Series
740
TERLETAK di aras ke-24 sebuah bangunan syarikat korporat di tengah Bandaraya Kuala Lumpur, suasana di dalam bilik mesyuarat utama FA Autoworld Holdings begitu sunyi sepi.
Hanya bunyi pendingin hawa yang kedengaran melatari suasana. Juga menemani debaran dan getaran di dada beberapa orang pegawai atasan dan pengurus bahagian yang sedang menanti ulasan daripada lelaki yang duduk di hujung meja.
MEGAT FAHEEM ISKANDAR.
Nama itu yang sering meniti di bibir setiap pengamal media dunia bisnes dan korporat beberapa tahun kebelakangan ini. Sejak dia mengambil alih posisi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lima tahun lalu, syarikat automotif gergasi milik keluarganya itu melonjak naik dengan pencapaian terbaharu melalui pengenalan kereta elektrik (EV) premium tempatan pertama.
Faheem memusing-musing pen Montblanc di tangan kanannya. Jari-jemari sebelah kirinya pula mengetuk beberapa kali ke meja mahogani dengan rentak yang perlahan namun terdengar mendebarkan.
Wajah tampan lelaki berusia 34 tahun itu yang berahang tajam dan sentiasa kelihatan serius tidak menunjukkan sebarang emosi. Kemeja ‘custom-fit’ dan kot rona biru gelap yang tersarung di tubuhnya menyerlahkan bentuk bahunya yang tegap. Postur tubuh seorang lelaki yang mempunyai kuasa mutlak di dalam pengaruh dan empayarnya.
"So, ini saja?"
Tiga patah perkataan yang keluar yang dari mulut Faheem itu sudah cukup untuk membuatkan pengurus pemasaran di hadapannya menelan liur yang terasa kesat. Suara Faheem rendah, tetapi kedengaran garang dan penuh kewibawaan.
"Data jualan untuk suku ketiga tahun ni merosot dua peratus berbanding unjuran. I tak bayar gaji kamu semua untuk tengok graf yang menurun macam ni," ujar Faheem tenang.
Namun, setiap bait kata itu bagai sembilu yang menghiris. Faheem menutup fail laporan di hadapannya dengan kasar. Meluahkan sebuah kekecewaan.
"I nak tengok proposal untuk pelan pemulihan ada di atas meja sebelum pukul lapan pagi esok. That’s all."
Tanpa menunggu balasan ahli mesyuarat yang lain, Faheem bingkas bangun. Langkahnya diatur kemas keluar dari bilik mesyuarat tersebut sambil diekori rapat oleh setiausahanya.
Aura kepimpinan dan ketegasannya begitu ketara, membuatkan kakitangan yang berselisih dengannya di koridor bangunan syarikat korporat itu segera menundukkan kepala sebagai tanda hormat.
Seketika kemudian, Faheem tiba di kamar kerjanya. Dia melonggarkan tali leher mahu menghilangkan rasa gusar yang menghimpit dada. Kot biru gelap yang tersarung di tubuh ditanggalkan sebelum dicampak begitu sahaja ke meja.
Kemudian dia berjalan ke arah dinding kaca yang besar di belakang meja kerjanya. Memandang panorama kota yang dihiasi lanskap bangunan pencakar langit.
Keluhan berat berhembus. Entah mengapa setiap kali dia bersendirian seperti itu, bayangan wajah lembut seseorang yang pernah mengisi hidupnya lima tahun lalu pasti melintas di ruang mata.
“Irina…”
Nama itu meniti perlahan di bibir. Biar pun sudah lima tahun berlalu, dia kadangkala sukar melupakan pemilik nama itu. Mungkin kerana wanita itu adalah cinta pertamanya.
Dan kekesalan melepaskan Irina pergi dari hidupnya tetap ada. Hanyalah ego yang masih merajai di hati memaksa dia mengunci kemas rasa itu di lubuk sanubari yang terdalam.
Lima tahun lalu, Faheem bukanlah lelaki yang dingin dan beku seperti hari ini. Lima tahun lalu, dia hanyalah seorang anak muda yang bekerja kuat untuk membuktikan potensi diri di bawah telunjuk bapanya. Tiada kuasa dan pengaruh serta sentiasa diasak dengan berbagai tekanan oleh keluarga.
Hingga dalam tidak sedar itu menjadi punca dia menyakiti hati wanita yang pernah dicintainya. Malah, menjadi pintu terhadap perpisahan mereka. Kesilapan terbesar dalam hidupnya ketika itu adalah membiarkan egonya yang rapuh menghancurkan perkahwinannya dengan Irina.
Namun, untuk menyesali hal yang telah berlalu tidak perlu lagi. Dia yakin bekas isterinya juga pasti sudah hidup baik-baik tanpa memerlukan kehadirannya. Mereka sudah membawa haluan hidup masing-masing.
****
SEDANG leka melayan perasaannya sendiri, terdengar mesin interkom di atas mejanya berbunyi. Lantas mematikan lamunan Faheem. Satu butang di mesin itu ditekan.
“Yes?”
"Maaf Tuan Faheem, Cik Natasya ada di luar. Katanya dia dah buat janji temu dengan tuan," maklum setiausahanya.
Faheem mengeluh perlahan. Riak wajahnya yang tegas serta-merta bertukar rimas. Namun, dia tetap memberi kebenaran.
“Erm suruh dia masuk."
“Baik, tuan.”
Sebentar kemudian pintu bilik itu dibuka dari luar. Natasya melangkah masuk dengan senyuman lebar di bibir. Gaun singkat warna jingga terang yang tersarung di tubuhnya tampak menjolok mata. Sekaligus mengubah suasana ruang pejabat Faheem yang berkonsepkan warna-warna maskulin dan gelap.
"Sayang!"
Natasya terus meluru ke arah Faheem dan merangkul lengan lelaki itu dengan erat. Bau wangiannya yang terlalu kuat beraroma membuatkan hidung Faheem sedikit tidak selesa. Tetapi, dia tidak menepis dan hanya membiarkan gelagat tunangnya itu.
"Tasya, I tengah sibuk sekarang ni. Banyak dokumen I kena semak," ujar Faheem. Nadanya mendatar.
Dia berjalan ke kerusi kerjanya sambil perlahan-lahan melepaskan cengkaman jemari runcing Natasya dari lengannya.
Natasya terus memuncungkan bibir mungilnya. Lalu melabuhkan punggung di bucu meja kerja Faheem dengan gaya yang sengaja dimanjakan. Suara lunak persis anak kecil ditekan agar terdengar menggoda di pendengaran tunangnya.
“You ni kan… asyik kerja, kerja, kerja je. Kita ni dah nak kahwin tau lagi tiga bulan. Majlis kita tu nanti bakal dihadiri semua kerabat dan VIP. You tak kesian kat I ke, sayang? I terpaksa uruskan semua benda sorang-sorang? Huhu~"
Faheem memijat dahinya yang mula terasa pening dengan rengekan keanak-anakan Natasya.
“Kan mommy you ada tolong? I dah sediakan bajet semua. You cuma perlu pilih dan bayar je, Tasya.”
"Pilih baju pengantin tak boleh pakai bayar macam tu je, Faheem. Kita kena pergi fitting sama-sama," bentak Natasya manja sambil menghentakkan kakinya.
“I busy sangat sekarang ni. You pilih ajelah mana-mana yang you rasa sesuai untuk I. I tak kisah,” balas Faheem malas ingin berbalah.
Sebaliknya Natasya mengetap bibir tanda tidak berpuas hati. Geram dengan perangai tunang yang seorang ini. Nak ajak ke butik perkahwinan pun bukan main susah lagi.
“You tahu tak, I dah jumpa wedding planner untuk majlis perkahwinan kita nanti. Semalam I dengan mommy dah pergi satu butik pengantin eksklusif dekat Bangsar. Nama dia The Vow Bridal. Rekaan dia memang standard international. Dan I dah tempah baju kahwin I di sana. Lengkap dengan pakej pelamin, dewan ballroom, katering and photographer.”
Faheem hanya mendengar cerita Natasya acuh tak acuh sambil membelek sehelai dokumen di tangannya.
"Baguslah kalau you dah jumpa."
"Tapi, I tetap nak you datang sekali minggu depan untuk sesi fitting baju nikah dan sanding you tau, sayang. I dah cakap dengan owner butik tu yang bakal suami I ni CEO syarikat ternama. So, dia dah janji nak buatkan design paling grand untuk you," sambung Natasya dengan mata yang bersinar bangga.
Faheem sempat menjungkit sedikit keningnya sambil mengerling ke arah Natasya. Ayat ‘CEO syarikat ternama’ tu macam tak perlu kot. Dia bukannya selebriti.
Natasya kemudian mencondongkan tubuhnya dalam liuk-lentok manja ke arah Faheem. Mahu terus memujuk lelaki itu.
“You kena datang butik tu juga minggu depan, sayang. Pukul dua petang. I tak kira, I dah buat booking atas nama you."
Sejenak Faheem melepaskan pen di tangan. Dokumen yang disibukkan ditolak ke tepi seketika. Dia memandang ke wajah Natasya yang sedang tersenyum penuh mengharap sambil menanti jawapannya.
Walaupun seringkali berasa rimas dengan sikap Natasya yang terlalu mendesak dan kebudak-budakan, Faheem tahu dia tidak mempunyai pilihan demi menjaga hubungan perniagaan yang terjalin di antara keluarganya dan keluarga Natasya. Akhirnya dia akur lantas mengangguk.
"Yalah. Minggu depan pukul dua petang I pergi butik tu. Nanti I suruh my secretary kosongkan jadual I," putus Faheem mengalah.
Natasya melonjak girang. Gembira dengan reaksi balas tunangnya. Sempat dia mencium ke pipi Faheem sebelum turun dari meja dan berdiri tegak.
“Yeay! Thank you, sayang! You memang bakal suami I yang paling terbaik. I balik dulu tau, nak beritahu mommy."
Natasya kemudian terkedek-kedek berjalan dalam high-heels Jimmy Choo yang tersarung di kakinya melangkah keluar meninggalkan kamar kerja Faheem. Tiada bicara panjang-panjang lagi. Apa yang dimahukan sudah berjaya diperoleh.
Selepas bayang Natasya hilang di sebalik pintu kamar, suasana di ruang pejabat itu kembali sepi. Faheem bersandar pada kerusi empuknya sambil memandang ke siling. Tangannya meraup ke rambut pendeknya. Mempamerkan kegusaran yang terpamer di raut wajah.
Entah mengapa dia berat hati saat memikirkan hal berkaitan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Bukan dia tidak gembira. Bukan dia tidak teruja. Cuma… seperti ada satu hal yang masih belum selesai dan acapkali merunsingkan fikirannya akhir-akhir ini. Entahlah.
Jika bukan kerana desakan papa dan mama yang mahu dia mendirikan rumah tangga dengan segera, pastilah hasrat itu akan terbiar berkubur sahaja tanpa dipedulikan.
Kata mama umurnya sudah semakin lanjut. Tahun ini sudah masuk 34 tahun. Kalau nak menunggu untuk dapatkan zuriat entah berapa tahun pula. Sedangkan kedua ibu bapanya sudah bertahun-tahun menunggu untuk menimang cucu memandangkan dia adalah anak tunggal. Jadi, dia adalah satu-satunya harapan di dalam keluarga untuk mengembangkan keturunan dan legasi.
Disebabkan malas nak dengar mamanya membebel panjang-panjang. Juga kerana dia terlalu sibuk dengan urusan hidup dan tidak sempat untuk mencari calon bakal isteri, maka kehadiran Natasya Auliya yang diaturkan pertemuan mereka oleh kedua keluarga tidak lama dahulu diterima sahaja oleh Faheem.
Di mata Faheem, Natasya gadis yang cantik jelita serta pandai membawa diri dalam setiap majlis yang dihadiri. Walaupun kadangkala sikapnya agak terlebih manja dan mengada-ngada. Tak mengapalah. Mungkin selepas mereka berkahwin nanti Natasya akan berubah menjadi lebih matang.
Perkahwinan pertamanya dahulu telah banyak mengajar Faheem bahawa dia tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Tiada manusia yang sempurna. Begitu juga dalam hal mencari pasangan. Asalkan wanita itu ikhlas mencintai dirinya sudah mencukupi.
Semoga perkahwinan kali keduanya nanti akan mampu memadam segala kenangan serta nama Irina dari ruang hatinya.
Dear readers, Terima kasih sudi singgah ke novel ni. Ada yang suka ke dengan tema cerita macam ni? Kalau suka komenlah sikit tau ❤️
Share this novel
suka cerita ni. terima kasih Amieda Amee
???
♥️♥️♥️