Rate

BAB 1

Drama Completed 389

KARLITA Sari masih seperti tadi. Berdiri diam di sisi
jendela. Renungannya tajam memanah ke luar. Tiada apa yang menarik di
luar sana. Hanya rintik-rintik hujan yang turun membasahi permukaan
jalan. Namun padanya, waktu hujan turun itulah saat-saat yang sentiasa
ditunggu-tunggu. Tatkala telinganya menangkap bunyi hujan menyimbah
bumi, jendela yang dipasang jeriji besi berwarna coklat yang ada
kesan-kesan karat melekat itulah dituju dulu.

Segar. Tak dapat digambar dengan perkataan aroma dari air hujan yang
turun. Namun bau itulah yang sentiasa dirindu. Karlita Sari sendiri kurang
mengerti mengapa hatinya begitu tertarik dengan fenomena alam yang satu
itu. Apa yang dapat dirasa, hujan yang turun bukan hanya membasahi bumi
yang kering. Malah tempiasnya seolah-olah turut sama menyimbah hidupnya
yang kontang selama ini.

Dan hujan juga mengingatkan dia pada seseorang. Yang selama ini menjadi
pelindung dalam apa juga keadaan.

“Ishhh....Suka sangat dia dengan hujan.” Rungut sang jejaka.

“Awak tahu tak kenapa saya suka hujan?”

“Kenapa?” Soal sang jejaka kembali.

“Sebab saya tahu awak akan sentiasa datang memayungi saya bila hujan...”

Memang manis. Tapi itu hanyalah sebuah kenangan yang kini kian terkubur
tidak bernisan. Dan tika ini tiada lagi pelindung yang dapat
memayunginya lagi.Sesungguhnya dia rindu dengan setiap kenangan yang
lepas. Dan kerana rindunya itulah fikirannya semakin tidak keruan.

Jiwanya lara. Hati meronta membentak. Pedih. Tapi apa yang mampu
dilakukannya? Dia ingin kembali seperti dulu. Terbang bebas ke destinas
iidaman. Dan ini sudah tentu bukan perjalanan yang hendak dituju. Tiga
tahun dia terkurung di bilik yang hanya memuatkan dua buah katil bujang
dengan cadar yang kusam dan sebuah almari pakaian yang agak usang
bagaikan satu penjara yang amat menyeksakan jiwa dan batinnya. Batin?
Karlita Sari tersenyum sinis. Entah. Mungkin senyuman mengejek itu
ditujukan khas buat diri sendiri.

“Jauh kau termenung tu, Karlita . Fikirkan apa?”

Suara itu kini menarik perhatian Karlita Sari. Pandangannya kini tertumpu
pada tubuh genit yang masih terbaring lesu di katil yang bertentangan
dengannya.Dilihat Junaidah yang tadinya berbaring lena di katil kini
menggeliat bebas. Membetulkan kembali urat-urat yang berselirat di badan
setelah berehat lama. Posisi Junaidah yang tadinya berbaring kini telah
berubah. Bantal ditegakkan ke kepala katil. Dia duduk bersandar dengan
badan berlapikkan bantal tersebut. Selimut ditarik hingga ke bahu.
Membungkus diri di katil. Sejuk barangkali.

Karlita Sari memandang sekilas teman sebiliknya itu sebelum pandangannya
kembali melirik ke luar jendela. Anak matanya menangkap satu objek. Ya,
deretan bendera Malaysia yang seakan berat berkibar di beberapa unit
apartment bertentangan dengan bilik yang didiaminya itu begitu menarik
perhatiannya. Walaupun basah ditimpa hujan tadi, namun sesekali pabila
ditiup angin dilihat tetap gah berkibar.

“June, hari ni berapa haribulan?” Karlita Sari tiba-tiba bertanya
memecahkan jeda masa yang tadinya agak sunyi. Hanya terdengar bunyi
keriuk kipas siling di bilik yang berpusing perlahan.

Junaidah terdiam seketika. Dalam kepayahan, matanya cuba dibuka dan
diarahkan ke kalender kuda yang tergantung di balik almari yang tampak
begitu usang di sebelah katilnya.

“30 Ogos..” Junaidah membalas acuh tak acuh. Matanya kembali dipejamkan.
Penat malam tadi masih lagi terasa. Dia perlu memanfaatkan waktu siang
yang hanya tinggal beberapa jam saja lagi ini dengan merehatkan badan
dan mindanya. Lagi-lagi hujan di luar. Saat dan waktu yang dinantikan
untuk membungkus dirinya di katil. Seronok tidur waktu hujan ni. Sejuk.
Bilik yang selama ini panas bagaikan neraka itu terasa seakan berubah
menjadi syurga dunia tatkala hari hujan.

“Bermakna esok Hari Merdeka la, kan?” Karlita Sari menagih kepastian.
Matanya tetap tertarik dengan bendera yang sedang berkibar ditiup angin
di luar sedang akalnya rancak merangka sesuatu.

“ Hurmm.... Ye la kot..” June hanya sekadar berbasa basi membalas.
Matanya masih terkatup rapat. Padanya topik bualan sahabatnya itu tidak
langsung menarik minatnya untuk melawan bual. Dia amat mengantuk tika
itu. Badannya terlalu letih.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience