Lama-kelamaan suara rintihan makcik itu tidak lagi kedengaran. Telefonnya juga sudah berhenti dari berbunyi.
Esha meraup muka berkali-kali. Suasana rumahnya kembali terang-benderang. Syukur…
ESHA ke Celcom Centre untuk mengetahui nama pemilik nombor tersebut. Malah dia bertegas mahukan alamat lelaki bernama Yusrizal itu. Setelah memperolehi apa yang dicari, Esha menuju ke rumah lelaki tersebut.
Lelaki bernama Yusrizal menerima kejutan dengan kehadiran Esha. Begitu juga dengan isterinya. Mereka menjemput Esha masuk. Lantas Esha menceritakan apa yang berlaku.
Yusrizal memaklumkan yang dia memang sudah menggunakan nombor tersebut 5 bulan yang lalu. Dia tidak tahan dengan gangguan telefon wanita tua yang suaranya sama seperti suara arwah ibunya itu. Esha tersentak mendengar cerita dari Yusrizal.
Tambah Yusrizal lagi, ibunya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke rumahnya. Ibunya sedang menelefonnya ketika itu dan memaklumkan kedatangannya ke rumah.
Tidak tahu apa yang terjadi, ibunya tidak sampai-sampai ke rumah. Puas dihubungi panggilannya masuk ke peti suara lalu dia membuat laporan polis.
Keesokkan hari polis datang ke rumahnya memaklumkan berita sedih. Mayat ibunya ditemui di dalam longkang besar tepi jalan. Kecederaan di kepala punca kematian ibunya. Ibunya dipercayai telah diragut. Selepas sebulan ibunya meninggal, dia mula menerima gangguan telefon dari nombor arwah ibunya itu. Aneh. Tapi itu yang berlaku.
“Terima kasih,” Ucap Esha. Dia meminta diri.
Orang yang sudah mati tidak akan hidup semula hingga hari kebangkitan itu tiba. Semua itu permainan pengikut-pengikut iblis. Esha mengambil keputusan untuk menukar ganti nombor yang baharu. Langkah yang terbaik bagi Esha. Moga orang yang memilih nombor tersebut tidak mengalami gangguan dari makcik yang salah nombor itu.
Share this novel