2

Thriller Series 374

AKU masih duduk di meja dengan buku nota di tangan. Lampu tidur malap memantulkan bayang-bayang nipis di dinding.

Kipas berputar laju menjadi satu-satunya bunyi yang cuba menutup rasa bising di kepala aku, waktu itu aku dengar langkah kaki yang perlahan di lorong, tidak tergesa-gesa.

Aku cuba tunduk pura-pura menulis lagi tapi jari aku mula kaku bila dia berhenti di sisi meja, aku tidak berani mendongak dan kemudian dia bersuara…

“Oh, Lara Areyna nama awak… cantik betul nama tu, sesuai dengan muka.”

Nama aku keluar dari mulutnya membuatkan dada aku terasa ketat bukan kerana pujian itu ikhlas tetapi kerana cara dia menyebutnya, memanjangkan suku kata seolah-olah dia sedang merasai setiap huruf di hujung lidah.

Aku tidak menjawab hanya memegang pen lebih kuat dan cuba menyembunyikan muka di sebalik helaian buku tetapi dia menunduk sedikit, cukup hampir untuk aku rasa panas nafasnya di telinga.

“Kalau saya minta awak baca apa yang awak tulis tu… awak sanggup ke baca untuk saya seorang?” soalnya di telingaku.

Aku terus menutup buku dan menolaknya ke dalam laci. Tangan aku menggigil ketika memusing kunci, aku dengar dia ketawa sebelum dia menyambung kata dalam nada lebih rendah.

“Awak tahu tak, Lara… saya suka tengok muka awak bila awak begini. Buat saya rasa lagi nak dekat.”

Roy. Itulah kakak senior yang aku takuti dan cuba elak daripada bertembung. Kakak berambut pendek tak bertudung ketika di kelas dan apa yang aku tahu, anak 'somebody'.

Selepas dia beredar, aku masih duduk kaku di meja, rasa seperti udara di dorm menjadi lebih berat dan dinding yang mengelilingi aku semakin rapat.

Untuk pertama kali sejak aku menulis buku nota itu, aku terfikir sama ada menyimpannya akan melindungi aku atau akan menjadi alasan Roy untuk terus memburu aku.

Roy sudah berdiri di sisi, satu tangannya memegang belakang kerusi aku dan satu lagi diletakkan di atas meja, tubuhnya condong cukup untuk membuat aku rasa nafasnya di leher.

Aku cuba menyandar sedikit ke depan tetapi dia menghalang dengan lututnya di sisi bangku, ruang gerak aku semakin sempit.

“Boleh saya tengok buku tu kejap?” soalnya sambil mengangkat sedikit dagu. Anak matanya jatuh pada buku nota yang aku tadi simpan dalam laci terkunci.

Dia tahu, aku takkan bagi dan aku tahu dia hanya mahu lihat reaksi aku. Aku menggeleng tapi dia hanya tersenyum, senyuman nipis yang tidak sampai ke mata.

Ketika itu pintu dorm terbuka dan warden lalu di lorong sambil memanggil dua pelajar lain yang belum masuk tidur. Aku fikir Roy akan menjauh tetapi dia hanya melurut perlahan hujung jarinya, di belakang bahu aku seperti membetulkan lipatan baju.

Pergerakan yang kelihatan biasa pada pandangan luar tetapi cukup untuk buat aku rasa darah di wajah aku panas. Dia ketawa kecil, nada suaranya berubah manja yang dibuat-buat.

“Relaks, Lara Areyna… saya cuma pastikan awak selesa,” katanya, sambil membetulkan kedudukan kolar baju aku dengan jarinya yang sedikit menekan kulit leher.

Aku kaku, warden sudah berpaling ke arah lain dan Roy mengambil kesempatan itu untuk bersandar rapat ke tepi kerusi.

Lengannya menyentuh belakang aku sebelum dia berundur beberapa inci seolah tiada apa yang berlaku.

Dia berjalan ke katilnya dengan langkah lebar dan bahu tegak, seperti pemain yang tahu dia baru sahaja menang satu pusingan dalam permainan yang hanya dia tentukan peraturan.

Meninggalkan aku terperangkap di kerusi dengan rasa tangan yang tadi di bahu masih membakar kulit walaupun dia sudah jauh.

***

langsir katil aku tarik rapat-rapat sehingga tiada cahaya malap dari hujung dorm boleh masuk, bantal aku letak rapat ke dinding supaya aku dapat berpaling menghadapnya dan mengelak pandangan ke arah lorong kecil di luar.

Suara perlahan dan tawa kecil dari pelajar lain mula hilang satu demi satu, diganti bunyi kipas siling dan dengkur halus dari beberapa katil.

Aku hampir terlena ketika terasa langsir katil aku bergerak sedikit, seperti disentuh dari luar bukan ditarik kuat tetapi cukup untuk aku tahu itu bukan pergerakan angin.

Aku tahan nafas, cuba meyakinkan diri itu mungkin tangan pelajar lain yang tersalah langkah tapi kemudian aku dengar bunyi nafas perlahan yang sangat dekat, cukup untuk aku tahu siapa pemiliknya.

“Awak dah tidur, Lara?” bisiknya. Nada suara itu seperti dia bercakap di telinga aku walaupun langsir masih menjadi pemisah.

Aku tidak menjawab, hanya memejam mata lebih rapat sambil jari mencengkam cadar. Dia ketawa bunyinya rendah dan santai, kemudian hujung jarinya menolak sedikit langsir dan cahaya malap dari lampu di hujung lorong masuk menyimbah sebahagian kaki aku.

Dia tidak masuk tetapi aku dapat rasa tubuhnya condong rapat ke bukaan kecil itu, memerhati aku dalam diam.

“Apa salahnya kalau saya duduk sini kejap, tak ada orang nampak pun,” katanya sambil jarinya menyentuh hujung kaki aku yang terdedah di hujung selimut, sentuhan yang sengaja dilambatkan seperti mahu menguji sejauh mana aku akan bertahan.

Aku tarik kaki pantas dan melilitkan selimut hingga ke dagu, berharap dia akan bosan dan beredar tetapi dia hanya menghembus nafas perlahan, seakan kecewa tetapi tidak putus asa.

Aku dengar dia mengubah posisi, mungkin duduk di lantai sambil bersandar pada tepi katil aku kerana selepas itu, nafasnya semakin jelas dan bunyi jarinya mengetuk perlahan bingkai besi katil membuatkan aku tidak mampu tidur.

Beberapa minit kemudian, bunyi langkah warden di luar koridor kedengaran dan aku fikir Roy akan pergi tapi dia masih di situ, hanya menyandar lebih santai.

“Jangan risau, kalau ada orang tanya… saya cakap saya teman awak sebab awak takut tidur sorang.”

Dia akhirnya beredar hanya selepas warden berjalan jauh, meninggalkan aku dengan dada berombak dan satu kesedaran baru. Walaupun dorm penuh, aku masih tidak selamat.

***

Aku cuba tahan dari tadi tapi rasa hendak kencing makin mendesak. Jam di dinding menunjukkan hampir tengah malam.

Bunyi kipas dan dengkur di dorm bercampur dengan rasa berat di kepala membuatkan aku bangun perlahan-lahan, mengelak bunyi pada lantai kayu supaya tidak kejutkan sesiapa.

Aku menyarung selipar dan keluar ke koridor, udara malam yang dingin menyapa wajah.

Bilik air luar dorm gelap di bahagian hujung, hanya satu lampu kalimantang berkelip di siling.

Bau sabun mandi dan klorin tipis masih melekat di udara. Aku baru hendak melangkah masuk ke tandas ketika satu suara memanggil dari belakang.

“Eh, tolong basuhkan baju aku sekali boleh? Nanti aku tinggal kat sini,” suara itu datang dari Kak Mira, senior dari dorm lain.

Dia menghulur sehelai t-shirt sukan basah yang berbau peluh. Aku hanya mengangguk perlahan, terlalu letih untuk membantah.

Dia berlalu sambil memandang aku sekilas, seakan mengukur sesuatu.

Aku masuk ke bilik air, membuka paip kecil di sudut untuk membasuh baju itu sebelum masuk tandas.

Krek…

Bunyi pintu kayu berkeriut tiba-tiba membuat aku menoleh.

Roy berdiri di situ, wajahnya separuh tenggelam dalam bayang. Dia masuk tanpa berkata apa dan sebelum aku sempat bertanya, bunyi ‘klik’ kunci pintu memecahkan sunyi.

“Orang lain takkan masuk,” katanya sambil meletakkan tangannya di tombol, memastikan ia benar-benar terkunci.

Aku berdiri kaku dengan tangan masih memegang baju Kak Mira. Roy melangkah perlahan menghampiri.

Bahunya lebar, posturnya seperti mahu menutup laluan keluar. Dia menunduk sedikit, matanya tak lepas dari wajah aku.

“Awak selalu elak saya, Lara tapi malam ni awak tak boleh lari,” suaranya rendah tetapi setiap perkataan terasa berat, seperti beban di dada aku.

Dia mengambil baju dari tangan aku, menggantungnya di tepi dinding lalu jarinya menyentuh pergelangan tangan aku.

Sebuah sentuhan yang bermula perlahan sebelum genggamannya semakin ketat.

Aku cuba berundur, punggung aku terkena dinding sejuk. Dia memandang aku lama, senyumannya tipis tetapi matanya gelap dan tangannya mula bergerak ke lengan aku, menelusuri perlahan seakan menuntut hak yang tidak pernah aku beri.

Share this novel

fiyfakhry
2025-08-11 16:51:38 

Waw berdebar


NovelPlus Premium

The best ads free experience