BAB 4

Thriller Series 374

PAGI itu, matahari baru saja mula memanjat langit. menyapu warna keemasan di tingkap-tingkap panjang bangunan asrama.

Udara masih dingin tapi bau nasi lemak yang dibungkus dalam daun pisang sudah mula meresap masuk dari arah kantin.

Aku berjalan perlahan di laluan berbumbung, kasut sukan yang sudah sedikit lusuh menggeser pada lantai mozek yang lembap dek embun.

Badan aku masih terasa berat. Malam tadi, tak lelap langsung. Fikiran masih bersimpul pada Roy.

Dari cara dia bercakap. Sentuhan tidak seperti sentuhan seorang rakan dan renungan yang seolah cuba menyelam masuk jauh ke dalam aku, tanpa minta izin.

Kantin sekolah sudah mula dipenuhi para pelajar awal yang beratur di kaunter makanan. Bunyi senduk berlaga dengan periuk. Hiruk-pikuk suara pelajar dan aroma teh tarik yang pekat semuanya, bercampur jadi satu.

Aku sedang mencari meja kosong. Saat sama, aku juga dengar satu suara menyapa.

“Eh, awal kau hari ni. Selalu waktu macam ni kau masih tarik selimut, kan?”

Qila. Dia duduk di meja paling hujung, bersandar santai di kerusi plastik biru sambil memegang straw Milo ais yang sudah mula berpeluh.

Baju sukan sekolahnya kemas. Rambut diikat tinggi dan bibirnya melengkung pada senyuman yang kelihatan cukup manis.

Aku cuba buat tak dengar tapi derap langkahnya, laju menghampiri. Dia berdiri tepat di depanku. Cukup dekat sampai bau perfume floral yang kuat menusuk hidung.

“Eh, bukan main rapat kau sekarang dengan Roy,” katanya sambil menjuih bibir ke arah dua rakannya yang duduk tak jauh, jelas menunggu untuk menyampuk.

“Ada apa-apa ke?”

Aku memandang dia.

“Kak Roy? Saya dengan dia taklah rapat sangat macam awak katakan tu…” Aku berani menjawab.

Qila pandang aku. Bibir tersenyum nipis, pandangan matanya menilai aku dari hujung kepala sampai ke hujung kaki.

“I just nak pesan je… dia tu tak pernah lama dengan seseorang,” ujar Qila.

Tangannya bermain di tali gelang getah yang melilit pergelangan tangan tapi nada suaranya stabil, seperti dia mahu setiap perkataan itu terbenam dalam kepala aku.

Aku diam, memeluk fail di tangan.

Qila condong badan, suaranya merendah tapi cukup untuk aku saja dengar.

“Kalau boleh jangan terlalu dekat kalau tak tahan panas. Roy tu… cepat bosan. I tahulah. I rapat dengan dia. We are closed before you come…”

Kata-kata itu diiringi satu senyuman yang tidak ikhlas di pandanganku. Selepas itu, Qila tegakkan badan dan sengaja melanggar bahu aku ketika melintas.

Langkahnya ringan tapi aroma perfume yang tertinggal, seolah sengaja dibiarkan supaya aku terus teringat.

Aku hanya berdiri di situ, memandang ke arah dia kembali ke meja bersama rakannya.

Mereka ketawa dan kadang-kadang turut menjeling ke arah aku seperti membincangkan sesuatu yang mereka saja tahu.

Dan di tengah suasana kantin yang bising, aku rasa kata-kata Qila lebih mengganggu daripada semua bunyi yang bergema di sekeliling.

Ketika aku berpaling. Ada satu tangan tarik bahagian belakang baju ku. Dan bila aku berpaling…

“Ops! sorry tak sengaja…” ucap rakan kepada Qila yang sama-sama berjumpa dengan aku tadi.

Suara tawa menguatkan lagi tebakan ku, perbuatan simbah air milo ke dada bajuku disengajakan.

Aku masih berdiri di situ cuba membersihkan kesan Milo yang melekit pada baju sukan aku dengan tisu yang aku ambil dari kaunter, sedangkan tawa Qila dan gengnya masih bergema di meja hujung.

Bau Milo ais yang manis pekat bercampur dengan rasa malu yang menyesakkan dada.

Aku menarik nafas panjang, meyakinkan diri untuk buat tak peduli tapi pandangan-pandangan pelajar yang melintas.

Ada yang tersenyum sinis, ada yang pura-pura tak nampak. Semuanya buat jantung aku berdegup lebih laju daripada biasa.

Tak sempat aku melangkah ke arah meja kosong, suara Qila sekali lagi memanggil.

Kali ini, nadanya lebih lantang seperti sengaja mahu memastikan seluruh kantin menjadi saksi.

“Lara! Sini kejap!”

Aku berhenti, berpaling. Dia sedang memegang buku latihan tebal dan di sebelahnya dua rakannya sedang menyusun beberapa lagi buku di atas meja, seolah-olah itu semua urusan rasmi yang aku tak boleh elak.

“Kau tolong siapkan nota sejarah ni untuk kita, boleh? Kita semua sibuk latihan sukan. Nanti hantar sebelum minggu depan.” Qila menolak buku-buku itu ke arah aku dengan senyuman yang aku tahu bukan senyuman manis tapi sindiran halus yang menikam.

Aku memandang buku-buku itu.

“Nota sejarah ni?”

“Hah, yalah kenapa?“

“Tapi kak, saya tak tahu-menahu pun. Saya junior. Saya tak belajar sejarah ni lagi, kak…” Aku cuba jelaskan pada Qila atau Kak Syaqila.

“Eh, banyak bunyi pula?” celah rakannya sambil mengerling pada Qila seperti menunggu skrip seterusnya keluar.

Aku cuba berundur selangkah tapi Qila sudah bersuara lagi, nadanya berlapik manis tapi cukup keras untuk memerangkap aku di situ.

“Takkan nak berkira? Kawan Roy kot. By the way call me Qila. I takde adik okay. Pandai-pandailah you cari. Apa I kisah you dah pernah belajar atau tak. Yang I nak tahu, nanti kesemua buku we all dah ada atas meja. Let's go…” sahut Qila tanpa simpati.

Beberapa pelajar yang beratur di kaunter sudah menoleh, bisik-bisik mula kedengaran. Aku rasa darah mengalir panas di pipi. Dan sebelum aku sempat membalas, satu suara garau memotong suasana.

“Qila.”

Suara itu cukup untuk menghentikan semua gerakan di meja itu. Roy. Dia berdiri di belakang aku. Tinggi. Bahunya lebar. Pandangannya tajam menusuk tepat ke arah Qila.

“Apa yang kau buat ni?” Suaranya tegas, sedikit keras.

“Sejak bila kau boleh suruh orang buat kerja kau?”

Qila cuba senyum, tapi senyumannya goyah.

“Eh, bukan suruh… minta tolong je…”

“Jangan putar belit. Aku nampak sendiri kau sengaja kenakan dia tadi. Simbah Milo, sekarang ni pulak nak paksa dia buat nota kau? Kau ingat aku tak tahu permainan kau?”

Kantin tiba-tiba jadi lebih senyap daripada tadi. Senduk berlaga periuk di kaunter pun seperti perlahan.

Semua mata memandang ke arah kami. Qila menelan liur cuba mengelak pandangan Roy tapi jelas wajahnya merah padam.

Roy mendekat selangkah, nadanya masih dingin tapi lebih rendah.

“Kalau kau rasa nak cari masalah dengan orang, jangan kaitkan aku. Dan lagi satu… jangan sentuh dia sebab dia milik aku.“

Kata-kata itu membuatkan dadaku berdebar, entah kerana terharu atau kerana takut dengan ketegangan yang sedang tercipta.

Roy kemudian berpaling ke arah aku, pandangan matanya lembut sedikit.

“Jom. Tak payah layan diorang.” Arah Roy tanpa pedulikan tatapan minta pengertian Qila dan buku-buku mereka.

Dia terus mengambil fail di tanganku, menarik aku keluar dari situ tanpa memberi peluang untuk aku membantah.

Dari ekor mata, aku nampak Qila duduk semula. Wajah masam. Tersangat masam dengan bibirnya menguncup rapat, tatapan matanya penuh amarah dan masih terpaku pada aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience