"AKU terima nikahnya Yasmeen Binti Aziz dengan emas kahwin sebanyak dua ratus lima puluh ringgit dan senaskah al-quran, tunai!"
Tok kadi memandang ke arah dua orang saksi yang saling berpandangan di sebelah pengantin lelaki.
"Sah!"
Shahrif memanjangkan leher dan melilau-lilau mencari kelibat isterinya, namun kelibatnya tidak kelihatan di mana-mana. Tetamu terakhir baru sahaja balik.
Majlis nikah mereka pagi tadi, ringkas sahaja atas permintaan Yasmeen sendiri. Dia bertegas untuk tidak mahu membuat upacara sanding.
Selepas majlis akad nikah di masjid, mereka balik di kediaman Puan Maya dan membuat kenduri bacaan doa selamat dan majlis makan-makan selepas asar tadi. Datuk Aziz dan Datin Delillah turut hadir dalam majilis kenduri itu, tetapi tiada sesiapa di situ yang tahu mengenai status mereka, kecuali Puan Maya.
"Mak, mana isteri Shah, mak?" soal Shahrif.
"Oh, isteri Shah dah naik atas tadi. Dia cakap, dia letih," jawab Puan Maya yang sedang sibuk mengarahkan pekerja-pekerja yang diupah oleh Datuk Aziz untuk mengemas segala perkakas, pinggan dan mangkuk.
Shahrif segera naik ke atas lalu menuju ke biliknya. Dia menggeleng kecil melihat isterinya sedang tidur meniarap di atas katil dengan memakai t-shirt dan seluar sukan. Baju kurung yang dipakainya ketika majlis nikah tadi bersangkut di pintu almari.
Shahrif duduk mencangkung di samping katil dan merenung wajah wanita yang sudah bergelar isterinya sejak pagi tadi dari jarak dekat. Cantik juga isteri aku ni, bisiknya dalam hati.
"Yasmeen, Yasmeen." Shahrif menepuk-nepuk perlahan bahu Yasmeen untuk mengejutkannya.
Yasmeen membuka mata lalu melempar jelingan tajam. Air liur di hujung bibir yang belum sempat meleleh, dikesat kasar menggunakan tapak tangan.
"Hisy! Kacaulah! Orang nak tidur ni!" marah Yasmeen lalu dia memalingkan wajahnya ke arah lain.
"Tidur elok-elok. Tak elok tidur meniarap," tegur Shahrif dengan nada lembut.
Yasmeen bingkas duduk sambil meramas-ramas kasar rambutnya sehingga kusut. "Suka hatilah aku nak tidur macam mana pun! Selama ni, tak pernah pun ada orang sibuk tegur cara aku tidur. Hisy!" Yasmeen merebahkan semula tubuhnya dan menutup mata.
Terkedip-kedip mata Shahrif dengan sikap wanita itu. Ini ke isteri aku? bisik hatinya.
Malam itu, Shahrif masuk ke dalam bilik setelah selesai menunaikan solat isyak di bilik solat. Dalam fikirannya sedang memikirkan apa yang perlu dilakukan sebentar lagi.
Sebaik sahaja dia menolak daun pintu bilik, spontan keluhan terluah dari mulutnya. Dia terus masuk ke dalam dengan langkah lemah menuju ke katil.
Baru dia hendak duduk di atas tilam, Yasmeen menegur.
"Kau tidur kat bawah. Aku datang bulan, jadi aku tak selesa bila ada orang tidur sebelah aku," kata Yasmeen sambil mencalit bedak sejuk cair ke wajahnya.
Shahrif akur, namun dalam masa yang sama, dia memikirkan tentang tempoh hari wanita biasanya datang bulan. Harap-harap tak lama.
Dia berbaring di atas lantai di sebelah katil. Terkebil-kebil matanya merenung siling bilik. Sesekali dia menampar nyamuk yang hinggap di wajah dan di tangannya. Nampaknya hajat pengantin baru tidak dapat dilaksanakan pada malam ini.
Derapan tapak kaki yang sengaja dihentak kuat terdengar jelas dari dalam bilik. Bergegar lantai rumah papan tradisional itu. Dia sudah bersedia menadah telinga untuk dimarahi sebentar lagi.
"Shah, kenapa buat muka macam nak telan orang ni?" Terdengar suara Puan Maya menyoal di depan pintu bilik.
"Menantu mak tulah! Tak habis-habis nak naikkan darah orang. Kalau sehari tak buat benda pelik, dia tak hidup ke, hah? Entah dari planet manalah mak kutip budak tu!"
Yasmeen mengemam bibir menahan tawa mendengar amarah suaminya. "Padan muka kau! Siapa suruh cari pasal dengan aku!" gumamnya sambil menyelak lembaran komik Pedang Setiawan di tangannya.
Bunyi daun pintu yang ditolak kasar menghempas dinding tidak mengejutkannya walaupun sedikit. Hanya jelingan sekilas dilemparkan ke wajah suaminya yang sedang mempamer wajah bengis itu.
"Kau berdiri sekarang! Berdiri! Tengok tu! Aku dah cakap jangan usik koleksi komik aku kan? Kau memang suka nak naikkan darah aku kan?" tempelaknya sambil menghalakan jari telunjuk ke wajah Yasmeen. Dadanya berombak-ombak dan dia mendengus seperti lembu yang sedang marah.
Yasmeen berdiri di depan Shahrif dengan muka tidak bersalah. Majalah komik kesayangan Shahrif di tangannya, dijatuhkan ke atas lantai. Sengaja menyimbah minyak di dalam api yang sedang marak. Dia membalas renungan tajam suaminya sambil berpeluk tubuh tanpa sekelumit pun rasa takut.
"Kau yang dulu cari pasal dengan aku. Yang kau pergi tumpahkan bedak aku, patahkan lipstick aku tu kenapa? Celak dengan maskara aku pun kau pergi buang kat longkang belakang rumah, kan?" balas Yasmeen dengan mata yang dijegilkan lalu memusingkan bola matanya.
"A.. bang! Panggil aku abang! Berapa kali aku nak cakap? Aku lebih tua daripada kau, tahu tak! Kau buat lagi mata macam tu, aku korek biji mata kau, aku buat jadi lato-lato, kau nak? Mekap tu... kalau kau guna untuk muka kau, aku tak hairan! Masalahnya, yang kau tiap hari pergi mekap beruk-beruk aku tu dah kenapa? Aku rasa, otak kau memang dah senget parahlah! Sekarang, aku nak kau pergi cuci cat kat badan lembu-lembu aku yang kau lukis tu! Sekarang!" tempelak Shahrif.
"Tak nak!" Selamba Yasmeen menjawab lalu dia mengutip semula majalah komik di atas lantai, kemudian dia kembali pada kedudukannya seperti tadi di atas katil dengan lagak bersahaja.
"Hisy! Kenapalah aku boleh ada bini sengal macam ni!" gumamnya perlahan dengan perasaan geram sambil mengepal penumbuknya pada kedua-dua sisi tubuh. Lantas, dia berpaling dan keluar dari bilik itu menghempas pintu.
Yasmeen mencebik. "Ingat aku tak dengar ke dia cakap? Macamlah aku nak sangat jadi bini dia!" gerutunya lalu dia menyambung semula bacaannya yang tergendala tadi.
"Cuba Shah berlembut sikit dengan Yas tu. Sampai bila korang nak berterusan macam ni? Dah sebulan, Shah." Puan Maya mengeluh sambil menggeleng melihat lagak acuh tak acuh anaknya setiap kali dia bercakap mengenai menantunya.
"Mak... Shah tak boleh berlembut dengan minah senget tulah, mak. Kenapalah mak beria sangat suruh Shah kahwin dengan dia dulu? Harap muka je lawa, tapi perangai tak padan langsung dengan perempuan! Baru sebulan, tapi Shah dah rasa macam nak gila dah layan karenah sengal dia tu, sampai setiap hari Shah bertukar jadi Hulk," luah Shahrif dengan nada kesal.
Puan Maya ketawa kecil. Berkerut dahi Shahrif melihat ibunya ketawa.
"Mak ni. Shah cakap betul-betul, boleh pula mak gelak."
"Okey, okey, mak tak gelak, mak tak gelak," ujar Puan Maya lalu mengemam bibir menahan tawa. "Mak cuma geli hati tengok Shah membebel. Tak pernah lagi mak tengok Shah bebel mengalahkan mak macam ni," ujarnya lagi lalu ketawa semula.
"Macam mana Shah tak pandai membebel, mak. Menantu mak tu pantang kena tegur. Orang tegur elok-elok pun dia buat muka. Sehari dua, bolehlah Shah bagi muka, kalau dibiarkan terus, pijak kepala nanti," luah Shahrif lalu mengeluh sambil menggeleng kecil.
"Shah... Shah dah jadi seorang suami. Isteri Shah tu tanggungjawab Shah sepenuhnya, jadi Shah kena banyakkan bersabar, bimbing dia, ajar dia apa yang patut," ujar Puan Maya dengan wajah yang sudah berubah serius.
Shahrif membungkam memikirkan kata-kata ibunya. Bukannya dia tidak cuba. Sejak hari pertama lagi dia sudah mula menegur isterinya, itupun dengan cara lembut, tetapi isterinya itu pantang ditegur. Pasti ada sahaja yang dijawabnya, siap dengan gimik muka lagi. Itulah yang membuatkan kesabarannya semakin menipis. Tambah-tambah lagi, dia memang sejenis lelaki yang tegas dan serius.
Sedang mereka bersembang, Yasmeen berjalan melepasi mereka dengan riak wajah bersahaja.
"Hah! Nak pergi mana tu?" soal Shahrif.
"Eh! Tanya lagi nak pergi mana. Tadi kau suruh aku pergi bersihkan cat kat badan lembu kau, kan? Ke, kau hilang ingatan?" balas Yasmeen dengan nada memerli.
"Tak boleh pakai elok sikit ke?" tegur Shahrif sambil memandang Yasmeen yang sedang memakai pakaian ketat menampakkan bentuk tubuh rampingnya.
"Suka hati akulah nak pakai apa pun," balas Yasmeen lalu menyambung semula langkahnya yang terhenti. Sempat lagi dia melemparkan jelingan tajam.
"Mak tengoklah tu menantu mak tu," adu Shahrif lalu mendengus dan bingkas berdiri.
"Shah nak ke mana pula tu?" soal Puan Maya.
"Nak pergi tengok menantu mak tulah. Kang entah apa lagi ulah dia nak buat tu," jawab Shahrif sambil mencapai parang yang bergantung di dinding lalu melingkarkannya ke pinggang.
Shahrif sedang tekun menebas semak-semak di tepi ladangnya dan sesekali dia melirik ke arah Yasmeen yang sedang bercekak pinggang dan bercakap-cakap dengan lembu-lembunya seperti lagak seorang ibu yang sedang memarahi anak. Isteri aku ni betul ke tak betul ni? Kepalanya digeleng-geleng melihat karenah isterinya itu.
"Dah siap cuci ke belum?" laung Shahrif sambil menyeka peluh di dahinya menggunakan tuala kecil yang dilingkarkan di lehernya.
Yasmeen menoleh dan hanya melempar jelingan, kemudian dia berjalan menuju ke pondok yang masih dalam proses penambahbaikan.
"Tengok tu, boleh pula dia anginkan aku," gumam Shahrif lalu dia menyambung semula kerjanya.
"Mana mancis?" soal Yasmeen. Terperanjat Shahrif dibuatnya.
Hisy, dia ni! Makhluk halus ke apa? Tak dengar pun bunyi tapak kaki. "Kau nak buat apa?" soal Shahrif yang sedang termengah-mengah. Wajahnya sedikit kemerah-merahan dengan peluh yang membasahi seluruh wajah.
"Aku nak masak air. Aku nampak ada 3 in 1 dalam pondok tu," jawab Yasmeen dengan lagak acuh tak acuh.
"Mancis kat celah dinding dekat dengan cerek kecil dalam pondok tu. Biar aku je yang pasang api," tawar Shahrif.
"Tak payah! Kau ingat aku tak reti pasang api ke? Aku biasa camping kat hutan, tahu tak? Hmm... kau memang tak tahu pun." Yasmeen terus berpaling dan kembali ke pondok yang berjarak lima belas meter dari kedudukan Shahrif.
Shahrif melepaskan keluhan panjang. Kadang-kadang dia terfikir juga. Adakah normal bagi pasangan suami isteri yang dijodohkan oleh orang tua, akan melalui fasa hubungan seperti mereka diawal perkahwinan? Dia fikir, masih terlalu awal untuk menilai. Bak kata pepatah melayu, tak kenal, maka tak cinta.
"Argh!!!"
Shahrif menoleh ke arah suara jeritan. Asap tebal berkepul-kepul naik ke udara melalui bumbung pondok dan dari kedudukannya, dia melihat api sedang menjulang-julang di bahagian sudut pondok yang baru ditambah dan belum dipasang atap lagi.
"Astaghfirullah!" Tanpa membuang masa, Shahrif berlari sekuat hati dan mengangkat baldi besar berisi air di tepi kandang lembunya.
Api terpadam dengan hanya satu siraman. Shahrif mencerlung wajah Yasmeen yang comot dengan arang. Berombak-ombak dadanya kerana penat berlari tadi.
Yasmeen menikus di tepi dinding ketika Shahrif menghampirinya. Kali ini, cara renungan Shahrif benar-benar menakutkan.
Shahrif memegang kedua-dua bahu Yasmeen. Spontan Yasmeen memejam erat kedua-dua mata dan mengecutkan tubuh. Habislah!
"Kau tak apa-apa ke?" soal Shahrif sambil membelek wajah dan tubuh isterinya dengan kerutan di dahi. Risau.
Perlahan-lahan dia membuka mata. Dia menyangka, lelaki itu hendak menyakitinya tadi, ternyata sangkaannya meleset.
Setelah memastikan tiada kecederaan pada mana-mana bahagian tubuh isterinya, dia melepas kasar pegangannya. "Kau ni kan, kalau tak buat hal dalam sehari, kau tak hidup ke? Kalau ada apa-apa jadi kat kau tadi, macam mana?" marah Shahrif dengan suara yang semakin meninggi.
Yasmeen mengetap gigi dan membalas renungan Shahrif. "Dah benda nak jadi kan? Bukannya aku yang suruh api tu bakar dinding tu tadi! Hisy!" bentaknya dengan muka tidak berpuas hati lalu dia menolak tubuh Shahrif, kemudian dia terus keluar dari pondok.
"Hah! Nak ke mana pula tu?"
"Aku nak balik!"
Shahrif hanya mampu memerhati isterinya dari belakang sambil mengeluh dan menggeleng.
Share this novel