KAMAR pejabat Nadine Elhara tidak sah jika tak berada dalam medan perang kecil.
Dengan koleksi fail-fail bertindan. Mug kopi yang kosong sementara di sudut pula ada satu pasu kecil dengan tanaman hampir layu menjadi bukti dia jarang memberi perhatian pada hal-hal kecil selain kerja.
“Nadine,” suara lembut dari arah pintu memanggil.
Dia mengangkat kepala dan melihat Khadijah, pembantu paralegal tegak berdiri dengan membawa dua cawan kopi dari pantri. Dan dia tersenyum tipis melihat suasana.
“Kau betul-betul buat firma ni macam tak ada orang lain selain kau,” ujar Khadijah sambil meletakkan mug kopi yang baru serta masih berasap-asap di atas meja Nadine.
“Pagi-pagi lagi, muka kau tu dah tenggelam dalam fail?” Khadijah menyindir lagi.
Kerusi ditarik dan duduk dilabuhkan.
Nadine menyandar pada kerusi, melepaskan pen di tangannya. Leher yang lenguh-lenguh dipicit-picit sambil mata melilau mencari sesuatu.
“Hmm, dah habislah tu Ammeltz Yoko-yoko,” tegur Khadijah menggeleng dan Nadine menyengih.
“Tu lah kau, buat kerja tak hirau apa dah. Ingat sikit cik adik oi… badan awak tu, nak pakai lama lagi.” Khadijah menambah.
Nadine Elhara tersengih lagi lalu ke depankan tubuhnya. Mug disisip sedikit airnya.
“Kalau bukan aku, siapa lagi nak pastikan semua dokumen ni lengkap sebelum perbicaraan esok? Firma ni mungkin berprestij tapi aku tak percaya semuanya boleh berjalan lancar tanpa campur tangan aku,” lontar Nadine setelah pinggir mug dilepaskan dan mug diketepikan.
“Prestij pun takkan tahan kalau pekerja dia burnout,” balas Khadijah sambil melipat tangan di dada.
Nama Zahir & Co. Tertera pada kad ID yang tergantung di lehernya. Firma guaman yang mereka sama-sama tahu tak pernah tidur. Apatah lagi, memberi ruang untuk berehat.
“Aku okay, kau tak perlulah nak risau sangat, Deeja. Tahulah aku jaga badan aku ni. Aku bukannya budak-budak lagilah.” Nadine menjawab. Matanya yang sedikit sembap membuktikan sebaliknya.
“Cuma tinggal sedikit lagi, lepas tu aku boleh rehat, ”tokok Nadine lagi. Memang benar pun. Tadi tu, dia cuma edit mana yang perlu saja.
Khadijah menggeleng kemudian menyusun fail-fail yang menyakiti penglihatannya itu. Nadine melihat saja aksi si rakan.
“Aku kagum dengan kerja keras kau. Tapi kau kena ingat, Nadine…dunia takkan berhenti dari putaran walaupun kau berehat sebentar,” bebel Khadijah sambil tangan ligat menyusun fail yang tadinya semak dan tidak tersusun kini kian kemas.
Nadine merenung Khadijah seketika.
“Aku tahu. Tapi... susah nak ubah tabiat. Kalau aku tak buat, siapa lagi?” Tukas Nadine seraya mengangkat pula fail-fail yang belum disemak.
“Kalau kau runtuh, firma ni takkan berhenti pun. Kau bukan satu-satunya tonggak di sini, Nadine,” ujar Khadijah. Nadine terkesan sedikit dengan kata-kata itu.
Dia menyepi sejenak dan hanya menghirup kopi sambil pergerakan mata masih lagi memandang fail-fail di hadapannya.
Dalam kepala, dia tahu Khadijah betul. Tapi hidupnya terlalu lama bergelumang dalam skop yang satu ini.
“Aku minta maaf. Aku takde niat mahu pertikaikan kreadibiliti kau. Aku pun tahu, kau lah pun penyelamat firma selama ini… aku cuma…” Khadijah yang tersedar langsung bersuara namun Nadine Elhara memintas di separuh ayat.
“Ya, sayang. Aku faham. Lain kali, aku cuba lebih rileks sikit. Hahaha,” tutur Nadine berjenaka sedangkan rakannya itu, memandang serius.
“Dan aku akan pegang janji kau,” jawab Khadijah bingkas bangun serta mata tertunak tepat ke paras ayu tapi agak sembap si pendakwaraya muda itu.
Sebelum melangkah keluar, sempat lagi Khadijah menambah.
“Kalau kau perlukan rehat, aku ada. Jangan lupa aku ni bukan sekadar pembantu.”
Setelah itu, Khadijah berpusing tubuh. Mengorak langkah ke arah pintu berplak hitam itu. Nadine Elhara cuma mampu tersenyum tipis.
Pintu ditutup lalu meninggalkan Nadine seorang diri semula. Dia memandang pasu kecil di sudut meja, daun hijaunya yang layu mencerminkan dirinya juga yang kehilangan tenaga tapi terus berdiri.
Dia melepaskan nafas. Lantas menyandarkan semula kepala pada kerusi. Dunia luar mungkin bergerak pantas tapi di dalam pejabat kecilnya, waktu bagaikan terhenti.
Beberapa minit kemudian setelah usai kerja-kerja editing. Nadine bangun seraya menapak ke arah kaca tinggi dari siling ke lantai yang membingkai pemandangan kota metropolitan itu.
Hujan renyai menari-nari di permukaan kaca. Menyelimuti juga lampu neon dengan kabus samar.
Dari biliknya yang sunyi, Nadine dapat melihat bayangan dirinya yang tercermin pada kaca. Tenang di luar tapi di dalamnya, fikiran berperang.
Fail Tuan Husni tokoh utama Emerald Corps, terletak di tengah-tengah mejanya. Kulit failnya berwarna merah gelap, dengan huruf timbul di atas: EMERALD CORPS – DOKUMEN SULIT.
Dia sudah membuka fail itu tadi tetapi tidak sanggup menyelak lebih daripada beberapa helaian pertama. Maklumat yang terkandung di dalamnya cukup untuk menggoncang kestabilan firma guamannya.
Ketukan pada pintu memecah keheningan yang menyelubungi. Nadine yang berpeluk tubuh kini memalingkan badan melihat Daniel muncul dengan wajah penuh kebimbangan.
“Kau ada masa?” soalnya sambil masuk tanpa menunggu jawapan. Di tangannya ada satu lagi fail, berwarna hitam kali ini.
Nadine menarik nafas panjang.
“Macamlah… aku ada pilihan. Apa lagi?” Soalnya ringkas dan mata tertumpu pada fail di tangan.
Daniel meletakkan fail hitam itu di atas meja penuh berhati-hati seolah ia boleh meletup bila-bila masa.
“Aku jumpa fail ini di bilik rekod lama. Kau nak tahu yang paling menarik?” Daniel soal balik. Namun Nadine sekadar angkat kening saja.
“Takkan kau ke sini nak cerita benda menarik?” Soalnya semula dan berbunyi sindiran.
Daniel mengetap bibir.
“Dokumen ini ada nama Tuan Husni tapi ini bukan tentang kes biasa. Ini laporan pengawasan.”
Nadine terdiam seketika. Dia bergerak ke arah meja semula. Pabila sudah tiba, tangannya bergerak perlahan membuka fail hitam itu.
Matanya terus tertancap pada helaian pertama. Rekod Khas Tuan Husni Emerald Corps.
“Rekod pengawasan?” Nadine bertanya perlahan.
“Ya. Laporan pergerakan, rekod mesyuarat rahsia malah transkrip panggilan telefon.” Jawab Daniel sambil menelan liur, kemudian bersandar pada bucu meja.
“Dan nama-nama yang terlibat. Kau takkan suka baca siapa.”
Nadine menyelak helaian demi helaian. Nama-nama yang disebut di situ adalah individu yang dia sendiri pun tahu berpengaruh.
Tokoh korporat, ahli politik, bahkan beberapa nama yang cukup dekat dengan lingkaran undang-undang.
Tangannya berhenti pada satu helaian di tengah. Tandatangan di situ adalah tandatangan Tuan Husni sendiri. Tetapi jika dilihat secara teliti ia terlihat agak janggal dan seperti ada seseorang sudah memalsukannya.
“Kita tak sepatutnya ada dokumen ini. Siapa yang serahkan benda ini pada kita?” soal Nadine. Tatapannya tajam menembusi Daniel.
Daniel menggeleng.
“Aku tak tahu. Tapi kalau fail ini keluar, kau tahu apa kesannya. Emerald Corps boleh musnah dan kita juga takkan selamat.”
Nadine menarik nafas panjang kemudian menutup fail itu dengan satu tepukan kecil. Bunyi itu bergema di dalam bilik yang sunyi.
“We must hid this for a while,” ujar Nadine tegas, nadanya membuat Daniel mengangguk dengan cepat.
“Tapi kalau ini sampai ke tangan media, Nadine...”
“Nope. Benda ini tak mungkin sampai ke pendengaran Media selagi kau atau aku tutup mulut,” kata Nadine dengan nada yang lebih lembut tetapi tetap bertegas.
“Let me hold this file, first. Dan aku memang pelik bagaimana fail yang tak sepatutnya kita pegang apatah lagi simpannya, boleh sampai ke firma. Dari siapa dan apa motif?”
Daniel memandangnya dengan tampang wajah juga ragu-ragu dan tak berjawapan sebelum melangkah keluar.
“Takpe kau boleh keluar dahulu,” ujar Nadine. Daniel mengangguk.
Kini hanya Nadine dan fail merah gelap itu yang tinggal. Dia memejamkan mata cuba menenangkan dirinya tetapi bayangan nama-nama yang tertulis di dalam dokumen itu terus menghantui fikirannya.
“Tuan Husni,” Nadine berbisik, jarinya menyusur lembut pada nama itu.
“Apa yang sebenarnya kau cuba sembunyikan, dan kenapa melibatkan aku?”
latest dr dhia.... jmput2...
Share this novel