Bab 3 : Anggun yang Luar Biasa

Adventure Series 1178

"Ada bermacam tempat percutian yang menarik di Malaysia ni tapi kenapa tempat macam ni juga menjadi pilihan?" tanya Anggun yang asyik membebel sejak 20 minit mereka mendaki tadi.

Mulanya Adrian dan Ikmal cuba pekakkan telinga tapi makin lama makin stres mendengarnya.

"Nampaknya ada orang kecewa. Maaflah Cik Anggun, kami tengah miskin sekarang. Ini sajalah aktiviti yang kami mampu lakukan," ujar Ikmal.

"Kalau awak tak suka aktiviti lasak macam ni silalah turun dan berehat saja di rumah hutan," tambah Adrian.

"Err... tak. Saya suka saja aktiviti lasak macam ni. Jangan risau, saya ada pengalaman bermalam dalam hutan Amazon yang paling bahaya di dunia ni. Cuma saya harap tiada anakonda dalam hutan ni. Awak tahu betapa susahnya nak lari daripada kena makan anakonda?"

"Anakonda tak ada tapi harimau jadian mungkin ada. Dengar kata bengis dan garang makhluknya."

"Ikmal, kau mengata aku?" Anggun merenung dengan tajam. Tak perlu proses lama kata-kata Ikmal tadi. Dengar sekali dia dah dapat tangkap. Bukan hari ini dia kenal Ikmal. Orangnya nampak normal tetapi kata-kata yang keluar dari mulutnya penuh berbisa.

"Eh, tak adalah. Janganlah sensitif sangat," balas Ikmal selamba.

"Kau memang bertuah sebab aku memang seorang yang sensitif. Aku pun sangat gembira aku seorang sensitif sebab tak ada sesiapa pun yang boleh membuli aku termasuk kau!" ujar Anggun.

"Dah. Dah! Jangan bergaduh. Orang tua-tua kata, bila dua orang asyik bergaduh ni akan berakhir dijinjang pelamin. Pendek kata, kahwin."

"Siapa nak kahwin dengan dia. Saya nak kahwin dengan awak," lantas Anggun memeluk lengan Adrian.

"Sebelum kahwin dengan dia, aku dah reject dia," balas Ikmal.

"Sebelum kau reject aku, aku dah reject kau awal-awal lagi!" Anggun meninggikan suara.

"Okey, jangan bergaduh lagi. Kita kena teruskan perjalanan dan sampai sebelum tengah hari," Adrian cuba mengamankan ketegangan antara mereka berdua. Dia memberi isyarat kepada Ikmal supaya tidak menaikkan kemarahan Anggun lagi.

Ikmal faham isyarat Adrian. Bukan dia yang timbulkan masalah tapi semuanya berpunca daripada Anggun juga. Biasanya dia tak ada masalah untuk bergaul dengan bekas-bekas teman wanita Adrian tapi Anggun lain.

Orangnya langsung tak makan saman. Tak ada moral dan langsung tak ada perasaan malu. Sindir macam mana pun hatinya tetap kental. Adrian telah puas cuba menolak cinta Anggun dengan pelbagai cara. Lembut, kasar dan biadab. Semuanya tak berjaya.

Sekarang Adrian hanya menyerah pada keadaan. Selagi Anggun tak buat benda-benda bodoh yang boleh merosakkan hidupnya, selagi itu Adrian menerima kehadiran Anggun.

Dia masih ingat kata-kata Adrian, "Anggun tu masih rasional. Masa aku single dia tak guna teknik watak antoganis dalam drama pukul 7 petang. Walaupun dia tak reti malu tapi dia tak buat sesuatu yang memalukan kehormatannya. Bila aku ada girlfriend, dia tak pernah ganggu hubungan kami. Kalau dia boleh hormat aku, jadi tak salah kalau aku hormat dia."

Sungguhpun begitu, Ikmal sentiasa tidak senang dengan Anggun. Mungkin dia dilahirkan untuk bergaduh dengan Anggun.

Mereka meneruskan pendakian. Hampir satu jam mendaki, mereka berhenti sebanyak dua kali untuk mengumpul stamina. Bukan selalu mereka melakukan aktiviti lasak begini. Tak hairanlah kalau baru berjalan sekejap dah pancit.

Tapi Anggun lain. Dia kelihatan masih bertenaga. Staminanya juga jauh lebih kuat daripada mereka berdua.

"Dah lama kita berjalan... korang pasti kita tak sesat jalan?" tanya Anggun.

Ikmal pandang Adrian.

"Kenapa pandang aku macam tu? Ini kali kedua aku datang sini," kata Adrian.

"Aku pun," jawab Ikmal.

"Jadi, kau orang berdua berani redah hutan ni tanpa masing-masing tahu jalan untuk ke air terjun?" soal Anggun kembali melihat seorang demi seorang.

"Masa tu pun kita pergi berdua..." ujar Adrian.

"Kita berdua? Kau pasti?" tanya Ikmal kembali.

"Ya. Kita pergi berdua je..."

"Kenapa aku rasa macam ada orang lagi yang daki bersama-sama kita..." Ikmal menggaru kepala. Kejadian itu sudah lama.

Lima atau enam tahun dulu. Dia pun kurang pasti bagaimana mereka dapat sampai ke tempat air terjun itu. Separuh ingatannya hanya ingat dia dan Adrian tetapi separuh lagi dia rasakan ada beberapa orang yang ikut serta. Cuma dia tak pasti yang mana adalah ingatan palsu.

"Kau mimpi apa ni? Hanya kita berdua. Tak ada orang lain ikut kita masa tu," Adrian bertegas. Selama ini dia percaya akan ingatannya yang kuat.

"Okey, sekarang bukan masa nak tunjuk ingatan siapa yang paling tepat. Sekarang tak ada sesiapa pun yang tahu arah tuju kita. Apa kata kalau kita turun sebelum kita tersesat dalam ni?" cadang Anggun.

"Siapa kata tak ada siapa tahu?" Adrian bersuara.

"So?"

"Di depan lagi sepatutnya ada papan tanda check point pertama," ujar Adrian.

"Sepatutnya???" soal Anggun kurang yakin.

"Cik Anggun, saya ni masih muda dan ada ingatan yang kuat lagi. Jangan risau. Kita akan sampai di check point pertama tak lama lagi."

"Kau orang tunggu sini, aku pergi tengok dulu," Anggun terus melangkah tanpa menghiraukan mereka berdua. Dalam sekelip mata, Anggun sudah jauh mendaki ke atas.

"Kau yakin ke itu betul-betul Anggun?" tanya Ikmal. Mana tahu ada sesuatu yang menyamar jadi Anggun ketika mereka sampai di rumah hutan.

"Jaga mulut. Jangan cakap yang bukan-bukan dalam hutan ni. Yang pasti dia memang Anggun."

"Kenapa kau pasti?"

"Sebab hanya Anggun yang mampu buat lelaki penyabar macam kau jadi kurang sabar."

"Kau perli aku?"

Adrian tersengih. Belum dia sempat bersuara, dia mendengar Anggun memanggilnya dari atas.

"Adrian!" panggil Anggun dari atas. "Saya dah jumpa check point yang awak kata tu tapi kita ada satu masalah besar!"

Tanpa buang masa, mereka berdua bergegas mendaki ke atas. Tidak jauh. Hanya lebih kurang 10 meter sahaja. Sampai sahaja di sana, mereka menyedari masalah besar yang dimaksudkan Anggun.

"Tengok, papan tanda tu dah dicabut." Anggun menunjukkan bekas papan tanda yang sudah jatuh ke tanah. Tiang yang menggantung papan tanda untuk ke air terjun telah dipatah dua. Kini mereka tidak pasti arah yang tepat untuk ke air terjun.

"Awak rasa ini perbuatan babi hutan ke?" tanya Anggun kepada Adrian.

"Ya. Ini mesti perbuatan babi hutan jadian," kata Ikmal sambil memandang Anggun.

"Aku? Berani kau tuduh aku? Kenapa aku nak rosakkan pula papan tanda ni?" Anggun tak puas hati.

"Sebab dengan alasan begini, kita tak tahu jalan yang betul untuk ke air terjun tu. Jadi, kau akan suggest supaya kita berpatah kembali ke rumah hutan. Anggun, kau cuba sabotaj percutian kami?" soal Ikmal sinis.

"Mana ada! Ini semua fitnah! Adrian, awak kena percayakan saya..."

"Dah. Ini bukannya masa untuk bergaduh. Tiang papan ni dah lama reput, mungkin dilanggar sesuatu," ujar Adrian.

"Dengar tu! Bukan salah aku!" kata Anggun kepada Ikmal.

"Sekarang ni kita kena bergantung pada memori kita. Ada dua jalan, hanya satu jalan yang betul untuk ke air terjun."

"Aku rasa sana," Ikmal menunjuk ke arah kiri yang ada laluan kecil seperti laluan itu pernah dilalui oleh para pendaki.

"Betul. Laluan ni macam pernah ada orang lalu..." sokong Adrian.

"Korang berdua ni... apa nak jadi kalau aku tak ikut korang sekali? Korang ingat hutan ni macam highway? Pilih satu jalan dan semua jalan ada exit? Korang tak fikir ke mungkin jalan ni jalan babi hutan selalu lalu???"

Adrian dan Ikmal berpandangan sesama sendiri. Betul juga. Tempat air terjun yang mereka hendak pergi ini bukan tempat tumpuan orang ramai. Hanya penduduk di sekitar yang tahu kewujudan air terjun ini. Papan tanda ini pula memang di pacak lama oleh penduduk di sini.

"Kau cakap macam kau pandai dalam bab ni. Apa kata kau tunjuk sikit ilmu hutan Amazon kau tu," balas Ikmal tak nak mengaku kalah.

"Hisy, tak pasal-pasal aku kena buang keanggunan aku depan Adrian. Pegang beg aku ni!" Anggun mencampak beg yang dibawanya tadi kepada Ikmal.

"Mak aiii... beratnya. Kau bawak satu almari baju ke dalam ni?" sindir Ikmal tapi dalam masa yang sama terkejut memegang beg Anggun. Berat gila! Ini perempuan atau gergasi ni???

"Awak nak buat apa?" tanya Adrian.

"Nak jimatkan masa kita cari jalan yang betul sebelum kita betul-betul tersesat dalam hutan. Subjek Survival dalam Hutan bermula. Okey murid-murid sekalian, tahu tak ini apa?" tanya Anggun sambil menepuk-nepuk pada batang pokok yang tumbuh tinggi sekitar 30 hingga 40 meter.

"Pokok?" jawab Adrian melayan.

"Betul. Kita bernasib baik sebab pokok ni sangat tinggi. Pokok yang tinggi dapat bantu kita cari jalan yang betul."

"Nanti," Ikmal bersuara. "Jangan kata kau nak panjat pokok ni..."

"Ada masalah?"

"Kau dah gila? Pokok ni besar dan tinggi dan kau tu pula kecik dan pendek. Kau tengok pula dahannya, lebih kurang 10 meter baru kau dapat capai dahan pokok ni," kata Ikmal. Walaupun dia tak beberapa yakin Anggun dapat panjat pokok itu tapi dia tak setuju dengan cadangan Anggun itu.

"Pathetic!"

"Tengok tu. Aku bagi nasihat aje. Okey, mungkin kau boleh sampai atas tu tapi macam mana kau nak turun nanti? Macam mana kau jatuh dan patah kaki? Aku tak nak kena saman dengan keluarga kau," kata Ikmal.

"Jangan risau takkan ada sesiapa yang akan saman kau. Okey, korang berdua, sila paling ke belakang."

"Kenapa?" tanya Ikmal hairan.

"Dah tentulah aku nak panjat. Korang pula akan tengok punggung aku yang seksi. Apapun alasan, aku mesti jaga kehormatan aku, faham!"

"Okey faham," serentak itu Adrian berpaling ke belakang. Dia juga menarik Ikmal supaya berpaling ke belakang.

"Serius aku tak faham..." Ikmal menarik nafas panjang.

"Layan je la dulu. Kalau dia tak dapat panjat aku benarkan kau gelak sampai esok pagi," kata Adrian.

"Ini bukan pasal aku nak gelakkan dia tapi budak si Anggun tu memang suka cari nahas. Sekarang dia nak panjat pokok yang tinggi macam ni? Mana logik??" Serentak itu dia berpaling ke belakang. "Eh mana Anggun?"

Adrian turut berpaling. Mata masing-masing melilau mencari Anggun tetapi tidak kelihatan sehinggalah Ikmal terpandang atas. Lalu ditepuk bahu kawannya itu.

Adrian mendongak ke atas. Dari tempatnya berdiri, dia melihat Anggun berdiri di atas dahan pertama dan kemudian memanjat ke dahan kedua. Ketinggian itu mungkin lebih kurang 15 hingga 20 meter.

Adrian dan Ikmal berpandangan. Mereka yakin, belum sampai 10 minit berlalu sejak Anggun menyuruh mereka berpaling ke belakang. Mustahil dia mampu panjat pokok ini dalam masa yang singkat!

"Kalau dia selamat terjun dari atas tu tanpa sebarang alatan, aku syak dia bukan manusia. Dia alien," kata Ikmal.

"Mungkin juga dia ada sayap," tambah Adrian. Ikmal mengangguk setuju.

Mereka melihat setiap gerak geri Anggun dari bawah. Anggun sedang mengambil gambar dengan telefon pintarnya. Kemudian dia mula turun. Menggunakan seutas tali yang diikat pada batang pokok itu. Kemudian dalam keadaan memeluk batang pokok, dia turun ke bawah dengan laju....

Sekali lagi Adrian dan Ikmal berpandangan.

Ketika kaki Anggun menjejak tanah, dia bersuara, "Ikut sana," Anggun tunjuk ke arah kanan. Adrian dan Ikmal hanya mengangguk.

"Nampaknya drama pukul 7 dah jadi drama pukul 10," ujar Adrian yang berjalan di belakang Anggun.

"Ya. Penuh dengan plot twist!" sokong Ikmal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience