NYAH : BAB 1 (RELAKU MENJADI LUKA TERINDAH)

Drama Series 11155

PAGI itu hadir tanpa cahaya. Langit mendung, seolah-olah turut memikul dosa yang aku tanggung seorang diri.

Aku duduk di meja makan, memegang cawan kopi yang sudah lama sejuk. Bau pahit itu naik perlahan, menusuk hidung, tetapi aku tak merasa apa-apa. Sejak malam tadi, seluruh deria aku seperti hilang arah seperti tubuh ini masih berdiri, tetapi jiwa aku tertinggal di dalam dakapan Rafka yang aku lepaskan dengan sendiri.

Sudah tiga jam aku terjaga. Sudah tiga jam juga aku cuba meyakinkan diri bahawa keputusan aku bukan satu bentuk penghinaan terhadap perkahwinan kami.

Namun, setiap kali aku cuba menelan kenyataan itu… ia tersangkut di kerongkong seperti duri yang tak mahu tercabut.

Bunyi pintu bilik dibuka perlahan membuatkan aku berpaling. Rafka muncul dengan rambut sedikit kusut, wajahnya jelas tidak tidur malam tadi. Matanya… merah. Sama seperti mataku.

“Awak tak tidur lagi?” suaranya rendah, serak.

Aku tersenyum nipis. “Saya… cuba.”

Rafka duduk bertentangan denganku, kedua-dua tangannya bertaut seakan memaksa dirinya kekal waras. Hening menjarakkan kami. Walaupun jarak meja hanya satu hasta, ia terasa sejauh dunia.

“Aira…” Nada suaranya perlahan, seolah memijak lantai kaca yang mudah pecah.
“Kita boleh bincang lagi. Kita tak perlu terburu-buru buat keputusan.”

Aku tunduk memandang jari-jemariku.
Jari yang dulu dicium Rafka setiap pagi. Jari yang menggigil ketika memintanya mengahwini perempuan lain.

“Ini bukan keputusan terburu-buru, Rafka.”
Aku mengangkat wajah. “Ini keputusan yang saya fikirkan setiap kali rawatan yang saya jalani gagal. Setiap kali doktor beritahu peluang saya semakin tipis. Setiap kali… saya nampak kecewa dalam mata awak walaupun awak tak mengaku.”

Rafka mengetap rahang. “Itu bukan alasan untuk saya nikah lagi. Itu bukan cara untuk selesaikan apa-apa.”

Aku tersenyum pahit. “Kalau saya mati nanti?”

Wajah Rafka langsung berubah pucat.
“Aira, jangan cakap macam tu.”

“Tapi itu kemungkinan yang selalu menghantui saya, Rafka.” Suara aku bergetar, tapi aku teruskan juga. “Kalau saya mati… awak akan tinggal seorang. Awak akan hilang semuanya. Sekurang-kurangnya kalau awak ada dia… ada seseorang yang boleh terus jaga awak.”

Rafka memandangku lama. Sangat lama.
Sampai aku terasa seolah dia sedang mencari sisa kewarasan aku di dalam renungannya.

“Awak tak tahu betapa sakitnya saya dengar awak cakap macam ni,” katanya perlahan.

Aku senyum lagi. Senyum yang cuba aku bentuk supaya nampak tabah, tapi hakikatnya… ia lebih mirip wajah yang sedang pecah retak seribu.

“Saya lebih sakit setiap kali saya tengok awak pura-pura bahagia.”

Rafka bangun tiba-tiba, menolak kerusi sampai bergeser kasar di lantai.
“Aira, cukup! Saya tak pernah pura-pura!”

Aku terdiam. Dia jarang meninggikan suara. Itu sudah cukup untuk aku tahu dia berada di hujung batas emosi.

Namun, aku juga sudah lama berada di penghujung batas hidup.

“Aira…” Nada Rafka kembali perlahan.
Dia menghampiri, berlutut di sebelahku.
“Kita boleh ambil angkat anak. Kita boleh buat rawatan di luar negara. Apa saja. Asalkan bukan perkara yang… akan rosakkan kita.”

Aku mengusap rambutnya. “Rafka, kadang-kadang cinta bukan soal apa kita nak simpan…” Aku menahan sebak. “Tapi apa yang kita sanggup lepaskan.”

Dia memejam mata. Dan di situ, di sisi suami yang aku cintai separuh mati… aku sedar bahawa cinta aku mungkin bukan lagi penyembuh. Ia sudah berubah menjadi luka yang mengajar aku satu perkara.

Untuk memeluk bahagia orang yang kita sayang… kadang-kadang kita perlu membunuh diri kita sedikit demi sedikit.

***

SELEPAS sarapan yang hambar itu, aku mundar-mandir di ruang tamu tanpa arah. Rumah ini terlalu sunyi. Terlalu suci untuk menanggung kekotoran rasa yang aku pendam.

Setiap perabot, setiap sudut ruang rumah ini semuanya menyimpan kenangan cinta kami yang bersih. Dan aku… sedang bersedia untuk mengotorkannya dengan keputusan paling gila dalam hidup aku.

“Awak nak pergi kerja?” aku bertanya ketika mendengar Rafka mengambil kunci kereta di meja konsol.

Dia berpaling. Renungan itu… masih sama seperti semalam.

Penuh luka. Penuh ketakutan untuk merasakan sebuah kehilangan. Penuh amarah yang disembunyikan.

“Saya cuti hari ni,” katanya.

Aku mengangguk, walaupun aku tahu Rafka jarang mengambil cuti. Dia cuma tak sanggup tinggalkan aku sendirian dalam keadaan emosi begini. Sebahagian daripadanya aku rasa tersentuh… Sebahagian lagi, jiwaku rasa terseksa.

“Awak tak perlu risau,” aku cuba berdiri teguh.

“Saya takkan buat perkara bodoh.”

Bibir Rafka mengendur sedikit. “Saya tahu. Saya cuma… tak nak awak fikir benda bukan-bukan.”

Aku diam. Bagaimana aku nak beritahu dia bahawa aku memang sedang fikir benda yang bukan-bukan?

Aku berjalan ke arah sofa dan duduk. Tubuh terasa letih walaupun aku baru bangun beberapa jam lalu. Letih bukan kerana tubuh… tapi kerana keputusan yang membebankan.

“Aira,” Rafka menghampiri, duduk di sebelahku.

“Hari ni… kita jangan cakap pasal benda tu dulu.”

“Benda tu?” aku menyoal lembut.
“Maksud awak… perempuan yang saya nak jadikan madu saya sendiri?”

Rafka memejam mata. “Aira, please…”

Aku menarik nafas perlahan, memandang jari-jemariku.

“Nama dia… masih awak ingat?”

“Kenapa tanya?” suaranya keras sedikit.

“Sebab… kalau awak dah lupa, saya tak perlu paksa diri saya untuk buat semua ni.”

Rafka tunduk. Diamnya adalah jawapan yang paling pedih.

Aku senyum nipis.

“Berapa lama awak cuba lupakan dia?”

Dia memandang aku dengan mata yang letih. “Tiga tahun. Dari hari saya pilih awak. Dari hari saya anggap masa lalu tu dah mati.”

Aku mengangguk.

“Tapi dia tak mati untuk awak. Dia cuma… tidur.”

Rafka menggeleng perlahan. “Aira, jangan buat andaian.”

“Saya isteri awak, Rafka.” Aku memandangnya tepat.

“Saya rasa setiap denyut hati awak. Dan saya tahu… kalau dia muncul semula hari ni… hati awak akan goyah, kan?”

Rafka membuka mulut untuk membantah, tetapi aku terlebih dahulu menyentuh bibirnya dengan jariku.

“Tak apa,” aku bisik. “Saya rela. Sebab dia boleh bagi awak apa yang saya tak mampu.”

Dia menggenggam pergelangan tanganku.

“Awak mampu beri saya cinta, Aira. Itu lebih dari cukup.”

Aku tunduk. “Cinta… tak boleh lahirkan anak, Rafka.”

Hening itu jatuh seperti batu besar yang menghancurkan kami berdua.

Tekak aku tiba-tiba berasa mual, tetapi aku cuba sembunyikan. Aku semakin kerap rasa begini sejak rawatan hormon terakhir.

“Awak okey?” Rafka memandang aku cepat, cemas.

Aku mengangguk, berbohong dengan tenang.

“Saya cuma penat.”

Aku bangun perlahan, melangkah menuju dapur untuk mengambil air. Namun, langkah aku terhenti ketika aku terlihat sesuatu di rak kecil. Fail perubatan aku. Yang Rafka simpan setiap malam. Yang aku tahu selalu dia buka diam-diam ketika aku tidur.

Dari belakang, aku mendengar suaranya perlahan, sangat perlahan.

“Aira… kalau awak suruh saya kahwin lagi, bermakna awak dah putus asa pada cinta kita.”

Aku berpaling.

“Tidak, Rafka.” Air mata mengalir tanpa sempat aku tahan.

“Saya bukan putus asa pada cinta kita.
Saya cuma… putus asa pada diri saya sendiri.”

Dan di situ, aku benar-benar sedar.
Cinta yang paling kuat… kadang-kadang adalah cinta yang paling menghancurkan.

***

SELEPAS beberapa minit berdiri kaku di dapur, aku kembali ke sofa kerana lutut aku terasa longgar. Rafka masih duduk di tempat yang sama, tetapi renungannya semakin berat, semakin kelam, seperti lelaki yang sedang menunggu hukuman mati jatuh ke atasnya.

Atau mungkin…
Dia sedang tunggu aku menarik balik kata-kataku.

Tapi aku tak boleh. Kalau aku tarik balik, aku akan mengorbankan dia sekali lagi.

“Aira,” Rafka memanggil, suaranya serak, lebih serak daripada tadi.

“Kalau awak teruskan benda ni… saya takut saya hilang awak.”

Aku memeluk tubuhku sendiri. “Awak tak akan hilang saya. Saya cuma… bagi awak ruang untuk hidup sepenuhnya.”

“Tapi ruang tu dengan perempuan lain.”
Nada Rafka keras, tetapi mata dia…sudah berkaca dengan linangan air mata yang hampir pecah.

Aku tunduk, memegang perut aku yang berdenyut sedikit. Rasa tegang muncul tiba-tiba. Rawatan terakhir memang menyebabkan tubuh aku semakin tak stabil, tetapi aku tak mahu dia perasan. Biar tubuh aku rebah untuk keputusan yang aku buat. Itu lebih adil daripada melihat air mata Rafka tumpah setiap malam.

“Rafka,” aku tarik nafas, “saya nak tanya sesuatu.”

Dia mendekat sedikit. “Tanya lah.”

“Kalau saya… hilang dari hidup awak suatu hari nanti…” Suara aku bergetar hebat.
“Siapa yang awak harap akan ada untuk jaga awak?”

Rafka segera memegang tangan aku, menggenggamnya sedikit kuat.

“Aira! Jangan cakap macam tu. Saya tak izinkan.”

“Jawab.” Kali ini aku bersuara agak tegas.
Bukan kerana aku mahu dia menyebut nama perempuan itu, tetapi… aku mahu dengar apa yang ada dalam hati dia sebelum aku serahkan hidup aku sendiri untuk kebahagiaan dia.

Rafka tunduk. Nafasnya pendek, tak teratur.

“Saya… tak tahu.”

“Rafka.”

Dia pejam mata, lama. Dan akhirnya…

“Saya… pernah fikir kalau saya tak kahwin dengan awak dulu… mungkin saya akan kahwin dengan dia.”

Satu keluhan yang sarat luka keluar dari dadaku, tetapi aku memaksa diri senyum.

“Terima kasih… sebab jujur.”

“Aira, saya tak maksudkan saya nak dia balik. Itu masa lalu. Dah habis. Dah tamat, Aira!”

“Tapi rasa tu… belum habis, kan?” Suara aku perlahan. Letih. Tapi tak menyalahkan.

Dia tak jawab. Tapi, diamnya sudah cukup.

Aku bangun perlahan, menuju rak tempat aku menyimpan telefon. Rafka mengekori dengan pandangan, gelisah seperti lelaki yang sedang menyaksikan isterinya berjalan ke arah pintu gelap yang tidak boleh dibuka semula.

“Aira… apa awak nak buat?”

Aku menekan skrin telefon. Tangan aku menggigil sedikit, tapi aku kuatkan diri.

“Saya nak mesej dia.”

Wajah Rafka kekal pucat. Terkejut. Takut.
Dan… marah.

“Aira! Tak. Kita belum habis bincang.”

“Kita takkan pernah habis bincang, Rafka.”
Aku memandangnya.

“Lebih lama kita bercakap, lebih banyak yang kita saling melukakan. Tapi keputusan saya… tetap sama.”

Dia bangun dan tarik telefon dari tangan aku.

“Jangan buat. Tolong.”

Aku memandangnya, air mata perlahan mengalir.

“Kalau awak betul-betul cintakan saya… benarkan saya pilih cara untuk selamatkan awak.”

“Saya tak perlu diselamatkan!” Dia hampir menjerit.

Aku tersenyum… senyum paling pahit dalam hidup aku.

“Semua orang yang sedang tenggelam akan kata macam tu, Rafka.”

Dan perlahan-lahan, aku mengambil semula telefon dari tangannya. Dia tak lagi halang.
Mungkin dia letih. Mungkin dia redha.
Atau mungkin… dia akhirnya sedar bahawa cinta tak selamanya boleh melawan takdir.

Aku membuka aplikasi mesej. Jantung aku mengetuk rusuk seolah-olah cuba keluar.

Nama itu tertera di senarai lama.
Nama yang sudah bertahun aku tahu wujud dalam hidup Rafka…Nama perempuan yang pernah menjadi degup nadi lelaki itu.

'Hana Elfareen'.

Aku taip satu ayat pendek. Tangan aku menggigil. Tapi, aku tekan juga butang send.

> Aira di sini. Boleh kita jumpa? Ia tentang Rafka.

Dan pada saat mesej itu dihantar, aku sedar… Aku baru membuka pintu paling gelap dalam rumah tangga kami. Sebuah pintu yang takkan tertutup semula, walau aku menangis air mata darah sekalipun.

***

SELEPAS mesej itu dihantar, duniaku menjadi terlalu sunyi.

Telefon di tangan aku hampir terlepas kerana betapa kuatnya jantung aku berdegup. Nafas aku jadi pendek, seolah-olah paru-paru menolak untuk menerima keputusan gila yang aku buat. Aneh… selama ini aku fikir air mataku sudah kering. Rupanya masih ada baki luka yang belum sempat menitis.

Rafka berdiri beberapa langkah dari aku, memandang dengan wajah yang hampir kosong.

“Aira… apa sebenarnya yang awak nak capai?” Suaranya perlahan, hampir berbisik.

Aku tunduk, menggenggam telefon di dada.

“Saya nak awak bahagia, Rafka. Itu saja.”

“Dengan menyeret masa lalu saya masuk dalam rumah ni?” Nada dia serak, rendah, tetapi getirnya jelas.

“Saya tak menyeret,” aku jawab perlahan.
“Saya cuma… buka pintu yang awak tutup separuh.”

Rafka menggeleng, memijak lantai seperti lelaki yang tak tahu mahu marah, mahu menangis atau mahu menjerit pada langit.

“Awak tak patut mesej dia tanpa tanya saya dulu,” katanya, suara sudah mula bergetar.

“Saya takut kalau saya tanya, awak akan cakap tidak,” aku akui.

“Memang saya akan cakap tidak!”

Aku pejam mata. Kata-kata itu menikam lebih dalam daripada yang aku sangka.

Dalam diam, telefon aku berbunyi.
Satu getaran pendek, satu notifikasi kecil… tapi cukup membuat seluruh tubuh aku kaku.

Aku buka. Dan di skrin, nama itu muncul.

> Hana: Kita boleh jumpa. Bila?

Perut aku seolah jatuh ke lantai. Darah aku berasa beku dalam salurannya.

Rafka menghampiri, merampas telefon perlahan-lahan dari tangan aku.
Dia membaca mesej itu. Aku dapat lihat bahunya melorot perlahan, seolah-olah dunia menarik segala tenaga yang tinggal dalam dirinya.

“Aira…”

Aku angkat wajah, memandang dia dengan mata yang kabur.

“Saya sedar. Saya sedar sejak pertama kali doktor kata peluang saya cuma ada 1%.”
Suara aku pecah di hujung ayat. Air mata aku jatuh juga akhirnya.

Aku tarik telefon semula. Jari aku menaip balasan, walaupun tangan aku menggigil.

> Aira: Besok. Kita jumpa besok.

Kuatnya kau Aira...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience