Bab 4 : Air Terjun Lagenda

Adventure Series 1178

Mereka bertiga tiba di lokasi air terjun sebelum matahari tegak di atas kepala. Itupun setelah mendaki selama hampir dua jam. Dalam tempoh masa itu, Ikmal dan Anggun saling berperang mulut.

Seorang jenis yang tak sabar dan seorang lagi jenis yang tak nak mengaku kalah. Terpaksalah Adrian bertindak meleraikan pertengkaran mereka setiap kali. Biarpun masing-masing berhenti bertekak tetapi renjatan senjata ini hanya mampu bertahan selama 10 minit paling lama.

Ikmal bukan jenis yang suka cari gaduh dengan Anggun. Begitu juga dengan Anggun. Tapi Ikmal memang tak dapat terima bila Anggun jauh lebih handal daripadanya. Lelaki mana yang tak tercabar bila perempuan yang dianggap lemah lagi gedik lebih arif dalam aktiviti lasak begini. Adrian pun tercabar tapi dia masih bertindak rasional lagi.

Sepanjang perjalanan, Ikmal beri bermacam teori. Dia percaya Anggun makhluk asing. Anggun pun cuba pertahankan dirinya dengan berikan alasan yang dia ada pengalaman bermalam di dalam hutan. Adrian pula memilih untuk mempercayai Anggun. Dia sebenarnya tak pasti kenapa tapi dia yakin dengan penjelasan Anggun.

Hari ini dia melihat sisi lain Anggun yang dia tak pernah lihat selama ini. Selama ini dia hanya tahu Anggun suka selfie, Anggun yang sentiasa melihat cermin, Anggun yang sentiasa berhias dan memastikan mekap yang dipakainya tidak terlalu tebal atau pudar. Hari ini pertama kali dia melihat Anggun tanpa mekap. Tak ada banyak beza. Dia tetap cantik seperti selalu.

"Korang kena berterima kasih kepada aku hari ni. Kalau kita ikut jalan yang Ikmal pilih tadi, sampai tahun depan pun kita takkan sampai ke air terjun ni," ujar Anggun menjeling pandang Ikmal.

"Ye. Terima kasih kepada kau. Tapi aku belum puas hati lagi. Lepas aku dirikan khemah dan makan, aku akan soal siasat kau. Aku tetap syak kau ni alien." Macam biasa, Ikmal takkan mengaku kalah.

"Pathetic!"

"Terima kasih Anggun," ucap Adrian tanpa beragak-agak.

"Kasih awak sentiasa saya terima..." jawab Anggun tersenyum manis.

"Tolong wei... drama pukul 7 lambat lagi. Adrian, tolong aku pasang khemah," celah Ikmal. Sebelum Anggun mula miang dengan kawannya, lebih baik dia bertindak.

"Cis!" Anggun mendengus marah. Belum sempat dia nak membalas, Ikmal bersuara lagi. Kali ini mengarah pula.

"Kau, alien, pergi masak," arah Ikmal.

"Kenapa aku kena masak pula?"

"Sebab kau perempuan."

"Oh sekarang baru kau nampak aku ni perempuan..."

"Kau selalu masak untuk Adrian. Kalau kau nak tahu, dalam banyak-banyak perkara, hanya satu yang kau dah berjaya buat. Kau dah berjaya pikat perut Adrian."

"Betul? Awak suka masakan saya?"

"Err..." Adrian rasa serba salah nak mengaku. Kalau dia tak mengaku, kecil hati pula budak si Anggun ni. Kalau dia mengaku pula, Anggun pula akan anggap dia memberi harapan. Susah! Dia tak nak beri harapan kepada Anggun.

"Saya tahu awak malu nak mengaku. Okey, hari ni saya akan masak yang sedap-sedap untuk awak!" Anggun pun cari tempat yang sesuai untuk dia memasak. Nasib baik dia sudah sediakan segalanya.

Pada masa yang sama Adrian menghampiri Ikmal dan dengan perlahan dia bersuara; "Aku tak pernah kata aku suka masakan dia. Kau yang suka masakan dia."

Ikmal tersengih. Betullah tu. Adrian tak pernah puji pun masakan Anggun. Adrian ni jenis makan apa pun dia telan. Dia tak banyak songeh. Apa yang penting perut kenyang.

Tapi Ikmal lain orangnya. Sejak dari kecil lagi dia membesar tanpa ibu. Hanya ada seorang ayah yang sentiasa sibuk dengan kerja. Setiap hari mereka makan makanan segera atau fast food.

Sampai satu tahap dia rasa bosan dan belajar memasak. Sejak itu dia jarang makan atau membeli makanan di luar. Jika dia ingin makan sesuatu, dia akan masak supaya kena dengan seleranya.

Mula-mula dia rasa prejudis juga bila Anggun hulurkan masakannya. Lagi prejudis bila Adrian makan sampai licin. Sehinggalah dia rasa sendiri masakan Anggun. Dia tak sangka Anggun pandai memasak. Malah masakan Anggun juga kena dengan seleranya.

"Kalau macam tu kau tolong dia masak. Aku dah lapar ni. Aku tahu lepas aku dirikan khemah, aku nak makan je," kata Ikmal. Adrian pun setuju. Setuju untuk tolong Ikmal dirikan khemah. Lagipun dia tak rasa Anggun perlukan pertolongan daripada orang yang tidak tahu memasak sepertinya.

Siap sahaja Adrian dan Ikmal mendirikan khemah, siap juga Anggun menyediakan makanan tengah hari. Mereka duduk makan tengah hari sambil menikmati keindahan air terjun. Ketika itulah Anggun bertanyakan soalan; "Apa nama air terjun ni?"

"Orang kampung panggil Air Terjun Lagenda," jawab Adrian.

"Kenapa? Ada lagenda di sebaliknya?"

"Lebih kurang," jawab Adrian lagi. Kemudian dia menyambung, "Ikut cerita orang-orang tua di kampung ni dulu pernah terjadi satu peristiwa pelik di air terjun ni. Suatu hari, empat orang sahabat masuk ke hutan untuk berburu. Mereka dapat seekor kijang. Sebelum pulang, mereka singgah di air terjun ni. Mereka terserempak dengan beberapa orang wanita sedang mandi di air terjun ni..."

"Macam cerita klasik je bunyinya. Aku rasa mereka mesti bidadari dari kayangan?" teka Anggun tergelak. Dia sudah banyak mendengar cerita begini semasa kecil.

"Dengarlah dulu. Adrian belum habis cerita lagi," celah Ikmal.

"Okey, sambung..."

"Tak. Mereka bukan bidadari dari kayangan. Mereka dari sebuah kampung yang menetap di dalam hutan ni. Tapi orang kampung ni tak bergaul dengan mereka."

"Kenapa?"

"Orang kampung pun tak tahu sebabnya tapi ketua kampung masa tu tahu. Walaupun dia tahu tapi dia tak beritahu kenapa. Dia cuma beritahu, mereka di kampung sana sangat berbahaya. Kalau jumpa mereka, bunuh mereka serta-merta. Teka apa yang berlaku lepas tu?"

"Mereka bunuh semua wanita tu?"

"Tak semudah tu. Semasa mereka ingin membunuh, wanita-wanita tu dapat melarikan diri. Tapi seorang daripada mereka berjaya ditangkap. Wanita yang ditangkap ni merayu kepada mereka supaya lepaskannya. Jika mereka melepaskannya, dia berjanji akan menunjukkan lokasi harta karun yang tersimpan dalam hutan ni.

"Biasalah orang dulu-dulu pantang dengar harta karun, pasti akan rasa tergoda. Mereka setuju untuk melepaskan wanita tu tapi dengan syarat wanita tu kena tunjuk jalan ke sampai mereka jumpa harta karun. Mereka meredah hutan berhari-hari dan akhirnya mereka sampai di sebuah gua bawah tanah. Mereka melihat sendiri ada banyak harta karun di dalam tu. Di sinilah lagenda tu bermula."

Anggun semakin teruja mendengar cerita Adrian.

"Selepas mereka lihat memang ada harta karun, salah seorang mereka arahkan seorang daripada mereka keluar daripada gua dan bunuh wanita tu. Sewaktu dia nak penggal kepala wanita tu, dia terdengar jeritan kawan-kawannya. Dia pun apa lagi terus masuk ke dalam gua tu dan terkejut bila tengok kawan-kawannya dah jadi mayat. Tiada satu titik darah pun kelihatan.

"Tapi semua kawan-kawannya mati dengan ngeri, mata terbeliak besar, lidah terjelir keluar. Dia terkejut ketakutan dan jatuh pengsan. Bila dia sedar, dia berada di air terjun ni semula. Dia yang ketakutan terus turun pulang ke kampung. Bila dia ceritakan kepada orang kampung, seorang pun tak percaya ceritanya. Nak tahu apa yang lebih menarik lagi?"

"Apa?"

"Orang kampung langsung tak kenal dia."

"Tak kenal?"

"Bukan sahaja tak kenal dia tapi dia seolah-olah tak pernah wujud di kampung ni. Mak ayahnya pun tak mengaku dia sebagai anak. Malah dia dapat tahu kawan-kawan yang ikutnya itu sudah lama meninggal dunia. Dia seolah-olah datang dari dunia yang berbeza. Tiada orang pun yang percaya dengan ceritanya kecuali seorang."

"Siapa?"

"Ketua kampung," jawab Ikmal.

"Kenapa ketua kampung boleh percaya?"

"Sebab ketua kampung pun pernah alami hal yang sama," jawab Ikmal. "Jadi, sejak itu orang kampung gelarkan air terjun ni dengan nama Air Terjun Lagenda supaya biarpun cerita ni akan pupus ditelan zaman, mereka mahu generasi akan datang mencari lagenda di sebalik namanya. Tapi malangnya, tak ramai orang nak tahu pasal sejarah sesuatu nama ataupun tempat."

Anggun mengangguk faham. Tak sia-sia dia bertanya soalan asal usul nama air terjun ini. Walaupun tidak pasti sama ada cerita itu cerita benar mahupun lagenda semata-mata, tetapi dia berminat dengan harta karun yang diperkatakan.

"Hutan ni betul-betul tersimpan harta karun?" tanya Anggun dengan mata yang bercahaya.

Ikmal dan Adrian saling mengangkat bahu. Mereka hanya tahu tentang lagenda daripada penduduk asal kampung ini tetapi mereka tidak pernah ambil tahu tentang wujudnya harta karun dalam hutan ini. Kalau ada pun mungkin mustahil untuk manusia sampai di sana. Dia juga ada dengar penduduk kampung tidak berani berjalan masuk ke dalam melebihi lokasi air terjun ini.

Perbualan mereka terhenti di situ selepas masing-masing tidak tahu lagenda itu benar atau tidak. Mungkin ada harta karun dalam hutan ini tetapi mustahil untuk mendapatkannya memandangkan masing-masing pasti ada sebab kenapa harta karun disorok di tempat yang jauh daripada perkampungan manusia. Mungkin juga cerita itu hanyalah cerita khayalan bagi melarang penduduk untuk masuk ke dalam hutan ini kerana ada binatang buas yang berbahaya. Jadi tak ada faedah untuk terus berbual tentang hal itu.

Selepas makan, mereka bersantai di tepi air terjun. Adrian mengambil kesempatan untuk bermain di gigi air memandangkan keadaan air terjun itu tidak sesuai untuk bermandi-manda. Anggun pula berehat dibuayan gantung yang diikat di antara dua pokok. Manakala Ikmal mengeluarkan pensil dan buku sketch dan mula melukis permandangan air terjun.

Selepas separuh melukis, dia bangun. Ketika itu Adrian masuk ke dalam khemah untuk menyalin pakaian. Ikmal berjalan menghala ke dalam hutan dan semasa itulah Anggun yang disangka sedang tidur bersuara.

"Kau nak ke mana?" tanya Anggun.

"Nak ke tandas. Itu pun kena bagi tahu kau?"

"Okey," Anggun kembali memakai cermin mata hitamnya dan menyambung apa yang dibuatnya tadi. "Jangan pancut sebarangan!" jerit Anggun.

"Aku tahulah!" Ikmal berlalu jauh dari lokasi khemah mereka. Masuk ke dalam hutan untuk membuang hajat. Selesai sahaja, ketika dia hendak berjalan pulang, dia ternampak sesuatu. Dia ingin melihat dengan lebih dekat tetapi dia berasa takut. Lalu dia memanggil kawan-kawannya.

Adrian dan Anggun lantas berkejaran ke arahnya. Bila mereka sampai, mereka mendapati ada beberapa buah khemah yang sudah bertahun-tahun lama ditinggalkan.

"Macam dah lama ditinggalkan," kata Anggun yang hanya berdiri jauh dari tapak perkhemahan itu. Dia tidak mahu mengikut Ikmal dan Adrian memeriksa kawasan itu.

"Nampaknya ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa. Babi hutan datang menyerang?" teka Adrian. Dia hanya pernah mendengar sekumpulan babi hutan yang sering membuat kacau di kampung itu. Kalau tak babi hutan, pasti sekumpulan gajah atau binatang buas yang datang melawat kawasan.

"Mungkin lebih bahaya daripada babi hutan," kata Anggun.

"Contohnya?" soal Ikmal.

"Ini," Anggun menunjuk sesuatu pada kakinya. Ikmal dan Adrian memandang sebuah khemah yang sudah runtuh di hujung kaki Anggun. Belum sempat mereka bertanya, Anggun menarik khemah itu. Ada sesuatu di bawah khemah itu.

Adrian dan Ikmal hampir menjerit histeria apabila melihat rangka dan tengkorak manusia yang lengkap berpakaian.

"Itu rangka manusia?" tanya Ikmal mula rasa seram sejuk.

Anggun tidak menjawab. Berbanding mereka berdua, Anggun lebih tenang.

"Kau buat apa?" Adrian menyoal ketika Anggun memeriksa sesuatu pada baju rangka manusia itu. Melihat Anggun yang begitu tenang, dia memberanikan diri menghampiri dan melihat dengan lebih dekat lagi.

"Kad pelajar universiti awam," ujar Anggun menghulurkan sekeping kad yang diambil dari kocek seluar milik rangka manusia itu dan diberikan kepada Adrian.

"Aneh, kad masih tertera nama universiti awam tapi tak ada identiti mangsa tertulis. Seolah-olah kad kosong," ujar Adrian pelik.

"So apa kita nak buat dengan rangka manusia ni?" tanya Ikmal.

"Apa lagi, report polislah. Walau apa pun, biar polis yang siasat. Pasti juga ahli keluarga dia sedang mencari dia selama ini," jawab Anggun tenang. Kemudian dia memandang Ikmal, "Bagi handset kau."

"Kau nak buat apa?"

"Bagi sajalah," Anggun mengambil telefon pintar Ikmal lalu menangkap gambar rangka manusia yang ditemuinya itu.

"Kenapa tak guna saja handset kau?" Ikmal tak puas hati.

"Handset aku hanya layak gambar selfie aku."

"Kau..."

"Shhhh..." Anggun memberi isyarat. Serentak itu masing-masing senyap. Ikmal yang nak mula bertekak dengan Anggun pun automatik senyap.

"Kenapa?" tanya Adrian menyedari Anggun asyik memandang ke satu arah seolah-olah dia melihat atau mendengar sesuatu.

"Kita kena turun sekarang," tegas Anggun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience