RSK : DUA

Young Adult Series 5541

MATANYA tidak lepas daripada memandang jejaka yang tinggi lampai itu. Sudah puas berdiri, dia duduk bercangkung pula di belakang pokok tempat letak motosikal.

Bila sipi-sipi retinanya bertembung dengan empunya badan, lantas dia menyembunyikan diri. Nia menarik nafas lega, ada hikmahnya juga dia sedikit kurus walaupun orang cakap dia macam tak cukup zat.

Nia rasa macam penjenayah pula.

Tak apalah.

Ini semua tidak akan jadi kalau Taufiq bersikap jujur padanya. Lelaki itu, bukan boleh buat main.

Dia berjanji, tapi mungkir.

Dia berkata, tapi berbohong.

Tambahan lagi apabila dia itu selalu terlibat dalam banyak masalah. Lagilah menambahkan kerunsingan di dalam hati seorang Nia. Aish, lelaki memang penuh dengan sifat egoistik!

"Kau memang tak faham bahasa, eh?"

"Oit!" Hampir terjatuh Nia, namun dia sempat berpaut pada akar pokok.

Nia mendongak. Dalam hatinya kalut juga, tadi sudah sempurna segala gerak-gerinya agar tidak terbongkar, tetapi apabila melihat Taufiq dengan wajah yang keruh itu, badan dia jadi statik.

Dia hanya mampu menunjukkan simbol peace.

Manakala Taufiq hanya mampu menggeleng perlahan sambil matanya menilai perilaku Nia yang tadinya disifatkan sebagai salah satu gangguan tidak bermoral.

"Dah, jom balik," arah Taufiq sambil meletakkan beg di atas belakang badannya.

Kadang-kadang Nia pelik juga, apa fungsi tali beg kalau tidak digalas?

"Cup! Hal kau macam mana?"

Nia cuba mengejar Taufiq dari belakang. Langkah lelaki itu besar, sekejap sahaja sudah melewati blok yang lainnya. Sudahnya, Taufiq memang tidak akan berhenti walau selambat mana pun pergerakan Nia.

Taufiq lagi suka kalau dikejar.

Biar orang lain termengah -mengah untuk mendapatkannya.

"Habis," ujar Taufiq sepatah.

"Apa yang habis?"

Sepi. Hanya bunyi daun dipijak yang mengisi ruang ketika itu.

Nia tidak puas hati soalannya dibiarkan tergantung sepi. Melihat Taufiq dari tepi yang langsung tidak mengoyakkan senyuman itu membuatkan dia bertambah jengkel.

Ingat dia perempuan ke nak berubah mood? Tadi beria-ria ajak Nia, kemudian orang ikut, dia pula yang membisu.

Kes di dalam kelas tadi tidak berkesudahan lagi. Tekanan punya pasal, disebabkan Taufiq seorang kecoh satu kelas kerana pelajar tingkatan lima itu.

Dalam Nia asyik mengutuk Taufiq secara batin, sedar tidak sedar mereka sudah pun melangkah keluar daripada pagar utama sekolah.

Kenderaan yang lalu-lalang di atas jalan raya seperti kebiasaan, kurang sesak dan tidak terlalu banyak. Deretan gerai pula hanya menjual pisang goreng, makanan serbaneka dan seangkatan dengannya.

Dan itulah yang membuatkan perut Taufiq mula berkeroncong.

"Kau lapar ke?" soal Nia memecahkan kesunyian di antara mereka.

Perutnya yang minta diisi itu dipegang kejap sebelum diangguk perlahan. Itulah, masa rehat sibuk merayau ke tempat lain.

Dasar kaki lepak.

"Nak teman aku tak? Pisang goreng, jom," pelawa Taufiq.

Dan jawapan cliche yang Nia akan bagi semestinya, "Kau belanja."

Bebola mata Taufiq digulingkan. Walhal memang niatnya untuk membelanjakan sedikit wangnya kepada Nia. Tapi itulah, dia harap sangat kali ini Nia tolak sebab dia hendak paksa Nia terima.

Nia ini memang tidak tahu malu.


***

NIA sedikit ke belakang apabila minyak panas Mak Cik Iti hampir terpercik ke arahnya. Sempat lagi dia pandang Taufiq yang berada di sebelahnya, mana tahu kalau lelaki itu perasan, mahu jauh air muka dia.

Ya, macam biasalah.

Dia sedang tahan senyum dengan menggigit bawah bibirnya.

Yang buat Nia makin sakit hati bila Taufiq mengejek tindakan Nia yang hendak melatah tadi. Nasiblah walaupun dia membuat mimik muka buruk, wajahnya masih kelihatan elok.

"Kau orang ini couple ke?"

Seakan-akan kenal dengan empunya suara, Nia menoleh ke arah beberapa buah bangku dengan meja bulat yang terdapat di warung itu. Dia pun dapat mendengar soalan itu dengan jelas.

Pertanyaan itu bukan diajukan kepadanya.

"Tak adalah, dia orang cuma kawan."

Balasan daripada jejaka berkulit sedang yang memakai baju t-shirt putih itu sedikit sebanyak menimbulkan getaran hatinya.

Kawan? Hebatnya perkataan itu sampai dia sendiri terkesan.

Walhal empunya tubuh tidak langsung bersuara. Dalam kalangan empat orang lelaki yang menjamu makanan ringan itu, hanya jejaka yang menyarungkan baju hitam lengan panjang seorang sahaja yang menelaah buku fiksyen di atas riba.

Dia hanya memberi respon sekali dua. Itupun lebih banyak angguk dan geleng daripada bersuara.

"Adik ni nak berapa ringgit?" soal Mak Cik Iti merujuk kepada Nia.

Nia yang sedang asyik mengelamun itu tidak mempedulikan mana-mana suara yang menerjah masuk ke cuping telinganya.

Dan kebisuan Nia disedari oleh Taufiq. Dari tadi dia cuma memerhatikan tindak-tanduk Nia memandangkan jarak mereka berdua adalah sangat dekat.

"Dua ringgit, mak cik," balas Taufiq seraya menghulurkan dua not duit kertas.

Nalurinya kuat mengatakan bahawa Nia mencuri-curi dengar perbualan empat orang wakil bola sepak sekolahnya. Amat mustahil jika Nia hanya menekur tudung saji tanpa mempedulikan mereka.

Walaupun Nia tidak secara verbalnya bertatapan dengan mereka namun Taufiq sangat tahu siapa yang Nia mahu pandang pada ketika itu.

Beg kertas yang berisi makanan bergoreng itu diterima oleh Taufiq.

"Kau nak tidur sini terus ke?"

Nia tersentak. Lantas dia memandang Taufiq yang sedikit berbongkok itu dek hendak menyamai paras tubuh si gadis.

"Aih, jomlah."

Lekas-lekas Nia menyorokkan perlakuannya itu daripada diketahui oleh Taufiq. Mahunya Taufiq bocorkan segalanya di warung itu juga, boleh mengaibkan dirinya seumur hidup!

Dan kerana langkah Nia yang tergopoh-gopoh itu jugalah, satu insiden yang tidak diingini berlaku.

Bunyi hon daripada Grand Livina langsung tidak menerpa masuk ke gegendang telinganya. Nia berjalan lurus, langsung tidak berpaling ke kiri dan kanan.

PIN! PIN!

Satu tangan kekar menarik belakang beg merah cairnya sehingga mereka berdua tersadung ke belakang. Jalan tar yang berkerikil itu menjadi alas pendaratan mereka.

Dadanya berombak kencang, sepantas kilat lelaki itu menggapainya, barulah dia dapat mencantas fikiran buruk yang menerawang di dalam kepalanya ketika itu. Ya, kematian.

Genggaman di penumbuk dikuatkan. Bermacam-macam spekulasi yang timbul, bayangan maut yang tidak berlaku pun menghantui fikirannya.

Sesekali sang jejaka mendesis sakit apabila sikunya terhentak pada batu kerikil. Pedih, namun dia tidak terlalu mempedulikannya. Ia cuma sedikit.

Dia kemudiannya menilik Nia dari sisi seraya melepaskan nafas lega.

Tiada kecederaan pada badan Nia.

"Nia, kau okay tak?"

Bibir Nia terketar-ketar. Liur ditelan pahit.

Dia pandang Taufiq, kemudian bersilih ganti dengan lelaki di sebelahnya. Lelaki itu dilihat cuba menggagahkan diri untuk berdiri sambil memegang lengannya.

'Hafzan...' getus hatinya.

"Awak okay?" soal Hafzan lembut.

Mata kuyunya bertentang erat dengan retina bundar milik Nia.

Sedemikian itu, jawapan daripada Nia hanyalah sebuah anggukan yang fana. Hilang terus debaran di dadanya ketika sejengkal maut hampir menerpa.

Sekarang yang dia nampak hanyalah seorang putera yang telah lama merajai hatinya. Dirinya tertawan lagi!

"Lain kali jalan hati-hati. Tengoklah kiri kanan. Jangan nak termenung je kerjanya," pesan Taufiq sinis, perkataan termenung sengaja dileretkan.

Biar Nia tahu di mana silapnya. Sudahlah soalan Taufiq dipulaukan, malahan pertanyaan Hafzan yang dilayannya.

Namun Nia buat tidak endah. Dia bingkas berdiri, belakang badannya ditepuk-tepuk, menghilangkan sedikit kotoran dan habuk pada pakaiannya.

Mengharapkan pertolongan Taufiq memang kesudah dia tidak boleh diharap.

"Terima kasih," tutur Nia perlahan.

Masih dapat didengari oleh Hafzan. Lembut dia menyulam senyuman, memang serupa dengan budi bicaranya yang selalu Nia perhati dari jauh. Penyantun.

Hafzan menyentuh bawah hidungnya yang agak mancung itu. Dibeleknya pakaian Nia sekali imbas sebelum memandang kembali wajah gadis itu.

"Betul ni awak tak ada sakit apa-apa?" tanya Hafzan.

Nia menayangkan dua tangannya.

"Ya, ya, tak ada. Lagi satu saya minta maaf sangat sebab dah menyusahkan awak."

Oh. Hanya itu yang terpacul di bibir Taufiq ketika Hafzan hanya memujuk Nia dengan kata-kata yang menunjukkan sifat kelelakiannya. Taufiq tidak ambil kisah pun fasal itu.

Dia mula berpeluk tubuh.

Bukannya Taufiq rajin sangat hendak melayan drama mereka. Tadi adalah juga risau akan Nia, tapi memandangkan gadis itu tidak menunjukkan sebarang masalah lagi memang tiada apalah yang boleh dilakukannya.

Ulat bulu dah naik daun katakan.

"Bak sini pisang goreng aku," pinta Nia.

Selesai sudah urusan mereka.

Bungkusan kertas bertukar tangan. Usai berterima kasih, Nia pun mengorak langkah terlebih dahulu daripada Taufiq.

Bukan apa, sebenarnya dia tidak mahu Taufiq melihat wajahnya yang jelas memancarkan sinar kegembiraan ketika itu. Pipinya terasa lebih hangat daripada menjinjit bungkusan makanan.

Dia menampar perlahan pipinya. Cukup dua tiga kali, dia menjerit kecil seperti anak tikus. Nia ingatkan dia sudah tergilakan Hafzan disebabkan
lelaki itu cool dan pandai bermain bola sepak selain rambut perangnya itu sangat menyerlah.

Rupa-rupanya lelaki itu memang selayaknya digilai!

Rambutnya terasa disentuh dengan lembut. Semerta, kepalanya didongakkan, terpacul wajah Taufiq yang sedang memegang ranting kayu. Ia membawa ranting itu, diseretkan di atas ubun-ubun kepala Nia.

"Rambut kau ada labah-labah."

Labah-labah? Terbuntang luas mata Nia. Segala yang mempunyai kaki halus dan lebih daripada empat memang dia anti sungguh.

"Weh, dia ada lagi tak? Haa, tolonglah." Dia mengusutkan kepalanya.

Ah, tolonglah buat apa sahaja asalkan binatang itu mati daripada menyentuh kulit kepalanya!

"Hei, hei, tak payahlah nak gelabah sangat. Dah jatuh dah pun."

Tiba-tiba, seekor labah-labah menerawang turun melalui bebenangnya di atas kepala Taufiq. Besarnya memang mengalahkan penumbuk Nia!

"Eh, dia ada atas kepala kau pula!"

Jari Nia dihalakan ke arah Taufiq.

Tidak semena-mena, Taufiq melemparkan labah-labah itu pada Nia. Apa lagi, menjeritlah kawan itu. Bahkan menjadi sukan secara tidak langsung pula, saling melempar binatang antara satu sama lain.

"Taufiq gila! Kau tunggu!"


***

BUKU yang jatuh di atas jalan dikutip. Dia langsung tidak teringat akan bukunya yang entah tercampak ke mana. Tahu-tahu sahaja, dia dileteri oleh Mak Cik Iti kerana dituduh membuang ilmu.

Hafzan mengeluh perlahan.

Namun begitu, dia tetap tidak menyesal dengan tindakannya itu. Walaupun sikunya sedikit tergores dan diperli oleh rakan sepasukannya yang lain kerana berlagak hero, dia masih bangga.

Helaian demi helaian dibelek, dia tidak mahulah terlepas halaman yang belum dibaca. Tiada penanda, dia lebih suka melipat halaman.

Sehinggalah matanya tertangkap akan satu halaman yang masih segar dalam ingatannya sebelum insiden tadi berlaku. Jika perkara itu terlalu penting untuknya, mindanya cepat menghafal.

_____

Perlu bertahan. Itu yang Setia selalu ucapkan pada diri sendiri setiap kali kesepian yang bersarang di dalam jiwanya semakin meruntuhkan semangatnya untuk terus hidup.

Setia yang tiada teman. Bahkan, jika dia mempunyai teman walaupun seorang, dia bukan akrab dengan Setia kerana dia ikhlas, tetapi disebabkan Setia arif tentang segala hal.

Rupa Setia itu tidak menyenangkan.

Tidak indah.

Namun sekarang, Setia tidak lagi berada dalam kesunyian. Hadirnya Rindu yang diciptakan dalam bentuk kesempurnaan itu akan mencoretkan seribu satu kemanisan buat Setia.

Rindu diciptakan hanya untuk Setia.

Setia yakin itu.

______

Hafzan perlahan mengukirkan senyuman. Sangat erat makna daripada novel fiksyen yang dibelinya tempoh hari. Dia suka.

Juga, dia tidak tahu mengapa.

Hatinya tidak menidakkan mindanya apabila fikirannya masih menyimpan raut wajah gadis itu meskipun mereka baru bertentang mata untuk satu kali.

"Dhia? Dhia ke nama dia?" Hafzan menggumam sendirian.

Lantas dia mengetuk kepalanya sendiri dengan buku. Entah kenapalah dia sendiri beria-ria hendak mengingat nama gadis itu.

Dan itulah yang dia tidak suka.

Dia tidak suka apabila sesuatu yang dia mahu simpan, hilang daripada ingatannya.

Lebih tepat lagi, dia tidak mahu lupakan 'Dhia.'

Author ada banyak kekurangan. makanya kalau nampak typo, kesalahan tatabahasa atau apa silalah tegur.

Share this novel

SAIDS
2021-05-03 07:11:48 

ada bau² cinta tiga segi


NovelPlus Premium

The best ads free experience