Series
740
HARI Selasa minggu berikutnya, Faheem benar-benar melapangkan waktunya. Segala mesyuarat dan aturcara pada hari ini ditangguhkan seketika bagi memberi laluan untuk dia menunaikan permintaan tunangnya.
Sejak malam tadi Natasya tak habis-habis memberi ‘reminder’ agar dia hadir ke butik perkahwinan hari ini. Tak cukup dengan panggilan telefon, dihantar pula pesanan mesej beberapa kali.
Sempat Faheem mendengus keluhan. Rimas! Namun, mahu tak mahu terpaksa dilayan kerenah tunangnya yang seorang itu.
Tepat jam dua petang, kereta SUV mewah yang dipandu sendiri oleh Faheem berhenti di hadapan sebuah bangunan premis perniagaan. Dia melangkah keluar sebelum menuju ke pintu sebelah penumpang membukakan untuk tunangnya.
Natasya keluar lalu memaut erat lengan Faheem. Mereka kemudian berjalan menuju ke arah butik di hadapan mereka.
Pintu kaca The Vow Bridal ditolak perlahan. Faheem melangkah masuk dengan riak wajah yang mendatar, mengekori Natasya yang sejak dari dalam kereta tadi tidak henti-henti bercerita tentang konsep perkahwinan impiannya.
"I told you, sayang. Butik ni memang paling top sekarang tau. Rekaan mereka eksklusif sangat," celoteh Natasya masih belum habis lagi.
Faheem sekadar mengangguk acuh tak acuh. Malas nak komen apa-apa. Matanya meliar memandang hiasan dalaman butik yang tampak mewah dan minimalis itu.
Bagaimana pun, sesaat kemudian Faheem terdiam. Wangian Amber & Jasmine yang memenuhi ruang butik itu menerpa ke rongga hidungnya. Secara tiba-tiba jantungnya berdegup dengan rentak yang tidak sekata.
Haruman ini... haruman yang sangat ‘familiar’. Haruman yang menjadi kegemaran seseorang yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu.
Spontan Faheem memandang sekeliling. Seakan mencari dari mana datangnya bau haruman yang menarik perhatiannya itu.
“Sayang, you cari apa?” Natasya memandang pelik gelagat tunangnya.
Faheem tersentak sebelum menggeleng. “Err tak ada apa.”
Seorang pembantu butik kemudian muncul menyambut kedatangan mereka berdua dengan senyuman mesra.
"Selamat datang ke The Vow Bridal, Cik Natasya dan Encik..."
“This is my fiancée, Faheem.” Natasya menjawab.
“Encik Faheem. Selamat datang ke butik kami. Jemput duduk ya.”
“Thanks. Your boss ada? I dah buat appointment dengan dia hari ni,” ujar Natasya.
“Bos ada di belakang. Sekejap saya beritahu bos yang Cik Natasya dah sampai ye,” ujar pembantu butik itu sebelum berlalu ke dalam.
Natasya lantas mengambil tempat di sofa baldu yang terletak di tengah ruang butik. Tangannya mencapai satu katalog di atas meja kaca lalu membelek-belek seketika.
Manakala Faheem pula memilih untuk berdiri sambil melihat-lihat aksesori yang terpamer di rak pameran. Sekadar menghilangkan rasa bosan.
Tidak lama kemudian Irina keluar ke ruang hadapan butik. Dia memang sudah tertunggu-tunggu kedatangan klien VIP itu sejak tadi. Pandangannya terus dihala ke arah Natasya tanpa menyedari kehadiran seorang lelaki muda yang turut berada di ruang itu.
“Maaf buat Cik Natasya menunggu. Saya tengah alter design untuk baju Cik Natasya dekat belakang tadi.”
Satu suara yang cukup lunak, tenang dan lembut itu menyapa di telinga Faheem. Suara yang pernah didengar dan amat dikenalinya.
Faheem terus menoleh sebelum pandangannya menyapa pemilik suara berkenaan. Dan serentak itu juga seluruh dunianya terasa seolah-olah berhenti berputar.
Kakinya bagai tidak berpijak di bumi nyata. Renungan matanya membuntang, menatap ke susuk tubuh wanita anggun yang sedang berdiri dalam jarak beberapa meter di hadapannya.
IRINA.
Nafas Faheem seakan tersekat di kerongkong. Jantungnya berdegup kencang. Tidak menduga bahawa pemilik butik pilihan tunangnya adalah… bekas isterinya sendiri!
Kebetulan? Atau aturan takdir?
Lima tahun mereka tidak bertemu. Tanpa sebarang khabar berita. Kisah mereka berdua suatu ketika dahulu bagai lenyap dan pupus begitu sahaja ditelan waktu.
Alih-alih hari ini mereka dipertemukan kembali. Namun, dalam situasi berbeza. Dia bakal melangsungkan perkahwinan baharu. Dan Irina pula akan menjadi perancang majlis perkahwinannya.
“…Irina…”
Nama itu berhembus keluar dari bibir Faheem tanpa sengaja dalam bisikan yang amat perlahan.
Ketika pandangan Faheem masih fokus bertaut ke arah Irina, tunangnya Natasya pula dengan segera bangun dari duduk lalu menghampiri sebelum memaut erat lengannya.
“Irina, ini I kenalkan my fiancée… Megat Faheem Iskandar. His dad is Datuk Seri Megat Fahad and his mom is Datin Seri Alina. You tentu pernah dengarkan nama owner FA Autoworld Holdings. So, Faheem is the CEO di syarikat itu.”
Natasya memperkenalkan tunangnya dalam riak sedikit angkuh. Siap disebut sekali nama syarikat dengan nama bakal ibu dan bapa mertuanya. Haruslah dia berbangga kerana bakal menjadi menantu pasangan kaya-raya yang terkenal itu.
Irina yang berdiri di arah bertentangan mereka terkaku. Lidahnya kelu untuk berbicara. Pandangan matanya bertembung tepat dengan anak mata hitam pekat milik lelaki di hadapannya. Tergamam.
Jika minggu lepas dia cuba memujuk hati bahawa nama Faheem yang disebutkan kliennya mungkin adalah orang lain. Tetapi, hari ini ternyata apa yang paling ingin dihindarkan itu adalah benar.
MEGAT FAHEEM ISKANDAR. Bekas suaminya sendiri!
Irina menggerutu. Dalam ramai-ramai manusia di dunia ini, mengapa harus bekas suaminya juga yang menjadi pilihan Natasya? Tak ada lelaki lain yang lebih bagus ke? Urgh!
Lima tahun selepas perpisahan mereka. Tiba-tiba hari ini lelaki yang amat dibencinya itu muncul semula di depan mata.
Hati Irina bagai dicarik-carik saat terkenang kisah lalu mereka. Kenangan pahit dihalau dan diceraikan oleh lelaki ini dahulu seakan-akan berputar semula di ruang mata.
‘Megat Faheem Iskandar, I hate you!’
Jeritan Irina bergema di dalam hati melepaskan amarah. Andai sahaja dia dapat melakukan begitu.
Namun, sebagai pemilik butik dan seorang usahawan, mustahil untuk Irina bertindak di luar kewarasan diri dan mengamuk ke arah Faheem dalam waktu sekarang. Apatah lagi di depan klien pentingnya Natasya yang juga anak seorang VIP.
Irina cuba menenangkan diri. Dia lantas mengukir senyuman yang cukup profesional. Mengunci rapat segala badai emosi yang melanda tadi di sudut hati.
“Ohh, jadi inilah tunang Cik Natasya. Welcome to The Vow Bridal, Encik Faheem. Saya Irina. Pemilik butik ini. Nice to meet you,” ucap Irina seraya menghulurkan tangan ke arah lelaki di hadapannya.
Faheem teragak-agak ingin menyambut huluran tangan Irina pada mulanya. Namun, kemudian dia turut sama berlakon seperti baru mengenali wanita itu.
“Thanks. Nice to meet you too, Irina.”
Pandangan mereka berdua menyatu. Tangan mereka saling berpaut antara satu sama lain. Faheem dapat merasakan kedinginan dalam pautan jemari mulus itu. Manakala Irina dapat merasakan genggaman yang agak kuat dalam pegangan tangan kekar lelaki itu.
Suasana di dalam butik mewah tersebut tiba-tiba bertukar menjadi sunyi dan sepi. Buat seketika tiada sesiapa bersuara. Hanya renungan mata yang sarat dengan sejuta rasa terkandung kemarahan, penyesalan, kejutan dan luka lama yang seakan berdarah kembali.
DUA minit berlalu.
Natasya mula menyedari perubahan pada riak wajah tunangnya dan pemilik butik di hadapannya. Dia memandang ke arah Faheem dan Irina silih berganti. Dahinya berkerut curiga.
"Ehem!” Natasya berdeham sedikit kuat. “Both of you kenal each other ke?”
Nada suaranya yang sedikit meninggi memecah kesunyian yang ‘awkward’ dalam ruang itu.
Faheem dan Irina sama-sama tersentak. Soalan Natasya segera mengembalikan semula mereka berdua ke dunia nyata. Pautan di tangan terus terlepas.
Irina dengan pantas mengukir senyuman yang paling manis. Menyembunyikan getaran pada wajahnya.
"Oh, maafkan saya, Cik Natasya. Saya cuma terkejut sebab wajah Encik Faheem saling tak tumpah seperti seorang model peragaan yang pernah bekerjasama dengan butik kami sewaktu Festival Fashion Week dulu. Itu yang saya ingatkan tadi orang yang sama. Maaf ya, saya tersalah orang."
Irina menutur alasan itu dalam nada bersahaja. Terpaksa berbohong demi menyelamatkan situasi. Mustahil sama sekali dia ingin mengaku bahawa lelaki di hadapannya ini adalah bekas suami yang pernah memporak-perandakan hidupnya suatu ketika dahulu.
“Ah, so maksud Irina muka you nampak macam model lah, sayang. Well, orang handsome macam you memang sesuai pun jadi model.” Natasya ketawa manja sambil menempel tubuhnya di sisi tunangnya.
Faheem tidak memberi sebarang reaksi. Dia hanya mendengus nafas perlahan sambil mengetap rahangnya dengan kuat. Kata-kata Irina bahawa mereka tidak mengenali satu sama lain itu sedikit sebanyak membuatkan dia rasa tertampar.
Namun, sama seperti Irina dia juga tidak ingin mengakui di hadapan Natasya bahawa pemilik butik ini adalah bekas isterinya sendiri. Kecoh pula nanti. Dia boleh bayangkan drama yang akan tercetus di pihak Natasya. Jadi, buat sementara waktu biarlah ia menjadi rahsia dahulu.
"Ya. I tak pernah kenal Irina. Ini first time kami jumpa. Well, thanks sayang sebab you pilih butik ni untuk wedding kita nanti. I appreciate sangat, sayang,” ujar Faheem seraya meraih pinggang ramping Natasya rapat ke dalam pelukannya.
Sengaja nak tunjuk mesra dengan tunangnya di depan Irina bagi mengaburi suasana kekok antara mereka.
Natasya yang mendengar jawapan Faheem kembali tersenyum lega. Hilang rasa curiganya sebentar tadi.
"You’re welcome, sayang. Pilihan I tak pernah salah. Sebab tu I pilih you jadi suami I. Pilihan yang paling tepat," ucap Natasya sambil melentok manja ke dada Faheem.
Buat seketika Irina dipaksa untuk melihat adegan kemesraan dua merpati sejoli itu. Dia berusaha menahan sejuta rasa yang sedang bergelora di dalam jiwa sambil melarikan pandangan dan berpura-pura seperti biasa.
Natasya kemudian bersuara ke arah Irina.
“So Irina, you boleh mula ukur badan tunang I sekarang. Baju untuk majlis nikah tu kena fit dekat badan dia tau. Tak nak nampak gelebeh. I nak baju tu terletak elok je. Supaya nanti Faheem nampak paling tampan masa akad nikah. Oh, lagi satu untuk majlis sanding pula I nak baju kot dia nampak paling grand dalam sejarah tau. Mengalahkan anak-anak VIP lain."
Boleh tahan macam-macam permintaan si Natasya ni. Namun, demi seorang klien yang penting Irina turutkan sahaja apa pun permintaan itu.
"Baiklah, Cik Natasya. Encik Faheem, sila naik ke atas platform fitting ya," ujar Irina lembut.
Nadanya penuh protokol seolah-olah Faheem hanyalah sekadar klien VIP sama seperti yang lain.
Faheem melangkah naik ke atas platform kecil di hadapan cermin besar dengan hati yang masih sarat dengan pelbagai emosi yang berkecamuk.
Irina mendekatinya sambil memegang pita pengukur. Dia berdiri di belakang tubuh tegap Faheem. Jarak antara mereka kini terlalu dekat. Hingga Faheem dapat menghidu dengan jelas bau haruman wangian yang dipakai Irina.
Wangian amber & jasmine yang pernah dihidunya pada tubuh Irina bertahun-tahun yang lalu. Wangian yang pernah membuatkan dia angau dan galau merindukan wanita ini dahulu.
Selama beberapa saat Faheem bagai hilang fokus. Dia seakan terlupa seketika di mana dia sedang berada.
"Encik Faheem, tolong berdiri tegak ya. Saya nak ukur bahagian belakang badan encik," tutur Irina dengan sopan.
Faheem tersentak dari lamunan. Fokusnya kembali semula. Dia menegakkan tubuh. Irina mula mengukur saiz lebar bahu dan belakang tubuhnya.
Entah mengapa momen itu seakan mengembalikan ingatan Faheem terhadap kenangan lalu yang telah luput. Ruang matanya bagai terbayang semula saat Irina pernah memeluk tubuhnya dari belakang suatu ketika dahulu.
Melalui pantulan dalam cermin besar di hadapannya, Faheem dapat melihat raut wajah Irina yang sedang fokus mencatat ukuran. Gerak-geri wanita itu nampak cekap dan profesional.
Kemudian, Irina berdiri di hadapan Faheem. Ingin mengukur bidang dada lelaki itu pula. Dan tika ini pandangan mereka berdua yang hanya berjarak beberapa inci itu tidak dapat dielak daripada saling bertautan.
Dari sudut ini Faheem dapat menatap dengan lebih dekat wajah Irina. Sejenak Faheem meneguk liur. Irina pula segera menunduk wajahnya cuba melarikan pandangan. Realitinya ada debaran hebat sedang bertalu di dalam dada masing-masing.
Walau keduanya cuba berlagak profesional dan menyingkirkan segala rasa yang sedang berkocak, namun jelas terlihat di wajah mereka yang tampak canggung menahan gelora perasaan.
“Chin up…”
Suara Irina bergetar perlahan memberi arahan ke arah Faheem. Dalam erti kata lain dia mahu pandangan Faheem dihala ke arah lain. Tidak ingin lelaki itu terus-menerus menatap ke wajahnya.
Faheem menurut arahan Irina. Dagunya didongak sedikit ke atas. Nafasnya yang menderu tidak teratur berusaha dikawal dengan sebaik mungkin agar tidak disedari Irina.
Hakikatnya jiwa Faheem saat ini seolah-olah sedang meronta-ronta. Mahu mendakap erat tubuh Irina yang sedang berdiri di hadapannya. Mahu mengelus ke wajah anggun dan manis Irina. Mahu… mengecup ke bibir merah lembut Irina.
Seperti yang pernah dia lakukan saat mereka berdua masih bergelar suami isteri dahulu. Adakah dia sebenarnya masih merindui Irina?
Share this novel
Tq Sis...tk sabar nk baca next chapter...