Bab 1 : Anggun

Adventure Series 1178

Adrian putus cinta lagi. Tak tahu buat kali ke berapa. Yang pasti, ini bukan kali terakhir. Ikmal sudah lali dengan perkara begini. Dengan mudah saja Adrian akan jatuh cinta dan dengan mudah saja Adrian akan putus cinta.

Sebagai seorang kawan yang baik hati dan bertimbang rasa dengan keadaan semasa, dia mengajak Adrian pergi tenangkan diri. Itu aktiviti wajib setiap kali Adrian putus cinta. Kalau tidak, dia akan berhadapan dengan manusia yang seakan mayat hidup setiap hari. Tak cukup dengan itu telinganya terpaksa menadah nyanyian suara sumbang yang mendendangkan lagu-lagu rock kapak 80-an.

Sesungguhnya earphone dengan noise cancelation pun tak mampu menyelesaikan masalah ini. Kebetulan Ikmal yang bekerja di rumah sebagai pelukis komik sedang ketandusan idea. Dia mahu mencari idea yang segar dan berkhasiat untuk minda-minda generasi sekarang yang banyak songeh.

Jadi dia cadangkan mereka pergi berkelah. Setelah lama memilih tempat, mereka bercadang untuk pergi ke tempat air terjun yang pernah mereka kunjungi lebih kurang 5-6 tahun yang lalu. Waktu itu mereka baru sahaja tamat peperiksaan SPM. Kebetulan pula pada masa itu, ayah Ikmal baru sahaja membeli tanah dan mendirikan sebuah rumah hutan di kawasan situ.

Cadangan ayahnya membina rumah hutan di situ adalah untuk mereka sekeluarga bercuti tenangkan fikiran. Tak perlu tempah hotel memandangkan kebanyakan tempat percutian sekarang mudah penuh dengan para pelancong. Jadi, rumah hutan ini dibina sesuai untuk mereka sekeluarga membawa diri daripada kehidupan kota yang bising dan sibuk.

Namun, sepanjang 5-6 tahun ini, hanya sekali Ikmal pernah kunjungi. Selepas SPM, kehidupannya bertambah sibuk. Apatah lagi selepas dia menjadi mahasiswa di universiti yang jauh daripada bandar. Selepas tamat belajar beberapa bulan yang lalu, dia mengikut Adrian ke Kuala Lumpur untuk mencari peluang pekerjaan.

Malang baginya satu syarikat pun tidak memberikan pekerjaan kepadanya. Tapi dia tak duduk diam. Dia berjinak dengan melukis komik dan menggunakan medium Internet untuk memperlihatkan bakatnya. Kemudian, Adrian pula mendermakan kemahirannya dalam programming mencipta satu aplikasi khas untuk peminat komik di Malaysia.

Walaupuan aplikasi WauKreatif masih baharu tetapi ia sudah menjadi tempat para pengiat kreatif di Malaysia memasarkan kreativiti mereka. Sekarang, dia dan Adrian berganding bahu membangunkan WauKreatif supaya lebih maju lagi setanding dengan laman sosial yang lain.

Semuanya berjalan dengan lancar, sehinggalah satu hari Adrian putus cinta. Terbantutlah semua kerja-kerja yang sudah dirancang. Sebagai kawan, Ikmal tak boleh berdiam diri. Sesuatu perlu dilakukan demi memastikan dia ada pendapatan untuk menyara dirinya sendiri!

Petang itu mereka pergi membeli barangan seperti makanan untuk persediaan berkelah di air terjun. Ketika itulah Adrian bertanya satu soalan.

"Kita berdua saja ke?" tanya Adrian.

"Kita berdua sajalah. Kau nak ajak siapa lagi? Ex-girlfriend kau?"

"Jangan sebut dia depan aku lagi."

Ikmal menggeleng. Adrian, nama saja lelaki tapi hati lembut macam tisu. Dia sebagai veteren yang kerap putus cinta macam tak pernah belajar daripada hubungan-hubungan yang lalu.

"Kau tahu... Zara benci makan keropok Super Ring ni," kata Adrian tiba-tiba.

"So?" Ikmal mengangkat kening. Baru je tadi jangan sebut pasal ex-girlfriend dia tapi dia sendiri sebut.

"Aku terpaksa berhenti makan Super Ring sebab aku sayangkan dia. Hari ni aku nak borong Super Ring satu troli!"

"Dahlah. Kau ingat sikit. Kau bukan anak raja yang kaya raya. Kau pun baru je berhenti kerja sebab nak beri tumpuan pada projek WauKreatif kita tu. Sekarang kita tak ada income atau dengan kata lain, kita miskin. Ingat sikit sebab Zara tinggalkan kau. Dia tak yakin kau akan berjaya. Dia yakin kau akan bertambah miskin dan tak boleh nak sediakan wang hantaran RM20 ribu. Jadi, sedarlah sikit. Guna otak tu sebelum buat keputusan nak borong Super Ring satu troli," Ikmal dah mula membebel.

"Betul." Adrian mengangguk. Dia akui apa yang Ikmal kata tadi ada benarnya. "Tak sangka otak kau bergeliga!"

Ikmal menggeleng. Dalam hatinya berkata, 'Bukan otak aku bergeliga tapi otak kau yang tak berfungsi dengan betul!'

"Lepas ni kalau kau nak jatuh cinta, kau carilah perempuan yang normal sikit. Bukan dengan perempuan yang mata duitan macam bekas-bekas teman wanita kau yang lain tu. Kau tu pun satu, jangan nak berlagak macam anak orang kaya. Aku tahu kau handsome macam hero novel tapi cubalah jadi selekeh sikit supaya bakal teman wanita kau nanti tak fikir kau ada banyak duit."

"Ikmal, kau cemburu?" tanya Adrian tersengih-sengih. "Kau cemburu sebab aku ramai peminat manakala sampai sekarang kau tak pernah bercinta."

"Diam."

Adrian ketawa. Bukan niat dia hendak mengejek Ikmal tetapi dia tahu kawannya itu jenis yang memilih. Bukan sahaja makanan tetapi semua benda dalam hidupnya termasuklah teman wanita.

"Kau kena bagi diri kau peluang. Buka sikit hati kau terima perempuan yang datang dalam hidup kau dengan seadanya. Kalau tak, macam mana kau nak cari yang betul-betul sesuai dengan hati kau."

"Kau cakap memang senang. Dah lupa kau baru putus cinta?"

"Apa? Adrian dah putus cinta?" tegur satu suara tiba-tiba. Ikmal dan Adrian terkejut beruk. Mujurlah tak terpelanting semua barang-barang dalam bakul.

"Huh... Anggun!" Adrian mengurut dada. Begitu juga dengan Ikmal. Mujurlah jantung mereka masih sihat. Kemudian mereka memandang ke arah seorang gadis yang tersenyum manis menyapa mereka tadi.

Anggun. Orangnya secantik namanya. Memang Anggun dan sedap mata memandang. Senyumannya pula bagaikan puteri kayangan turun ke bumi. Manis macam madu. Pendek kata dia memang cantik dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Tapi. Ya, ada tapinya!

Perangainya tak seperti seindah namanya. Langsung tak Anggun! Orangnya seperti ada beberapa personaliti yang berbeza. Satu minit dia bercakap dengan lembut dan perlahan. Tiba-tiba saja dia boleh bertukar jadi orang yang garang dan bermulut celupar. Itu belum keluar maki hamun dan mencarut. Boleh sakit telinga bila mendengarnya.

Lebih teruk lagi, Anggun menaruh hati terhadap Adrian. Hampir setahun lebih Anggun cuba kejar Adrian tapi macam biasalah Adrian manalah pandang perempuan gengster bertopengkan bidadari macam Anggun. Tapi Anggun tak peduli. Dia tetap tunggu dan tunggu Adrian. Setiap kali Adrian putus cinta, dia pasti akan memulakan misinya memikat hati Adrian.

"Awak dah putus cinta?" tanya Anggun dengan suara lembut dan berirama perlahan. Sambil bertanya, sambil itu badannya berliang lenggok dengan gediknya. Sesekali Ikmal rasa jijik melihat sesi pikat memikat begini.

"Err..." Adrian kelihatan cuba memikirkan alasan lain. Sepastinya dia tak mahu Anggun tahu dia baru sahaja putus cinta. Parah! "Mungkin awak tersalah dengar..."

"Jangan nak tipu! Saya dengar tadi. Awak dah putus cinta!" Anggun melepaskan suara garangnya. Ikmal dan Adrian tersentak lagi. Masing-masing mengurut dada. Lantang sungguh suara dia. Tenggelam langsung keayuan dia.

"Err... Eh... itu bukan ke Luhan?" tanya Adrian sambil menunjuk ke arah yang membelakangi Anggun.

"Jangan nak tipu!" Anggun yakin Adrian mahu melarikan diri daripadanya. Bukan dia tak pernah terkena. Kali ini dia tak akan tertipu.

"Betullah. Itu Luhan. Ikmal cuba kau tengok betul-betul. Dia memang Luhan kan?"

"Betullah. Memang Luhan. Eh, apa dia buat dekat Malaysia ni?" Ikmal pun ikut melayan Adrian.

"Tulah kau. Asyik duduk depan komputer melukis je. Sesekali gunalah komputer kau tu layan Internet. Layan melon sikit. Baru-baru ni ada gosip, dia akan buat konsert dekat Malaysia. Dia datang sini mungkin sebab tu kot."

"Ada betulnya," Ikmal mengangguk percaya.

Tapi Anggun sedikit pun tak percaya. Malah dia tetap memandang tajam ke arah mereka berdua.

"Eh, awak peminat Luhan, takkan awak tak dengar berita pasal ni?"

"Saya tak layan melon!" tegas Anggun.

"Saya tak tipulah. Nanti ya. Saya panggil dia sekarang. Luhan!" panggil Adrian beberapa kali.

Akhirnya, Anggun pun berpaling. Tapi bila dia lihat belakangnya, tiada sesiapa. Hanya ada pengunjung pasar raya sedang membeli ayam. Sekali lagi dia tertipu! Bila dia berpaling semula, kelibat Adrian sudah tidak kelihatan. Hanya Ikmal masih berdiri di hadapannya. Itu pun Ikmal tak sempat nak melarikan diri kerana dia perlu membayar barangan dalam bakul itu.

"Adrian!" jerit Anggun geram.

"Err... Cik Anggun, bawa bertenang," tegur Ikmal. Seperti biasa, dia perlu meredakan kemarahan Anggun terhadap Adrian. Puas juga dia memujuk Anggun supaya melupakan Adrian tetapi gadis di hadapannya keras kepala macam batu. Nasihat apa pun tak guna! Entah apa yang ada pada Adrian sampai Anggun pun boleh hilang keanggunan dia kejar cinta Adrian.

"Kau, beritahu aku cepat. Adrian dah putus cinta?" tanya Anggun dengan pandangan mata yang tajam. Sesiapa yang melihat matanya pasti sukar untuk melarikan diri daripada pandangan mautnya itu.

"Err... walaupun dia putus cinta, dia tetap takkan pilih Cik Anggun. Mengalah sajalah," jawab Ikmal.

"Mengalah? Kau ingat sesenang saja nak mengalah?" Anggun menjeling tajam.

Betul. Kalau Anggun mudah mengalah, sudah lama dia hidup dengan aman dan damai tanpa berhadapan dengan Anggun lagi. Masalah betul! Perempuan zaman sekarang ni memang menakutkan! Tak boleh bagi lelaki hidup dengan aman ke?

"Banyak shopping hari ni. Baru minggu lepas aku nampak korang beli makanan, minggu ni beli lagi? Cepatnya korang melantak makan."

"Taklah. Kami bercadang nak pergi berkelah di air terjun," laju Ikmal menjawab.

"Berkelah?" Mata Anggun membesar memandang ke arahnya.

Ikmal tersentak. Habis! Matilah!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience