"WOW! Cantiknya!" puji Syafiqa teruja sambil meletakkan baju dress satin di dadanya. Tubuh dibelek ke kiri ke kanan memandang diri di pantulan cermin.
Umaira yang sudah kepenatan mengelilingi gedung besar itu pula, terus melabuh punggung duduk bersandar di atas sofa yang telah disediakan di dalam butik itu. Beg-beg kertas yang dijinjing, terus diletakkan di tepi sofa. Hari ini, dia bermurah hati menanggung kesemua perbelanjaan Syafiqa. Hampir sepuluh ribu ringgit telah dibelanjakan. Namun, dia tidak kisah semua itu. Bukan selalu.
"Babe! Cantik tak?" tanya Syafiqa.
Umaira mendongak memandang ke arah Syafiqa yang berdiri di depan cermin itu. Rakannya itu sedang tersenyum penuh makna sambil meletakkan baju dress di dada.
"Kalau kau nak, kau ambil je lah," ujar Umaira selamba.
Senyuman Syafiqa semakin melebar hingga ke telinga.
"Thank you, babe! Don't worry. Ini yang last, okay. Lepas ni kita makan, then balik," katanya lalu mengambil kad yang dihulur oleh Umaira.
"Dengar boleh, percaya jangan," perli Umaira selamba. Sebelum ini pun, Syafiqa sudah berapa kali mengulang ayat yang sama, namun tetap saja masuk dari satu butik ke satu butik.
Syafiqa tertawa. "Dinner ni aku belanja, okay?" tawarnya.
"Hek eleh! Dah nak kebulur aku ni, baru kau nak belanja aku makan. Ceh!" Umaira menjeling sebal.
Lagi-lagi Syafiqa tertawa suka. "Lah, kata diet nak jaga badan."
"Common sense lah sikit. Dari tengah hari kot. Ni dah malam. Aku makan sikit je breakfast pagi tadi sebelum jalan," bebel Umaira.
"Mana lah aku tahu. Kau tak cakap pun." Syafiqa mengatur langkah menuju ke kaunter pembayaran bersama sehelai baju dress tadi.
Setelah selesai membuat pembayaran, Umaira dan Syafiqa melangkah keluar dari butik itu dengan senang hati.
"Kita simpan beg-beg ni dulu lah dalam kereta. Rimas lah kalau bawa semua ni dalam restoran," rungut Syafiqa.
"Ha'ah la. Jom lah." Mereka pun berjalan menuju ke koridor dimana terletaknya lif. Butang lif terus sahaja ditekan.
"Baa!"
"Aar!" Umaira terjerit kecil dek disergah oleh seseorang dari belakang. Begitu juga, Syafiqa yang terus melatah. Beg kertas yang dijinjing, terlepas dari tangan. Pantas mereka berdua menoleh ke belakang.
"Abang!" Umaira mengetap bibir geram apabila melihat Zakuan yang sedang galak mentertawakan mereka.
"Hei! Kau dah kenapa?" tempelak Syafiqa naik bengang. Beg-beg kertas yang bersepah di atas lantai, terus dikutip.
"Habis berterabur baju aku," gerutunya sendiri.
"Abang ni dah kenapa? Terkejut orang tahu tak!" bentak Umaira. Mata dipicing sebelum dia segera meluru ingin memukul Zakuan. Namun, Zakuan pantas mengelak. Orang yang lalu-lintas disitu sudah tidak dihiraukan lagi.
"Benci aar! Abang ni suka sangat kejut-kejutkan orang!" marah Umaira dengan wajah yang mula masam mencuka. Penat terasa apabila dia gagal mengejar tunangnya itu.
"Alololo... Comelnya bakal isteri abang ni bila marah-marah." Zakuan terus menghampiri Umaira yang sudah berpeluk tubuh itu. Pinggang Umaira diraih dan dipeluk lembut merapat ke tubuhnya.
"Nasib baik kita orang tak ada sakit jantung. Kalau kena heart attack tadi, macam mana?" luah Umaira masih dengan rasa geramnya.
"Okay, okay. I'm sorry. Next time tak buat lagi. Dah, jangan marah. Nanti, nampak tua masa nikah nanti," usik Zakuan sambil menunduk nipis menilik wajah cemberut tunangnya itu.
"Tua-tua pun bakal isteri abang juga, kan? Ke, tak sudi lagi kalau sayang nampak tua?" duga Umaira dengan mata dikecilkan.
"Apa pula tak sudi? Abang jatuh cinta dekat sayang bukan sebab paras rupa. Tapi, sebab sayang seorang yang pemurah dan sikap sayang yang lembut dan manja tu," ujar Zakuan cuba memujuk. Pucuk hidung Umaira yang mancung itu, terus dicuit. Membuat hati Umaira kembali mencair lalu mengulum senyum. Pinggang Zakuan terus dipeluk erat.
"Wow! Ayat buaya," sindir Syafiqa selamba.
"Aku setia pada yang satu, okay?," balas Zakuan sambil tersenyum sinis.
Mahu termuntah Syafiqa mendengarnya.
"Dah-dah. Abang macam mana boleh ada dekat sini?" cantas Umaira.
"La, lupa ke? Abang kan ada text sayang tadi, abang jumpa kawan dekat cafe sini," jelas Zakuan lembut.
"Oh ye lah, lupa." Umaira terus tersengih kecil.
"Since abang teringat sayang pun pergi shopping dekat sini, so abang cuba lah cari korang berdua. Tu lah terjumpa dekat sini. Seronok nampak, sampai tak sedar abang ada dekat belakang dari tadi," usik Zakuan sambil menyelit anak rambut yang menutupi sisi wajah Umaira ke belakang telinga.
"Excuse me. Tak malu ke, berpeluk-peluk depan public?" celah Syafiqa, tidak tahan melihat kemesraan di depan mata. Hendak bernanah biji matanya.
Umaira dan Zakuan terus menoleh memandangnya.
"Jealous ke?" perli Umaira.
"Jealous apa benda. Agak-agak lah kalau nak bemesra bagai. Tahu lah, dah nak kahwin. Simpan dulu gatal tu," ujar Syafiqa sedikit tegas.
"Hek eleh. Nak mengata orang. Kau pun sama miang lah. Taste pun orang tua," perli Umaira naik menyampah.
Syafiqa terus meledakkan tawa besar. "Koyak ke?"
"Serious lah, orang tua?" tanya Zakuan dengan kening terangkat.
"Tsk! Orang tua bukan sembarangan tua. Orang tua, duit berkepuk-kepuk. Harapkan muka handsome, tapi poket kosong, buat apa? Tak berbaloi langsung," ucap Syafiqa selamba badak.
"Masalahnya, orang tua tu nak ke, dekat kau?" perli Umaira tidak mahu kalah.
"Orang tua mana tak nak daun muda? Perempuan muda bergetah macam aku ni, dah lah cantik, bekerjaya pula, memang laku keras punya. Kau tengok lah Haiqal yang muda tu pun terkejar-kejarkan aku. Apatah lagi yang tua," jawab Syafiqa mendabik dada. Dalam masa yang sama, sengaja mahu mengusik Umaira.
"Angkat bakul lah pula. Sikit-sikit sudah lah,” ujar Umaira. Mahu termuntah mendengarnya. Manakala Zakuan pula, hanya mampu tersenyum dan menggeleng.
Syafiqa tertawa berdekah-dekah sambil melangkah masuk ke dalam lif, di ikuti dengan Umaira dan Zakuan.
****
Kereta Zakuan berhenti di halaman rumah Umaira. Kemudian, dia menoleh ke sisi. Perlahan bibirnya mengukir senyum nipis tatkala memandang Umaira yang lena tidur bersandar dibahunya. Pasti bakal isterinya itu terlalu penat keluar membeli belah seharian. Perlahan dia menyentuh pipi Umaira.
"Sayang..." kejutnya lembut. "Kita dah sampai."
Umaira terjaga sambil memisat-misat mata memandang ke hadapan. "Hmmm..."
"Lenanya tidur. Penat tau abang bercerita sorang-sorang tadi, tahu-tahu sayang dah berdengkur," usik Zakuan.
"Abang ni..." Umaira menampar sisi bahu Zakuan dengan manja.
"Ha! Tu, air liur basi," tegur Zakuan sambil menuding jari ke arah wajah Umaira.
Membuntang mata Umaira. Air liur basi? Pantas dia meraba hujung mulutnya lalu menilik wajah di cermin kereta.
"Abang ni!" Sekali lagi Umaira menampar sisi bahu Zakuan. "Tak habis-habis lah nak kenakan sayang!"
Zakuan terus melepaskan tawa.
"Sayang nampak comel sangat bila marah-marah. Tu lah abang suka usik sayang," ujar Zakuan masih ingin terus mengusik.
Umaira mencebik lalu menjeling manja. "Dah lah, abang. Sayang nak masuk dulu. Malas nak layan abang lagi!" rajuknya lalu berkira-kira ingin membuka pintu kereta.
Zakuan cepat-cepat menghalang. Lengan Umaira terus diraihnya. "Sayang merajuk, ek?"
Umaira langsung tidak mahu memandang Zakuan. Hatinya benar-benar sebal!
"Alaa... jangan lah merajuk. Sayang abang ke tak ni?" soal Zakuan sengaja ingin memancing perhatian Umaira.
Umaira terus memandang Zakuan yang sedang mengulum senyum itu. "Abang ni macam tak ada modal lain ke, nak pujuk sayang? Asyik tanya soalan yang sama je."
"Habis tu, sayang nak abang pujuk sayang macam mana?"
"Nyanyikan sayang lagu tu," pinta Umaira. Kali ini, gilirannya pula yang mengulum senyum.
Zakuan terus mencebik. "Sayang betul-betul nak abang nyanyi lagu tu?"
Umaira terus mengangguk laju.
"Okay. Tapi bukan sekarang."
Senyum Umaira terus pudar serta-merta. Diganti pula dengan wajah sebal kembali.
"Lepas kita nikah nanti, abang nyanyikan untuk sayang. Okay?" pujuk Zakuan.
Umaira hanya diam menanggapinya.
"Sayang jangan macam ni." Zakuan terus meraih kedua bahu Umaira lalu dibawa menghadap ke arahnya.
"Tak kan lah nak abang nyanyi lewat malam macam ni. Dah nak pukul 11 malam dah ni. Lepas nikah eh. Hari tu kan dah janji. Don't worry. Nanti lepas nikah, abang nyanyi semua lagu-lagu yang sayang nak dengar tu. Siap dengan main gitar sekali, okay?" pujuk Zakuan bersungguh-sungguh.
Umaira kembali senyum. "Okay!"
"Haa, macam tu lah bakal isteri abang." Zakuan terus mencubit lembut pipi Umaira.
"Okay lah, sayang masuk dulu." Umaira terus mencium tangan Zakuan.
"Okay. Goodnight, sayang. Lepas mandi nanti, terus tidur okay. Love you." Dahi Umaira dikucup lembut.
"Okay. Love you, too. Hati-hati drive. Assalamualaikum."
"Wa'laikumussalam."
Umaira terus saja membuka pintu lalu melangkah keluar dari kereta.
****
Hari yang dinanti telah pun tiba. Umaira yang sudah lengkap berpakaian baju kurung moden putih telur itu, terus menarik nafas dan menghembus nafas perlahan. Jam sudah menunjukkan ke pukul 3.45 petang. Rombongan lelaki akan tiba sebentar sahaja lagi selepas solat asar.
"Relax lah, babe. Nampak pucat muka kau tu, aku tengok. Breath okay, breath..." tegur Syafiqa cuba menenangkan Umaira yang tampak berdebar, duduk dikerusi meja solek itu.
Terdengar pintu bilik diketuk dari luar. Terjengul wajah Puan Kartina di muka pintu. Senyumnya lebar merekah apabila memandang Umaira yang bertudung anggun itu.
"Cantiknya anak ibu ni," pujinya lalu melangkah masuk ke dalam menghampiri Umaira. Pipi Umaira terus dielus lembut.
Umaira adalah satu-satunya permata hati, hasil dari perkahwinannya bersama arwah suami tercinta. Melihat Umaira memakai baju pengantin, jauh disudut hatinya dirundung rasa sebak. Ibu mana yang tidak sebak? Anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, kini harus dilepaskan dan diserahkan pada insan lain. Tiada apa yang dia harapkan, semoga permata hatinya ini akan hidup berbahagia disamping suami tercinta kelak.
"Terima kasih ibu. Ibu pun cantik. Nampak muda," puji Umaira lalu mengucup tapak tangan Puan Kartina yang mengusap pipi mulusnya itu.
"Dah, jom. Kita turun sekarang. Rombongan pengantin lelaki dah sampai," ujar Puan Kartina.
Umaira semakin merasa gemuruh. Dia menarik nafas dalam lalu mengangguk kecil.
****
Kerlipan cahaya dari lensa kamera terus sambar menyambar menangkap gambar Umaira yang kini sedang meniti turun anak tangga bersama Puan Kartina. Tidak kurang juga para hadirin yang hadir ke majlis akad nikah yang gilang-gemilang itu.
Zakuan yang duduk bersila di depan tok kadi, terus terpana memandang kecantikan bakal isterinya itu. Tanpa sedar, bibirnya mengulum senyum. Rakan-rakan yang turut hadir di majlis itu, sudah mulai mengusiknya.
"Tak sia-sia usaha kau selama ni, Wan," usik Fairuz yang duduk disebelah kirinya, sebagai saksi akad nikah yang bakal berlangsung beberapa minit sahaja lagi.
"Mesti lah, usaha tangga kejayaan," balas Zakuan selamba. Pandangannya tak lepas dari Umaira yang baru sahaja melabuh punggung di atas pelamin.
Fairuz terus tersengih nipis.
Majlis akad nikah pun bermula tidak lama kemudian. Dengan sekali lafaz, Umaira Natasha sah menjadi isteri kepada Zakuan. Mereka berdua sama-sama menadah tangan mengucap syukur. Akhirnya, mereka bersatu jua setelah setahun mengikat tali pertunangan.
****
Umaira duduk di atas katil sambil menanti penuh debar di dalam bilik. Suami yang dinanti belum juga timbul-timbul. Dua jam yang lalu, Zakuan meminta izin untuk keluar sebentar. Dan kini, jam sudah menunjukkan ke pukul 10.15 minit malam.
"Mana abang ni..." Umaira mula mengeluh lalu menarik selimut menutup kakinya. Tubuh disandar di kepala katil. Tidak lama, terlihat tombol pintu di pulas lalu dikuak perlahan dari luar. Lebar senyuman Umaira apabila melihat orang yang dinanti-nanti itu, sudah pun pulang. Namun senyuman manisnya mula pudar apabila melihat wajah sugul suaminya itu.
"Abang..." tegur Umaira lembut.
"Abang nak mandi dulu," ujar Zakuan tanpa memandang wajah Umaira. Dia terus sahaja mengatur langkah menuju ke bilik mandi. Sempat dia mencapai tuala bersih yang tersidai di ampaian yang berdekatan.
"Kenapa nampak muram je?" gumam Umaira, hairan.
Hampir 20 minit berlalu, pintu bilik mandi dikuak dari dalam. Umaira yang duduk di birai katil terus memandang ke bilik mandi. Tiada secalit senyuman pun yang menghiasi wajah Zakuan ketika itu, membuat dia semakin kehairanan.
Zakuan terus sahaja berlalu menuju ke almari. Selesai sahaja menyarung pakaian ke tubuh, dia terus melabuh punggung disebelah Umaira. Tangan halus Umaira dicapai lalu dicium bertalu-talu.
Umaira yang sejak tadi kehairanan melihat tingkahnya, kini kembali merasa berbunga-bunga apabila diperlakukan sebegitu.
"Sayang... malam ni kita tidur awal, okay. Take a full rest. Esok kan kita ada resepsi lagi," ujar Zakuan lembut.
"La... abang lupa ke?" soal Umaira mencebir bibir.
"Lupa apa?" soal Zakuan dengan kerutan kening.
"Abang dah janji nak nyanyikan sayang lagu tu lepas nikah,” rungut Umaira cuba mengingati kembali janji Zakuan kepadanya.
Zakuan menghela nafas panjang. Tangan Umaira terus dilepaskan.
"Abang letih la. Boleh tak, lain kali je abang nyanyikan lagu tu?" soal Zakuan mula kedengaran rimas.
"Tapi, abang dah janji nak nyanyi lagu tu lepas kita nikah. Janji tetap janji," ucap Umaira manja.
Zakuan pejam mata buat sejenak. Rahang diketap menahan rasa.
"Ye, abang tahu. Tapi, kita baru je nikah tadi. Abang penat lah!" Dia mula merungut kasar.
"Nyanyi sekejap pun jadi lah. Bukannya sayang suruh main gitar sekali," pujuk Umaira masih tidak mahu berputus asa.
Zakuan merengus kasar lalu berdiri. Berkerut kening Umaira memandang Zakuan yang mencekak pinggang di depannya itu. Jelas kelihatan wajah suaminya itu tegang di saat ini.
"Kau ni tak reti bahasa ke? Aku cakap lain kali, lain kali lah! Aku penat, kau faham tak?!" jerkah Zakuan keras secara tiba-tiba.
Umaira terpempan melihat sikap Zakuan yang tiba-tiba berubah kasar itu. Sebelum ini, tidak pernah sekali pun lelaki itu meninggikan suara, apatah lagi bersikap kasar dengannya.
Umaira perlahan berdiri.
"Yang abang ni terus-terus marah sayang ni, dah kenapa?" soalnya perlahan. Dia cuba untuk tidak meninggikan suara terhadap lelaki yang baru bergelar suaminya itu.
Zakuan meraup wajahnya lalu berpaling membelakangi Umaira.
"Sayang hairan, kenapa abang selama ni selalu je mengelak bila sayang nak abang nyanyi lagu tu? Kenapa abang susah sangat nak tunaikan janji abang? Abang yang berjanji tau, bukan sayang," ujar Umaira mula tertanya-tanya.
Zakuan mendengus lalu kembali berpaling menghadap Umaira. Sekali lagi Umaira terpempan memandang wajah Zakuan yang sudah bertukar bengis itu.
"Apa yang penting sangat lagu tu, hah?! Kita dah kahwin kan?" jerkah Zakuan tepat ke wajah Umaira.
Terhinjut bahu Umaira. Sumpah, dia benar-benar tidak percaya apa yang dihadapinya sekarang. Betul kah ini suaminya?
"Abang ni dah kenapa? Abang lupa ke? Sebab lagu yang abang nyanyikan tu lah yang buat sayang jatuh cinta dekat abang. Sebab lagu tu juga yang menyatukan kita," ujar Umaira dengan nada suaranya yang terdengar sayu.
"So? Kau nak aku nyanyi tiap-tiap hari ke? Kau fikir, aku tak ada kerja lain ke, selain nak nyanyi lagu tu memanjang dekat kau? Kau dah dapat aku sekarang ni. Aku dah jadi suami kau! Tak kan itu pun tak cukup buat kau?!" tengking Zakuan.
Umaira tergamam. Hatinya terguris mendengar kata-kata kasar yang keluar dari mulut insan yang sangat dia cintai itu.
"Sayang cuma rindu..." luahnya lirih dengan mata yang mula berkaca-kaca.
Zakuan menggaru kasar kepalanya sehingga rambut jadi kusut serabai.
"Kau kata, kau cuma rindu? Kau sedar tak, kau mendesak aku sepanjang kita menjalinkan hubungan? Aku naik rimas. Rimas kena desak oleh kau selama ni! Hanya kerana lagu tu!" herdik Zakuan melepaskan rasa amarah yang dipendam selama ini.
Umaira terus menganga tidak percaya. Benarkah apa yang didengarnya itu? Zakuan rimas dengannya?
"Jadi, abang rimas dengan sayang selama ni? Abang dah muak dengan sayang?" soalnya ingin kepastian.
"Ye! Aku rimas! Aku dah muak dengar kau merungut pasal benda yang sama! Aku tak faham lah, kenapa kau pentingkan sangat lagu tu sedangkan aku dah ada depan mata kau!" akui Zakuan tanpa mempedulikan perasaan Umaira yang cukup terluka itu.
Umaira mengetap bibir cuba menahan rasa sakit hati, walaupun hakikatnya dia tidak mampu. Kata-kata Zakuan itu baginya sudah cukup melampau. Kedua tangannya sudah menggenggam buku lima.
"Kalau abang muak sangat dengan saya, kenapa abang ajak saya kahwin juga?!" bentaknya berani.
Zakuan terdiam sesaat.
"Kenapa abang tak ceraikan saya je malam ni? Alang-alang, talak tiga terus! Baru puas hati kan?! Tentu tak dapat bersama lagi!" cabar Umaira tanpa berfikir natijah disebalik kata-katanya itu. Dirinya sudah tersulut dengan penuh emosi. Dia lupa, jika lelaki pantang dicabar. Dia juga lupa, jika yang dicabarnya itu adalah lelaki yang sangat dicintainya seluruh jiwa dan raga.
"Jangan... cabar... aku... Umaira..." ujar Zakuan perlahan tetapi keras. Matanya mencerlung tajam menatap wajah Umaira yang habis basah dengan airmata itu.
"Ceraikan saya!" teriak Umaira. Dia sudah tidak mampu mengawal amarahnya yang membuak-buak ketika ini.
"Okay, fine! Kalau itu yang kau nak!" jawab Zakuan sambil mengangguk kepala beberapa kali.
"Umaira Natasha binti Johari, aku ceraikan kau dengan talak tiga!"
Bagai disambar petir, Umaira kaku berdiri di depan Zakuan. Mahu terputus urat jantungnya mendengar kata lafaz yang meluncur laju meniti dibibir Zakuan sebentar tadi.
Semudah itu Zakuan melafazkan talak terhadapnya?
Lemah lutut terasa. Tiada kata-kata mampu diungkapkan. Umaira terundur lalu akhirnya dia terduduk di birai katil. Serta-merta dunia terasa gelap disaat ini. Hatinya remuk, hancur, luluh dan pedih.
"Zakuan!!" Zakuan dan Umaira terkejut lalu menoleh ke arah muka pintu. Terlihat Tuan Musa berdiri disitu bersama dengan isterinya, Puan Yati dan juga Puan Kartina.
Mereka bertiga yang berbual diruang tamu di tingkat bawah tadi, terus bergegas naik ke atas apabila terdengar bunyi pertengkaran di tingkat atas. Tiba sahaja di muka pintu bilik, mereka bertiga terkejut apabila mendengar dengan jelas Zakuan melafazkan cerai terhadap Umaira.
"Zakuan! Apa kamu dah buat ni?!" pekik Tuan Musa sekuat hati. Lelaki tua separuh abad itu, terus sahaja melangkah masuk lalu menampar pipi Zakuan dengan cukup keras sekali. Sementara Puan Kartina terus menerpa mendapatkan Umaira.
"Maira..."
"Ibu..." Umaira terus menghambur tangis di dalam pelukan Puan Kartina. Luluh hati Puan Kartina di saat ini. Airmatanya turut sama mengalir ke pipi. Tubuh Umaira dipeluk dengan erat sekali. Ya Allah...
Zakuan terundur beberapa tapak ke belakang lalu jatuh melutut. Pipi yang terasa pijar ditampar sang ayah, dipegang. Airmatanya mula mengalir membasahi pipi.
"Astarghfirullah Al 'Azim, Wan... Kamu sedar tak, kamu baru je nikah petang tadi! Apa yang kamu gaduhkan sampai kamu tergamak ceraikan Umaira dengan talak tiga?! Apa yang dah merasuk diri kamu?!" tengking Tuan Musa di depan wajah Zakuan yang tertunduk menangis teresak-esak itu. Dia begitu kecewa sekali akan tindakan melulu anak lelakinya itu. Sementara Puan Yati, terus melorot jatuh terduduk lemah di muka pintu.
Share this novel