RSK : SATU

Young Adult Series 5541

JATUH hati lagi.

Entah, penat Nia menghitung hari. Setiap kali matanya mengintai sang jejaka dari tingkap kelas, dia semakin tidak keruan. Baginya tona wajah tan lelaki itu sungguh menawan dengan rambut perang kemerahannya.

Lebih-lebih lagi apabila dia bersorak keterujaan ketika berjaya menjaringkan gol. Alahai, sudahlah baju jersi yang dipakainya sepadan dengan beg sekolah si pemerhati itu.

Setiap hari dia bertanya kepada diri sendiri, bagaimana rasanya jika mereka bertentang mata, bersuai kenal dan menjadi rapat?

Oh, ke situ pula fikirannya melayang!

"Oi."

Dia kalih ke arah empunya suara.

Taufiq. Rambut hitam pekatnya yang serabai itu menarik perhatiannya. Tidak kurang juga pada bahagian hidungnya terdapat kesan calar dan luka.

Padahal baru dua tiga hari lepas dia nampak lelaki itu elok tanpa sebarang masalah.

Taufiq buat hal lagi?

"Tu..." Jari telunjuknya dihalakan ke arah luka Taufiq.

Dia cuma sengih sehingga menampakkan gigi. Gelengan perlahan menjadi jawapan.

Mungkin dia tidak mahu gadis itu risau akan keadaannya.

Kemudian, Taufiq menjatuhkan tangannya lembut ke atas meja berlapikkan lengan baju kurungnya itu.

Belum sempat Nia bertanya, Taufiq terlebih dahulu berlalu pergi. Biasanya, lelaki itu sentiasa tidak duduk diam, suka mengusik si gadis sehingga dua-dua berbalah dan berbaik sendiri.

Dia toleh belakang, mata mencari bayang Taufiq.

"Haih, macam tak ada kerja nak buat," gumamnya.

Padahal baru sekejap mereka berbual.

Sudahlah masing-masing sibuk membuat bising di dalam kelas. Dia yang tidur di meja hujung berbantalkan lengan boleh pula selesa dengan persekitaran yang serupa kandang binatang ini.

Nia tersenyum sendiri.

Dalam lelaki itu sangat menjengkelkan terhadapnya, hanya dalam lenanyalah baru Nia dapat melihat sisi lain Taufiq.

Baik, diam dan pasif.

Kehidupan di kelas 4 Ratna yang riuh-rendah itu tidak lama sebelum mereka terdengar beberapa ketukan di pintu depan. Masing-masing mendiamkan diri apabila orang yang berada di dalam kelas mereka bukanlah tipikal pelajar sekolah biasa.

Badan mereka agak besar dan tegap seperti lelaki yang sudah dewasa. Pakaian seragam putih itu tidak dibutangkan dan tidak bertali leher.

Sebahagian daripada mereka ialah bekas pelajar tingkatan lima yang masih berada di sekolah ini.

Entah mengapa, sistem sekolah yang pelik ini tetap meluluskan keberadaan mereka. Itulah serba sedikit yang menjadi tanda tanya para pelajar.

"Siapa Taufiq angkat tangan," arah salah seorang dari mereka.

Mereka terdiam termasuklah temannya Taufiq. Terkecuali, Azman yang merupakan seorang ketua kelas merangkap satu-satunya pengawas berseragam biru di dalam kelas itu.

Dia bangkit, mara ke arah seorang lelaki yang tingginya lebih kurang sejengkal daripada Azman.

"Kenapa cari Taufiq? Ada hal apa dengan dia?" soal Azman, cuba untuk menjadi berani.

Walhal dalam hati, degupan jantungnya itu, Tuhan sajalah yang tahu bagaimana.

Lelaki dengan tag nama Faris itu menyentuh bahu Azman. Mereka sama tinggi, bezanya Faris lebih tua dan wajahnya kasar tidak seperti Azman.

Bibirnya didekatkan di cuping telinga Azman seraya menggumam perlahan, "Budak penarik beca jangan bising."

Semerta pipi Azman memerah. Dia mengetap bibir, muka Faris dipandangnya tajam sambil meneguk liur. Dia patut tahan sabar kalau dia mahu terus bersekolah.

Ya, itu pesan penarik beca kepadanya.

"Taufiq!" laung Azman.

Namun Taufiq degil. Dia yang masih mamai itu tidak mempedulikan Azman sebaliknya mengambil kotak penselnya dijadikan bantal.

Azman mendecit geram.

Dia baru hendak melangkah ke arah Taufiq yang berada di hujung kelas berdekatan tingkap itu tetapi dihalang oleh Faris.

Sebaliknya, Faris yang ingin menjemputnya.

Nia hilang arah apabila semua kelihatan sugul tidak membantu. Dia tidak senang duduk, apa yang dibisikkan kepada Azman dan apa yang dia mahu lakukan terhadap Taufiq?

Dia jadi buntu. Sejak tadi dia cuma memerhati tanpa membantu.

Ketika itu jantungnya mula meledak tatkala langkah Faris menghampiri ke arah mereka. Dapat dia rasakan perkara yang tidak baik akan berlaku. Apatah lagi apabila melihat insiden yang terjadi kepada Azman tadi.

Bunyi kerusi ditolak perlahan mewujudkan suasana.

Taufiq bangun. Jarinya menyisir rambutnya yang agak kusut itu. Dia selamba, ketawa seorang diri dengan nada yang agak sinis sambil melihat ke arah Faris.

"Kau nak jumpa aku sekarang?" soalnya.

Lain pula apabila Nia memikirkan adegan tumbuk-menumbuk bakal berlaku bahkan sangkaaannya meleset sama sekali.

Faris menyungging bibir.

"Aku tak sangka aku dapat jumpa kau. Dunia ni kecil, alih-alih kita sama sekolah je," ujarnya seakan ramah.

Sela itu, Faris mengangguk. Puas, dia amat serius apabila dia berkata dia akan mencari lelaki bernama Taufiq itu walau ke hujung dunia pun. Jika dia berkata pasti akan dikotakan.

Kerana dendam antara mereka masih berkobar.

"Jumpa kau balik sekolah nanti."


***

SEJAK tadi Nia berdiam diri.

Puas sudah Taufiq memujuknya bahawa dia akan selamat dan tidak akan ada apa-apa yang teruk akan berlaku. Begitulah, banyak mana pun Taufiq cakap, dia tetap sama.

Menghalang Taufiq.

Katanya, jika Taufiq tetap hendak pergi, dia mesti melangkah mayatnya terlebih dahulu sebelum dia bakal mendapat tahu Taufiq teruk dibelasah sehingga patah riuk tulangnya.

Tapi Taufiq kekal dengan kata hatinya dalam masa yang sama dia hendak meyakinkan Nia.

"Aku belajar silat kan. Nanti aku tumbuk, melayanglah dia orang," pujuk Taufiq.

Si gadis berambut pendek paras leher itu menggeleng. Tin minuman Milo diambil dari mesin air lalu diberikan kepada Taufiq. Duit Taufiq, dia tidak mahu.

Tahu-tahu sahaja si gadis sudah menekan punat bernombor dua seraya memasukkan wang kertas bernilai dua ringgit. Baru pertama kali dia tolak pemberian Taufiq.

"Aku nak ikut," ujarnya sepatah.

Nia pandang Taufiq dengan mata yang penuh berharap.

"Tak boleh."

"Boleh."

Taufiq mengeluh perlahan. Matanya meliar di tingkat satu itu, mencari bayang pelajar gergasi. Dipastikan mereka tiada, barulah Taufiq membuka mulut.

"Sekali je dengar cakap aku. Aku lelaki, kau tu perempuan," tuturnya lembut.

Kening gadis itu dijongketkan sebelah.

"Jadi? Kau kan ada. Jagalah aku."

Taufiq menggigit bibir. Amboi, perempuan kalau bercakap memang ikut sedap mulut dia saja. Nasiblah mereka ini berkawan baik, kalau bercinta memang sudah lama agaknya ditinggalkan.

Sudahlah mereka itu hanya ada satu sama lain. Golongan paling sunyi di dalam kelas.

"Aku jaga kau, siapa nak jaga aku?" balas Taufiq.

"Jagalah dua-dua, kau kan belajar silat. Cikgu Silat Gayung kau tu tak ajar, eh?" sinisnya sambil membuka penutup tin.

Tidak semena-mena, air coklatnya itu terpercik ke arah Taufiq. Bukan sedikit, banyak pula tu! Habis basah seluar lelaki itu, kena pula betul-betul dekat celah kangkang.

"Kau memang sengaja, kan?"

Pantas si gadis itu menggeleng laju apabila melihat muka Taufiq yang berkulit cerah itu jelas kemerahan. Telinganya pun terjangkit sama.

"Sumpah aku tak sengaja," katanya gugup.

Tin Milo di tangan Taufiq dibuka. Bibirnya mengukir senyum dengan rancangan jahat di kepalanya. Kalau bukan sebab gadis itu mencari nahas, memang tak adalah dia buat juga.

"Kira sampai tiga, aku dapat kau, berkokolah kau hari ni."

Mata si gadis itu membulat, langkahnya terus memecut langkah seribu. Sudah tidak dikisahkan lagi yang dia sedang memakai kain bukannya seluar track ketika itu.

Apatah lagi apabila Taufiq langsung tidak mengira sampai tiga, terus mengejar si gadis itu. Dia langsung tidak kisah kalau gadis itu tersungkur di tengah jalan.

Dan mereka tidak mempedulikan lagi jika ada pelajar lain yang melihat mereka ketika itu. Bangangnya, berlari dari tingkat satu sehingga ke dalam kelas dengan tin minuman di tangan.

"Taufiq, dah!" pinta si gadis itu.

Bibir Taufiq tersenyum kemenangan. Sempat juga dia memintas langkah pendek Nia, nasiblah yang dia tidak terus mencurahkan air tin itu.

Namun ada sesuatu yang mengganggunya.

Lariannya sudah berhenti tapi mengapa debarannya semakin lama semakin kuat. Tambahan lagi apabila si dia ketawa dengan wajah yang ceria sehinggakan anak matanya hilang memasuki tubir mata.

Baru Taufiq tahu yang...

Kawan dia ini, perempuan yang cantik rupanya.

"Okaylah, kau boleh pergi," izinnya sambil tersenyum manis.

Reaksi Taufiq agak terkejut. Dia terlampau asyik memandang gadis itu sehinggakan suara kecil itu tenggelam di dalam kepalanya.

Takut juga Taufiq kalau dia ada penyakit tidak waras. Risau, tapi yang menghairankan, mentalnya itu hanya tertumpu kepada Nia.

Pelik benar.

"Tapi janji dengan aku, luka-luka kau ni tak akan ada esok pagi, faham?" mintanya sambil menunjukkan kesan calar Taufiq.

Dia menghembus nafas lega. Nampaknya kawan perempuan itu memahami tentang keadaan dirinya.

"Aku janji."

Gadis itu hanya berlalu pergi masuk ke dalam kelas. Taufiq tidak, dia masih kekal di koridor. Alasannya hendak mengambil angin sambil melihat pokok-pokok di dataran.

"Aku suka dia, Taufiq."

Kepala Taufiq diketuk sendiri. Apa hal suara Nia dua bulan yang lalu menerjah masuk ke ruang mindanya? Memang sah, tekanan pelajaran tidak sepatutnya diberi pada usia muda.

Taufiq sedang mengalami tekanan remaja. Ya, dia yakin!

"Agaknya kau pun sama macam aku tak, Nia?"

i looooooooovvvveeeee youu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience