RSK : TIGA

Young Adult Series 5541

BIBIR yang berasa kering itu dibasahkan sedikit. Sekeping kertas yang ditaburkan dengan bedak wangian bunga lavender itu direnungnya lama. Aksara-aksara yang terhimpun langsung tidak menarik minatnya.

Lelaki berkulit cerah itu berdehem. Dimasukkan kembali kertas itu ke dalam sampul surat berbentuk hati di atasnya. Tindakannya jelas, wajahnya juga tegang ketika itu.

"Buang masa."

Nia tersentak. Perlakuan Taufiq yang menghulurkan sekeping surat itu kepada seorang pelajar perempuan yang berseragam pengakap dipandangnya berserta kerutan di dahi.

Ini kali kedua.

Dan, merupakan kali pertama gadis itu bertentang empat mata dengan Taufiq. Si dia yang menekur lantai bersimen itu menyambut huluran Taufiq dengan senyum tipis.

"Saya minta maaf," ujarnya.

Taufiq mendengus. Payahlah, tolak baik-baik dikatanya jual mahal, kalau tolak secara kasar... Haih, bibir lelaki itu terjongket sedikit.

"Bukan salah kau."

"Tapi awak tak suka saya."

"Sebab kau bukan taste aku."

Gadis itu tertunduk dengan bibirnya yang digigit dari dalam. Hujung matanya sempat menilik Nia dan Taufiq yang memakai pakaian sepadan berwarna hijau.

Kadet Remaja Sekolah.

"Terima kasih sebab dah tolak saya."

"Sama-sama."

Dengan nafas yang berat, langkahnya diorak menjauhi Nia dan Taufiq. Pelajar itu mendapatkan semula rakannya yang sedari tadi menunggu mereka di belakang tempak letak kereta.

Tidak semena-mena, Nia meletuskan tawa. Entah, bukan selalu dia dapat melihat drama sedih di depan mata. Ingat senangkah hendak menonton live action secara percuma?

Kasihan, kena tolak, ya?

"Jahat siot kau," tegur Taufiq.

Nia pandang Taufiq dengan sengihan yang melebar. Dengan tidak sengaja, Taufiq juga turut ketawa. Malahan, lebih kejam daripada Nia.

"Bayangkan crush kau reject kau macam itu."

Ya, ayat itu yang diluncurkan oleh Taufiq. Jejaka itu menyambung kembali tawanya selepas Nia memberikannya jelingan maut.

"Blah kau."

"Eh, gurau je."

"Tak ada, tak ada. Kau jahat."

"Canda, bos."

Nia menyepak batu yang menghalang laluannya tanda protes. Bencilah!

Kini, giliran Taufiq pula yang mengejar Nia dari belakang. Diserunya nama Nia berkali-kali, tetapi tidak diendahnya.

Taufiq menampat bibirnya sendiri. Hai, memang salahlah kalau dia mempermainkan perasaan Nia yang hampir sebahagian rasa sukanya ada pada Hafzan!

"Mesti handsome aku ini kan, sampai Rania itu on crush dekat aku?"

Mata Nia bagai ditarik dengan mata kail. Jarang sekali seorang Taufiq hendak memuji diri sendiri. Ini pula, siap pakej dengan senyuman menggoda dan gaya rambutnya yang diselak ke belakang.

Tak kuasalah!

"Elok sikit. Biar sini aku rate muka kau, kau itu tak sampai 25 peratus kekacakan Hafzan, kau tahu?"

Nampaknya, Taufiq berjaya mendapatkan perhatian Nia.

"Tahu. Sebab kalau aku 125 peratus daripada Hafzan. Tak adalah pula kau nak suka dia."

Lama Nia berjeda. Ada betulnya juga apa yang diperkatakan oleh Taufiq. Dipandangnya Taufiq yang mengukirkan senyuman itu sehingga bibirnya yang pecah semakin memerah.

"Kejap, Taufiq. Aku nak pergi tandas."

"Okay."

Di tapak perhimpunan satu merupakan blok bagi pelajar menengah rendah. Di sana terdapat sebuah tandas yang agak bersih berbanding tandas di blok menengah atas.

Nia kerling jam tangan digitalnya. Masa pendidikan jasmani telah tamat, jadi dia mempunyai 20 minit untuk rehat. Dia berkira-kira seorang diri dengan menggunakan jari-jemarinya.

"Sempatlah itu."

Dia mengoleskan senyuman.


***

CERMIN besar yang terdapat di singki yang memantulkan wajahnya ditilik dengan mata yang tajam menikam.

Air mukanya dibelek. Sebal, rupanya yang tiada cacat cela itu tidak dapat membuatkan Taufiq menempelkan pandangan kepadanya. Apa kurangnya dia dari perspektif lelaki itu?

"Itulah kau, main surat-surat bagai. Kan dah kena," perli rakannya.

Pili air dipulas. Dibilas dengan kasar tangannya yang sudah semerbak harum dengan talkum wangi itu. Ceh, tabur bedak konon!

"Dia suka akak itu kut. Siapa nama dia? Yang duduk sekelas dengan Elina itu."

"Hanania."

"Ah, yang itu. Dia orang rapat bersebab, kan? Mesti dia orang nak bodoh-bodohkan kau."

Rania pandang kawannya yang sibuk membetulkan skarf di depan cermin. Amarahnya dihadam, terasa hendak meletus. Dengan nama Nia yang disebutnya.

"Nia itulah yang paling bodoh. Dia ingat dia siapa nak stay dekat situ?" luah Rania.

Bibirnya diketap, "Macam cela..."

Pang!

Pintu tandas dihempas kuat. Secara refleks, pandangan mereka tertancap ke arah Nia yang baru melangkah keluar dari bilik air. Hm, besar kecil sahaja Nia tengok dua orang pelajar tingkatan tiga itu.

Kedua belah tangannya dibersihkan dengan air seraya mulutnya terkumat-kamit mengomel.

"Tandas ini tempat kotor. Kalau tak ada hal, tak payahlah duduk sini lama-lama." Dia menjeda sebelum mendongak melihat refleksi mereka di dalam cermin.

Bibirnya ringan menyambung kembali, "Tapi yalah, kalau nak dibandingkan, mungkin tandas ini lagi bersih daripada hati yang berdengki."

Lidah Rania kelu. Dia mengalihkan pandangannya, sesekali dia mencuit lengan rakannya sebagai tanda isyarat. Namun, tidak bagi orang yang memulakan hal itu.

"Berapa banyak yang akak dengar?" soal rakannya.

"Seberapa banyak yang kau orang mengata."

Cuping telinganya terasa panas berbahang. Lekas Rania menukas perbualan Nia dan rakannya itu.

"Em, kak. Rehat saya dah habis ni, saya masuk kelas dululah," pamitnya.

"Yalah. Tahun ini PT3, kan? Belajar elok-elok."

Sempat Nia mengulum senyum.

"Ya, ya, kak. Hm, bye..." Rania menunduk sebelum langkahnya diorak.

Lengan rakannya dipaut keluar dari tandas. Ada tanda-tanda yang rakannya hendak membidas ayat Nia. Mengingatkan yang Nia mempunyai Taufiq, mustahil untuk dia membiarkan perkara itu berlaku.

Nia mengeluh perlahan. Sesak di dada sukar ditahan, ditambah dengan sakit hati dengan kata-kata Rania. Agaknya kalau mak cik pembersih tinggalkan sisa mengemop di tandas, habis lencun pakaian dua orang itu.

Biar rasa.

Sebaik sahaja dia melangkah keluar menghirup udara segar, kelibat seorang yang tinggi lampai diperhatinya dengan mata yang mengecil. Lambaian lelaki itu dibalas dengan senyuman yang melebar.

"Kau tahu kan kenapa aku tolak dia?" tanya Taufiq sambil menggaru batang hidung.

Kepala Nia disengetkan seraya mengangguk kecil.

"Serius aku cakap, budak tu nampak baik gila, weh. Muka dahlah innocent, cakap pun lemah-lembut. Eh, tup  tup boleh pula dia kutuk belakang aku."

Terletus tawa mini Taufiq.

"Nampak je baik. Kau tak kenal ramai orang lagi kat dunia ni, ada yang depan kita macam malaikat tapi sebenarnya dia itu lagi teruk daripada Azazil."

Pergh ayat dia itu.

Entah kutip dari mana, entah. Tahu-tahu je keluar Azazillah apalah.

"Kan, nasib aku tak sumbat dia dalam mangkuk jamban."

"Sumbat je. Bukan orang kisah pun."

Dan, mereka berjalan beriringan menyelusuri laluan tingkat satu itu. Sepi mula menyapa ketika Nia tidak lagi membalas kata-kata Taufiq.

Puas hati mungkin kerana Taufiq turut sama membenci Rania. Dalam tidak sedar, dia tersengih kemenangan, untung juga ada kawan macam Taufiq yang satu kepala dengannya.

"Dah tengok ke kau kelab apa?"

Persoalan Taufiq memecahkan lamunan Nia. Automatik seri wajahnya kian memudar mengingatkan aktiviti kokurikulum itu.

"Dah."

"Kau kelab apa?"

Nia menjawab acuh tidak acuh, "Jualan kut. Kau?"

Perasaan teruja Taufiq terhempas. Biasanya, Nia akan menyertai kelab yang lebih membosankan daripadanya. Barulah dia dapat menyakat Nia.

Dengan suara seperti ayam nazak dia membalas, "Matematik."

"Nak pontenglah itu."

Taufiq memandang Nia dengan wajah cemberut. Sedap mulut sahaja kalau bercakap! Tangannya diseluk ke dalam kocek.

"At least aku tak macam orang itu, bila hari Rabu je sakit kepalalah, sakit perutlah, sakit nak beranaklah," perli Taufiq.

"Benda darjah empat tak payahlah nak ungkit."

Nia menjeling lelaki itu. Pokok bunga raya di dalam pasu bunga menjadi tempat dia melepaskan aduan kepada Taufiq di dalam hati.

"Apanya tak boleh? Yang kau tipu itu, aku pun terlibat sekali, eh. Siapa yang pergi berjumpa dengan kerani garang macam singa itu kalau bukan aku? Aku ingat lagi tahi lalat dia itu macam makin besar bila aku cakap nak call parents kau suruh ambil kau dekat sekolah.

Dahlah call caj 50 sen."

Nia mencebikkan bibir. Mula sudah sesi menggamit kenangan memalukan yang pernah dilakukan oleh Nia ketika mereka di sekolah rendah.

"Yalah, Ammar. Kau menang. Nak jadi pondan sangat kan? Markah penuh untuk anda."

Tepukan mengejek daripada Nia memancing rasa jengkel Taufiq. Orang cakap benda betul salah, benda salah pun salah. Kalau kalah kena ejek, kalau menang dikatanya pondan.

Taufiq menggeleng. Dia menilik Nia yang entah apa yang dibebelkannya itu, kalau bukan pasal mengadu kerja rumah banyak, cakap tentang kelab pada petang itu.

Apa-apalah, asalkan Nia bahagia di dunia sendiri.


***

DALAM mereka bergurau senda itu, dari jauh terdapat sepasang mata yang memerhati dari sebuah kelas kosong di tingkat empat. Pemerhati merenung mereka dari sebalik langsir gelap berserta senyuman yang terkoyak di bibir.

Dagunya diusap. Ibu jarinya digigit sehingga meninggalkan kesan luka dan ungu kebiruan. Namun, sedikit pun dia tidak peduli dek kerana leka merenung Nia dan Taufiq.

"Kau tinggalkan 'keluarga' sebab perempuan itu? Jadi kau ingat, 'bapa' tak akan lepaskan kau? Tak, kau silap 'anakku."

Darah yang keluar dari jarinya dihisap perlahan. Matanya mencerlung tajam, senyumannya semerta mati seraya sebelah tangannya menumbuk dinding lusuh itu.

"Kau yang akan merangkak cari bapa."

Dia yakin yang suatu hari nanti masa itu akan tiba jua.


***

Hshsh. Just nak bagi amaran, cerita ni bukan cerita berbunga. Adalah bunga dia itu sebab sila rujuk bab 1 pun tahu yang sekolah ni gengster sikit. Fuhh thank you kalau sudi baca.??

Kalau boleh silalah komen apa pandangan awak mengenai bab ini. (~ ̄³ ̄)~

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience