Bab 3

Humor Completed 508795

SEPERTI biasa, dia mengejutkan isterinya untuk menunaikan solat subuh. Bahu Yasmeen ditepuk-tepuk perlahan sehingga wanita itu sedar daripada lena.

"Yasmeen, bangun."

"Hisy! Apa ni, kacaulah!" Yasmeen menepis tangan Shahrif lalu memalingkan tubuh ke arah bertentangan.

"Bangunlah, solat subuh." Sedaya upaya dia mengawal nada suaranya, namun tiada balasan. Shahrif menggeleng sambil melepaskan keluhan panjang.

"Kali ini tiada alasan lagi! Mana ada orang datang bulan sebulan," tegas Shahrif lalu mencempung tubuh Yasmeen menuju ke bilik air yang terletak di dapur. Mujur sahaja Puan Maya berada di dalam bilik pada ketika ini. Kalau tidak, entah apa kata ibunya nanti.

"Turunkan aku! Turunkan aku!" Yasmeen meronta-ronta sambil memukul-mukul dada bidang suaminya minta diturunkan, tetapi Shahrif tidak mengendahkan langsung jeritan dan pukulannya.

"Kenapa terpacak keras depan paip tu? Tahu ke tak cara nak ambil wuduk? Nak aku ajar?" Shahrif berpeluk tubuh di muka pintu bilik air yang terbuka luas sambil memandang isterinya dengan muka serius.

Yasmeen mendengus kasar sambil melempar jelingan tajam. "Yang kau nak paksa-paksa orang ni kenapa?" bentaknya.

"Kau tu isteri aku... tanggungjawab aku. Jadi, kau kena dengar cakap aku," balas Shahrif dengan riak wajah yang tenang.

"Aku tak suka kena paksa, tahu tak? Hisy!" bentaknya lagi, lalu dia menolak tubuh Shahrif dan cuba melepasinya untuk keluar, namun Shahrif memegang kedua-dua bahunya dan mendorongnya sehingga dia masuk semula ke dalam bilik air.

"Kau tak nak dengar cakap aku? Kau nak tahu tak, semakin kau tak dengar cakap aku, makin aku suka." Shahrif menutup pintu menggunakan kaki, lantas dia terus menolak dan menyandarkan tubuh Yasmeen pada pintu. Dia merapatkan wajahnya ke wajah putih mulus isterinya sambil menyungging senyuman nakal.

"Apa... apa kau nak buat ni?" soal Yasmeen dengan suara gagap kerana takut melihat cara tatapan lelaki itu lalu dengan pantas dia memalingkan wajahnya ke arah kanan.

"Kau tak nak dengar cakap aku kan?" ujar Shahrif lalu membuka baju yang bersarung di tubuhnya menampakkan ototnya yang berketul-ketul.

Yasmeen menelan liur. "Kau... kau jang... jangan nak macam-macam eh! Aku tumbuk muka kau!" ugutnya dengan perasaan yang semakin gementar.

"Macam-macam dengan isteri aku je, bukan dengan orang lain." Shahrif mencengkam pergelangan tangan Yasmeen lalu merapatkan wajah ke leher jinjang isterinya. Sengaja Shahrif menghembus kuat nafasnya ke kulit leher jinjang itu.

"Okey, okey! Aku dengar!" Yasmeen menjerit kecil setelah dia menyedari bahawa dia tidak akan mampu melawan kekuatan suaminya.

Shahrif berhenti sebelum wajahnya menyembam di leher jinjang itu. Senyuman kemenangan terlakar di bibirnya.

"Pandai! Macam tulah. Pergi ambil wuduk cepat," ujar Shahrif lalu memakai semula bajunya dan keluar dari bilik air menuju ke pili paip yang terletak di luar untuk mengambil wuduk.

Fuh! Yasmeen mengurut dada sebaik sahaja Shahrif keluar. Risau juga kalau Shahrif benar-benar melakukannya tadi.

Selama sebulan ini, dia tidak membenarkan langsung lelaki itu menyentuhnya. Tidur pun berasingan tempat. Dia sudah berjanji dengan Jeffri yang dia tidak akan sesekali membiarkan suaminya menggaulinya sehingga cukup tempoh sepuluh bulan kerana selepas tempoh itu, dia akan meminta cerai.

Tidak pula Shahrif merungut kerana terpaksa tidur di atas lantai setiap malam. Lagipun, dia tidak mahu memaksa, walaupun kadang-kadang timbul juga perasaan geram kerana baju tidur isterinya selalu dilihatnya terselak setiap kali dia bangun.

"Pa, apa ni pa? Yas nak minta sikit je pun. Dah papa sekat kad kredit Yas kan? Dahlah kereta Yas pun papa tak bagi guna. Hisy! Teruklah papa ni!"

"Yas cakap dua ribu ringgit tu sikit? Kalau macam tu, Yas carilah sendiri duit tu. Semua harta benda Yas yang dibeli guna duit papa dengan mama, Yas tak boleh guna. Bukan Yas cakap, Yas boleh hidup tanpa mama dengan papa ke?" perli Datuk Aziz di hujung talian. "You will get anything you want only if... you successfully complete the mission within the given period," lanjutnya dengan suara tegas dan serius.

"Papa! Hisy! Kedekutlah!" bentak Yasmeen dengan muka tidak berpuas hati.

"Mintalah dengan suami Yas. Tak pun, Yas kerja. Haa, baru Yas tahu susah senang hidup macam mana," balas Datuk Aziz dengan suara mengejek.

"Papa ni kan! Kalau cakap tak menyakitkan hati, tak sah kan? Manalah Yas kuasa nak minta dengan suami Yas tu. Tengok pun dah tahu, dia bukannya jenis berduit pun!"

Datuk Aziz ketawa. "Mana Yas tahu dia tak berduit? Baru sebulan usia perkahwinan Yas kan? Bulan ni, dia ada bagi nafkah tak?" soal Datuk Aziz sekadar ingin tahu.

"Ada, tapi lima ratus je. Mana cukup, pa. Harga bedak muka Yas je pun dah seratus lebih. Yas kena pergi ke facial salon... ke sauna lagi. Eee, pa! Takkan tak boleh?" rengek Yasmeen sambil memuncungkan bibirnya yang tidak mampu dilihat oleh ayahnya itu.

"No! Ingat kata-kata Yas tu dulu. Yas boleh hidup tanpa mama dan papa, remember?" Datuk Aziz sengaja mengulangi kata-kata angkuh anaknya itu dulu.

"Hisy!" Yasmeen terus mematikan talian lalu membaling kasar telefonnya ke atas tilam. "Kedekut!" bentaknya lalu berpeluk tubuh.

Tidak lama kemudian, Shahrif masuk ke dalam bilik untuk mengambil baju lengan panjangnya. Dia hendak ke kolam ikannya hari ini.

"Muka tu dah kenapa? Hilang gigi palsu ke?" soal Shahrif dengan pandangan sekilas.

"Sembarangan je cakap! Kau ingat aku pakai gigi palsu ke?! Weh! Aku nak kau ganti balik mekap aku yang kau rosakkan dengan yang kau pergi buang tu!" bentak Yasmeen.

Shahrif yang sedang mencari pakaian di dalam almari segera berpaling memandang wajah isterinya. "Boleh," jawabnya dengan lagak bersahaja.

Membulat mata Yasmeen selepas mendengar jawapan lelaki itu kerana dia tidak menyangka dengan semudah itu lelaki itu bersetuju. "Betul?" Matanya dipicingkan memandang Shahrif dengan pandangan curiga.

Shahrif angguk. "Tapi ada syarat."

"Dah agak dah! Main syarat-syarat pula! Hah! Syarat apa?"

"Hari ni, pembantu aku tak dapat turun kerja, jadi aku nak kau pergi kat ladang ternakan, bagi makan ayam dalam reban besar tu. Isi dedak dengan air dalam bekas-bekas yang dah tersedia. Lembu dengan kambing pun sama. Kau tolong siram kandang lembu, lepas tu, kau lepaskan kambing-kambing tu dan kau jaga. Petang, kau halau masuk balik dalam kandang. Kalau kau boleh buat, baru aku ganti balik barang mekap kau dengan jenama yang sama, lepas tu aku bagi extra duit belanja," ujar Shahrif panjang lebar.

"Weh! Banyaknya! Aku kena buat semua tu?" Yasmeen menuding jari ke wajahnya sendiri dengan muka tidak percaya.

"Kau nak ke tak? Kalau tak, jangan harap aku ganti peralatan mekap kau tu!"

Yasmeen mengherot-herot bibirnya sambil berfikir. "Baik, aku setuju! Tapi aku nak duit tu sekarang. Barang mekap tu, biar aku beli sendiri, sebab kau tak tahu aku beli kat mana," ujar Yasmeen sambil menadah tangan.

"Berapa harga semua barang mekap tu?"

"Satu ribu ringgit. Haa, lepas tu kau cakap nak bagi extra belanja, kan? So, total semuanya, dua ribu ringgit," balas Yasmeen dengan muka tidak bersalah.

"Apa? Kau nak buat apa duit banyak tu?" Shahrif membuntangkan mata.

"Eh! kau ingat barang mekap aku yang kau rosakkan tu, murah ke? Aku nak ke facial salon... lepas tu aku nak ke sauna."

"Amboi! Macam orang kaya je hidup kau kan?" balas Shahrif sambil membuka beg pouchnya dan mengeluarkan sejumlah wang kertas lima puluh ringgit yang tersusun tebal dan diikat. Mungkin baru dikeluarkan dari bank.

Shahrif tidak tahu langsung tentang asal usul sebenar isterinya, kerana ketika sesi suai kenal dan ketika majlis nikahnya, kedua-dua mentuanya hanya berpakaian biasa dan menggunakan kereta Toyota Corolla model lama sahaja. "Nah! Buat kerja elok-elok," ujar Shahrif lalu menyerahkan sejumlah wang yang sudah dipersetujui tadi.

Yasmeen mengoyak senyuman lebar sambil menghidu wang kertas yang sudah berada di tangannya.

"Mari, aku hantar kau kat ladang."

"Tak payah, aku jalan kaki je. Bukannya jauh pun. Satu kilometer je kan," balas Yasmeen lalu menyimpan duit tadi ke dalam beg, kemudian dia terus keluar dari bilik. Dia lebih rela berjalan kaki daripada membonceng motosikal dengan lelaki itu, kerana dia terbayang dirinya terpaksa memeluk lelaki itu jika dia membonceng. Dia tidak sanggup dan tidak sudi.

Yasmeen menghentak kuat baldi berisi dedak ayam di atas tanah setelah selesai menuangnya ke dalam bekas-bekas makanan yang tersedia di dalam reban ayam. "Kau suruh aku buat semua kerja-kerja kotor ni? Kau ingat aku pekerja kau ke? Seumur hidup aku, aku tak pernah buat kerja macam ni tahu tak! Ini pertama dan terakhir aku buat kerja ni!" Yasmeen merungut-rungut sendirian. Padahal, dia sendiri yang bersetuju tadi.

Ketika dia melihat-lihat di sekeliling, dia terpandang sebilah gunting kecil yang tersisip di celah dinding papan reban. Bibirnya diherot-herot sambil memikirkan sesuatu. Selepas seketika berfikir, bibirnya menyungging senyuman nakal.
Shahrif tiba di ladang ternakannya ketika Yasmeen baru selesai menghalau kambing-kambing masuk ke dalam kandang. Dia berdiri sambil bercekak pinggang melihat kandang kambing dan lembunya. Hmm, boleh pula dia buat. Ingat saja nak kenakan dia.

Selepas mengunci pintu kandang, Yasmeen berjalan menghampiri Shahrif. "Tugas aku dah selesai, aku balik dulu," ujar Yasmeen lalu cepat-cepat melangkah pergi dari situ.

Shahrif memerhati Yasmeen dari belakang dengan kerutan di dahi kerana berasa curiga dengan sikap isterinya yang kelihatan seperti tergesa-gesa pergi dari situ. Lagipun, dia sudah dapat membaca air muka isterinya setiap kali wanita itu ada membuat sesuatu.

"Hmmm, mencurigakan," gumam Shahrif lalu dia bergegas menuju ke kandang lembunya dan memandang ke arah lantai kandang yang basah. Shahrif mengangguk-angguk tanda berpuas hati.

"Okey, lantai kandang bersih, dia ada siram," desisnya. Seterusnya, dia memandang ke arah bekas makanan dan minuman lembu di tepi dinding kandang pula. "Air dah diisi, makanan pun dah diisi," desisnya lagi.

Dia kemudian menghampiri kandang kambing dan mengira jumlah kambing yang ada. "Hmm, cukup 15 ekor," ujarnya.

Dia bercekak pinggang dan memerhati di sekelilingnya. Tiada apa-apa yang tidak kena dilihatnya dan dia mengangguk-angguk tanda berpuas hati. "Pandai pula dia buat semua yang aku suruh," puji Shahrif lalu dia melangkah menuju ke reban ayam.

Selepas dia membuka pintu reban, dia mengerutkan dahi memandang ke arah ayam-ayamnya yang berlari terkedek-kedek dengan pandangan pelik. "Apa yang pelik aku tengok ayam aku ni?" Dia membuka topi di kepalanya lalu menggaru di bahagian yang gatal. Semakin berkerut dahinya mencari jawapan tentang apa yang pelik pada ayam-ayamnya.

Selepas beberapa minit memerhati, tiba-tiba matanya terbeliak. "Astaghfirullah, ayam aku!" jerit Shahrif. Dia memandang semua ayam yang sudah kontot ekornya dengan perasaan marah. "Yasmeen!!!" tempiknya sehingga menampakkan urat besar yang tersembul di lehernya.

Yasmeen yang sudah berada pada jarak seratus meter di depan, menoleh ke belakang selepas mendengar suara tempikan kuat itu. "Alamak! Dia dah perasan. Lariii!"

Share this novel

Asnida
2023-03-20 23:31:09 

fuhhh.. puas betul rasa bab 3 ni.. memang sesuai lah tu buku dengan ruas.. dia punya degil tu, kita yg pompuan pn naik hangin membacanya.. hihii


NovelPlus Premium

The best ads free experience