Series
167
Nafas Mawar tercungap-cungap. Gambar yang sudah lunyai dan koyak dikoyak-koyakkan lagi dengan jari-jarinya yang terketar-ketar sehingga menjadi cebisan kecil. Cebisan itu dilemparkannya ke lantai begitu sahaja.
Anehnya, sebaik sahaja bayangan wajah Johan tertutup di balik tindihan dakwat dan koyakan kertas, gelombang sakit di kepalanya serta-merta reda. Rasa mencucuk yang tajam tadi bertukar menjadi tenang.
Dan Mawar tersandar di kaki meja solek. Pandang kosong ke arah lantai.
“Abang ada kerja sikit kat bawah...”
Suara Zakuan tiba-tiba menerobos masuk ke dalam fikiran Mawar.
Serta-merta dada Mawar yang berombak kencang tadi kembali reda. Rasa benci dan kemarahan membara terhadap Johan lesap begitu sahaja, seolah-olah telah ditarik keluar.
'Abang Zakuan...' bisik Mawar dengan gerakan lambat dia bangun dari lantai lalu mengutip cebisan gambar yang bertaburan di jubin.
Swtelah itu, mencampakkannya ke dalam bakul sampah di tepi meja solek. Bunyi pemegang pintu ditolak perlahan dari luar membuatkan Mawar menoleh.
Zakuan. Suaminya itu sedang berdiri di birai pintu. Pakaiannya sudah bertukar ke baju santai. Sebaik sahaja lelaki itu melangkah masuk, aroma kayu lembut bercampur sesuatu yang manisan pekat mengikut dari belakang. Aroma yang entah mengapa membuatkan kepala Mawar terasa sedikit berat setiap kali menghirupnya.
"Sayang? Kenapa tak tidur lagi?” soal Zakuan lembut sambil melangkah mendekati Mawar. Matanya sempat melirik sekilas ke arah bakul sampah di sudut meja namun raut wajahnya kekal tenang.
“Mawar... baru nak kemas barang sikit, bang,” jawab Mawar.
Zakuan tersenyum. Dia meletakkan jemarinya di belakang pinggang Mawar. Sebaik sahaja sentuhan itu hinggap, Mawar merasakan kehangatan yang menjalar pantas mematikan terus sebarang rasa ingin menyoal atau berfikir panjang.
"Kenapa tangan sayang sejuk sangat ni?” soal Zakuan sambil membawa jemari Mawar ke bibirnya lalu mengucupnya lembut.
Matanya merenung tepat ke dalam anak mata Mawar yang redup.
"Ada apa-apa yang mengganggu fikiran Mawar ke?”
Mawar mendongak, menentang renungan itu. Pandangan Zakuan seperti ada tarikan yang membuatkan akalnya malas untuk berfikir. Rasa sakit di kepalanya tadi betul-betul sudah hilang. Fikiran tentang Johan dan gambar yang dikoyak tadi terus bertukar kabur.
“Tak ada apa-apa, bang... Mawar cuma... penat sikit,” tutur Mawar. Perkataan itu meluncur keluar tanpa perlu dia mempertimbangkannya terlebih dahulu.
Zakuan tersenyum nipis seraya mengusap lembut tepi kepala Mawar sebelum menarik wanita itu rapat ke dadanya. Di balik bahu Mawar, mata Zakuan melirik semula ke arah bakul sampah. Dia memicingkan mata melihat cebisan kertas bercoretan hitam yang terselit di situ.
‘Masih ada sisa yang cuba melawan,’ bisik hati Zakuan, tenang namun berwaspada.
Dia mengetatkan pelukannya, mengusap belakang badan Mawar dengan ritma yang sama seperti di jendela tadi. Mawar hanya menyandarkan pipinya ke dada Zakuan, membiarkan rasa lali itu menguasai dirinya sepenuhnya tanpa sedar bahawa setiap kali dia memilih untuk akur, ingatan tentang dirinya yang sebenar makin mengelip pudar.
“Pergi tidur ya, sayang. Esok kan hari baru untuk kita...” bisik Zakuan rapat di telinganya. Mawar mengangguk perlahan. Akur, tanpa mahu bertanya lagi.
Mawar melangkah perlahan ke katil seperti sebuah patung bernyawa. Sebaik sahaja tubuhnya dihenyakkan ke atas tilam. Kelopak matanya dihempap rasa lali yang teramat sangat.
Zakuan berdiri di tepi katil, meneliti Mawar sehingga hela nafas isterinya menjadi teratur dan perlahan. Sebaik sahaja Mawar lena, Zakuan melangkah tanpa bunyi ke meja solek. Dia membongkok dan mengutip cebisan gambar Johan di dalam bakul sampah satu demi satu.
Zakuan mengeluarkan sebuah kotak kecil berwarna hitam dari poket seluarnya. Setelah itu, cebisan kertas itu dia masukkan. Bunjut kecil dibuka hanya menggunakan sebelah tangan yang sama.
Cubit sedikit dan taburkan. Serta-merta asap tipis berbau kayu manis pekat terbit, meleburkan kertas itu menjadi abu. Dia menutup kotak tersebut dan berjalan mendekati katil. Mawar mengerang halus, dahinya berkerut dalam mimpi. Zakuan merebahkan tubuh di sebelah Mawar lalu mengusap pelipis isterinya.
"Tidurlah, Mawar. Dalam dunia ni, cuma ada abang. Johan, sejarah sayang atau sesiapa pun... takkan pernah wujud lagi," berbisik lembut Zakuan di telinga isterinya.
"Abang... Zakuan..." gumam Mawar halus dalam tidur dengan senyuman nipis.
"Bagus. Padamkan semuanya. Jangan tinggalkan sisa walau sedikit pun," bisik Zakuan lagi pada diri sendiri sambil tersenyum dingin.
Mawar terus lena dalam cengkaman lali, tanpa sedar bahawa setiap hela nafasnya semakin menjauhkannya daripada ingatan dirinya yang sebenar.
.
.
.
Matanya terbuka perlahan. Kepala yang semalam digulung rasa berat kini terasa terlalu kosong, seperti sebuah papan hitam yang baru disapu bersih tanpa meninggalkan sebarang tulisan.Mawar meraba ruang di sebelahnya. Tilam itu sudah sejuk, menandakan Zakuan telah lama bangun.
Lelaki itu melangkah masuk dari bilik air. Dia hanya bertuala di pinggang dengan rambut yang masih basah. Senyuman manis terukir di bibirnya sebaik sahaja matanya bertembung dengan pandangan Mawar.
"Awal sayang bangun hari ni?" tegur Zakuan, melangkah mendekati katil.
"Abang..." panggil Mawar perlahan. Suaranya serak. Dia meletakkan jemari di pelipis cuba mengingat sesuatu yang dirasakannya amat penting, namun fikiran itu meluncur licin begitu sahaja.
"Mawar... Mawar rasa macam ada benda yang Mawar lupa."
Zakuan meletakkan lututnya di tepi tilam lalu membongkok rapat. Jemarinya yang hangat menyentuh dagu Mawar, mendongakkan wajah wanita itu lembut.
"Lupa apa, sayang?" soal Zakuan dengan menatap tepat ke dalam anak mata Mawar.
"Gambar..." tutur Mawar ragu-ragu. Dahi licinnya kembali berkerut.
"Gambar... yang Mawar koyak semalam. Siapa... siapa lelaki dalam gambar tu, bang?"
Aroma kayu lembut bercampur manis pekat yang pekat dari tubuh Zakuan serta-merta mengepung rongga pernafasan Mawar. Zakuan mengusap pipi Mawar dengan ibu jarinya, memberi tekanan halus yang mengalirkan rasa hangat yang biasa.
"Gambar apa ni, sayang?" Nada suaranya begitu tenang tanpa sebarang getar.
"Semalam kan Mawar kemas resit-resit lama kat meja solek? Mawar cakap Mawar penat, sebab tu Mawar buang semuanya. Lupa dah?"
Mawar terpaku. Dia merenung wajah Zakuan yang begitu dekat. Renungan mata lelaki itu seolah-olah mengikat seluruh logik akalnya untuk mempercayai setiap bait kata yang keluar dari bibir itu.
"Resit... lama?" ulang Mawar, kabur.
"Ya, sayang. Tak ada gambar sesiapa pun," bisik Zakuan rapat di telinganya sebelum mendaratkan kucupan lembut di dahi Mawar. Kucupan yang terasa seperti mengunci pintu fikirannya sekali lagi.
"Kat rumah ni cuma ada abang dan Mawar. Dulu, sekarang dan selamanya."
Rasa pening yang baru hendak meletus di kepala Mawar terus mereda. Rasa ragu-ragu dalam dadanya lesap, bertukar menjadi ketenangan yang palsu.
"Mawar... tersilap ingat agaknya," gumam Mawar dengan senyuman tawar yang terpaksa.
"Tak apa. Pergi mandi ya? Abang tunggu kat bawah, kita sarapan sama-sama," puji Zakuan sambil mengusap kepala Mawar penuh kasih.
Mawar mengangguk perlahan.
"Baik, bang." Dia bangun dan melangkah ke bilik air tanpa menoleh lagi ke arah bakul sampah di tepi meja solek yang kini benar-benar kosong.
Di birai pintu, Zakuan memerhati setiap langkah Mawar. Dari dalam poket seluarnya, dia meraba kotak hitam kecil yang kini hanya berisi abu halus. Senyuman nipis terukir di bibirnya.
.
.
.
Di meja makan, bau harum nasi lemak bertukar lembut dengan kehangatan kopi yang baru diseduh. Mawar melangkah perlahan lalu menarik kerusi namun matanya terpaku pada sebuah cawan kaca lut sinar di sebelah pinggannya.
Cawan itu berisi cecair jernih bertukar kebiruan cair dengan kepulan wap tipis. Cecair itu membiaskan pantulan keperakan yang aneh setiap kali digoncang lembut. Aroma kayu yang persis melekat pada tubuh Zakuan terus menerobos masuk ke rongga pernafasannya.
Zakuan meletakkan mangkuk sambal di tengah meja sebelum melangkah mendekati Mawar dengan senyuman manis.
"Duduklah, sayang. Abang dah siapkan sarapan khas untuk Mawar hari ni," tegur Zakuan lembut seraya menarik kerusi di hadapan isterinya.
Mawar merenung cawan kaca itu. Anehnya, tiada sekelumit pun rasa curiga dalam hatinya. Akalnya langsung tidak menyoal kehadiran cecair pelik itu.
"Air apa ni, bang?" soal Mawar mendatar.
"Pati herba khas untuk hilangkan penat Mawar. Abang buat sendiri supaya badan sayang segar balik," jawab Zakuan tenang, menolak cawan kaca itu lebih rapat ke jemari Mawar.
"Minum sampai habis ya, sayang?"
"Mawar tak pernah nampak pun air warna macam ni..." gumam Mawar, pandangannya redup merenung cecair biru keperakan itu.
"Sebab abang letak ramuan khas yang abang tempah. Benda ni bagus untuk minda dengan saraf Mawar. Minumlah... abang nak tengok Mawar minum," pujuk Zakuan.
Tanpa membantah lagi, Mawar mencapai cawan tersebut lalu meminumnya meneguk demi meneguk. Sejurus ia meluncur turun ke kerongkong, rasa hangat yang menjalar serta-merta mematikan terus baki sisa fikiran kritisnya.Zakuan tersenyum puas memerhati cawan yang kini kosong.
"Sedap tak?" soal Zakuan sambil mengelap tepi bibir Mawar dengan ibu jarinya.
"Sedap... rasa hangat kat dalam," jawab Mawar perlahan dengan senyuman tawar.
"Bagus," Zakuan merenung tepat ke anak mata Mawar yang semakin kabur.
"Lagipun, Mawar kena ada tenaga penuh hari ni. Lepas sarapan, abang nak Mawar kemas baju."
Mawar berkerut, memproses kata-kata suaminya.
"Kemas baju? Kita nak pergi mana, bang?"
"Abang nak bawa Mawar pergi honeymoon," bisik Zakuan lembut sambil menggenggam kedua-dua belah tangan Mawar.
"Honeymoon? Tapi... bukannya kita baru balik hari tu?" soal Mawar, seolah-olah ada cebisan ingatan yang cuba meletus.
"Mana ada, sayang," potong Zakuan pantas namun nadanya kekal tenang dan lembut.
"Kita mana pernah pergi mana-mana lagi. Mawar kan penat kat rumah je selama ni? Sebab tu abang dah tempah tempat khas untuk kita berdua sahaja."
"Tempat khas?"
"Ya, sayang. Pulau Semporna. Kat sana air lautnya jernih. Mawar suka laut, kan?"
Mawar terpaku sejenak.
'Semporna... laut...'
Nama tempat itu bergetar aneh dalam dadanya, seperti pernah ada kenangan lain di situ bersama seseorang yang bukan Zakuan. Namun sebelum ingatan itu sempat membentuk wajah, Zakuan mengusap lembut belakang tangannya.
"Kenapa diam ni, sayang? Mawar tak suka ke abang bawa pergi Semporna?" soal Zakuan, merapatkan mukanya.
"Suka... Mawar suka, bang. Terima kasih, bang."
"Sama-sama, sayang. Pergi kemas barang ya? Petang nanti flight kita," kata Zakuan sambil mendaratkan kucupan lembut di dahi Mawar, mengunci terus sebarang rasa ragu.
Share this novel