Series
11155
AKU menatap siling bilik wad yang putih… terlalu putih… sampai membuatkan mataku pedih. Atau mungkin sebenarnya yang pedih itu bukan pada mata tetapi, pada dada yang terasa seperti diramas dari dalam.
'Tiga hingga lima tahun.'
Ayat itu berpusing-pusing dalam otakku, menyentuh setiap ruang, setiap urat, setiap denyut yang masih tinggal. Aku cuba menelan tangis, tapi ia memaksa keluar, merembes di sudut mata tanpa belas.
Aku mengangkat tangan, menyeka air mata cepat-cepat sebelum Rafka kembali. Aku tidak mahu dia nampak aku begini.
Kalau dia tahu… kalau dia tahu hayatku hanya tinggal sedikit, dia takkan pernah lepaskan aku walau sejuta kali aku memaksanya menikah lagi.
Dia akan berpegang padaku sampai ke hujung nafas terakhirku.
Dan aku…
Aku tak sanggup melihat dia kehilangan aku nanti.
Lebih baik dia benci aku. Lebih baik dia marah. Lebih baik dia memilih orang lain sebelum masa aku habis.
Biar aku yang hilang… bukan dia.
Aku menarik nafas panjang, cuba menstabilkan suara dan wajah. Saat aku sedang mengesat mata, pintu bilik wad terbuka sedikit perlahan, seolah-olah seseorang takut mengganggu.
“Aira…”
Itu suara yang lembut tetapi penuh bimbang. Rafka muncul di ambang pintu dengan satu beg plastik McD di tangan kiri dan secawan besar air milo ais dalam pegangan tangan kanannya.
Dia tersenyum tipis, cuba menyembunyikan betapa letihnya dia.
“Saya beli semua jenis burger ayam, sebab awak tak cakap nak yang mana,” katanya sambil cuba berseloroh.
Aku tersenyum kecil, walaupun dada terasa seperti dihempap batu berat. “Saya… suka semuanya.”
Dia meletakkan makanan di meja sisi katil, kemudian duduk di kerusi. Pandangannya tertumpah pada wajahku… lama. Terlalu lama.
“Aira… awak nangis?”
Aku berpaling, menunduk sedikit. “Saya… terharu. Disebabkan awak sanggup jalan kaki, beli semua ni.”
Dia mengangkat kening, tidak percaya. “Aira… saya kenal awak lebih daripada awak sangka.”
Aku memaksa senyuman. “Sungguh. Saya cuma… tersentuh. Terharu sangat-sangat.”
Rafka menghela nafas dan memegang pipiku, ibu jarinya menyapu perlahan bahagian bawah mataku. Sentuhan itu membuatkan air mata aku mahu pecah sekali lagi, tetapi aku tahan.
“Nak makan sekarang?” dia bertanya lembut.
Aku mengangguk.
Dia membuka salah satu burger dan menyuapkannya kepadaku, seolah-olah aku kaca yang boleh retak bila-bila masa. “Perlahan-perlahan.”
Aku ambil gigitan kecil dan entah kenapa… rasanya seperti rasa gigitan terakhir dalam hidup.
Rafka ketawa kecil melihat cara aku menikmati burger. “Nampak macam burger tu penyembuh segala masalah.”
Aku tersenyum nipis. Kalaulah dia tahu masalah sebenar… burger pun takkan cukup.
Usai beberapa suapan, aku bersandar kembali pada bantal. Rafka mengusap rambutku, seperti ritual yang selalu dia buat bila aku sakit.
“Aira?”
“Hm?”
“Jangan buat benda gila lagi. Pasal… cadangan awak semalam.”
Jantungku seolah berhenti. Aku tak boleh jawab sekarang. Kalau aku diam lama, dia akan curiga.
“Raf… kita bincang nanti… bila saya dah sihat.”
Rafka menunduk dan mengucup dahiku perlahan.
“Saya cuma nak awak sihat. Itu saja.”
Air mata hampir menitis lagi, tapi aku tahan dengan seluruh kekuatan yang masih ada.
Kalau aku lemah sekarang, semuanya akan terbongkar.
Aku senyum. Senyuman yang mungkin paling palsu yang pernah aku berikan untuknya.
“Saya janji… saya akan sihat.”
Sihat cukup lama untuk lepaskan awak kepada bahagia lain, Raf.
Dia memeluk bahuku, menenangkan aku tanpa tahu bahawa pelukan itu membuatkan hatiku koyak sedikit demi sedikit.
“Rehatlah,” katanya perlahan. “Saya ada di sini.”
Aku memejam mata, tubuh menggigil sedikit di bawah selimut.
Dan dalam kegelapan itu, aku berdoa…
'Biarlah cinta ini menyakitkan aku seorang.
Jangan dia.'
***
SEMINGGU...Itu tempoh yang aku habiskan di hospital dengan tubuh yang semakin lemah tetapi hatiku yang menjadi semakin keras. Seminggu juga masa yang aku gunakan untuk menyembunyikan segala sakit, takut dan rawan daripada Rafka. Mujur sahaja Rafka agak sibuk dalam tempoh seminggu itu. Tidaklah aku harus berpura-pura di hadapannya sepanjang masa. Aku tidak sanggup membohongi dirinya. Aku tak kuat.
“Aira, dah siap?” suara Rafka bergema dari luar bilik wad.
Aku menarik zip beg pakaian perlahan, menutup kotak-kotak ubat yang pihak farmasi bekalkan. Terlalu banyak. Ada yang untuk tekanan darah, untuk sakit kepala, untuk mengurangkan risiko pendarahan, untuk mengawal degupan jantung, untuk mengurangkan keradangan dan beberapa lagi yang doktor pesan untuk aku ambil tepat mengikut masa.
Ubat yang melambangkan masa yang aku ada semakin singkat. Aku menarik nafas panjang sebelum membuka pintu.
Rafka berdiri di luar sambil memegang beg plastik besar dengan label farmasi hospital. Aku perasan wajahnya berubah saat dia memandang semua itu.
“Banyaknya ubat,” katanya perlahan. Nada suaranya bukan marah, bukan pelik tetapi, bimbang. Amat bimbang.
Aku tersenyum kecil, paling palsu yang aku mampu hasilkan. “Biasalah, Raf. Hospital memang suka bagi ubat macam-macam untuk elakkan komplikasi.”
Dia membelek satu plastik, dahi berkerut. “Tapi… ubat darah tinggi? Ubat anti-konvulsi? Ubat...”
“Raf.” Aku memotong lembut, memegang lengannya. “Awak jangan fikir yang bukan-bukan. Doktor cakap saya stres. Semua ni untuk stabilkan badan.”
Dia masih tidak puas hati, aku tahu. Tetapi dia menutup mulutnya sendiri, seolah-olah kata-kata terperangkap dalam kerongkongnya.
“Saya cuma takut kalau awak sembunyikan sesuatu,” katanya perlahan.
Aku tercekat. Tetapi, cepat-cepat aku mengusap pipinya. “Saya tak sembunyikan apa-apa. Saya okay.”
Dua perkataan terbesar sebuah pembohongan.
'Saya, okay...'
***
BEBERAPA hari selepas pulang dari hospital, aku kembali bertugas seperti biasa, walaupun tubuhku masih terasa seperti kaca nipis. Pagi itu, lapangan terbang sesak dengan suara pengumuman, roda bagasi dan langkah kaki penumpang.
Aku membetulkan uniform kebanggaanku. Ketua pramugari dan melangkah menuju ke bilik briefing kru.
Di koridor berhampiran pintu kaca, aku ternampak seseorang yang membuatkan aku berhenti seketika.
'Hana'.
Rambutnya diikat kemas, uniform pembantu pemandu arah menyerlahkan profesionalisma dan kecantikannya. Dia sedang berbual dengan salah seorang ketua juruterbang, ketawa kecil sebelum menyedari aku yang berdiri tidak jauh.
Pandangan kami bertembung. Hana kelihatan teragak-agak sebelum mengatur langkah ke arahku.
“Aira… kau dah sihat?” suaranya lembut, tetapi berjaga-jaga.
Aku mengangguk. “Alhamdulillah. Dah makin baik.”
Dia tersenyum kecil. “Baguslah. Aku risau hari tu…sorry tak dapat melawat kau kat hospital. Jadual kerja aku padat betul minggu tu.”
"So okay, aku faham."
Kami berjalan perlahan ke arah bilik staf. Suasana di sekitar kami sibuk dan bising, tetapi setiap langkah terasa berat. Aku tahu apa yang aku mahukan. Aku tahu apa yang aku perlu buat sebelum masa aku habis.
“Hana,” panggilku lembut, hampir berbisik.
Dia menoleh. “Ya?”
“Aku masih dengan keputusan aku hari tu.”
Dia serta-merta berhenti melangkah. “Aira… jangan mula lagi.”
“Aku bukan nak paksa kau rampas Rafka.”
“Ya, tapi tindakan kau tu tetap… salah, Aira.” Nada Hana bertukar tegang.
Aku menelan liur yang terasa seperti pasir.
“Dengar aku dulu.” Aku memegang lengannya, memohon. “Aku nak kau tolong aku. Bukan kerana aku tak sayang Rafka. Tapi, kerana aku sayang dia terlalu banyak, Hana.”
“Aira, kau tengah buat keputusan dalam keadaan tak stabil. Kau baru lepas pengsan, baru keluar hospital...”
“Aku waras, Hana,” pintasku, suara tiba-tiba pecah. “Aku tahu apa aku buat. Kau… kau kenal Rafka dulu. Kau tahu dia macam mana bila cintakan seseorang.”
Hana memejam mata seolah menahan perasaan lama yang cuba dia kuburkan. “Betul… aku pernah sayang dia. Tapi, itu dulu, Aira. Semuanya antara kami, dah tinggal sejarah.”
“Aku tahu. Tapi, kau juga tahu… dia perlukan zuriat.”
Hana membuka mata, pandangannya menikam. “Dan kau fikir aku nak lahirkan anak kepada suami orang?”
Aku tunduk. “Bukan sebab kau nak… tapi sebab aku yang minta.”
“Aira…” Nada Hana melembut, tetapi tegas. “Aku tak akan buat. Tak akan. Kau kena hentikan benda ni sebelum kau lukakan diri kau sendiri.”
Aku mengangkat wajah, memandangnya dengan senyuman paling tragis.
“Diri aku… memang dah luka, Hana.”
Dia kaku.
Aku menarik nafas dalam-dalam, menggenggam lengan bajuku untuk menahan tangan yang mulai menggeletar.
“Dengar ya, Hana… aku tak tahu berapa lama aku ada lagi. Tapi, aku nak Rafka bahagia. Lebih bahagia bila aku dah tak ada nanti.”
Pandangan Hana berubah terkejut, gentar. “Aira… apa maksud kau? Kau...”
“Tak ada apa-apa.” Aku cepat-cepat menutupnya, tidak mahu dia meneka.
“Cuma… Hana, tolonglah. Kau satu-satunya orang yang aku percaya untuk jaga dia nanti.”
Air mata Hana berkumpul di hujung mata, tetapi dia menggeleng perlahan. Keras dan sangat pasti.
“Aira, aku minta maaf. Aku tak boleh… dan aku tak akan.”
Hatinya mungkin baik. Tetapi, degilnya lebih kuat. Dan aku tahu, waktu aku semakin singkat.
***
LANGKAH aku longlai ketika aku meninggalkan Hana yang masih membebel di belakangku. Suara bising lapangan terbang, pengumuman keberangkatan, roda bagasi yang bergesel di lantai, deretan manusia yang berpusu-pusu seolah-olah bergema terlalu kuat di kepala aku. Pandanganku berbalam. Dada aku sesak.
"Bodoh… Aira, kau bodoh…"
Aku sempat berpaut pada dinding kaca berhampiran Gate C5, cuba menarik nafas perlahan. Tapi, tubuhku bergetar, dunia mula berpusing-pusing. Bunyi deruman jet di luar kaca bercampur dengan denyut sakit di pelipis yang menghentak kepalaku membuatkan aku hampir pitam.
“Aira?”
Suara itu kedengaran jauh… kemudian dekat… kemudian jauh semula.
Aku ingin berpaling, tetapi lutut aku terlebih dahulu mengkhianati. Seluruh tubuhku melurut jatuh.
Namun, aku tidak mencecah lantai.
Ada tangan kekar yang menyambar pinggangku, menahan seluruh berat tubuhku dengan satu gerakan pantas. Kukuh, hangat dan penuh tenaga seorang lelaki yang biasa memegang kawalan dalam kokpit.
“Aira! Hey...Aira, look at me. Hey…” Suara itu panik, tetapi lembut.
Kelopak mataku terkulai sebelum tersentak separa terbuka. Wajah lelaki itu… kabur… tetapi aku kenal.
'Kapten Rayyan Idris'.
Juruterbang termuda yang mendapat lesen Airbus A350 dalam usia 26 tahun dan lelaki yang sejak dulu semua pramugari tahu menyimpan rasa terhadapku, walaupun aku tak pernah melayan kembali secebis perasaan cintanya terhadapku.
Kini, wajah lelaki itu sangat dekat. Nafasnya terasa di pipiku. Hangat, cemas, seperti sedang memanggil kembali nyawaku.
“Aira, stay with me. Don’t close your eyes. Please.”
Aku separuh bersandar pada dada Rayyan, cuba bersuara. “I'm… fine…”
“Tak. You’re not okay,” Rayyan tegas menyatakannya. “You almost fainted. Your pulse is too fast. What happened? Are you sick? Are you hurt?”
Aku cuba melepaskan diri, tapi jari-jemari Rayyan mencengkam lembut bahuku, menahan setiap gerakan yang membahayakan.
“Aira, jangan paksa diri.”
Hana muncul dari hujung kaki lima, melihat adegan itu dengan mata membulat.
“Ya Allah! Aira! Kapten Rayyan. Apa jadi?”
Rayyan langsung mengangkatku ke dalam dukungannya, seperti seorang suami yang tidak sanggup lihat isterinya terluka. Aku terkedu. Aku tak pernah disentuh begini sejak sakit aku kembali menyerang.
“Let me take you to the med room,” kata Rayyan tanpa menunggu persetujuan sesiapa.
Hana mengekori di sisi, kalut. “Aira, kenapa tak beritahu aku kau tak sihat?”
Aku memejam mata rapat, menahan denyut sakit yang menikam hingga ke belakang tengkuk. “Aku okay… cuma pening sikit…”
“Sikit apa, Aira!” Hana hampir nak menangis. “Kau dah macam nak pitam masa dengan aku tadi! Tapi, pura-pura tunjuk kuat!”
Rayyan membetulkan dukungannya, menyelak rambutku dari wajahnya, pergerakan itu begitu natural, penuh perhatian. Dan itu membuat hatiku tersentak. Ada getaran yang aku sendiri tidak tahu maksudnya. Tambahan pula, pabila aku melihat ada senyuman kecil terlukis di wajah tampan itu. Sepertinya mahu menyalurkan sedikit semangat untukku terus bertahan.
Tapi, aku tak mahu ada lelaki lain risaukan aku. Aku tak mahu sesiapa tahu aku sedang menuju kematianku perlahan-lahan.
“Put me down…” bisikku, lemah.
“No,” balas Rayyan, tatapannya jatuh tepat ke wajahku. “I’m not letting you collapse again.”
Rayyan melangkah laju, ribuan mata menoleh ke arah kami tetapi, dia tak peduli. Hana di belakang kami terus-terusan menelefon seseorang, suaranya panik.
“Aku call Rafka! Dia kena tahu!”
Aku yang separuh sedar terus membuka mata, cemas. Tidak. Tidak boleh.
Rafka tak boleh tahu.
Dengan sisa tenaga yang tinggal, aku menangkap tangan baju Rayyan.
“Don’t… call… him…”
Rayyan berhenti melangkah seketika, menunduk padaku. “Aira, why? He’s your husband.”
Air mata aku bergenang, jatuh perlahan.
Sebab suamiku tak sepatutnya memikul beban hidup seorang isteri yang sedang menunggu kematiannya. Sebab suamiku hanya patut jatuh cinta pada seseorang yang akan hidup lebih lama, bukan seseorang yang mungkin... mati esoknya.
“Please…” bisikku. “Aku… tak nak dia risau…Hana, please.”
Rayyan mengetap rahang, kemudian mengangguk kecil tetapi, matanya sarat menunjukkan rasa marah, sedih dan kecewa sekali gus.
“Okay,” katanya perlahan. Walaupun jelas dia tidak setuju.
Dia meneruskan langkah menuju bilik rawatan staf. Aku bersandar pada dada Rayyan… dan untuk pertama kali, aku sedar…
Ada seseorang lain yang mungkin tidak sanggup kehilanganku.
Dan itu… menakutkan aku lebih daripada sakit yang sedang membunuhku.
Eh..eh, ada hero baru...ops..!
Share this novel