MALAM pertama di asrama aku fikir, aku boleh biasakan diri dengan bunyi bising yang tak pernah berhenti. Bunyi kipas berputar laju. Bunyi pintu besi dorm dibuka dan ditutup. Bunyi tapak kaki di koridor panjang tapi aku tak sangka bunyi paling aku takut adalah bunyi nafas seseorang yang berdiri terlalu dekat di belakang aku tanpa menyentuh, cukup dekat untuk rasa panasnya sampai ke tengkuk. Cukup lama untuk buat aku rasa seluruh badan mengeras walaupun aku sedang mengemas loker.
Dia senior, duduk di dorm sebelah. Semua orang hormat dia sebab pandai bercakap dengan warden. Aktif dalam sukan. Pandai ambil hati cikgu tapi dari malam pertama, aku tahu ada sesuatu yang lain pada cara dia pandang aku, bukan pandangan seorang kakak senior yang nak tunjuk ajar tapi pandangan yang terlalu lama, terlalu berani seperti dia sedang membaca setiap inci kulit aku dan simpan sesuatu dalam fikirannya.
Malam itu waktu semua orang turun ke dewan makan untuk minum malam, dia tunggu di hujung koridor. Berdiri sambil bersandar pada dinding. Lampu kalimantang di atas kepalanya berkelip-kelip, bayang wajahnya bergerak-gerak di lantai, aku cuba lalu tanpa menoleh tapi dia panggil nama aku. Suaranya rendah tapi jelas, macam bisikan yang menembusi segala bunyi lain.
Aku tak berhenti tapi aku rasa tapak kaki aku berat dan masa aku tiba di tangga, aku tahu dia masih memerhati.
Hari-hari selepas itu aku mula sedar dia selalu ada di mana-mana.
Kadang waktu aku basuh baju di bilik basuhan dia muncul di pintu dengan senyumannya. Waktu aku turun awal ke surau dia duduk di saf belakang memandang tanpa berkedip. Ada ketikanya, waktu aku lipat kain di dorm dia lalu di lorong dan berhenti sekejap seperti sengaja perlahan untuk lihat apa yang aku buat.
Setiap kali aku cuba yakinkan diri mungkin aku terlalu fikir tapi rasa dingin di belakang leher tak pernah hilang.
Suatu malam selepas prep, aku balik ke dorm lewat sedikit sebab tolong cikgu salin nota di bilik guru. Semua orang sudah masuk ke katil masing-masing.
Lampu besar dorm dah ditutup, hanya tinggal lampu tidur malap di hujung. Aku cuba jalan senyap supaya tak ganggu yang lain tapi masa aku sampai di katil, aku rasa ada seseorang berdiri di hujung lorong kecil antara katil aku dan tingkap.
Susuk badannya tinggi, dia tak bergerak hanya berdiri dan aku tahu itu dia walaupun cahaya terlalu malap untuk nampak jelas, aku terus tarik langsir katil aku rapat-rapat dan baring sambil pura-pura tidur tapi jantung aku berdegup laju sampai aku rasa tilam bergetar.
Gangguan itu mula jadi lebih berani di hari-hari berikut.
Pada satu malam di bilik mandi, aku sedang cuci muka dan tinggal hanya dua orang lagi di hujung, tiba-tiba aku rasa ada tangan menyentuh bahu aku dari belakang, cukup kuat untuk buat aku tersentak. Aku pusing cepat tapi dia hanya tersenyum, katanya dia cuma nak tengok sabun aku sebab bau wangi.
Aku tak menjawab, hanya letak semula sabun itu di tepi sinki tapi masa aku melangkah keluar, dia tepuk punggung aku sambil ketawa dan jalan pergi seolah-olah itu perkara biasa.
Kawan-kawan dorm mula menjauh, ada yang kata aku manja. Ada yang kata aku suka cari perhatian senior. Aku cuba terangkan tapi mereka hanya ketawa atau diam dan aku mula faham di asrama, semua orang tahu perkara yang berlaku tapi tak semua sanggup campur tangan, sebab di sini hubungan kuasa bukan sekadar cikgu dan pelajar tapi siapa yang berani melawan dan siapa yang tahu rahsia siapa.
Malam itu, aku duduk di meja belajar kecil di bawah lampu tidur. Aku tulis sesuatu di buku nota yang aku selalu simpan dalam laci terkunci setelah usai meluah.
Aku tulis setiap pandangan. Setiap sentuhan. Setiap ayat yang keluar dari mulutnya sebab aku takut kalau satu hari nanti, jika aku tak ada lagi orang akan kata aku tipu, orang akan kata aku cuma mahu perhatian jadi aku tulis semua supaya bila sampai masanya, kertas ini akan bercakap untuk aku.
***
Aku buka helaian yang sudah penuh dengan tulisan kecil rapat-rapat, dakwat pen hitam mula pudar di beberapa baris awal kerana terkena air mata. Jari aku menekan sudut kertas supaya tidak bergetar, aku baca semula satu-satu.
"Setiap kali aku rasa selamat, kau akan ada di situ. Pandangan kau macam bayang yang tak pernah hilang, ikut aku di mana saja. Bau sabun yang dulu aku suka, sekarang buat aku rasa nak muntah sebab aku ingat ketawa kau di belakang aku. Bunyi langkah kaki kau, aku kenal walaupun aku cuba tipu diri kata itu orang lain. Tubuh aku rasa macam bukan milik aku lagi, macam setiap inci sudah ditandai dengan sesuatu yang kotor yang orang lain tak nampak tapi aku rasa setiap kali aku bernafas. Aku takut tidur terlalu lena sebab aku bimbang bila aku buka mata, kau akan ada di situ berdiri di hujung katil sambil memandang. Yang paling sakit bukan sentuhan kau atau kata-kata kau, tapi bila semua orang yang nampak memilih untuk berpaling. Kalau satu hari nanti mereka jumpa buku ini, aku nak mereka tahu aku pernah cuba bercakap cuma tak ada siapa yang mahu dengar.”
Aku pegang buku itu rapat ke dada, rasa dada aku berombak-ombak dan untuk seketika aku fikir kalau aku koyak dan bakar semua halaman, mungkin aku boleh buat semua ini hilang tapi aku tahu, aku tak akan sanggup sebab inilah satu-satunya tempat di mana aku masih wujud seperti diri aku sebelum semuanya bermula.
Share this novel
Best. Rasa berdebar bila baca sebab nak tahu apa jadi seterusnya