Series
167
Mawar masih berdiri kaku di tepi jendela besar yang terlindung dek langsir renda tipis. Baju kurung songketnya sudah berganti dengan gaun tidur longgar berwarna merah jambu namun keresahan yang bersarang di dadanya sejak di dewan tadi, langsung tidak berkurang.
“Sayang... kenapa berdiri kat situ lagi?” Suara Zakuan memecah sunyi sambil mendekati Mawar dari belakang.
Zakuan meletakkan telapak tangannya di pinggang Mawar. Pelukan itu tidak kasar, malah begitu perlahan dan penuh berhati-hati. Namun, sebaik sahaja jemari Zakuan hinggap di situ, Mawar terasa seluruh sendinya seakan mati angin. Serta-merta badannya patuh, merapat rapat ke dada Zakuan tanpa mampu menolak.
Zakuan tersenyum di balik sela rambut Mawar yang terurai. Dia mengusap belakang badan isterinya itu beritma. Saat yang sama, ia juga membawa satu getaran aneh yang terus menjalar ke tangkai hati sang isteri.
Zakuan tahu, ilmu pirunduk yang diamalkan sedang bekerja dengan cemerlang. Mawar sentiasa tunduk, ragu dan mengikut segala kata tanpa perlu dia meninggikan suara.
“Abang... Mawar cuma tengok luar sekejap,” tutur Mawar halus setelah merenung muka sang suami di belakang.
“Tengok luar? Bunga abang ni cari kumbang mana pulak kat luar tu?” perli Zakuan tepat di celah leher Mawar. Hembusan nafasnya hangat diiringi usapan lembut di belakang tapak tangan Mawar.
“Tak ada sesiapa, bang... Mawar cuma rasa janggal sikit. Hari ni kan...”
“Lupakan yang di dewan tadi, sayang,” potong Zakuan lembut.
Dia memusingkan tubuh Mawar agar menghadapnya. Ibu jarinya perlahan-lahan menyapu dagu Mawar sebelum merengkuhnya swhingga terdongak dan menentang matanya.
Dua biji mata Zakuan kelihatan tenang namun di sebalik ketenangan itu ada pancaran redup yang mengikat pandangan Mawar. Mawar terasa kepalanya sedikit berpusing.
“Mawar sayang... Mawar kini dah sah jadi milik abang sepenuhnya. Sebab itu, Villa ni pun abang bina jauh daripada gangguan sesiapa. Mawar faham kan maksud abang?” soal Zakuan. Senyuman manis terukir di bibirnya, kelihatan sangat prihatin dan penyayang.
“Mawar... faham, bang,” jawab Mawar bermata pegun. Dia seolah sudah terpukau dek renungan lelaki itu.
“Bagus, sayang,” balas Zakuan menunduk lalu mengucup dahi Mawar dengan lama. Dia dapat merasai denyutan nadi Mawar yang kencang, tanda pengaruh itu makin meresap dalam fikiran isterinya.
“Sayang pergilah masuk bilik. Istirehat. Abang ada kerja sikit kat bawah.”
Mawar mengangguk. Akur tanpa sebarang bantahan. Langkahnya perlahan menuju ke tangga tingkat atas langsung tidak menoleh lagi.
Sebaik sahaja kelibat Mawar hilang di tingkat atas dan pintu bilik kedengaran dikatup perlahan, senyuman manis di wajah Zakuan memudar sekelip mata.
Zakuan melangkah ke sudut dapur berdekatan ruang makan. Tangannya menghulur ke bawah kaunter kayu mahogani, menekan satu punat tersembunyi. Kedengaran satu bunyi halus sebelum sebahagian dinding panel kayu di situ menggelongsor perlahan ke tepi langsung menyingkap sebuah tangga lingkaran batu yang menuju ke tingkat bawah tanah.
Tangga itu dipanjat dengan langkah yang tenang. Udara di bawah tanah serta-merta bertukar dingin dan sarat dengan bau hanyir kepam bercampur aroma cendana yang pekat.
Kamar bawah tanah itu dibina kedap bunyi sepenuhnya. Tiada tingkap waima pencahayaan. Hanya beberapa batang lilin hitam yang sudah separuh cair menyinari ruang bersegi empat itu. Di tengah-tengah bilik, terletak sebuah meja kayu jati tua yang diukir dengan rajah-rajah halus.
Zakuan duduk bersila menghadapi sebuah bokor tembikar lama bertatahkan ukiran Dayak kuno. Di atas kain kuning yang terbentang, kelihatan sebiji botol kaca kecil berisi cecair pekat berwarna keemasan. Itulah Minyak Pirunduk yang diperolehnya daripada seorang dukun di pedalaman Kapuas Hulu.
Minyak itu bukan minyak sembarangan. Ia diadun daripada pati buluh perindu, kemenyan hitam dan tahi lalat kayu yang dipuja pada malam bulan purnama.
Zakuan mencabut sumbat botol kaca tersebut. Serta-merta, bau harum yang manis tetapi terlalu pekat dan hanyir menyusup keluar, memenuhi ruang bilik yang kedap udara.
Dia mengambil kain sapu tangan Mawar yang telah dicelup air mawar bercampur darahnya tadi. Dengan cermat, Zakuan menumpahkan tiga titik minyak perunduk itu tepat ke atas kain berkenaan.
“Satu titik mengunci mata, dua titik mengikat jiwa, tiga titik menundukkan sukma...” Zakuan berbisik dalam bahasa lama yang meliuk-liuk, nadanya seakan nyanyian perlahan yang meremangkan bulu roma.
Dia mendepangkan kedua-dua belah tangannya di atas bokor. Asap kemenyan yang berkepul naik digapai dengan jemarinya lalu dihalakan ke arah kain sapu tangan tersebut.
Setiap kali mentera dibaca, cecair minyak di atas kain itu seakan-akan diserap ghaib, meninggalkan bekas merah keemasan yang berkilat di bawah limpahan cahaya lilin.
Zakuan mendekatkan kain itu ke mukanya, memejamkan mata lalu menarik nafas dalam-dalam. Di dalam fikirannya, bayangan Mawar yang patuh dan merenungnya dengan pandangan kosong tanpa daya kembali terlayar kemas.
“Mulai malam ni, Mawar... bayang kau, fikiran dan nafas kau cuma ada nama abang.”
Asap nipis yang keluar dari kain sapu tangan itu makin berkepul, mendaki ke udara sebelum hilang di dalam kelam kamar bawah tanah. Zakuan memejamkan mata rapat-rapat.
“Wahai Kamang dengan Semangat Tanah. Aku minta nyawa, aku seru sukma. Jangan beri hatinya tenang bila jauh dari aku. Biar akalnya rapuh, biar jiwanya tunduk. Ngerayap rindu dia malam Tok, rindu sampai ka tulang!”lafasnya selain meramas kain sapu tangan Mawar dengan gerakan perlahan, merenung bekas minyak berwarna merah keemasan yang makin menyerap masuk ke dalam serat kain.
“Ooo... Antu Laut. Antu Darat, penunggu kayu tahi lalat... kunci mata Mawar, kunci lidah Mawar. Biar dia ngikut kata aku seorang. Sekali aku panggil, tiga kali dia menyahut. Sembah sujud sukma Mawar di kaki aku!” ucapnya lalu meniup kain itu dengan hela nafas yang panjang, membiarkan aroma hanyir bercampur kemenyan dan pati minyak perunduk itu meresap sepenuhnya.
Dia mengagumi hasil ilmunya. Mawar kini hanyalah sebujur tubuh tanpa kehendak sendiri. Botol kaca kecil itu dicapai lalu ditutup rapat dengan sumbat kayu sebelum disimpan semula ke dalam bokor tembikar Dayak. Kain sapu tangan yang sudah dipuja itu dilipat cermat dan diselitkan ke dalam poket seluarnya.
Zakuan bangkit berdiri, menyapu sedikit abu kemenyan di seluarnya. Langkahnya diatur tenang menaiki anak tangga batu, kembali ke alam terang Villa yang sunyi.
.
.
.
Ketika Mawar menyelak helaian buku itu untuk merapikannya, sekeping gambar berukuran pasport tiba-tiba tergelincir keluar dan jatuh ke atas permukaan meja.Mawar terpandang gambar tersebut.
Anak matanya terpaku pada raut wajah Johan yang tersenyum dalam foto itu. Dia rasa seperti pernah rapat tetapi segala kenangan bersamanya, seakan-akan telah dipadam atau disekat.
Mawar mengetap bibir. Jari menggigilnya dan terus meramas tepi gambar berkenaan. Dia sendiri tidak faham mengapa hatinya begitu membenci Johan, sedangkan ingatannya terhadap lelaki itu kosong dan kabur.
'Siapa Johan ni sebenarnya?' bisik Mawar. Keliru.
Mawar menekan dada yang semakin kencang berombak. Gambar Johan yang sudah renyuk dalam genggamannya ditenung lama. Setiap garis pada wajah lelaki dalam foto itu meragut tangkai hatinya dengan begitu kasar.
“Siapa kau sebenarnya, Johan? Kenapa muka kau buat dada aku rasa macam nak pecah?”
Dia merenung ukiran senyum lelaki itu, mengharapkan foto bersaiz pasport itu mampu bersuara dan memberikan jawapan.
“Kenapa aku rasa pernah kenal kau... tapi bila? Kat mana kita pernah jumpa?” bisik Mawar lagi, terus-terusan menyoal diri sendiri yang makin terhimpit bingung.
Tangannya yang menggigil meramas makin ketat tepi kertas gambar itu sehingga remuk.
“Kalau aku pernah rapat dengan kau, kenapa hati aku rasa benci sangat kat kau ni? Benci yang amat sangat... benci yang buat darah aku rasa mendidih, sampai aku rasa nak terjerit!”
Dia memejamkan mata rapat-rapat sambil sebelah tangannya meraba tempurung kepala yang mula mencucuk-cucuk. Rasa sakit itu seakan-akan ada jemari halus yang sedang mencakar-cakar dinding otak, melarang sebarang ingatan tentang Johan dipanggil keluar.
“Ingat, Mawar... ingat! Takkan sikit pun kau tak ingat siapa Johan dalam hidup kau?” bentaknya pada akal sendiri.
“Kenapa otak aku rasa kosong sangat?”
Tiba-tiba, Mawar melepaskan helaian nafas yang berat. Bayangan wajah Zakuan dengan pandangan mata redupnya yang memukau menyelinap masuk ke dalam fikiran, disusuli rasa kelesuan yang tiba-tiba datang menghimpit sukmanya.
Mawar dengan cepat menggelengkan kepala, ke kiri dan ke kanan untuk menepis rasa lali yang mula menjalar itu.
“Tak. Aku tak boleh biarkan kepala aku kosong macam ni!”
Mawar bongkok sedikit, dengan pantas membuka laci meja solek yang paling bawah. Jarinya menolak kertas penyalas laci itu ke tepi lalu menyelitkan gambar Johan yang sudah keronyok itu jauh ke sudut yang paling dalam.
“Aku simpan kau kat sini, Johan,” tuturnya berbisik rapat ke birai laci lalu menolak gelongsor kayu itu masuk semula secara perlahan-lahan tanpa sebarang bunyi.
Dia berdiri semula, memandang pantulan dirinya di cermin meja solek. Matanya kelihatan lesu.
“Aku kena tahu siapa kau, Johan. Dan aku kena ingat balik...argh!!!"
Mawar tiba-tiba terduduk melutut di lantai jubin yang dingin. Rasa sakit di kepalanya semakin liar, seolah-olah ada jarum-jarum halus yang mencucuk ganas hingga ke dasar otak. Denyutan di pelipisnya bertukar cengkaman tajam yang membuatkan pandangannya berbalam-balam.
“Argghh...” rintih Mawar perlahan sambil memegang kedua-dua belah jarinya di kepala, menahan gelombang kesakitan yang makin tidak tertanggung.
Dalam denyutan yang membakar itu, kebencian terhadap Johan tidak padam malah bertukar menjadi satu kemarahan yang meluap-luap tanpa kawalan. Gelap matanya melihat bayangan wajah lelaki itu. Dengan tangan yang terketar-ketar dan nafas yang tercungap-cungap, Mawar menyentap semula laci bawah yang baru ditutupnya tadi.Gambar Johan dicapai semula secara kasar.
“Muka ni... aku tak nak tengok muka ni!” jerit Mawar.
Matanya meliar ke atas meja solek, mencari sesuatu dengan pandangan yang mula kabur diselimuti rasa sakit dan amarah. Anak matanya terpaku pada sebuah bekas pensel seramik. Tanpa berfikir panjang, jemarinya terus menyambar sebatang pen berdakwat hitam di situ.Penutup pen ditarik kasar hingga terlepas ke lantai.
Dengan hembusan nafas yang berombak kencang, Mawar menekan mata pen itu sekuat hati ke atas permukaan gambar Johan. Dia mencoret dan memangkah wajah itu berulang kali tanpa henti.
Sret! Sret! Sret!
“Pergi! Benci... aku benci kau!” rintihnya dengan bibir yang menggigil.
Mata pen hitam itu dilarik rakus, merosakkan ukiran senyuman Johan, memadamkan matanya dan mencakar keseluruhan kertas foto bersaiz pasport itu sehingga lunyai dan koyak di sesetengah bahagian. Coretan hitam pekat itu kini memenuhi segenap ruang wajah Johan, seolah-olah Mawar mahu memadam kewujudan lelaki itu terus dari alam nyata.
Setelah muka Johan habis tenggelam di balik pangkah dan dakwat hitam yang tebal. Rasa sakit di kepalanya perlahan-lahan bertukar menjadi tumpul.
Share this novel