Series
11155
AKU datang lebih awal dari waktu yang dijanjikan, berdiri di tepi pintu kaca restoran yang dikelilingi pokok renek kecil dan cahaya lampu kuning yang malap. Tempat ini selalu memberi rasa tenang padaku suatu ketika dulu. Hari ini, ia menyesakkan dada.
Hana tiba dengan langkah laju, wajahnya berseri seperti biasa. Ketenangan yang hanya aku perlukan saat ini, tapi dalam masa sama, perlahan-lahan menghancurkan aku.
“Aira!” serunya sambil memelukku. Pelukan yang sudah lama aku lupa rasanya. Hangat. Ikhlas. Menyeksakan.
Aku membalas, tapi tidak sepenuh hati. Ada dinding yang aku bina sendiri sejak malam itu bersama Rafka.
“Kau… nampak letih,” ujar Hana sambil menarik aku duduk. “Masalah kerja? Atau...”
“Aku datang nak cakap tentang sesuatu,” pintasku sebelum dia sempat meneka. Suaraku serak. “Tentang aku. Tentang Rafka. Tentang… kau.”
Hana mengangkat kening. “Tentang aku?”
Aku menarik nafas yang terasa mencalar kerongkong.
“Hana… aku nak minta sesuatu. Tapi sebelum kau marah, dengar dulu. Tolong.”
Dia meletakkan cawan kopi, menumpukan sepenuh perhatian kepadaku. “Okay. Cakap.”
Aku menunduk. “Aku tak boleh mengandung, Hana.”
Dunia sunyi sesaat. Hana menyentuh jemariku, lembut. “Aira… aku minta maaf. Tapi, kau tahu Rafka sayang kau...”
“Aku tahu.” Bibirku bergetar. “Sebab tu aku nak buat benda ni sebelum dia faham apa yang lelaki selalu faham bila isteri mereka tak boleh beri zuriat.”
Hana memegang lebih kuat. “Aira, jangan cakap macam tu. Rafka bukan lelaki macam tu.”
Aku ketawa kecil. Sinis. Luka. “Hana… kau pernah cintakan dia, kan?”
Wajah Hana berubah tegang. “ Ya. Itu dulu.”
“Dan sebab itu… aku nak kau jadi isteri kedua dia.”
Waktu terasa mati. Udara tiba-tiba berhenti bergerak. Suasana restoran yang tenang tiba-tiba terasa terlalu bising.
Hana ternganga, lalu menarik tangannya dari genggamanku. “Aira… apa yang kau merepek ni?”
“Aku tak merepek.” Suaraku bergetar. “Aku fikir panjang. Kau... orang yang aku percayai. Kau... orang yang dia pernah sayang. Kalau aku harus korbankan tempat aku demi zuriat dia… aku nak dia daripada seseorang yang aku kenal. Yang aku pilih.”
“Aira, ini betul-betul gila.” Hana menunduk, berbisik kasar. “Aku takkan… aku takkan rampas suami kau!”
“Kau tak rampas,” balasku, cuba menahan segala rasa yang merobek. “Aku yang rela beri.”
“Aku tak nak!” bentaknya, lebih kuat. Beberapa pelanggan berpaling.
Aku tersentak. “Hana...”
“Aira, kau dah gila ke? Dan kau nak hancurkan hidup aku sekali? Kau ingat aku takda perasaan? Aku pernah sayangkan dia, ya! Tapi, aku tak akan jadi perampas. Tak akan!”
Kata-katanya menikam tepat ke tulang rusukku. Aku menelan perit itu. “Aku cuma… nak dia bahagia.”
“Bahagia? Dengan menghancurkan diri kau sendiri?”
Aku tidak sempat menjawab.
Tiba-tiba suara lelaki memecah ruang restoran.
“Aira?”
Aku dan Hana menoleh serentak.
Rafka berlari ke arah kami, wajahnya cemas, rahangnya tegang. Nafasnya tercungap seperti dia bergegas tanpa sempat berfikir.
“Aira, awak okay? Saya dengar Hana jerit nama awak dari luar...”
Dia berhenti apabila melihat wajahku, kemudian wajah Hana yang merah padma.
“Apa yang berlaku?”
Hana bangun, menggeleng dan seraya matanya berkaca.
“Rafka, bawa isteri kau balik. Sebelum dia buat keputusan yang… menghancurkan semua orang.”
“Apa maksud kau?” Rafka memandangku.
Aku memejam mata. Nafasku pecah berkeping-keping. Ini permulaan kehancuran yang aku pilih sendiri. Dan Rafka akhirnya akan tahu, bahawa malam pertengkaran kami itu bukan pengakhiran, tetapi permulaan dosa yang aku namakan pengorbanan.
***
RUMAH kami malam itu terasa seperti menghadiri sebuah majlis pengebumian yang terlalu suram. Sejak keluar dari restoran, Rafka langsung tidak bercakap. Dia hanya memandu, rahangnya mengeras seperti batu. Suasana dalam kereta tebal dengan kemarahan yang tertahan dan ketakutanku membuak seperti racun yang mencari jalan keluar.
Sebaik pintu rumah ditutup, bom amarahnya itu meletup.
“Apa sebenarnya awak fikir, Aira?” jerkah Rafka, suaranya memecah ruang tamu. “Awak nak saya nikah lagi? Dengan Hana? Awak sedar tak apa yang awak minta!”
Aku memeluk kedua lenganku, cuba menahan tubuh yang mulai menggigil.
“Saya cuma… saya cuma nak awak bahagia, Raf. Awak berhak...”
“Saya berhak apa?” bentaknya lagi. “Berhak dipaksa menghancurkan hati isteri saya sendiri?”
“Saya cuma nak beri sesuatu yang saya tak mampu!” suaraku pecah. “Saya mandul, Raf. Dan saya tak nak awak menyesal nanti...”
“Saya tak pernah menyesal mencintai awak,” katanya, nada suaranya dalam, parah. “Tapi malam ni… awak buat saya rasa macam cinta saya ni tak cukup.”
Kata-katanya menikam lebih dalam daripada yang dia tahu.
“Raf, tolonglah dengar,” rayuku. “Kalau saya tak boleh beri awak anak, biar orang yang awak pernah sayang dulu...”
“Jangan sambung.” Rafka mengangkat tangan, menahan amarahnya yang semakin memuncak. “Jangan sebut pasal tu lagi.”
Aku menggigit bibir, menahan air mata. “Saya tak mahu awak kecewa, Raf. Saya takut… satu hari nanti awak berubah…Awak... awak tu lelaki.”
Rafka melangkah laju ke arahku, memegang kedua bahuku.
“Saya lelaki, ya. Tapi saya bukan binatang, Aira. Saya tak akan cari perempuan lain. Tak akan!”
“Kalau suatu hari nanti awak inginkan anak?” suaraku terlepas seperti jeritan kecil.
“Saya tak perlukan anak untuk sayang awak!”
“Tapi saya perlukan seseorang untuk mengisi ruang itu… untuk awak,” jawabku perlahan, perit.
Rafka melepaskan bahuku. Wajahnya berubah antara marah, kecewa, dan luluh. “Aira… awak tak waras. Awak dah tak cintakan saya ke, Aira?”
Ayat itu menghentikan nafasku.
“Saya buat semua ni untuk awak,” bisikku, suara hampir tidak kedengaran. “Untuk masa depan awak.”
“Tak.” Rafka menggeleng, suaranya rendah dan bergetar.
“Awak buat semua ni sebab awak benci diri awak. Bukan sebab awak cintakan saya.”
Dadaku terasa seperti disiat dari dalam.
Aku cuba bersuara, tetapi dunia tiba-tiba berpusing. Pandangan menjadi kabur. Suhu tubuhku melonjak panas. Aku memegang dinding untuk stabil, tapi tangan aku longlai.
“Aira?” suara Rafka kedengaran jauh.
Aku mahu jawab, tapi mulut terasa beku.
Tiba-tiba, sesuatu hangat mengalir dari hidungku.
Rafka tersentak. “Aira! Darah… Aira, hidung awak berdarah!”
Aku cuba angkat tangan, namun tubuhku jatuh seolah-olah beratku jadi berkali ganda. Kaki ini tidak mampu lagi berpaut pada lantai.
“Aira! Hei...hei, Aira!” Rafka menyambut tubuhku sebelum aku sempat rebah terus, tetapi gelap semakin menelan pandanganku.
“Jangan buat saya macam ni… jangan!” suaranya serak, panik.
Aku sempat melihat kelibat tangannya yang bergegar. Panas tubuhku membuatkan wajahnya bertukar pucat.
“Aira, bangun! Ya Allah… Aira!”
Dan akhirnya, dunia memadam seperti lilin kehabisan sumbunya.
***
KETIKA aku separuh sedar, dingin malam menyapa wajahku. Rafka mengangkat tubuhku, memelukku erat sambil berlari ke kereta.
“Nafas awak panas sangat… Aira, bertahan. Tolong bertahan.”
Aku ingin membalas, tetapi tubuhku kaku.
Enjin kereta meraung, memecah keheningan dinihari.
“Saya takkan kehilangan awak,” bisik Rafka, suaranya pecah.
“Saya tak peduli apa gila permintaan awak. Saya cuma… saya cuma tak sanggup kalau awak hilang.”
Dan sebelum aku kembali hanyut ke dalam gelap, aku merasakan bibirnya menyentuh dahiku. Sebuah ciuman yang penuh rasa takut.
Rafka tidak marah lagi. Dia ketakutan.
Kerana aku sedang perlahan-lahan menjauh daripadanya.
***
BAU antiseptik menyambutku saat kelopak mataku perlahan-lahan terbuka. Cahaya putih dari lampu wad membuatkan pandanganku berbalam. Tubuhku terasa berat, kepala berdengung seperti baru ditarik keluar dari kegelapan yang pekat.
“Aira?”
Suara itu… lembut tetapi cemas dan aku tersenyum kecil sebelum melihat wajahnya. Rafka duduk di tepi katil, rambutnya kusut, mata merah dan masih memakai kemeja semalam. Dia jelas tidak tidur walau sesaat pun.
“Raf…” suaraku serak, namun aku cuba tersenyum. “Awak… awak nampak teruk.”
Dia ketawa nipis. Ketawa yang lebih mirip kepada keluhan lega bercampur takut.
“Baguslah awak masih boleh perli saya. Saya risau… sangat risau.”
Dia menggenggam tanganku, membawa ke bibirnya, mengucup perlahan. Ada getaran pada sentuhannya.
“Apa yang jadi?” aku bertanya perlahan.
“Awak pengsan. Hidung berdarah. Badan awak panas dengan suhu tinggi. Saya sempat ingat, yang saya akan kehilangan awak.” Suaranya kembali pecah.
Aku mengangkat tangan lemahku, menyentuh pipinya.
“Saya takkan hilang dari awak,” bisikku, walaupun di hati sendiri aku tak pasti.
Dia mengelus wajahku. “Awak nak apa-apa, tak? Doktor cakap awak boleh makan makanan ringan.”
Aku termenung seketika, kemudian tersenyum kecil. “Saya… teringin nak makan burger ayam.”
Dia tergelak, kali ini lebih ikhlas. “Burger ayam? Di hospital ni?”
“McDonald,” jawabku, sengaja berbisik manja.
Rafka menyentuh dahiku dengan jarinya, seolah-olah cuba memastikan aku benar-benar waras.
“Awak pengsan belum 12 jam, bangun-bangun terus nak McD?”
“Apa salahnya… kalau saya nak makan sesuatu yang buat saya rasa hidup?” jawabku, senyum nipis.
Renungan Rafka berubah lembut. Sangat lembut. “Baik. Apa saja awak nak. Saya belikan.”
Dia mengusap rambutku sebelum berdiri. “Kunci kereta, telefon saya dan awak kat meja tu. Kalau awak rasa pening, tekan butang bantuan. Saya tak lama, okay?”
Aku mengangguk.
Dia memberi satu ciuman di dahi sebelum berlalu keluar.
Saat pintu tertutup, kesunyian mengambil alih. Dan ketakutan kembali merayap ke seluruh tubuhku seperti bayang-bayang hitam.
Beberapa minit kemudian, pintu diketuk perlahan sebelum seorang doktor wanita masuk. Senyumnya lembut, tetapi matanya… aku dapat lihat sesuatu yang tidak menyenangkan.
"Puan Aira? Boleh kita berbual sekejap?"
Aku mengangguk, walaupun dada tiba-tiba terasa sesak tanpa sebab.
Doktor duduk di kerusi sebelah katil. Dia membuka fail.
“Ada sesuatu yang kami jumpa dalam pemeriksaan malam tadi.”
Tanganku meramas selimut tanpa sedar.
“Puan Aira… adakah puan sedar bahawa puan mempunyai sejarah pengsan dan hidung tiba-tiba berdarah sejak remaja?”
Aku tergamam. “Selalu… tapi saya fikir itu stres. Saya… saya tak pernah buat pemeriksaan mendalam.”
Doktor menarik nafas perlahan, cara seorang yang cuba memilih ayat paling lembut untuk menyampaikan berita paling berat pada pesakitnya.
“Puan Aira… keputusan imbasan menunjukkan puan mengalami arteriovenous malformation yang kronik. AVM pada bahagian otak kiri. Ia wujud sejak puan remaja dan semakin membesar.”
Dunia tiba-tiba sunyi. Nafasku seperti ditarik keluar dari dada.
“AVM… maksud doktor?”
Doktor wanita itu menatapku dengan empati yang menghiris.
“Pembuluh darah puan terbentuk tidak normal. Ada yang sudah mula bocor. Itu yang menyebabkan pening, hidung berdarah, pengsan… dan panas badan dengan suhu yang tinggi malam tadi.”
Aku kaku.
“Rawatannya… boleh dibuat?” suaraku hampir tidak kedengaran.
“Ada rawatan,” jawab doktor. “Tetapi kes puan agak serius. Dan… kami perlu jujur.”
Dia memegang tanganku.
“Jika pendarahan berlaku lagi… ia boleh menyebabkan strok. Atau… keadaan yang lebih kritikal.”
Aku menelan air liur yang terasa seperti berpasir.
“Berapa lama…lagi yang saya ada, doktor?”
Doktor terdiam seketika. Itu sudah cukup memberi jawapan sebelum dia menyebutnya.
“Tanpa pembedahan besar yang risikonya sangat tinggi, kami anggarkan puan ada sekitar… tiga hingga lima tahun.”
Segalanya berhenti. Jantungku. Nafasku. Duniaku.
"Tiga hingga lima tahun."
Aku menutup mulut dengan tangan. Tubuhku menggigil. Air mata menitis tanpa sempat dikawal.
Doktor merapat, memeluk bahuku perlahan. “Saya tahu ini berat. Kami akan bantu. Tapi puan perlu sokongan suami. Dia perlu tahu.”
Aku menggeleng laju, hampir panik.
“Jangan. Jangan beritahu dia. Tolong… jangan dulu.”
Doktor terdiam.
“Puan Aira, ini bukan sesuatu yang boleh puan tanggung seorang diri.”
“Apa yang tinggal pada saya… biarlah saya yang tentukan,” bisikku dengan suara yang pecah.
“Puan Aira...”
“Tolong, doktor.” Aku menggenggam jemarinya. “Biar saya beritahu dia… apabila saya bersedia.”
Doktor menghela nafas panjang, tetapi akhirnya mengangguk perlahan.
Dia bangun dan menuju ke pintu. “Jika puan perlukan apa-apa, tekan loceng. Saya bagi masa… tapi jangan terlalu lama.”
Sebaik pintu tertutup, aku rebah semula ke bantal.
'Tiga hingga lima tahun.'
Aku ketawa kecil, ketawa yang lebih mirip seperti tangisan luluh dan kecewa.
Di luar sana, Rafka mungkin sedang beratur membeli burger ayam untuk memenuhi permintaan manja aku. Mujur restoran makanan segera itu tidak jauh dari bangunan hospital ini. Hanya di seberang jalan.
Aku menggenggam selimut kuat-kuat. Dia tidak tahu bahawa permintaan kecil itu mungkin antara kenangan terakhir yang dia akan simpan tentangku.
Mungkin...
Atau dia akan segera melupakan jika dia bersama Hana nanti. Aku tidak boleh berlengah-lengah lagi.
'Hana, aku.. aku akan pujuk kau, sampai kau sendiri setuju untuk bernikah dengan Rafka suatu hari nanti!' bisikku perlahan dalam hati.
Aku sudah nekad. Rafka perlukan kebahagian. Dia seharusnya mengecap bahagia dengan kehadiran zuriatnya sendiri bagi meneruskan warisan keturunannya. Aku tidak boleh pentingkan diri.
Air mataku mengalir bagai empangan pecah. Mungkin ini balasan yang terpaksa aku tanggung. Aku menganggu kebahagiannya dahulu bersama Hana Elfareen, wanita pertama yang mengetuk pintu hati lelakinya.
Aku mahu memulangkan semula cintanya. Mungkin sejak dahulu lagi, aku tidak seharusnya hadir dalam hidupnya. Kehadiranku hanyalah satu kesilapan yang tidak akan mungkin aku memaafkan diri ini jika aku tidak bertindak untuk menyatukan semula cinta Rafka yang terputus di pertengahan jalan itu.
"Maafkan saya, Raf...saya janji akan pulangkan semula cinta awak pada Hana. Saya, janji!"
Aduh...siapa potong bawang tu...?
Share this novel