Bab 2 : Rumah Hutan

Adventure Series 1178

Adrian menepuk dahi. Satu masalah lagi dihadapi mereka. Anggun tahu mereka akan pergi berkelah. Parah. Dia perlu buat sesuatu sebelum Anggun buat sesuatu. Bukan dia tak pernah kenal Anggun yang licik orangnya. Sebelum sempat dia berfikir, Anggun dah jauh ke hadapan berfikir. Kali ini dia tak mahu kalah lagi. Dia akan pastikan dia maju setapak daripada Anggun.

"Kau punya pasallah ni. Elok-elok kita tak ada masalah, tiba-tiba datang bawa masalah," Adrian menjeling tajam ke arah Ikmal.

"Aku pula yang kena? Siapa suruh kau lari tiba-tiba. Lain kali berdiri di sebelah aku, kita sama-sama lawan si Anggun tu tapi dia pula pengecut."

"Takkan kau tak kenal Anggun tu macam mana. Dia tahu kelemahan aku. Aku pula cuma tahu dia peminat kipas-susah-mati Luhan je."

Ikmal tergelak. Bukan gelakkan Adrian saja tetapi diri dia sendiri juga. Sehinggakan hari ini mereka berdua hanya tahu sedikit tentang Anggun.

Anggun, dia tinggal tidak jauh dari kawasan perumahan mereka. Hanya selang dua tiga baris. Dia bekerja sebagai barista di sebuah cafe yang selalu dikunjungi oleh Adrian. Tapi sekarang, Adrian tak berani jejak sana lagi. Dari situlah mereka bertemu bertentang mata. Dalam sekelip mata sahaja, Anggun terpikat dengan kekacakkan Adrian.

Sehingga kini, masing-masing tak tahu apa-apa tentang Anggun. Dari mana dia datang. Berapa umurnya. Siapa bekas teman lelakinya. Semuanya tak diketahui mereka lagi. Macam mana nak tahu kalau masing-masing tak nak ambil tahu.

Anggun pula tinggal seorang diri di rumah sewa. Dulu pernah ada beberapa orang tinggal menyewa bersama Anggun tetapi masing-masing keluar daripada rumah itu kerana tidak tahan dengan perangai Anggun yang garang macam harimau kelaparan.

Tapi Ikmal ada terdengar sesuatu pasal Anggun...

"Aku dengar dari kawan tempat kerjanya kata, dia lari dari rumah," kata Ikmal.

"Lari dari rumah?" Adrian mengangkat kening.

"Orang katalah. Kau tahukan aku suka pergi cafe dia kerja tu. Suatu hari aku dengar kawan-kawan dia bergosip. Mereka syak Anggun lari dari rumah dan mereka syak lagi Anggun ni dari keluarga berada."

Adrian mengangguk. "Aku pun rasa macam tu. Tengok dia punya style pun dah tahu. Baju, aksesori, kasut dan mekap dia... bukan biasa-biasa. Aku syak dia selalu pergi spa dan salon sebab tu dia nampak macam supermodel."

"Kau nak dengar teori aku?" tanya Ikmal.

"Silakan."

"Aku syak apa yang aku dengar tu betul. Dia daripada keluarga berada. Dia ada segalanya. Jadi dia tak perlu risau masa depan dia. Tapi dia larikan diri. Perempuan yang ada segalanya, hanya ada satu sebab kenapa dia larikan diri."

"Keluarga dia nak kahwinkan dia dengan pilihan keluarga!" teka Adrian.

"Tepat sekali."

"Macam drama pukul 7 pula..."

"Ya. Dia tak setuju. Dia nak cari cinta sejati dia. Jadi dia melarikan diri. Menyamar sebagai barista dan orang biasa dengan tujuan untuk mencari cinta sejati. Keluarga dia pula bagi tempoh yang singkat, kalau dia tak dapat cari lelaki pilihannya dia terpaksa berkahwin dengan pilihan keluarga!"

"Malangnya, akulah cinta sejati yang dia cari..." Adrian menongkat dagu. "Kau fikir, beberapa lama tempoh yang diberikan oleh keluarganya? Hampir dua tahun dia kejar aku. Takkan dia tak rasa usaha dia sia-sia?"

"Aku rasa..."

"Kau rasa apa?"

"Apa kata kau terima saja cinta dia?" cadang Ikmal.

"Chooi!! Kau nak tolong aku atau nak bagi hidup aku jahanam?" Adrian tak setuju dengan idea gila Ikmal.

"Dengar sini dulu. Cuba kau fikir, syarikat kita masih baru. Kita kena cari pelabur untuk kembangkan syarikat kita. Kalau betul Anggun tu orang kaya, kita tak perlu susah-susah cari pelabur."

"Idea kau memang sama macam cerita petang-petang pukul 7 tu. Kau ingat kalau aku kahwin dengan orang kaya, aku hidup senanglah? Kau tahu tak, otak orang kaya tak sama macam otak genius macam kita ni. Mereka kapitalis. Aku pula anti kapitalis! Kalau kau nak teruskan juga idea ni, apa kata kau kahwin jelah dengan Anggun. Itu pun kalau betul dia anak orang kaya. Kalau dia anak bekas orang kaya, bersedialah untuk jadi gila dengan hadap kerenah dia," jawab Adrian.

"Nampaknya kita kena fikir macam mana nak pergi berkelah tanpa Anggun," ujar Ikmal.

Adrian mengangguk setuju.

Serentak itu telefon pintar Ikmal berbunyi. Satu mesej diterima.

"Ayah aku dah beritahu Pak Salim yang uruskan rumah hutan tu. Dia akan tunggu kedatangan kita di sana."

"Orite! Eh, tolong sediakan khemah sekali."

"Khemah?"

"Kenapa? Kita akan panjat bukit lebih kurang 100 meter untuk sampai ke kawasan air terjun. Takkanlah kita nak turun hari tu jugak. Kita patut hargai suasana malam sambil mendengar deruan air terjun yang mententeramkan minda."

"Kau tak takut babi hutan?"

"Cis, kau memang suka potong mood aku. Kau sediakanlah," arah Adrian.

Ikmal pun tak banyak soal. Dia terus mesej ayahnya. Seminit kemudian, ayahnya membalas mesejnya.

"Dia dah suruh Pak Salim sediakan."

"Pelik." Adrian menggaru kepala.

"Apa yang pelik?"

"Aku pelik dengan ayah kau ni. Dulu dia punyalah tegas. Ingat tak masa kita sekolah dulu. Dia pernah larang kau pergi aktiviti perkhemahan. Dia siap cakap, 'Kalau kamu pergi juga, bermakna kamu anak derhaka!' Aku masih ingat lagi dia cakap macam tu. Tapi sekarang, dia benarkan kau pergi berkelah di air terjun..."

"Kau banyak fikirlah. Kita pernah pergi sana. Lagipun ayah aku tahu selok belok hutan tu. Sebab tu dia bina rumah hutan di situ."

"Betul. Mungkin dia kesian kau tak dapat pergi berkhemah, sebab tu dia pergi beli tanah dalam hutan. Sesekali aku rasa cemburu dengan kau dapat ayah yang betul-betul memahami. Tengoklah kau sekarang, tak bekerja tapi ayah bagi duit belanja setiap bulan. Dulu duduk rumah sewa, sekarang ayah belikan sebuah rumah untuk kau duduk. Kau tahu apa reaksi ayah aku bila dia dengar aku berhenti kerja semata-mata nak bina syarikat sendiri? Dia larang aku jejak rumah dia selagi aku tak berjaya."

"Maknanya kau ada harapan lagi. Jangan putus asa."

"Betul. Aku akan buktikan kepada keluarga aku dan ex-girlfriend aku yang aku mampu berjaya. Kau kena bantu aku. Hasilkan komik yang kreatif dan berdaya KBAT sesuai dengan generasi masa kini. Okey, jom kita bertolak sekarang!" Adrian lantas bangun dari meja makan.

"Hah? Sekarang? Kau dah gila?"

"Kau dah lupa, ada lagi yang lebih gila daripada kita?"

"Anggun?"

"Dia tahu kita akan bertolak ke rumah hutan pukul 8 pagi. Dia pasti akan bersiap sedia lebih awal daripada kita. Kalau kita bertolak pukul 6 pagi, aku yakin dia akan berdiri di depan pagar rumah kita pukul 5 pagi. Jadi, kita kena bertolak sekarang. Ingat, kita kena maju ke hadapan," ujar Adrian.

Ikmal setuju. Dia dah kenal sangat dengan perangai Anggun. Tak ada yang mustahil tentang Anggun. Mereka pun bersiap-siap mengemas apa yang patut. Barang-barang yang hendak dibawa dimasukkan ke dalam bonet belakang kereta.

"Okey, siap! Jom kita bertolak sekarang."

Ikmal sendiri menawarkan diri memandu kereta. Sebelum itu mereka singgah di McD untuk bekalan semasa dalam perjalanan nanti. Perjalanan ke rumah hutan hanya mengambil masa dua jam daripada Kuala Lumpur. Kebetulan pula jalan pada malam itu tidak sesak dengan kenderaan.

Tiba di sebuah perhentian rehat, Adrian pula mengambil alih stereng kereta. Tak banyak yang dibualkan semasa mereka dalam perjalanan selain daripada idea untuk mengembangkan syarikat mereka. Antaranya bagaimana hendak meyakinkan pelabur bahawa WauKreatif akan menjana keuntungan baik kepada pelabur mahupun pengiat kreatif. Macam mana pula nak galakkan pengguna menghargai penggiat kreatif ini dengan bayaran yang dikenakan.

Bermacam-macam idea yang mereka kemukakan dan bincangkan tapi kebanyakannya mendapat jalan buntu.

"Kesimpulannya, market dekat Malaysia kecik," komen Adrian.

"Kecik sebab kau hanya fikir market Melayu. Kita ada berbilang bangsa di Malaysia. Kau kena fikir market semua bangsa termasuk yang duduk Sabah dan Sarawak. Brunei dan Singapura juga," komen Ikmal kurang setuju.

"Betul juga. Tapi kalau kita tak dapat yakinkan pengguna Melayu, macam mana nak yakinkan pengguna bangsa lain?"

"Kau tak perlu fikir pasal bangsa. Kita kena fikir semua orang. Tak ada yang terkecuali."

"Aku tak dapat fikir. Bagi aku memandu dengan aman sehingga sampai ke destinasi dulu," ujar Adrian, mengalah.

"Aku nak tidur, kejut aku bila dah sampai nanti," ujar Ikmal.

"Tidur? Tak boleh. Kau kena teman aku memandu. Apa guna ada co-pilot tapi co-pilot tidur?"

"Kau ada dua pilihan. Sama ada aku tidur atau kita sambung bincang pasal tadi."

"Okey, kau tidur." Dengan cepat Adrian berubah fikiran.

"Bagus. Tapi tolong jangan menyanyi lagu rock kapak. Telinga aku dah tak sanggup nak sumbang earphone noise cancelling lagi. Bagi aku tidur sebentar dengan aman."

"Tidurlah kau! Banyak komplen pula!"

Suasana menjadi senyap apabila Ikmal mula memejamkan mata. Adrian tak pasti sama ada rakannya itu sudah tidur atau tidak. Ikmal tidak berdengkur dan dia tak pernah mendengar Ikmal tidur berdengkur. Ikmal saja yang selalu merungut dia tidur berdengkur.

Ikmal tak pasti berapa lama dia terlelap. Dia terjaga apabila Adrian menjerit, "Sudah sampai!" Celik sahaja mata, dia melihat kereta yang dinaiki berhenti di hadapan sebuah rumah kampung dua tingkat. Bahagian bawah diperbuat daripada batu manakala bahagian atas daripada kayu bermutu tinggi. Tangga untuk naik ke atas diperbuat daripada batu.

Rumah hutan ini sama seperti yang dia pernah kunjungi 5-6 tahun yang lalu. Warnanya masih dicat hitam. Beberapa unit lampu dipasang di sekeliling rumah itu. Jadi, tak nampak seperti rumah tinggal yang seram.

"Akhirnya, aku rindu dengan rumah hutan ni..." ujar Adrian berasa lega.

"Hah? Kita dah sampai?" tegur satu suara di belakang mereka.

"Huh!" Ikmal dan Adrian terkejut. Masing-masing berpaling dan melihat Anggun betul-betul berada di belakang mereka. Ini bukan cobaan. Ini memang betul-betul! Anggun berada dalam kereta mereka!

Ikmal memandang Adrian. Adrian juga begitu. Masing-masing tak tahu menahu.

Bagaimana?

Bila?

Seminit kemudian, mereka menyedari selama ini malapetaka sudah menumpang kereta mereka sejak awal lagi. Cis, sekali lagi Anggun lebih maju melangkah ke hadapan berbanding mereka!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience