RSK : EMPAT

Young Adult Series 5541

NIA menggaru kepala yang tidak gatal. Kertas A4 yang ditampal di cermin tingkap perpustakaan dibacanya dengan teliti. Sesekali dia memandang Taufiq yang sedang menyedut air milo kotak.

"Betul dah tu, kelab jualan," ujar Taufiq malas.

Mata Nia disepetkan. Nia tahulah, bukannya dia itu buta huruf.

Rak kasut ditilik. Kosong, tiada kasut yang tersedia, yang ada hanyalah selipar Jepun buruk. Diberi ketukan beberapa kali, langsung tiada sesiapa yang membalas.

"Macam tak ada orang je. Taufiq, cer kau bagi salam."

Lelaki itu memandangnya dengan kening yang berkerut. Dia ingat dia itu puteri raja ke sampai Taufiq perlu patuh dengan semua arahannya?

"Eh, kau ni kan. Dahlah suruh aku tukar kelab lepas itu..."

"Assalamualaikum!" laung Nia sambil menempelkan mukanya pada cermin tingkap.

Taufiq menjeling Nia dengan ekor mata. Suka sangat pintas ayat Taufiq kalau lelaki itu sedang serius. Elok sangatlah macam itu?

Nia sedikit hampa apabila salamnya tidak dibalas. Kan mari suara pelik-pelik menggigil pula dia di situ.

"Taufiq, Taufiq, sekarang pukul berapa?" soal Nia dengan menceriakan perkataan 'Taufiq.'

"Dua suku. Lain kali letak lagi jam kau merata-rata."

Jam tangan Nia lesap semasa dia selesai mengambil air wuduk. Walaupun sudah banyak kali Taufiq pesan agar sentiasa masukkan barang ke dalam poket tetapi Nia buat tidak endah.

Lagipun, usai solat Zuhur berjemaah mereka terus bergegas, alasannya tidak suka beratur di kantin pada waktu petang. Bijak tak bijak, tentulah orang semua pergi makan tengah hari.

Gadis itu menepuk dahinya sendiri. Baru perasan dengan kebodohannya.

"Aduh, sakit pinggang," lembut suara itu mengadu.

Selembut sutera yang ditenun dengan penuh gemalai meskipun ia merupakan getar suara yang terluncur dari bibir seorang lelaki. Dan, adakah lagi mana-mana lelaki di dunia ini yang mempunyai ton suara yang serupa seperi itu?

Sudah tentu tidak! Yang ada cuma satu, iaitu seorang jejaka yang sentiasa membuatkan gelojak hatinya naik hantu.

Nak menoleh ke tak?

Bibir digigit dari dalam. Nia menekur lantai simen, entah apa yang dibualkan oleh Hafzan dengan Taufiq, tak masuk langsung ke dalam telinganya.

Yang dia tahu, makin lama Hafzan tidak bermain di padang bola sepak sekolahnya membuatkan dia lagi rindu dengan sorakan dan senyuman lebar lelaki itu.

"Apa pasal tercegat sini? Tak nak masuk ke?" tanya Hafzan sambil memasukkan kunci ke dalam tombol pintu.

Terus Nia menoleh menampakkan sebuah figura yang sempurna ciptaannya dengan alis keningnya yang nipis. Di depannya kini, adakah berkemungkinan besar bahawa Nia bakal menjadi pelengkap tulang rusuk seorang lelaki bernama Hafzan?

Jika ya, siapa tahu? Hehe.

Ya Allah! Nia cepat tersedar daripada lamunannya yang berbisikan nafsu syaitan lantas menggeleng laju.

"Tak nak masuk? Sungguh ni?" Ulangnya lagi.

Dengan separa sedar, Nia mula menukas dengan mengangguk, "Eh, nak, nak."

Kasut disusun elok ke atas rak seraya dia mengerling ke arah Taufiq. Dicari kelibat lelaki itu di pondok depan perpustakaan namun dia tetap tidak kelihatan.

Mana perginya Taufiq?

"Awak, lupa nak bagitahu, kawan awak itu dari kelab Matematik, kan? Cikgu dia panggil jadi dia tak dapat nak join kita."

Oh. Hanya itu yang Nia dapat membalas. Diberi anggukan kepada Hafzan tanda dia mengerti dengan lelaki itu.

Nia mengeluh kecil.

Dadanya berasa sedikit sesak disebabkan tindakannya yang memaksa Taufiq memasuki kelab yang sama dengannya walaupun dia tahu yang pihak sekolah tidak membenarkan perkara itu berlaku tanpa sebab.

Risau pun ada. Jarang sekali Taufiq tinggalkan Nia tanpa sebarang kata. Kadang-kadang marah macam mana pun lelaki itu pada Nia, paling teruk pun dia sepak batu kecil pada Nia tanda 'aku blah dulu, tenuk.'

"Berapa lama lagi awak nak tunggu kat luar itu?"

Ah, jangan mengelamun lagi, Nia.

Pintu dikuak. Hafzan terlebih dahulu melangkah masuk ke dalam perpustakaan. Suis lampu ditekan, menampakkan barisan rak buku yang tersusun kemas dan teratur mengikut jenis buku.

Nia pun mengikuti jejak Hafzan.

Dia memerhati batang tubuh itu dari belakang. Dengan pakaian seragam kadet polis yang terlihat segak dengannya ditambahkan pula dengan bentuk badan lelaki itu yang tegap, memang citarasa idaman.

Dua lagi, perencah senyumannya yang menampakkan lekuk di bawah mata dan kecantikan rambut perang merahnya.

Aish, takut pula Nia. Duduk berduaan dengan Hafzan di dalam perpustakaan ini, macam-macam benda boleh berlaku.

Contohnya, Nia akan mencair kerana tangkap leleh dengan Hafzan. Ha, tak ke bahaya itu?

Bunyi kerusi plastik ditarik memenuhi sudut pembacaan itu. Hafzan melabuhkan duduknya di kerusi yang menempatkan sebuah meja petak besar di barisan paling belakang.

Sebenarnya, Nia teragak-agak hendak duduk berdekatan dengan Hafzan. Maka, dia lebih rela 'bersiar-siar' di dalam perpustakaan sehinggalah ada guru yang datang.

Bijakkan dia?

Kepala Hafzan ditongkatkan dengan lengan. Sesekali dia menyepak kerusi di depan, bosan pula apabila dia ditugaskan menjadi pemegang kunci. Kena datang awal lagi.

Rambutnya diserabutkan, tak boleh duduk diam. Hafzan bingkas bangun, langkahnya diatur menuju ke sebuah rak buku yang paling hampir dengan mereka.

Sebelah tangannya menyentuh bibir dengan jarinya dihalakan ke satu persatu buku sambil menggumam perlahan. Semerta, bibirnya terukir senyum apabila matanya tertancap pada sebuah buku yang sudah lama dicarinya.

"There you are," katanya seraya mencapai buku itu.

Debu yang melekat terus menusuk ke dalam hidungnya. Dia cuba tahan namun tak sampai sesaat, bunyi Hafzan bersin terus bergema di dalam perpustakaan.

"Pftt."

Lantas Nia melarikan pandangan matanya ketika Hafzan mendengar tawaan Nia. Dia berpura-pura memilih mana-mana bahan bacaan di rak buku itu, menyembunyikan diri daripada diketahui oleh Hafzan.

Bukan sengaja pun Nia gelakkan Hafzan. Siapa suruh bersin kuat sangat? Bercakap bukan main gentleman, tiba-tiba keluar suara anak tikus.

Aduhai, Hafzan.

Bersin pun nampak santun je.

"Assalamualaikum! Maaf cikgu lambat, cikgu ada kerja sikit tadi."

Fail yang besar diletakkan di atas meja. Serentak, mereka melihat beberapa orang pelajar melangkah masuk ke dalam perpustakaan.

Berserta Cikgu Nadia dan Cikgu Zul.

??

"SEMUA dah kenal saya siapa kan?" soal Cikgu Nadia yang dalam lingkungan 30-an itu.

"Kenal!" jawab mereka.

Pin di tudung diperbetulkan seraya mencabut penutup marker pen. Dakwat hitam itu menari pada papan putih. Ada senyuman yang lebar di bibir Cikgu Nadia semasa menulis.

"Baik, jadi cikgu nak tanya, siapa kat sini yang suka menjual? Ada buat bisnes kecil-kecilan ke apa ke?"

Tiga orang pelajar mengangkat tangan. Bukan apa, pelajar tingkatan satu ini, kalau bab aktiviti kokurikulum yang diminati bukan main semangat.

"Jadi senanglah nanti kelab kita ini nak aktif," balas Cikgu Zul yang memakai cermin mata.

"Cikgu, ada hari jualan ke?" soal pelajar lelaki tingkatan satu.

Cikgu Zul mengangguk, "Ada. Tapi sebelum itu, benda basic masa koku, kena buat pemilihan dulu. Nak balik awal, kita buat cepat-cepat."

Usah ditanya, sudah tentulah pemilihan untuk menjadi presiden kelab. Nia hampir tersengguk-sengguk macam burung belatuk, kononnya mendengar apa yang Cikgu Zul sampaikan.

"Assalamualaikum, cikgu."

Seisi kelas tertumpu kepada pelajar perempuan itu. Rambut coklat cair diikat sanggul tinggi yang sesuai dengan kulit fairnya. Juga merupakan salah seorang pelajar yang terlihat jelita di sekolahnya.

Elina, merangkap teman sekelas Nia.

"Kenapa lambat?" soal Cikgu Nadia.

"Sakit perutlah. Tandas ramai sangat orang," balasnya sambil tersengih.

Cikgu Nadia hanya mengiyakan. Malas nak layan sebenarnya, "Hmm. Duduklah, itu duduk sebelah Dora itu, ada tempat kosong."

Marker pen ditunjukkan ke arah Nia. Semerta, mata Nia yang tadinya kuyu membulat ketika seisi kelas menumpukan perhatian kepadanya.

Tidak lupa juga, pandangan mereka diiringi dengan gelak tawa, entah dari mana datangnya unsur jenaka, Nia pun blur. Tahu-tahu sahaja orang ramai menyebut Dora, karakter kartun perempuan rambut petak.

Lama juga Nia nak hadam sebelum dia tersenyum tawar, faham dengan sarkastik itu.

"Okay, cikgu."

Elina mengambil tempat duduknya di sebelah Nia. Dengan selamba badak pula, dia mengeluarkan bungkusan gula-gula getah dan menyuakan ke dalam mulutnya.

Kalau kunyah perlahan tak apalah juga. Ini dah macam nak buat mukbang di Youtube, nasib dia tak buat buih chew gum, kalau tak memang dikira terlebih biadap.

Keluhan dilepaskan. Tak apalah, payah juga nak tegur kerana mereka sekelas, lainlah kalau Rania, dia budak lagi. Adalah sedikit keberanian Nia hendak melawannya.

Dengan junior je berani, kalau sama umur atau senior, kecutlah juga Nia.

"Hai, saya Hafzan dari kelas 5 Nilam."

Seolah-olah suara Hafzan itu merupakan suntikan semangat, terus matanya menangkap susuk tubuh Hafzan yang sedang berdiri di hadapan semua orang.

Dia senyum, indah macam pelangi.

Tulisan di papan putih yang selama ini Nia tak pernah ambil kisah dalam kokurikulum pun dibaca olehnya. Rasa bangga, ujub pun ada kerana tertera nama Putera Hafzan yang menyandang jawatan Pengerusi Kelab Jualan.

Hati Nia berbunga-bunga macam Hafzan baru sahaja mendapat tempat dalam hidupnya.

"Jadi, penolong pengerusi, ada cadangan?" soal Cikgu Nadia sambil mengangkat tangan.

Tak angguk mahupun geleng. Semua pandang Cikgu Nadia dan Cikgu Zul dengan terkebil-kebil, mungkin kerana masing-masing tidak mengenali gerangan pelajar tingkatan lima.

Kalau lelaki, Hafzan.

Perempuan pula macam tak ada harapan hendak dicalonkan kerana muka bengis mereka yang dipaparkan. Ya, muka nak bunuh adik-adik junior.

"Er, kalau saya nak cadangkan boleh tak?" tanya Hafzan.

Cikgu Zul mengangguk, "Cadang je lah. Form four pun tak apa."

Hafzan berdehem melegakan tekaknya yang sedikit berpasir. Spontan, pandangannya dilemparkan ke arah Nia berserta senyuman yang terlakar di bibir.

Nia statik.

Dia pun pandang Hafzan.

"Cikgu, saya nak cadangkan Dhia."

Namun, mata masih tertancap pada Nia. Dalam masa itu, Nia kalihkan pandangan pada papan notis, berdebar dengan renungan Hafzan.

Pelik juga, panggil nama orang lain, pandang orang lain. Nia hendak syak Hafzan juling pun tak boleh sebab lelaki itu punya mata memang betul-betul tertusuk ke dalam retinanya.

Apa masalah, Hafzan? 

"Dhia?" tanya Cikgu Zul sambil membelek senarai nama pelajar. Cikgu Zul hairan kerana nama itu tidak dijumpai, "Nama penuh apa?"

Hafzan mengangkat bahu.

Jarinya dituding pada seorang perempuan berambut pendek yang berada di sebelah kanannya. Dia sedar sangat yang gadis itu tahu Hafzan sedari tadi memandangnya.

"Saya nak dia jadi penolong pengerusi."

Dan, sekali lagi bila Nia menoleh, dia menjadi tumpuan seluruh ahli kelab termasuk dua orang guru itu. Tak dapat reaksi, hanya senyuman paksa yang ditayangkan.

Hanya bunyi pendingin hawa yang terpasang. Serta semburan minyak wangi automatik dengan bau nanas.

"Pop!" Buih chew gum Elina pun turut pecah.

Haih...

Nia rasa hari ini dia macam artis.

Kontroversinya mengalahkan Janna Nick.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience