BAB 1

Romance Completed 641

TERBIT cahaya mentari yang masuk dari celah-celah lubang langsir menandakan hari sudah berganti sejak semalamnya. Kipas siling yang berputar ligat dimatikan dan alat kawalan jauh pendingin hawa dicapai. Punat hijau di tekan. Televisyen yang dihidupkan sejak semalam umpama kotak bernyawa yang berbicara sendirian. Kelihatan beberapa keping gambar perkahwinan berselerakan di atas meja. Buat kesekian kalinya air mata lelaki Charles Fatt mengalir lagi. Puisi alunan si isteri bermain-main di telinganya.

Aku akan tetap menunggu walau berabad

Aku akan tetap menunggu walau berdekad

Aku akan tetap menunggu walau terlambat

Sekeping gambar dicapai lalu dikucup penuh syahdu. Charles Fatt memejamkan matanya. Terbayang wajah cantik Nora sedang tersenyum ke arahnya. Si isteri kelihatan ceria sedang menggubah bunga kuntuman bunga mawar kesukaannya. Gubahan itu akan menghiasi ruang rumah mereka. Tanpa sedar, Charles Fatt mengukir senyuman kebahagiaan. Tiba-tiba, wajah mendung isterinya terbayang di mata. Darah berlumuran di perut Nora. Riak wajah Charles Fatt bertukar risau lalu kenangan setahun lalu kembali bermain di ruang matanya.

Charles Fatt mencapai telefon pejabatnya yang berbunyi sejak tadi. Fail-fail yang berselerakan di atas meja sejak semalam dibiarkan tidak bersentuh. Fikirannya kusut dengan kerja yang bertimbunan. Banyak projek yang menuntut perhatiannya. Gagang telefon dilekapkan ke telinga.

“Ingat tak hari ini hari apa?”

Suara ceria si isteri terus menyapa telinganya sebaik panggilan dijawab. Charles Fatt tersenyum senang, hilang terus rasa penat apabila mendengar suara isteri tersayang. Terubat rindunya pada si isteri yang berada jauh di seberang sana.

“Abang…”

Nora merengek di seberang talian apabila pertanyaannya tidak berjawab. Charles Fatt berdehem tanda dia sedang mendengar. Dia amat gemar mendengar suara manja Nora bercerita tentang dirinya. Nora bijak menarik perhatian. Itulah antara tarikan isterinya selain daripada wajah yang jelita dan hatinya yang luhur.

“Hari apa?”

Sengaja si suami bertanya kembali untuk menguji hati isterinya. Masakan dia lupa tarikh ulang tahun perkahwinan mereka. Hari di mana Nora Wong telah hadir dan melengkapkan kehidupannya.

Nora mencebik geram di seberang talian. Suaminya sudah terlupa! Terasa seperti semua persiapan yang dirancangkan sia-sia belaka.

“Sayang, hari ini hari apa?”

Charles Fatt bertanya lagi apabila si isteri masih membisu selepas mendengar pertanyaannya tadi. Nora menggigit bibir melepaskan sakit hatinya. Arg! Mungkin suaminya terlalu sibuk lalu terlupa. Nora memujuk hatinya sendiri.

“Hari ini hari ulang tahun perkahwinan kita. Abang dah lupa?”

Suara lembut Nora mengundang ketawa nakal Charles Fatt yang berada di seberang talian. Andai si isteri ada di hadapan mata, mahu sahaja dia segera memeluk isterinya itu. Isterinya yang cantik dan menawan.

“Mestilah abang ingat. Sayang ingat abang akan lupa hari bersejarah kita ke?”

Charles Fatt tidak mahu berdalih lagi. Takut jika isterinya merajuk pula. Jenuh juga hendak memujuk. Sudahlah isterinya jauh di mata.

Nora tersenyum senang. Dia tahu suaminya tidak menipu. Kepulangannya hari ini masih dirahsiakan dari si suami. Dia mahu melakukan kejutan untuk suaminya.

“Abang, tak sabar nak jumpa awak.”

Nora mengetap bibir kerana malu tapi itulah hakikatnya. Dia rindu pada si suami yang sudah lama tidak ditemui.

Charles Fatt tersenyum mendengar pengakuan isteriya. Dirinya juga sedang sarat menanggung rindu. Jika bukan kerana kesibukan kerja di pejabat, mahu rasanya dia terbang ke Amerika bertemu isterinya.

“Sayang, nanti selepas projek terakhir ni siap, kita jumpa ya. Abang janji.”

Charles Fatt menanam azam. Nora yang berada di seberang talian hanya tersenyum tanpa sebarang jawapan. Dia sudah punya agendanya sendiri.

“Abang, nanti saya telefon lagi ya. Abang jaga diri tau. Nora sayangkan abang.”

Nora segera mematikan talian sebelum sempat Charles Fatt membalas salamnya. Dia tersenyum puas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience