Bab 1

Romance Series 1883

SUASANA pagi di tengah ibu kota cukup sibuk hari ini. Bunyi hon berselang-seli dengan deruman enjin kenderaan memenuhi jalan raya. Orang ramai bergerak pantas menuju ke destinasi masing-masing.

Di tengah kesibukan itu, Irina Sofea memandu Mini Cooper kesayangannya membelah kotaraya sebelum berhenti di salah satu petak parkir yang terdapat di hadapan deretan sebuah bangunan premis perniagaan.

Keluar dari kereta, dia menanggalkan sunglasses Coach dari wajah sambil merapikan anak rambutnya yang jatuh mengurai di dahi ditiup angin lembut. Kemudian dia berjalan menuju ke salah satu lot kedai yang terdapat di situ.

Langkahnya tenang. Bersahaja. Tetapi, penuh anggun dalam gayanya yang tersendiri. Di tubuh sederhana tingginya tersarung blazer warna putih gading yang dipadankan bersama seluar palazzo hitam. Penampilan simple yang tampak kemas tanpa terlalu formal.

Tiada barang kemas berlebihan. Tiada solekan tebal merias wajah. Kerana Irina percaya seseorang itu tidak perlu berlebihan dalam bergaya untuk kelihatan menarik.

Kaki Irina yang tersarung sepatu tumit tinggi kemudian terhenti di hadapan sebuah butik dengan pintu kaca besar yang mempamerkan koleksi gaun-gaun pengantin berwarna putih dan rona pastel lembut yang dapat dilihat dari luar.

Sebaris tulisan emas tertera jelas di atas pintu butik itu.

‘THE VOW BRIDAL’

Bibirnya mengoles senyuman kecil sebelum menolak pintu. Loceng kecil di atas pintu berbunyi. Aroma bauan haruman amber & jasmine terus menerpa ke hidung sebaik kakinya melangkah ke dalam.

“Good morning, boss!” Seorang pembantu di butiknya menyapa dengan ceria.

Irina mengangkat tangan bersama senyuman mesra yang terlorek.

“Morning, Mira.”

“Awal bos sampai hari ni?”

“Awal ke?” Seraya Irina melihat ke arah jam di pergelangan tangan.

“Ha’ah. Awal 5 minit dari semalam.” Pembantunya berseloroh.

Irina lantas ketawa. “Hari ni kebetulan lampu isyarat semua hijau. Itu yang saya sampai awal sikit.”

Pembantunya kemudian membawakan secawan kopi panas kegemaran Irina. Kopi itu bertukar tangan.

“Thanks, Mira. Kejap lagi tolong susun katalog yang latest atas meja kat depan ye,” ujar Irina sambil menyisip sedikit kopi di cawan.

“Baik, bos.” Pembantunya mengangguk faham.

Irina kemudian menumpukan perhatiannya kepada tablet di tangan. Melihat-lihat jadual dan senarai temujanji pada hari ini. Ada acara melibatkan klien yang perlu dihadiri. Selain itu, harus bertemu beberapa supplier untuk urusan stok barangan.

Begitulah kehidupannya setiap hari. Sibuk menguruskan majlis indah dan kisah cinta orang lain. Walaupun kisah cinta sendiri telah lama berkubur.

Bertahun berlalu, Irina seolah-olah serik untuk membuka hatinya buat mana-mana individu yang ingin menjadikan dia sebagai pasangan hidup. Luka lama itu masih berbekas dan tidak pernah sembuh. Biarlah dia sendirian begini sahaja. Itu jauh lebih baik.

Fokus Irina buat masa ini adalah kepada butik perkahwinan yang dibangunkan hasil titik peluhnya sendiri. Serta hasil dari air mata yang pernah mengalir suatu ketika dahulu. Inilah dunianya. Inilah kebanggaannya.

****

TING!

Jam sepuluh pagi kedengaran bunyi loceng di pintu utama bergema. Irina yang sedang fokus menyusun hiasan aksesori di atas rak pameran segera mengangkat wajah. Dia menoleh ke arah pintu lalu mengukirkan sebuah senyuman profesional yang sudah terlatih setiap hari. Menyambut kedatangan pelanggannya dengan mesra.

Pintu ditolak dari luar. Dua susuk tubuh melangkah masuk dengan gaya penuh prestij. Seorang wanita separuh baya yang tubuhnya sarat dengan perhiasan berlian di leher dan lengan, diekori rapat oleh seorang gadis muda yang tampak elegan. Gaya mereka berdua sudah cukup untuk Irina simpulkan bahawa mereka adalah golongan VIP.

"Selamat datang ke The Vow Bridal. Boleh saya bantu?" sapa Irina lembut dan sopan namun penuh berkarisma.

Wanita separuh baya di hadapan Irina membetulkan tas tangan Hermès di lengannya. Matanya bersinar memandang ke arah deretan gaun pengantin yang tersusun indah dan megah di bawah sinaran cahaya lampu candelier butik itu.

"You Irina, right? Pemilik butik ni?"

Wanita itu bertanya. Nadanya kedengaran mesra, namun sedikit meninggi penuh aura wanita kelas atasan.

“Betul, saya Irina. Pemilik butik ini,” jawab Irina dalam senyuman.

"I Datin Sherry. Ini anak I, Natasya. Datin Mastura yang recommend butik you ni pada I. Katanya, rekaan you ‘custom-made’ yang paling meletup untuk golongan VIP sekarang."

"Ah, ya. Datin Mastura isteri Dato Maarof yang baru langsungkan wedding anak beliau bulan lepas tu kan? Thanks for coming Datin and Cik Natasya. I really appreciate it," ucap Irina.

"Well, we actually datang nak tengok design yang sesuai untuk majlis wedding anak I ni nanti. Design yang nampak eksklusif tapi tak sarat sangat," ujar Datin Sherry lagi.

Natasya, gadis muda yang berdiri di sebelah Datin Sherry sedang menjeling pandang ke arah sehelai gaun sutera Perancis yang tersarung di atas patung pameran. Jari runcingnya menyentuh sedikit veil di gaun itu. Sesekali terlihat dia memuncungkan bibir mungilnya yang tercalit gincu warna merah merekah.

"Betul tu, mommy. I can see yang butik ni nampak aesthetic sangat. Tak macam butik pengantin lain yang nampak sarat dan old-fashioned. I tak suka la baju yang banyak sangat labuci. Simple but expensive, baru la setaraf dengan status majlis I nanti,” ujar Natasya dalam gaya anak orang berada.

Irina mengukir senyuman mendengar bicara mereka berdua. Amat memahami kehendak pelanggannya.

"Citarasa Cik Natasya sangat tinggi. Konsep butik kami memang mengetengahkan kemewahan minimalis. Semua fabrik kami diimport khas dari Perancis dan Itali. Jemput duduk dulu ya Datin dan Cik Natasya. Saya ambilkan katalog rekaan terbaharu untuk Datin dan Cik Natasya tengok,” ujar Irina sebelum dia berlalu ke bahagian belakang seketika.

Selepas melabuhkan punggung di sofa baldu mewah di sudut butik, Natasya terus mengeluarkan telefon pintarnya sebelum merakam video pendek suasana di butik itu untuk kandungan media sosialnya nanti. Haruslah dia kena ‘update’ setiap aktivitinya buat tatapan para followers yang angkanya mencecah puluhan ribu orang itu.

Datin Sherry pula lebih sibuk merencana di dalam kepala senarai apa yang diinginkan dalam majlis perkahwinan anak gadisnya nanti. Majlis itu perlu sempurna dari segala segi. Tak boleh ada cacat-cela. Dan semestinya harus tampak gah untuk dibandingkan dengan majlis golongan atasan lain.

"Mommy, I dah hantar gambar butik ni kat my encik tunang. Tapi tulah, dia ‘blue tick’ je. Geram betul I. Dia tu kalau dah sibuk dengan hal syarikat dia, dunia luar semua dia lupa."

Natasya merengek sambil mencebir bibir. Suaranya sengaja dimanjakan seperti anak kecil.

Datin Sherry ketawa kecil lalu menepuk lembut ke peha anaknya.

“Biasalah sayang. Tunang you tu CEO syarikat korporat ternama. Muda, kaya, rupa pun ada. Mestilah sibuk. You kena banyak bersabar. Nanti dah kahwin, dialah yang tanggung you tujuh keturunan pun tak habis tau. You minta aje apa yang you nak semua dia akan turutkan.”

Natasya tersenyum bangga sambil membetulkan cincin bertatah permata sebesar sebutir jagung yang tersarung di jari manisnya.

“I tahu la mommy. Tapi, I nak dia ada sekali masa I pilih wedding dress nanti. Baru la ada vibes pengantin baru. Datang tengok dan pilih sama-sama. Ini I hantar mesej dia ignore je. Urgh, geram betullah I dengan si Faheem ni."

Zap!

Langkah Irina yang sedang berjalan menghampiri pelanggannya itu segera terhenti. Fail katalog di dalam genggaman hampir terlepas ke lantai. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang saat mendengar satu nama yang baru disebut.

FAHEEM.

Serta-merta kenangan silam yang cuba ditanam dalam-dalam di dasar hatinya seolah-olah dipaksa keluar semula. Wajah seorang lelaki yang pernah membuangnya tanpa belas kasihan dahulu terbayang-bayang semula di ruang mata.

"Irina? You okay?"

Teguran Datin Sherry memecahkan lamunan. Irina menarik nafas dalam senyap, memaksa otot wajahnya kembali tersenyum. Berlagak biasa. Dia berjalan mendekati sofa dan meletakkan katalog di atas meja kaca.

"Err ya, saya okay, Datin. Maaf, saya tiba-tiba teringat ada sesi fitting untuk klien petang nanti," tutur Irina memberi alasan, cuba menenangkan gelora di dada.

Irina kemudian memberi penerangan tentang beberapa rekaan terbaharu gaun pengantin seperti yang terpapar pada katalog di hadapan mereka. Selain itu, dia turut mengusulkan cadangan berkaitan rekabentuk dewan ballroom serta hiasan pelamin yang akan dipilih kelak. Datin Sherry dan Natasya kelihatan mengangguk-angguk sambil mata masing-masing tertarik melihat berbagai rekaan terkini di dalam katalog di hadapan mereka.

"So Irina, tunang I si Faheem tu memang tak dapat datang hari ni sebab busy dengan urusan kerja. Tapi, I nak design yang paling eksklusif tau? Yang tak ada pada mana-mana pengantin lain di Malaysia ni. I nak semua mata pandang pada I seorang je masa majlis tu nanti." Natasya menegaskan kehendaknya.

Sesaat Irina terdiam. Nama lelaki yang disebut itu menyapa telinganya sekali lagi. Namun, dia cuba menenangkan hatinya sendiri. Ah, nama ‘Faheem’ itu sangat biasa di Malaysia. Ramai lagi manusia lain memiliki nama yang serupa. Tak mungkin mereka adalah orang yang sama.

"Jangan risau, Cik Natasya. Bagi pihak The Vow Bridal, kami akan pastikan hari bahagia Cik Natasya dan Encik… Faheem nanti akan menjadi detik paling indah dan tidak dapat dilupakan,” jawab Irina dalam nada profesional dan tenang, cuba menyembunyikan getaran halus yang masih bersisa.

Natasya dan Datin Sherry sama-sama tersenyum. Mereka yakin tidak tersalah membuat pilihan untuk menjadikan butik ini sebagai ‘wedding planner’ dalam majlis gilang-gemilang yang akan berlangsung nanti.

“Kalau macam tu, untuk meeting seterusnya I akan ajak my tunang Faheem ke sini sekali. I nak dia tengok apa yang I dah decide untuk majlis kami nanti.”

“Sure, Cik Natasya. Saya amat berbesar hati untuk bertemu dengan bakal pengantin lelaki. Kita boleh pilih dan tentukan banyak perkara untuk majlis itu nanti,” ujar Irina dalam senyuman tenang.

Namun, jauh di sudut hatinya ada satu rasa kurang enak yang mula bertunas. Satu firasat bahawa ketenangan yang dibinanya selama ini bakal diuji tidak lama lagi.

‘FAHEEM’

Nama itu mengetuk kotak fikiran Irina. Dia mengetap bibir perlahan. Harap-harapnya pengantin lelaki yang dimaksudkan itu bukanlah orang yang sama seperti yang pernah dikenalinya suatu ketika dahulu.

Share this novel

DHIA AMIRA.
2026-09-04 15:34:50 

kluar blik trend sluar palazzo


NovelPlus Premium

The best ads free experience