan segalanya.”

Tetapi dalam senyumannya, aku nampak retak. Lelaki itu kuat, tetapi aku tahu dia letih. Terlalu letih berpura-pura bahagia untuk aku.

Aku menggenggam tangan suamiku. “Kalau satu hari nanti… ada wanita lain yang boleh berikan apa yang saya tak mampu… awak akan...”

“Aira.” Suaranya tegas, tapi renggang. “Saya tak perlukan sesiapa. Cukuplah awak.”

Aku menunduk, melepaskan tawa hambar yang tidak mampu menyembunyikan derita.
“Jangan bohongi saya, Rafka. Awak lelaki… awak ada keinginan yang saya tak boleh penuhi. Keinginan untuk menjadi seorang ayah.”

Dia ingin menafikan, tapi diamnya membunuh lebih daripada apa sahaja kata.

Dan di saat itu, nama itu datang menghentam fikiranku. Nama yang tak pernah aku sebut dalam rumah ini, tetapi tidak pernah hilang dari hati lelaki ini.
Nama yang ada dalam setiap doa lama Rafka sebelum kami berkahwin. Nama yang pernah menjadi bara dalam hidupnya.

'Hana Elfareen'.

Wanita yang pernah membuatnya tersenyum dengan cara yang tidak pernah aku dapat tiru. Wanita yang pernah dia pilih… sebelum takdir memisahkan mereka.
Wanita yang mampu memberi apa yang aku tidak mampu.

Aku mengangkat wajah, memandang hujan yang mengalir seperti tirai gelap di luar. Hatinya mungkin sudah lama mati untuk lelaki itu, tetapi seseorang seperti Hana… tidak pernah benar-benar hilang.

“Kalau saya benarkan… kalau saya halalkan… kalau saya undang dia masuk kembali…” suaraku pecah perlahan, “awak akan terima dia?”

Rafka terdiam. Lama. Terlalu lama. Hingga sunyi itu lebih kejam daripada jawapan apa pun.

Dia bertanya akhirnya, “Aira… awak nak buat apa?”

Aku menarik nafas panjang. Nafas terakhir sebelum aku melepaskan bahagian paling indah dalam hidupku.

“Saya akan jemput dia…Saya akan jadikan dia madu saya dan saya akan halalkan apa saja yang berlaku antara awak dan dia…”

Air mata Rafka jatuh dulu sebelum air mataku jatuh. Itu lebih menyakitkan daripada apa yang aku jangkakan. Lelaki itu memelukku erat.

“Aira, jangan buat macam ni pada diri sendiri…”

Tapi, pelukannya pun tidak mampu memadamkan hakikat. Bahagia yang aku tak mampu beri, akan ada dalam diri wanita lain. Dan akulah yang menghalalkannya.

Dalam pelukan itu, aku berbisik dengan hati yang retak.

“Kadang-kadang, cinta tak harus dimiliki. Ada cinta yang perlu dikorbankan supaya lelaki yang kita sayang boleh hidup… walau kita sendiri mati dalam proses itu.”

Malam itu, di antara hujan yang semakin lebat dan dada yang semakin sesak, aku sedar satu hal. Aku sedang menyerahkan suamiku kepada wanita lain. Dengan rela,
pedih dan cinta yang tidak lagi dapat menyelamatkan aku.

Itulah malam segala-galanya bermula.
Dan itulah malam aku sendiri memilih jalan yang akan menghapuskan bahagiaku… sedikit demi sedikit.

***

MALAM itu… bulan seolah-olah menjadi saksi pertama kepada gugurnya kewarasan seorang isteri. Aku memerhati siluet suamiku di ambang pintu bilik, lelaki yang telah menanggung seluruh deritanya selama tiga tahun perkahwinan kami. Rafka tampak letih, matanya sayu, namun masih tersenyum lirih ketika melihatnya duduk di hujung katil.

“Aira…” Nada suaranya serak, separuh rindu, separuh risau.

Aku tidak menjawab. Aku hanya memanggil Rafka mendekat dengan gerakan jari, lembut… tetapi penuh makna. Dalam cahaya lampu malap, wajahku kelihatan muram, seolah mengumpul sesuatu yang sudah lama berasimilasi menjadi racun dalam dadaku.

Rafka duduk di sisiku. “Awak okay?”

Aku menyentuh wajah suamiku, mengusap rahang keras itu, perlahan seperti membelai luka yang tidak kelihatan.

“Bila kali terakhir kita… benar-benar hidup, Rafka?” bisikku.

Suaraku lembut, tetapi tidak damai.

Rafka menarik nafas perlahan. “Aira, jangan mula lagi. Doktor kata...”

“Saya tak bertanya pasal doktor.” Aku memotong, jari-jariku menelusuri garis leher suamiku, menyebabkan lelaki itu membeku.

“Saya tanya… bila kali terakhir awak sentuh saya bukan kerana kasihan?”

Rafka menangkap tanganku, menggenggam seakan menghalang ia terus meruntuhkan benteng kewarasannya. “Jangan buat macam ni.”

Aku tersenyum nipis. “Kenapa? Sebab saya mandul? Sebab tubuh saya tak mampu beri awak, apa yang perempuan lain mampu bagi?”

“Aira…” Suara Rafka pecah. “Saya tak pernah...”

“Tak pernah salahkan saya? Tak pernah kecewa?” Aku mendekat, bibirku hampir menyentuh bibir suamiku.

“Tapi setiap kali saya tengok mata awak… saya nampak lelaki yang sedang mati sedikit demi sedikit.”

Rafka tidak mampu menjawab. Dia menciumku perlahan, cuba menenangkan badai dalam diri isterinya ini. Ciuman itu dalam, berat dan penuh rindu yang dipendam. Sesaat, hanya desir nafas kami yang kedengaran.

Namun, aku menolak dada suamiku tiba-tiba.

“Cukup.”

Rafka terpinga-pinga. “Apa maksud Aira, cukup?”

Aku bangun dari katil, membelakangi Rafka. Bahuku bergetar, kerana tekad yang sudah membusuk terlalu lama.

“Saya ada permintaan,” kataku dengan suara yang hampir tidak berperasaan.
“Permintaan yang… mungkin akan buat awak benci saya.”

“Tak ada apa yang boleh buat saya benci...”

“Saya mahu awak kahwin lagi.”

Rafka terasa seluruh tulangnya membeku. “Apa?”

Aku tidak berpaling. Aku terus berdiri tegak, seolah-olah bayangku sendiri sedang menghukum diriku.

“Saya nak awak kahwin dengan dia, Rafka.”

“Dia... siapa?” Suara Rafka tegang, marah yang perlahan-lahan tumbuh.

Aku akhirnya berpaling. Senyuman nipisku penuh tragedi.

“Bekas kekasih awak, Hana Elfareen.”

Hening. Rafka bangun, wajahnya berubah gelap.

“Aira… awak sedar apa awak cakap?”

Aku mengangguk.

“Saya nak beri awak apa yang saya tak mampu beri. Zuriat awak sendiri. Gelora yang awak pendam. Nafsu yang saya tak dapat puaskan kerana tubuh saya lemah.”
Aku mendekat, menatap suamiku tepat.
“Saya nak… halalkan semuanya.”

“Aira, berhenti!” Rafka meninggikan suara, memegang bahuku. “Ini gila! Awak bukan barang rosak yang perlu diganti!”

Aku ketawa. Ketawa yang kosong, bergetar dan penuh kepedihan.

“Kalau saya bukan barang rosak, kenapa setiap malam saya rasa… saya menyekat hidup awak?”

Rafka menutup mata, aku pantas menyambung, “Kahwinlah dengan dia, Rafka. Saya tahu awak pernah cintakan dia. Saya… saya boleh jadi isteri pertama yang menerima. Saya boleh reda.”

Rafka menggenggam kuat tanganku, hampir marah dan hampir menangis.
“Dan awak nak apa daripada semua ni, Aira? Awak nak saya bahagia… tapi awak sendiri hancur?”

Aku melepaskan genggaman itu perlahan.
“Saya dah hancur lama, Rafka. Saya cuma… akhirnya memilih cara untuk awak tidak hancur dengan saya.”

Rafka terpaku. Nafasnya tidak teratur.
“Aira… jangan paksa saya.”

Aku mendekat, mencium kening suamiku itu buat kali terakhir malam itu. Lembut, penuh cinta, tapi rasanya seperti ucapan selamat tinggal yang perlahan-lahan membunuh.

“Saya tak paksa awak, Rafka.” Air mataku menitis jatuh. “Saya cuma… rela.”

Dan pada malam itu, cinta kami berubah bentuk. Dari dua jiwa yang saling melindungi… menjadi dua jiwa yang perlahan-lahan saling memusnahkan.

Rafka tidak bergerak. Dia hanya berdiri di depanku seperti lelaki yang baru saja ditarik dari dasar mimpi buruk. Nafasnya tenggelam timbul, jantungnya memukul rusuk seolah-olah ingin melarikan diri daripada realiti yang aku paksa dia telan.

“Aira… saya tak sanggup.” Suara Rafka pecah, serak, seolah-olah ada belati kecil yang sedang mencincang setiap huruf yang keluar dari bibirnya.

Aku melarikan pandangan, menatap jendela yang sedikit terbuka. Angin malam menyapa perlahan, membawa masuk bau hujan yang belum turun. Baunya lembut, tapi terasa seakan-akan seluruh ruang mula tenggelam dalam kelembapan yang menyesakkan.

“Awak tak perlu sanggup,” kataku perlahan.
“Awak cuma perlu terima.”

Rafka menghampiriku, memegang wajahku dengan kedua-dua tangan.

“Kenapa awak buat macam ni? Kenapa awak sanggup seksa diri sendiri?”

Aku terkaku. Aku memejam mata, mengalirkan titis-titis air mata yang cepat diseka jari Rafka.

“Sebab saya tak tahu cara lain untuk buat awak bahagia.”

“Saya bahagia dengan awak!” Rafka menegaskan, hampir menjerit.
“Awak dengar tak? Saya bahagia dengan awak, Aira. Tak ada perempuan lain… dan tak ada perkahwinan lain yang saya mahukan.”

Aku membuka mata, memandang tepat ke dalam mata suamiku.

“Bahagia apa kalau setiap kali awak dukung anak orang lain, tangan awak menggigil?”
Suaraku pecah dalam lirih yang menyeksakan.

“Bahagia apa kalau mata awak selalu merah setiap kali saya balik daripada rawatan?”

Rafka tunduk. Kata-kata itu mencengkamnya dari dalam.

“Saya bukan tak nampak, Rafka.”
Aku menyentuh dada suamiku itu.
“Saya rasa setiap denyut kecewa awak. Awak cuba sembunyikan… tapi cinta kita tak pernah pandai berbohong.”

Rafka menggeleng, keras. “Jangan buat keputusan gila ni. Jangan seret masa lalu saya masuk dalam hidup kita semula.”

Aku menelan pahit.

“Itu bukan masa lalu untuk awak, Rafka. Itu perasaan yang tak pernah padam. Saya nampak cara awak selalu elak sebut nama dia, seolah-olah takut saya terasa. Tapi sebenarnya… awak yang terasa.”

Rafka melepaskan nafas berat. Nafas lelaki yang kalah bukan kepada isterinya, tetapi kepada cinta yang menuntut pengorbanan paling tidak masuk akal.

“Aira…” Dia mencium dahi wanita kesayangannya ini, lama seolah-olah mahu mematri sesuatu sebelum ia hilang.
“Saya tak boleh hidup kalau awak hilang.”

Aku tersenyum sambil menahan esakan kecil.

“Saya tak akan hilang, Rafka. Saya cuma… berubah tempat dalam hati awak.”

Rafka terdiam. Ayat itu menikamnya lebih dalam daripada apa pun yang pernah didengarnya.

Dari luar, guruh berdentum perlahan.
Seolah-olah langit sendiri sedang meratapi keputusan yang bakal mengubah hidup kami.

Aku memeluk pinggang Rafka dari belakang.
Pelukanku lembut tetapi terasa seperti salam perpisahan kepada cinta versi lama kami.

“Malam ni…” bisikku. “Belajarlah lepaskan saya, Rafka. Sebab esok… saya akan mula halalkan perempuan lain untuk awak.”

Dan pada detik itu, cinta kami retak bukan kerana tiada sayang, tetapi kerana terlalu banyak pengorbanan yang dipaksa menjadi rela.

Assalamualaikum dan hai semua...Novel baru dari author, kali ni UNLOCK CHAPTER pula ya... Sudi² lah singgah...tinggalkan comment tanda support. Kisah suami isteri yang si isterinya MANDUL, sekaligus rela berkorban buat kebahagian suaminya untuk memiliki zuriat sendiri. Namun, pengorbanannya... hah, nak thu...jomlah bca..???

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience