Bab 3

Romance Series 1212748

DI malam yang sunyi sepi itu, Umaira duduk termenung sendirian di gazebo. Sesekali rambutnya terbang dihembus angin. Peristiwa pahit yang terjadi seminggu yang lalu, kembali terngiang-ngiang di benak fikiran di saat ini. Perlahan dia menarik kedua lututnya ke dada lalu dipeluk dengan erat.

Tidak menyangka perkahwinan yang baru sahaja dibina beberapa jam, hancur lebur dengan sekelip mata. Dia tidak menyalahkan Zakuan, sebaliknya dia menyalahkan dirinya. Kerana terlalu ikut emosi, dia mencabar bekas suaminya itu. Dan akhirnya, dia diceraikan dengan talak tiga. Tanpa sedar, airmata mengalir membasahi pipi. Dadanya yang terasa disiat-siat itu, ditekan dengan telapak tangan lalu dahi jatuh melekap di atas lutut.

"Maira rindukan abang..." rintih Umaira dalam tangis.

"Maira..." Umaira tersentak apabila bahunya tiba-tiba disentuh orang. Lantas dia mengangkat muka lalu menoleh ke sisi kanan. Sedikit terkejut tatkala memandang gerangan yang baru sahaja melabuh punggung, duduk di sebelahnya.

"A... abang..." Umaira segera menyeka airmata dengan hujung jari lalu menjatuhkan kedua kakinya ke bawah.

"Maaf, sebab baru hari ni abang ada kekuatan untuk datang jumpa Maira,” ucap Zakuan perlahan.

“Tolong jangan menangis lagi. Abang tak sanggup tengok Maira macam ni disebabkan kebodohan abang. Abang minta maaf. Abang dah buat Maira kecewa dengan abang,” tambahnya lagi. Teragak-agak tangannya menyeka sisa airmata di pipi bekas isterinya itu.

"Bukan salah abang," ujar Umaira sambil menggeleng lemah. "Maira yang bersalah dalam hal ni. Maira yang cabar abang. Maira minta maaf dekat abang. Maira tak sepatutnya desak abang selama ni. Maira terlalu pentingkan diri sendiri tanpa fikirkan perasaan abang."

Zakuan menggeleng. "Tak. Maira tak bersalah. Ini semua salah abang sendiri. Abang yang berjanji dekat Maira, tapi abang juga yang tak mampu tunaikan janji abang sendiri pada Maira. Abang betul-betul rasa menyesal sekarang ni. Menyesal sangat-sangat, tapi nak buat macam mana…" ucapnya tertunduk sayu.

"Tapi betul ke, abang selama ni rimas dengan Maira? Betul ke, abang dah muak dengan Maira?" soal Umaira dengan mata yang masih berkaca-kaca. Dia masih tidak percaya sehingga ke hari ini, apa yang dikatakan oleh Zakuan pada malam itu.

Zakuan segera mengangkat muka lalu menggeleng.

"Tak. Abang tak rimas dengan Maira. Abang tak pernah rasa muak sama sekali dengan Maira. Abang sayang dan cintakan Maira sepenuh hati abang,” ucapnya bersungguh-sungguh.

"Habis tu, kenapa abang tak nak nyanyi malam tu? Betul ke, abang ada masalah besar dengan company abang selama ni?"

Zakuan sedikit terpempan. "Ma... macam mana Maira tahu?" soalnya teragak-agak dengan dahi sedikit berkerut.

Umaira terus menghela nafas berat.

"Itu tak penting dari mana Maira dapat tahu. Company abang tengah menghadapi krisis kewangan yang sangat kritikal sejak dari tahun lepas lagi. Dan, company abang juga bakal diistiharkan muflis tahun ni,” ujar Umaira.

Zakuan terdiam seketika.

"Kenapa abang tak nak cerita pada Maira selama ni? Kenapa abang pendamkan semua masalah abang sorang-sorang? Kalau lah Maira tahu, Maira takkan desak abang malam tu," ujar Umaira lirih. Airmata kembali mengalir di pipi, mengenang kembali pertengkaran mereka di malam pernikahan itu.

Zakuan terus tertunduk. Tidak mampu bertatapan mata dengan Umaira.

"Abang minta maaf. Abang terpaksa merahsiakan hal ni sebab tak nak Maira susah hati. Hal ni bukan Maira je yang tak tahu. Tapi, family abang pun tak tahu. Abang cuma beritahu ada masalah kecil je dekat company. Abang cuba selesaikan masalah ni sendiri tanpa perlu melibatkan orang lain. Abang minta maaf..." akuinya dengan rasa bersalah.

"Kenapa abang cakap macam tu? Sepatutnya, abang cerita masalah abang pada Maira. Bukan pendam sorang-sorang. Sekurang-kurangnya, Maira boleh cuba bantu abang. Maira takkan biarkan abang dalam kesusahan sendiri. Abang buat macam ni, seolah-olah Maira ni tak pedulikan abang langsung selama ni. Tak nak ambil tahu tentang masalah tunang Maira sendiri. Kita dulu pernah berjanji, apa-apa masalah kita cerita, kita kongsi. Jangan pendam sendiri. Tapi, kenapa abang lupa janji kita tu?" Umaira mula mempersoalkan tentang janji mereka.

"Abang minta maaf, Maira. Abang mengaku, abang salah dalam hal ni. Abang tak lupa tentang janji kita. Cuma…” Zakuan hampir kehilangan kata-kata. Panjang nafas dihela.

“Abang menyesal sekarang. Tapi, penyesalan abang dah tiada erti lagi. Abang dah kehilangan Maira. Abang dah tak boleh memiliki Maira lagi. Abang minta maaf,” katanya dengan suara sudah mulai serak menahan tangis. Tiada kata-kata yang mampu menzahirkan bagaimana besarnya rasa penyesalan setelah melafazkan talak terhadap wanita yang paling dia cintai pada malam itu. Namun, sudah takdir jodoh mereka hanya setakat disitu.

Mata dipejam rapat. Umaira cuba meredam rasa kecewa dan hancurnya hati setiap kali mendengar Zakuan hanya mampu mengucap kata maaf dan rasa penyesalan padanya.

"Maira..."

Umaira perlahan membuka matanya. Dia agak terkejut disaat memandang Zakuan sedang memangku sebuah gitar di atas riba. Entah, dia sendiri juga tidak menyedari jika Zakuan ada membawa gitar bersama tadi.

"Walaupun semuanya sudah terlambat, tapi atas permintaan Maira selama ni dan atas janji abang sebelum ni, abang akan tunaikan malam ni,” ujar Zakuan dengan nada suara yang bergetar sebak. Dia menarik nafas dalam lalu mula memetik gitar.

“You're just too good to be true
Can't take my eyes off you
You'd be like heaven to touch
I wanna hold you so much

“At long last love has arrived
And I thank God I'm alive
You're just too good to be true
Can't take my eyes off you…”

Tidak dapat menahan rasa, Umaira akhirnya menghambur esak tangis. Mengapa baru sekarang lelaki itu menyanyikan lagu itu setelah mereka bercerai? Malah apa yang lagi menyakitkan, lelaki itu tidak akan pernah menjadi miliknya lagi.

Zakuan juga turut sama menitiskan airmata. Dia menunduk memandang tangannya sendiri memetik string gitar. Dia tidak sanggup memandang wajah Umaira tika ini. Hatinya cukup sakit sehingga suaranya hampir pecah, namun dia tetap terus menyanyi.

“I love you, baby
And if it's quite alright, I need you, baby
To warm a lonely night, I love you, baby
Trust in me when I say

“Oh, pretty baby
Don't bring me down, I pray, oh pretty baby
Now that I found you, stay
And let me love you, baby
Let me love you…”

Kerana lagu mereka disatukan, namun kerana lagu juga mereka terpisahkan...

****

3 bulan sudah berlalu. Umaira melangkah menuju ke ruang makan dengan wajah tenang. Puan Kartina yang berada di ruang makan sejak tadi, terus tersenyum manis memandang Umaira yang baru sahaja masuk ke ruangan itu.

"Morning, anak ibu,” sapa Puan Kartina lembut.

"Morning, ibu,” sahut Umaira dengan senyuman lalu melabuh punggung di sebelah kanan Puan Kartina.

"Maira start kerja hari ni?" soal Puan Kartina apabila dia melihat penampilan Umaira yang kelihatan elegan berkarisma itu.

Umaira mengangguk.

Mak Som yang merupakan orang gaji di rumah agam itu, terus saja menuangkan teh panas ke dalam cawan yang telah di sediakan.

"Terima kasih, Mak Som,” ucap Umaira lembut.

"Sama-sama." Mak Som tersenyum lalu beredar menuju ke dapur basah.

"Maira pasti ke ni nak start kerja? Kalau belum ready lagi, Maira ambil lah cuti beberapa hari lagi. Ibu tak nak nanti kerja terganggu, lepas tu Maira semakin stress,” nasihat Puan Kartina. Umaira menarik nafas sebelum dia meraih dan menggenggam tangan ibunya yang berada di atas meja itu.

"I'm okay, ibu. Three months is more than enough. Life must go on. Tiba masanya untuk Maira kembali jalani rutin harian seperti biasa. Maira tak nak terus terperap di dalam bilik je. Semakin lama Maira berkurung dalam bilik, semakin Maira akan terasa tertekan. Lebih baik tertekan dengan kerja dari tertekan mengenang hal yang tak mungkin dapat diubah lagi,” ujar Umaira cuba memberi keyakinan pada ibunya. Atau lebih tepatnya lagi, memberi semangat pada diri sendiri.

Puan Kartina tersenyum lalu menggenggam kembali tangan anak kesayangan nya itu. Lega hatinya mendengar kata-kata Umaira itu.

"Baiklah, ibu faham. Ibu harap Maira reda dan ikhlas menerima ketentuan Allah. Semua apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Bersabar lah,” ucap Puan Kartina.

Umaira hanya tersenyum dan mengangguk.

****

Umaira melangkah masuk ke dalam bangunan megah pencakar langit itu dengan penuh bergaya. Dua orang penyambut tetamu yang bertugas pada pagi itu, terkejut melihat kemunculannya buat pertama kali setelah berita tentang perceraiannya berlegar di media sosial tiga bulan yang lalu.

"Good morning, Miss Umaira… Eh… Madam," sapa mereka berdua yang sempat keliru gelaran apa yang sesuai digunakan untuk menyapa Umaira. Mereka terus menunduk tanda hormat.

"Morning." Umaira tersenyum nipis. Dia terus saja berlalu pergi menuju ke lif VIP.

Tiba sahaja di lantai yang paling atas, Umaira melangkah masuk ke dalam ruang pejabat yang menempatkan berpuluh-puluh kakitangan bertugas di situ. Mereka semua turut sama tercengang melihat kehadirannya yang penuh selamba itu.

"Seriously, Miss Umaira start kerja hari ni?" soal Sufian seakan tidak percaya. Dia yang berdiri sambil memegang cawan yang berisi kopi panas itu terus memandang ke arah Hamidi yang duduk bersebelahan dengan meja kerjanya.

"Nampak gayanya, macam tu lah,” jawab Hamidi acuh tak acuh. “But anyway, kita dah tak boleh panggil dia Miss Umaira lagi walaupun dia dah janda. We still keep calling her, Madam.”

“Oh, betul juga kata kau tu. Madam Umaira.” Sufian mengangguk setuju.

"Hey, korang rasa lah kan, apa sebab Madam kena cerai talak 3 oleh laki dia tu, ha?" terjah Rosnah secara tiba-tiba. Sufian dan Hamidi terus sahaja mencebik sebal.

"Entah-entah, Madam kantoi curang kot. Biasa lah kan zaman sekarang ni. Perempuan-perempuan kaya macam tu, mesti ada pasang sparepart dalam diam,” sambung Rosnah selamba.

"Ewah, ewah! Mulut kau ni kan, Rosnah... Kalah makcik bawang." Hamidi menggeleng. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mencilikan mulut wanita mulut becok itu.

"Kau jangan sesuka hati nak menabur fitnah, Rosnah oi. Kau ada bukti ke? Kau pernah nampak Madam tu keluar dengan jantan lain ke,selain bekas suami dia tu? Tak pernah kan? Jadi kau kena ingat, menabur fitnah ni dosa dia lebih besar dari dosa orang yang membunuh,” selar Hamidi lagi tanpa berkias. Bukan dia tidak tahu perangai Rosnah yang suka membawang itu. Malah, satu bangunan tahu.

"Ha'ah. Sekali aku luku kepala kau,” celah Sufian dengan mengangkat tangan seolah ingin menghentak kepala Rosnah itu dengan sikunya. Rosnah terus menjuih mulut meluat.

"Kau suka sangat membawang kan? Apa kata, kau pergi jumpa Madam sendiri. Tanya dekat dia, kenapa dia diceraikan. Mana lah tahu kan, dia bermurah hati cerita dekat kau. Lepas tu, boleh lah kau bawa cerita tu membawang sana sini,” perli Sufian sengaja ingin menambah sakit hati wanita itu.

"Oww, kau perli aku, ye?" tanya Rosnah sambil mencekak pinggang.

"Eh! Sentap ke?" sinis Sufian dengan menjongket sebelah kening. Rosnah terus mengetap bibir.

"Hish! Meluat betul lah aku dengan korang berdua ni!" Rosnah menjeling lalu melangkah pergi.

"Pandai pula meluat. Dasar minah kepoci," sinis Sufian lagi. Hamidi hanya mampu menggeleng.

****

Terdengar pintu diketuk dari luar. Umaira yang sibuk menelaah kertas-kertas kerja yang tertunggak di atas meja, terus saja memberi arahan masuk.

Pintu dikuak perlahan dari luar. Terjengul wajah Syafiqa di muka pintu sambil tersenyum nipis. Dia melangkah masuk ke dalam lalu menghampiri Umaira.
"Morning, lady boss,” sapanya ceria. Dia terus saja melabuh punggung di depan meja Umaira tanpa meminta izin terlebih dahulu. Dia sudah terbiasa dengan wanita yang menjawat jawatan COO itu. Merangkap rakan rapatnya.
"Morning,” jawab Umaira lalu mengangkat muka.
"How are you? Feeling much better now?" soal Syafiqa sambil merenung wajah tenang Umaira itu.
"Yup. Kenapa? Ada nampak macam orang mati laki ke?" perli Umaira acuh tak acuh. Syafiqa terus tertawa kecil. Ini lah yang membuat dia merasa kagum dengan sahabatnya itu. Walau sebesar dan seberat bagaimanapun masalah yang dihadapi, Umaira tetap cuba untuk bersikap profesional bila melibatkan kerja. Dia akan cuba untuk tidak mencampur adukkan urusan peribadi dengan kerja.
"Tak ada lah. I know, you're a very strong woman that I'd ever know. Cuma aku risau je, kalau kau terasa hati dengan gosip tentang perceraian kau tu. Bukan satu office je dah tahu. Tapi, satu Malaysia dah tahu," ujar Syafiqa.

Umaira terus tersenyum.
"I'm okay with it. Bukan sekali ni aku terpalit dengan gosip. Banyak kali. Ada yang lebih teruk lagi, kata aku pasang skandal dekat luar negeri. Cuma tu lah, kalau ada yang buat fitnah melampau-lampau nanti, aku terus je suruh Suri hantar surat saman. Habis cerita,” kata Umaira selamba.
"Ha, betul tindakan kau tu,” sokong Syafiqa dengan memetik ibu jari. Umaira kembali fokus dengan kerjanya.

Lama Syafiqa merenung wajah Umaira. Terdetik di hatinya ingin bertanya sesuatu. Namun, dia juga merasa teragak-agak. Dia bimbang, jika soalan yang ingin ditanyakan itu boleh merosakkan mood Umaira.
"Yang kau tenung-tenung aku ni, dah kenapa? Jangan pula kau kata taste kau dah bertukar ke perempuan pula kali ini."

Syafiqa tersentak apabila diperli selamba oleh Umaira secara tiba-tiba itu.
"Choi! Mulut kau! Aku masih straight, okay. Aku belum gila lagi nak suka perempuan. Macam lah dah habis lelaki dekat muka bumi ni, sampai nak alih-alih suka perempuan pula.” Syafiqa merinding kegelian. Umaira terus tertawa kecil.
"Dah tu, kenapa tenung aku? Aku tahu lah, aku cantik. Tak macam kau, muka jawa,” ejek Umaira selamba, sengaja ingin menyakitkan hati Syafiqa.
"Celaka betul! Macam lah muka kau cantik sangat," sembur Syafiqa sambil menuding jari tepat ke muka Umaira.

Umaira semakin galak ketawa.
“Kau tanya je lah. Aku tahu, kau nak tanya aku sesuatu. Kau tak boleh tipu aku. Aku bukan baru kenal kau sehari dua. Seluar dalam kau yang berlubang pun, aku tahu kau masih simpan sampai sekarang.” Lagi-lagi Umaira mengusik Syafiqa.
"Hey! Bila masa pula aku ada seluar dalam berlubang!" bentak Syafira semakin naik geram. Namun, dalam masa yang sama, dia juga merasa lucu.
"Kau tanya je lah. Apa dia? Is it about Zakuan?" teka Umaira. Syafiqa terus mengangguk, mengiakan.
"Well, we're still contact. Kami masih berhubung dengan baik,” akui Umaira, jujur.
"Kau masih berharap nak kembali pada Zakuan ke?" soal Syafiqa penuh berhati-hati. Umaira terus merenung wajah Syafiqa buat seketika sebelum nafas dihela perlahan.
"Tipu lah, kalau aku langsung tak berharap lagi. Kami masih saling mencintai, Fiqa. Aku tahu, Zakuan tak berani menyuarakan niat yang satu tu sebab benda tu sangat berat untuk ditunaikan. Tapi, kalau dia tak minta pun, aku memang sanggup buat,” ujar Umaira.

Kening Syafiqa langsung berkerut, kurang mengerti. "Apa maksud kau? Niat apa?" soalnya.

Umaira menarik dan menghembus nafas perlahan. Tubuh yang menyandar penuh di dada kerusi dibawa merapat ke meja.
"Aku dah fikir masak-masak sepanjang tempoh 3 bulan ni. Aku nekad, aku nak cari lelaki yang sanggup nikah dengan aku untuk jangka masa pendek. Lepas tu, cerai,” ujarnya, tanpa berselindung.

Terbuntang mata Syafiqa.

“Hah? Maksud kau, kahwin cina buta ke?!" soalnya tanpa sedar suara naik melantun.
"Aduh!"
Fail hitam selamat mendarat di kepala Syafiqa. Laju tangannya menggosok kepala yang terasa sakit itu.
"Kau ni dah kenapa? Nanti orang dengar lah! Mampus aku! Tak pasal-pasal menjadi-jadi pula gosip pasal aku. Hish! Kau ni!" herdik Umaira, begitu geram.

Syafiqa terus tersengih seperti kerang busuk. "Sorry lah. Ter… emosi,” jawabnya. Umaira mencebik lalu menjeling sebal.
"Tapi, serious lah. Kau betul-betul nekad dengan keputusan kau ni ke? Zakuan tahu ke, plan kau ni?" soal Syafiqa lagi. Umaira menggeleng.
"Tak. Zakuan tak tahu. Aku tak nak beritahu dia, sebab aku tak nak dia rasa bersalah. Aku buat ni sebab aku sendiri yang nak. Bukan sebab dia yang suruh pun,” ujar Umaira.

Syafiqa menghela nafas berat. "Bila kau nak mula kan plan kau ni?"
"Secepat mungkin. Aku rasa sekarang pun dah boleh mulakan,” jawab Umaira, terdengar sangat nekad sekali.

Mata Syafiqa terus membulat sempurna. "Kau serious?"

Umaira mengangguk. Syafiqa sekali lagi menghela nafas. Entah untuk ke berapa kali, dia sendiri sudah tidak mengiranya.
"Aku tak tahu lah, babe. Tapi, aku macam tak setuju dengan plan kau ni. Aku tahu, korang masih cinta satu sama lain. Tapi, kahwin cina buta ni dilarang dalam islam. Kau ibarat mempermainkan akad nikah tu. Lagipun, bukan senang tau kahwin cina buta ni. Dia bukan setakat nikah hari ni then esok cerai macam tu je. Tak…” Syafiqa menggeleng kecil.

Kening Umaira terus berkerut. "Maksud kau?"

“Ada syarat-syarat yang korang kena ikut sebelum dan sepanjang nikah nanti. Kalau tak, nikah tu tak sah."
"Yang tu, aku tahu..." jawab Umaira, lemah.
"Apa yang kau tahu? Kau rasa zaman sekarang ni, ada ke lelaki yang sanggup jadi cina buta free macam tu je? Apatah lagi, kalau lelaki tu tahu kau siapa. Pasti mereka nak ambil kesempatan pada kau nanti. Minta itu, minta ini."

"Aku okay je kalau bab tu," jawab Umaira.

"Haih... Tadi kata tahu. Kalau kau setuju nak bagi pampasan ataupun duit, dah tak sah pula nikah tu nanti," balas Syafiqa. Umaira langsung terdiam.

"Lagi satu, kau sanggup ke serah tubuh kau dekat cina buta tu nanti? As you know, kalau kahwin cina buta ni, mesti bersetubuh dulu dengan suami sebelum cerai, baru boleh kahwin semula dengan bekas suami. Macam mana pula, kalau kau termengandung. Boleh ke, Zakuan terima semua tu?" soal Syafiqa lagi.

Terpempan Umaira mendengarnya. Tidak tahu mahu berkata apa.
"Kau yakin ke, Zakuan nak kahwin semula dengan kau lepas kau cerai nanti? Ye lah, hati manusia ni pandai berubah-rubah. Hari ni, kata lain. Esok kata lain. Kau tengok je apa dah jadi sekarang ni. Sebelum ni elok je dia layan kau, baik, lemah-lembut bagai. Tapi lepas nikah, tiba-tiba dia naik berang dekat kau sampai ceraikan kau talak 3. Malam pernikahan pula tu. Aku tak nak kau menyesal di kemudian hari, babe. Itu je. Kau fikirlah masak-masak,” ujar Syafiqa memberi nasihat.

Umaira terdiam sejenak. Cuba untuk menimbang kata-kata sahabatnya itu.

Share this novel

mermaid
2024-09-03 18:53:39 

jangan lock pleaseeee. lama gila tunggu update!


NovelPlus Premium

The best ads free experience