SHAHRIF balik dari masjid ketika langit sudah mulai terang. Selepas tazkirah subuh tadi, dia terus membersihkan sekitar kawasan masjid termasuk mencuci tandas. Dahinya berkerut melihat Yasmeen tiada di dalam bilik. Dah sihat ke? bisiknya dalam hati. Dia keluar dari bilik dan melangkah menuju ke dapur. "Mak, Yasmeen mana, mak?" Puan Maya yang sedang mengadun tepung cucur untuk sarapan, terus memegang dadanya kerana terkejut. "Hisy, Shah ni! Terkejut mak. Yasmeen? Mak tak nampak lagi batang hidung Yas pagi ni. Tak ada dalam bilik ke? Mak dari tadi kat dapur. Kalau Shah lapar, nasi goreng dah ada kat bawah tudung saji tu." "...