BAB 5

Romance Completed 641

Setahun sudah berlalu, gambar-gambar perkahwinan yang berselerakan di atas meja ditatap seolah-olah itu kali terakhir dia akan menatapnya. Sekeping gambar Nora yang sedang tersenyum gembira mengenakan busana gaun putih perkahwinan mereka di ambil lalu dikucup perlahan. Gambar itu dilepaskan semula. Kunci kereta di atas meja dicapai lalu Charles Fatt menghilang di sebalik pintu.

Malam itu, Charles Fatt memandu keretanya tanpa tujuan, dia tidak mampu untuk terus berada di rumahnya pada malam itu. Hari ini ulang tahun perkahwinan mereka. Hari ini jugalah tarikh Nora pergi meninggalkannya. Satu demi satu kenangan bersama Nora kembali bermain di ruang matanya.

“Sayang, nanti selepas projek terakhir ni siap, kita jumpa ya. Abang janji.”

Tiba-tiba satu cahaya terang menyilaukan pemandangannya. Charles Fatt segera mengelak daripada melanggar lori di hadapan. Kereta yang dipandunya hilang pertimbangan lalu merempuh pembahagi jalan. Lori yang cuba dielaknya sebentar tadi turut hilang pertimbangan lalu merempuh bahagian pemandu kereta Charles Fatt. Badannya tersepit di dalam kereta. Bahagian hadapan keretanya hancur. Charles Fatt menutup matanya perlahan tanpa menghiraukan orang-orang yang memanggilnya di luar. Darah yang mengalir di dahi tidak mampu untuk dikesat lalu dibiarkan terus mengalir.

Aku akan mencari kembali cinta yang hilang

Aku akan mencari kembali cinta yang kau bawa pergi

Kerana aku pasti, cinta kita akan bersatu kembali walau terpisah beribu batu.

Bunyi letupan dan hentakan kuat yang berlaku sebentar tadi seolah-olah mimpi. Charles Fatt membuka matanya, kelihatan Nora sedang tersenyum memandangnya. Charles Fatt menyambut huluran tangan Nora. Dia lantas mengucup dahi isterinya dengan penuh syahdu. Tangan Nora digenggam erat seperti tidak mahu dilepaskan lagi. Nora membisikkan sebuah puisi di telinga suaminya. Charles Fatt tersenyum bahagia mendengar bisikan si isteri. Bisikan yang amat dirinduinya.

Aku akan tetap menunggu walau berabad

Aku akan tetap menunggu walau berdekad

Aku akan tetap menunggu walau terlambat.

Jika kau ingin pergi, bawalah kenanganku bersamamu

Jika kau ingin pergi, bawalah cintaku bersamamu

Jika kau ingin pergi, bawalah aku bersamamu.

Aku akan mencari kembali cinta yang hilang

Aku akan mencari kembali cinta yang kau bawa pergi

Kerana aku pasti, cinta kita akan bersatu kembali walau terpisah beribu batu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience