Bab 4

Romance Series 1883

HARI semakin menuju ke petang. Suasana di dalam butik itu tenang sahaja. Tiada pelanggan lain waktu ini.

Masih berdiri di atas ‘platform fitting’, Faheem memaksa diri untuk mengawal emosi dan gejolak rasa yang memenuhi jiwa.

Dahinya mula memercikkan renik peluh. Tangan mengibas-ngibas sedikit kolar baju Melayu cekak musang yang tersarung kemas di tubuhnya.

Entah mengapa semakin lama berada di dalam butik itu terasa tubuhnya kian berbahang. Bukan kerana cuaca di luar yang panas. Bukan juga kerana penghawa dingin tidak berfungsi.

Tapi, kerana kehadiran seseorang yang sejak dari tadi berada begitu hampir dengan dirinya.

Irina.

Wanita ini yang suatu saat dahulu pernah menjadi isteri yang menguruskan pakaian serta penampilannya. Kini wanita yang sama sedang berdiri di hadapannya sebagai… ‘wedding planner’. Ironi yang cukup menyakitkan untuk diakui.

Selepas mengambil ukuran tubuhnya sebentar tadi, Irina membantu dia mencuba sepasang baju Melayu berwarna putih gading pula.

Semua itu demi memuaskan hati tunangnya Natasya yang beria-ia mahu melihat dia menyarung baju Melayu untuk majlis akad nikah mereka nanti.

Dalam terpaksa, Faheem turutkan permintaan tersebut. Malas hendak memanjangkan perdebatan dengan gadis itu.

Lagipun, apa salahnya? Hanya mencuba pakaian. Bukan satu hal yang merumitkan.

Namun, sejak Irina berdiri terlalu dekat dengannya sedari tadi, perkara kecil sebegitu terasa begitu menyesakkan dada Faheem. Dia terpaksa berpura-pura kononnya tidak berasa apa-apa. Padahal di dalam hati sedang kacau-bilau berperang dengan perasaan sendiri.

“Encik Faheem, tolong angkat tangan sekejap. Saya nak pakaikan samping.”

Suara Irina memecah kesunyian. Nadanya profesional. Tenang. Seolah-olah lelaki di hadapannya bukan seseorang yang pernah berkongsi hidup dengannya suatu ketika dahulu.

Faheem lantas menurut tanpa banyak soal. Kedua-dua tangannya didepakan ke kiri dan kanan.

Irina melangkah mendekat. Kali ini terlalu dekat. Dia mengelilingi pinggang Faheem dengan sehelai kain samping yang ditenun benang keemasan sebelum tangannya mula membuat ikatan bunga pada bahagian hadapan.

Gerakan jari-jemari halusnya begitu cekap bekerja. Sudah terbiasa melakukan begitu terhadap beratus-ratus pelanggan lain sebelum ini.

Dan entah mengapa saat itu ruang mata Faheem bagai ditayangkan sebuah kenangan lama yang tiba-tiba muncul tanpa dipinta.

Teringat sewaktu Irina membantu dia mengenakan samping setiap kali mereka menyambut Hari Raya bersama sebagai suami isteri beberapa tahun lalu. Juga membantu memakaikan butang di baju Melayunya. Membetulkan kolar dan merapikan pakaiannya. Irina akan sentiasa memastikan penampilannya kelihatan segak dan kemas.

Saat ini Faheem seakan tersedar sesuatu. Irina yang suatu saat dahulu pernah menjadi pelengkap hidupnya. Isteri yang sentiasa tahu apa yang terbaik buat suaminya. Malangnya dahulu dia tidak pernah nampak atau menghargai semua itu.

“Dah siap, Encik Faheem.”

Suara Irina mematikan lamunan Faheem. Segala kenangan silam tadi berterbangan pergi. Dia kembali semula ke dunia nyata. Lalu memerhati penampilan baharunya dengan sut baju Melayu lengkap tersarung di tubuh.

Kagum. Walaupun selepas lima tahun, Irina masih tahu bagaimana hendak membuatkan dia tampak segak. Masih tahu ukuran bahunya. Masih tahu warna yang paling sesuai dengan tona kulitnya. Masih tahu bagaimana hendak membetulkan lipatan sampingnya dengan sempurna.

“Thanks,” ucap Faheem.

Irina membalas dalam senyuman. Dia kemudian berpaling ke arah klien utamanya, Natasya. Bertanya pendapat gadis itu.

“Cik Natasya, macam mana? Ada apa-apa yang nak kena ubah pada baju Encik Faheem?”

Natasya yang sejak tadi berdiri berhampiran mereka terus mengangkat wajah. Matanya bersinar-sinar melihat penampilan tunangnya. Senyuman lebar terukir di bibir.

“Wow… Handsome sangat!”

Tak tunggu lagi, Natasya terus mengeluarkan telefonnya dari dalam tas tangan sebelum dihala ke arah Faheem.

“Sayang, pusing sini sikit. I nak ambil gambar you!”

Faheem terus mengerut muka tanda tidak suka. Dia memang kurang gemar wajahnya dirakam.

“Tasya…”

“Sekejap je, sayang. I nak tunjuk gambar fitting you dekat mommy. Okay, smile!”

Faheem mendengus nafas. Mahu membantah pada mulanya. Namun, akhirnya tetap menurut permintaan gadis itu.

Natasya mula merakam gambar tunang tercintanya. Dari bahagian depan, bahagian belakang kemudian pandangan sisi.

Klik! Klik! Klik! Bunyi kamera bergema.

Setelah itu, Natasya mendekati Faheem sambil membelek hasil gambar yang terpapar di skrin telefonnya. Kemudian dia terus memaut lengan lelaki itu.

“Oh my God. Handsomenya you, sayang! I swear, my future husband ni paling handsome tau,” ucap Natasya dalam ceria sambil melentok manja ke bahu tunangnya.

Faheem hanya mengukir senyuman tipis. Tidak berasa apa-apa dengan pujian itu. Tona wajahnya mendatar sahaja.

Irina yang berdiri di hadapan mereka pula mengalihkan pandangan. Berpura-pura tidak melihat kemesraan yang dipamerkan pasangan itu. Atau sebetulnya dia sedang menyembunyikan rasa cemburu yang tiba-tiba sahaja menyelinap di ruang hati tanpa dipinta.

Namun, Irina dengan segera menepis perasaan tersebut. Hal mereka berdua bukan menjadi urusannya. Faheem juga bukan lagi suaminya. Mereka kini tidak mempunyai apa-apa kaitan.

****

SELEPAS selesai sesi mencuba baju Melayu, Natasya masih belum berpuas hati. Matanya melirik pula ke arah beberapa pasang sut tuksedo yang tergantung kemas di rak bersebelahan.

“Okay, now I nak you try sut tuksedo pula, sayang,” pinta gadis itu sambil tersenyum manis ke arah tunangnya.

Faheem yang baru sahaja menarik nafas lega terus mengerutkan dahi.

“What? Perlu ke?”

Wajahnya jelas menampakkan tanda-tanda sudah mula hilang kesabaran. Tadi baju Melayu. Sekarang tuksedo pula. Entah berapa lama lagi sesi fitting ini akan berlarutan.

Natasya terus memuncungkan bibir mungilnya.

“Eh, mestilah perlu, sayang. Kita nak tetapkan terus pakaian untuk you pakai masa majlis nikah dan sanding nanti. Kalau bukan hari ni, bila lagi? You tu dahlah asyik busy dengan kerja je. Nak ajak datang fitting baju pun bukan main susah.”

Faheem mengetap bibir. Keluhan panjang dilepaskan.

“Yalah-yalah.”

Akhirnya dia mengalah. Malas hendak bertekak dengan tunangnya.

Irina yang berdiri tidak jauh dari mereka hanya memerhati gelagat pasangan itu tanpa bersuara. Sebagai pemilik butik, dia sudah biasa berhadapan dengan pelbagai kerenah pelanggan. Ada yang cerewet, ada yang terlalu banyak permintaan, malah ada yang gemar menukar keputusan berkali-kali.

Namun, hari ini sedikit berbeza. Melihat Faheem yang terpaksa melayan kerenah tunang kesayangannya selepas satu demi satu membuatkan bibir Irina hampir mengukir senyuman. Ada sedikit rasa kasihan. Dan ada juga rasa kelakar.

Tiba-tiba ingatan Irina berputar pada kenangan sewaktu dia dan Faheem memilih busana perkahwinan mereka berdua sepuluh tahun yang lalu. Tika itu Faheem adalah orang yang sangat cerewet. Tak mahu itu, tak mahu ini. Tak boleh itu, tak boleh ini. Dan dia pula hanya menurut sahaja apa yang diinginkan Faheem tanpa banyak bicara.

Siapa menyangka selepas tempoh sepuluh tahun pernikahan mereka dahulu, dia dan Faheem kini adalah dua individu yang membawa haluan berbeza. Dan ironinya saat ini dia menjadi orang yang akan memastikan persiapan perkahwinan kali kedua Faheem akan berlangsung dengan sempurna.

“Irina.”

Suara Natasya membuatkan Irina kembali memberikan fokus.

“Yes, Cik Natasya.”

“Now you bagi Faheem cuba tuksedo pula. I nak tengok dia pakai sut warna putih tu,” pinta Natasya.

Irina mengangguk. Dia segera menoleh ke arah pembantunya.

“Mira, tolong ambilkan sut tuksedo yang tergantung dekat rak tu."

“Baik, bos.”

Tidak lama kemudian, pembantunya datang membawa sepasang sut tuksedo berwarna putih seperti yang diminta oleh Irina.

Faheem lantas menanggalkan baju Melayu yang dipakainya tadi dan kembali menyarungkan kemeja putih sebelum Irina membantunya mencuba sut tuksedo tersebut.

“Angkat tangan sikit, Encik Faheem.”

Faheem menurut tanpa banyak soal.

Irina menyarungkan jaket tuksedo itu ke tubuh Faheem. Jari-jemarinya cekap membetulkan bahagian bahu, merapikan lapel dan memastikan setiap lipatan jatuh terletak dengan sempurna.

Sedang ternanti-nanti untuk melihat penampilan Faheem dalam gaya sut tuksedo, tiba-tiba kedengaran telefon Natasya berbunyi.

“Sayang, I jawab call kejap ye~"

Tanpa menunggu jawapan, Natasya lekas melangkah ke satu sudut butik untuk menjawab panggilan itu.

Faheem sempat mengerling ke arah bayang tubuh tunangnya yang berada agak jauh dari mereka. Sebelum pandangannya kembali menatap ke wajah Irina yang sedang berdiri di hadapannya.

Kini hanya tinggal mereka berdua di ruangan berdekatan fitting platform itu. Dan entah mengapa, suasana tiba-tiba menjadi sedikit janggal.

Irina masih fokus mengemaskan jaket tuksedo di tubuh Faheem. Dia sengaja tidak mengangkat wajah. Tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.

Sebaliknya renungan Faheem sedari tadi tidak berganjak dari wajahnya. Mata lelaki itu leka menelusuri ke segenap raut lembut bekas isterinya.

Wajah ini yang dahulu pernah menjadi momen pertama dilihatnya setiap pagi tatkala bangun dari tidur. Wajah ini yang selalu dia pandang sebelum melelapkan mata setiap malam. Wajah ini juga yang pernah membuatkan dia rindu dan tidak sabar-sabar ingin bertemu.

“Macam waktu dulu kan…”

Bisikan itu meletus perlahan dari bibir Faheem. Hampir tenggelam dalam suasana butik.

Namun, Irina sempat mendengarnya. Tangannya terhenti seketika. Dia mengangkat wajah memandang ke arah Faheem.

“Encik Faheem cakap apa?” Irina menyoal dalam nada yang masih formal.

Faheem lantas menggeleng perlahan.

“Tak ada apa.”

Namun, matanya masih tidak beralih dari wajah Irina. Rahangnya bergerak-gerak. Seolah-olah ada terlalu banyak perkara yang ingin diperkatakan. Tetapi, terhalang oleh egonya.

Akhirnya satu soalan keluar dari mulut Faheem. Soalan yang kedengaran seperti satu provokasi. Sekadar untuk memulakan bicara antara mereka.

“You… memang sengaja?”

Irina menjungkit kening tidak memahami.

"Sengaja? Sengaja apa, Encik Faheem?”

“Sengaja nak jadi wedding planner untuk majlis perkahwinan I. Untuk sabotaj hidup I, isn’t it?”

Nada Faheem kedengaran sinis. Hujung bibirnya terjongket sedikit.

Riak wajah Irina serta-merta berubah. Anak matanya menikam tajam ke wajah lelaki itu.

“I bekerja secara profesional. Tak ada masa nak sabotaj hidup orang.”

Irina menjawab kembali dalam suaranya yang masih terkawal, tetapi jelas ada ketegasan di situ. Sambil itu matanya sempat menjeling ke arah Natasya yang masih bercakap telefon di sudut butik. Bimbang kalau gadis itu terdengar perbualan mereka.

“Profesional? Kalau betul profesional, you takkan terima deal untuk menjadi wedding planner majlis perkahwinan bekas suami you sendiri, Irina. Can you imagine apa orang akan cakap nanti? And macam mana kalau tunang I tahu you bekas isteri I? Masalah besar akan timbul. You memang suka create problem dari dulu kan.”

Faheem menutur kata-kata itu sambil mendekatkan sedikit mukanya dengan wajah Irina. Setiap patah perkataan itu dilontarkan perlahan. Sengaja. Dia tahu kata-katanya boleh mengusik hati wanita itu. Dan melihat Irina cuba menahan emosinya ketika itu membuatkan Faheem berasa puas.

Irina menarik nafasnya dalam-dalam. Dia berusaha menahan diri tidak ingin dipengaruhi emosi. Dengan tenang dia kembali membetulkan hujung lengan tuksedo Faheem.

“Encik Faheem, for your info I ditugaskan oleh Datin Sherry untuk menjadi wedding planner majlis perkahwinan penuh gilang-gemilang untuk anak perempuan beliau iaitu Cik Natasya. Hanya kebetulan you adalah pengantin lelaki di dalam majlis itu nanti. Kalau you ada apa-apa masalah atau tak puas hati, you discuss dengan Datin Sherry sendiri. Atau you boleh minta your future mother-in-law batalkan butik I dari menjadi wedding planner majlis tu. I tak kisah. I tak rugi apa-apa pun.”

Irina menjongket bahu selamba. Suaranya bersahaja membalas semula provokasi Faheem tanpa gentar.

Faheem terdiam. Senyuman kecil tersimpan di hujung bibirnya. Itulah Irina yang dia pernah kenal. Tenang. Tidak mudah melatah. Dan sentiasa tahu bagaimana hendak membalas kembali setiap kata-katanya.

“You masih macam dulu, Irina. Suka menjawab. Suka membantah apa saja yang I cakap.”

Irina mengangkat wajah. Pandangan mereka bertembung. Kali ini dia tidak lagi mengelak.

“I hanya bantah pada perkara yang I rasakan betul dan sepatutnya I bantah.”

Faheem tidak menjawab. Sebaliknya, renungan matanya masih terus tertancap pada tunak mata bundar Irina.

Beberapa detik berlalu, pandangan mereka masih bertaut. Ada sesuatu yang tidak terucap di antara mereka. Sesuatu yang pernah wujud di hati mereka lima tahun lalu. Sejenak mereka bagaikan terlupa di mana mereka sedang berada.

Faheem meneguk liur. Dia mengangkat tangannya sedikit. Bergerak perlahan hampir menyentuh ke wajah Irina.

“Irina…”

Nada suaranya berubah lembut. Seakan mendesah nama wanita yang suatu ketika dahulu pernah bertakhta di ruang hatinya.

Irina pula memandang lelaki itu sambil cuba menenangkan debaran yang berpalu di dalam dadanya.

“Encik Faheem…” Suara Irina hampir berbisik.

“Hmm?”

“Jangan pandang I macam tu..."

Kening Faheem sedikit terangkat.

“Pandang macam mana, Irina?”

Irina terdiam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu.

Faheem semakin merendahkan nada suaranya. Menatap dalam-dalam ke anak mata Irina.

“Macam waktu dulu?”

Jantung Irina berdegup makin kencang. Jari-jemarinya bertukar gementar. Dia tahu maksud kata-kata itu. Faheem sengaja mengocakkan semula rasa yang telah lama padam dan mati.

Untuk sesaat, Irina membenci dirinya sendiri. Benci kerana dia mungkin terlalu rapuh dan tidak kuat. Lalu akan membuka kembali ruang hatinya yang selama ini tertutup buat lelaki ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience