Bab 4

Humor Completed 508795

DATIN Delilah terus duduk selepas menuang air teh ke dalam cawan untuk suaminya. Mereka duduk di ruang santai di halaman depan rumah menikmati angin petang.

"Bang, abang yakin ke si Shah tu dapat bimbing anak kita tu?" soalnya sambil menuang air ke dalam cawan untuknya pula.

"Yakin. Abang dah selidik pasal menantu kita tu sebelum abang kahwinkan anak kita. Dia jenis tegas, rajin dan bertanggungjawab. Abang yakin dia mampu bimbing Yas. Dari segi kerjaya, menantu kita tu bakal jadi penternak dan usahawan yang berjaya nanti. Abang ada jalan-jalan pergi tengok ternakan dia baru-baru ni. Dia jual susu kambing dengan susu lembu secara kecil-kecilan, sebab dia baru je mula keluarkan hasil, lagipun, jumlah ternakan dia masih belum banyak lagi. Abang rancang nak sumbang sejumlah kambing dengan lembu untuk dia melalui Jabatan Haiwan supaya dia tak tahu itu daripada abang. Menantu kita tu ada kolam ikan juga," cerita Datuk Aziz panjang lebar.

"Hmmm... Apa yang abang rasa terbaik untuk anak dan menantu kita tu, Lilah iakan je, bang. Lilah pun dah tak tahu nak bentuk macam mana lagi anak kita tu. Dah keras sangat," balas Datin Delilah. Bila dia fikirkan balik, dia tidaklah memanjakan sangat anaknya itu. Entah di mana silapnya. Dari segi perhatian pula, mereka suami isteri cukup prihatin dan sentiasa mengambil tahu.

"Kita doakan supaya Yas berubah. Biar elok sikit perangai tu. Abang sendiri pun dah berbuih mulut nasihatkan anak kita tu. Semua perkara dia buat ikut suka hati dia je. Bila tegur, melawan... degil!"

"Hmm, in shaa Allah, bang Harap-haraplah dia berubah. Tapi kan bang... sampai bila kita nak rahsiakan hal sebenar daripada menantu kita tu? Takut nanti kalau dia dapat tahu, dia marah sebab rasa tertipu. Tak ke dia fikir nanti, kita cuma pergunakan dia?"

Datuk Aziz melepaskan keluhan kecil lalu menghirup air di cawannya. "Tunggu bila dah nampak perubahan Yas. Nanti pandai-pandailah abang jelaskan. Abang tak nak kalau dia tahu status kita, dia jadi segan dan tak berani nak marah si Yas tu, lagipun abang memang nak Yas berkahwin dengan lelaki yang boleh bimbing dia, bukan untuk sepuluh bulan, tapi untuk seumur hidup. Tengok jelah sebelum ni. Bukannya abang tak tahu dia berkawan dengan si Jeffri tu lepak kat kelab malam. Mujur je setakat ni Yas tak pernah minum arak. Abang terpaksa upah si Zarul tu ikut dan pantau anak kita. Itu pun di luar pengetahuan Yas."

Giliran Datin Delilah pula melepaskan keluhan. "Entahlah, bang, Lilah cuba juga cari di mana salah dan silap kita didik Yas. Dahlah seorang tu je anak kita."

Datuk Aziz membungkam dan mengiakan kata-kata isterinya dalam hati. Kalau bukan sebab isterinya menghidap penyakit tekanan darah tinggi dari sebelum mengandung lagi, mungkin adalah juga adik-beradik Yasmeen, tetapi doktor tidak menyarankan untuk mengandung lagi selepas Yasmeen kerana risau memudaratkan kerana berisiko maut. Yasmeen sendiri dilahirkan melalui proses pembedahan.

Yasmeen sedang duduk bersembang dengan ibunya di atas pangkin ketika dia sampai.

"Shah, mari makan kuih pisang goreng. Banyak mak buat ni," panggil Puan Maya.

Lirikan sekilas dilemparkan kepada suaminya yang sedang menayang muka ketat. Dia tahu lelaki itu sedang marah kerana isu ayam ekor kontot tadi.

"Mak nak pergi kurung ayam dengan itik dulu. Korang makanlah. Kalau boleh, habiskan," kata Puan Maya lalu mengengsot hendak turun dari pangkin.

"Tak payah, mak. Tadi, Yasmeen cakap, hari ni dia yang nak kurung ayam dengan itik mak, kan, Yasmeen?"

Dengan pantas Yasmeen menoleh memandangnya dengan muka terkejut. Bila masa pula aku cakap? soalnya dalam hati. "Eh! aku tak..."

"Tak tahu cara? Aku boleh ajar," pintas Sharif dengan muka selamba. "Jom!" Lengan Yasmeen ditarik menuju ke kawasan reban berpagar di belakang rumah.

"Lepaslah!" Yasmeen cuba melepaskan cengkaman Shahrif pada lengannya, tetapi gagal.

"Haa, tu. Kau nampak ayam-ayam tu kan? Kau halau masuk dalam kawasan dalam pagar. Tu ayam yang ada anak tu, kau tangkap anak dia dulu," terangnya satu per satu. "Buat sekarang!" Pegangannya di lengan Yasmeen dilepaskan.

"Kau ingat aku kuli kau ke?" bentak Yasmeen.

"Oh, bukan kuli eh? Kau bagi balik duit yang aku kasi tadi."

"Buruk siku! Mana boleh minta balik benda yang dah bagi! Aku tak nak bagi!"

"Aku bukan nak minta balik, tapi untuk bayar ganti rugi ayam aku yang kau dah kontotkan ekor tu," balas Shahrif bersama dengan renungan tajam.

Yasmeen terdiam. Renungan tajam Shahrif dibalas dengan muka tidak puas hati. Terkumat-kamit mulutnya menggumam dengan butir percakapan yang tidak jelas.

"Jadi, kalau kau tak nak bayar ganti rugi, kau buat apa yang aku suruh tadi."

"Hisy! yelah!" bentak Yasmeen lalu berjalan menuju ke arah ibu ayam sepuluh ekor anak yang dituding oleh Shahrif tadi.

"Buat betul-betul," pesan Shahrif sebelum dia melangkah kembali ke pangkin.

"Shah, Yas tahu ke nak buat?" soal Puan Maya dengan muka risau.

"Sebab tak tahulah kena belajar," balas Shahrif sambil mencapai kuih di dalam pinggan.

Puan Maya memandang menantunya yang sedang menghampiri ibu ayam yang sudah mengembangkan bulu. "Eh, Shah! Yas nak tangkap ayam tu buat apa? Pergi cakap dengan Yas, suruh halau je masuk dalam kawasan berpagar, nanti ayam tu masuk sendiri dalam reban," kata Puan Maya dengan muka risau.

"Biar je dia, mak. Dia memang sukakan ayam. Kat ladang tadi pun, bukan main lagi dia peluk sekor-sekor ayam dalam reban tu," balas Shahrif sambil menuang air teh ke dalam cawan.

"Makkk! Tolong!!!"

Serentak dua beranak itu memandang ke arah suara jeritan. Yasmeen sedang berlari lintang-pukang mengelilingi kawasan reban dikejar ibu ayam.

"Yas! Lepaskan anak ayam tu!" jerit Puan Maya sambil melambai-lambai ke arahnya, namun Yasmeen sudah tidak mendengar apa-apa lagi kerana ketakutan dan panik.

"Shah! Pergilah tolong Yas tu. Kesian dia!"

"Bagi dia bersenam dulu, mak," balas Shahrif dengan lagak tenang sambil mengunyah.

"Arghhh!"

Yasmeen berlari menuju ke arah mereka dengan anak ayam yang masih di dalam pegangannya.

"Yas! Lepaskan anak ayam tu!" jerit Puan Maya lagi ketika Yasmeen semakin menghampiri pangkin dengan berkaki ayam. Seliparnya entah di mana tercampak tadi.

Pada ketika itu, barulah Yasmeen melepaskan anak ayam di tangannya lalu kelam kabut naik ke atas pangkin.

Yasmeen melompat tepat-tepat di atas tubuh Shahrif dan memeluk lehernya dengan erat membuatkan Shahrif hilang keseimbangan duduk dan dia terus terbaring dengan Yasmeen yang berada di atasnya.

Bunyi suara esakan tertangkap di telinga. Degupan jantung Yasmeen yang berdegup laju, terasa di dadanya. Peluh dan air mata yang membasahi wajah Yasmeen pula, tumpang mengalir di kulit sisi wajahnya. Dia mematungkan diri dan membiarkan mereka dalam keadaan begitu buat sejenak untuk memberi masa isterinya bertenang.

Puan Maya melepaskan keluhan sambil menggeleng lalu turun dari pangkin dan pergi mengurus ayam dan itiknya.

Selepas seminit, Yasmeen segera turun dari atas tubuh Shahrif setelah menyedari akan keadaan dirinya. Renungan paling tajam ditujukan ke mata lelaki yang kelihatan tenang itu.

"Hisy!" Yasmeen segera turun dari pangkin lalu melangkah menuju ke tangga rumah sambil menyeka sisa air mata di tubir matanya bersama hati yang sakit.

"Lewatnya balik dari masjid malam ni, Shah," tegur Puan Maya yang baru naik dari dapur.

"Ada kuliah, mak," jawab Shahrif sambil menyangkutkan songkoknya di dinding ruang tamu.

"Pergilah makan, ajak Yas sekali. Yas belum makan lagi tu. Mak tunggu-tunggu juga, tapi dia tak keluar bilik sejak Shah jalan pergi masjid maghrib tadi," ujar Puan Maya.

Shahrif mengerutkan dahi. Dia tidur maghrib lagi ke? soalnya dalam hati lalu melangkah menuju ke bilik.

Dia melepaskan keluhan berat melihat keadaan bilik yang gelap gelita. Sah, dia tidur maghrib! Giginya diketap geram. Dia menekan suis di tepi dinding dan dengan sekelip mata bilik itu bertukar menjadi terang benderang.

"Yasmeen?" panggil Shahrif dengan muka risau setelah melihat isterinya.

Puan Maya mengerutkan dahi melihat Shahrif tergesa-gesa keluar dari bilik menuju ke dapur. Selang seminit, Shahrif berjalan melepasinya membawa ubat dan segelas air suam.

"Kenapa kelam-kabut je mak tengok ni, Shah?

Shahrif menoleh sekilas tanpa memberhentikan hayunan langkah kakinya. "Yasmeen demam, mak. Tubuh dia menggigil," jawab Shahrif lalu masuk semula ke dalam bilik.

Puan Maya tersenyum. Dalam garang-garang dan tegas anaknya, dia tahu anaknya itu menyayangi isterinya.

"Yameen, bangun. Makan ubat." Shahrif menyauk belakang tubuh Yasmeen dan membantunya duduk.

"Tak nak! Aku tak nak makan ubat!" rengeknya sambil menekup mulut dan menggeleng-geleng.

"Badan kau panas sangat ni. Ni, cepat makan," arah Shahrif lalu menyuakan dua biji ubat di depan muka Yasmeen.

"Tak nak!" Yasmeen menepis tangan Shahrif membuatkan ubat di tangannya terpelanting ke atas lantai.

Shahrif bingkas berdiri lalu bercekak pinggang. Wajah Yasmeen direnung geram. "Sakit-sakit macam ni pun masih degil juga kau, kan? Kau dengar cakap aku atau aku hantar kau kat tengah hutan sekarang!" ugut Shahrif lalu mencapai sepapan ubat di atas meja dan mengeluarkan dua biji ubat yang baru. "Makan sekarang!"

"Aku tak nak! Aku tak suka makan ubat! Jangan paksa aku boleh tak?" bentak Yasmeen dengan suara lemah lalu dia merebahkan tubuhnya dan menarik selimut menutupi seluruh tubuh termasuk kepala. Sikit pun dia tidak takut dengan ugutan suaminya itu.

Giginya diketap kuat sambil mendengus. "Yasmeen!" Shahrif menarik selimut lalu dia duduk di samping tubuh isterinya yang terasa bahangnya menyentuh tubuhnya yang lengkap berpakaian.

"Kau tak dengar ke aku cakap tadi? Aku tak suka makan ubat! Setakat demam panas macam ni, tak matilah!"

"Okey, kau tak nak makan ubat, kan? Aku bagi kau ubat lain," ujar Shahrif lalu membuka baju melayu yang sedang dipakainya dan dia terus naik di atas katil.

Membulat mata Yasmeen melihat Shahrif kini berbaring di sebelahnya. "Kau nak buat apa ni?" Yasmeen menolak dada Shahrif, namun Shahrif menangkap kedua-dua pergelangan tangannya.

"Masa kau sakit nilah peluang aku. Masa ni, kau tak dapat melawan." Shahrif memegang kedua-dua tangan Yasmeen dengan hanya satu tangan lebarnya. Sebelah tangannya pula melingkar di pinggang Yasmeen dan menarik tubuhnya untuk merapatkan lagi kedudukan mereka.

"Shah! Kau jangan berani buat di luar kerelaan aku!" Yasmeen cuba menarik tangannya di dalam genggaman lelaki itu, tetapi dia benar-benar lemah. Kudratnya hanya seperti anak kecil bagi lelaki bertubuh tegap itu.

"Apa masalahnya? Aku suami kau kan? Aku berhak atas kau, luar dan dalam. Okey, aku bagi kau pilihan. Kau nak makan ubat atau aku..." Shahrif merapatkan wajahnya ke wajah Yasmeen.

"Aku makan, aku makan!" pekik Yasmeen sambil menutup mata.

"Makan apa?" soal Shahrif sambil menjongketkan kening.

Perlahan-lahan Yasmeen membuka mata. "Makan ubat," jawabnya dengan suara antara dengar dan tidak dengar. Nasib baik aku tengah tak larat. Kalau tak, memang aku dah sepak terajang kau sampai jatuh katil!

"Hmm, bagus! Kalau dari tadi kau dengar cakap aku kan senang." Shahrif turun dari katil dan mencapai semula ubat dan air yang dia letakkan di atas meja tadi.

Baju melayunya yang dicampak di atas lantai tadi, dipungut lalu dia masukkan ke dalam raga kain kotor. Kemudian, dia menuju ke almari pakaian dan mencapai t-shirt nipisnya.

"Dah?" soal Shahrif melihat Yasmeen terkial-kial selepas menelan ubat. Cepat-cepat dia meneguk air di dalam gelas itu sampai habis.

Yasmeen tidak menjawab. Dia menghulurkan gelas yang sudah kosong kepada Shahrif bersama dengan jelingan paling tajam. Lantas, dia merebahkan semula tubuhnya dan berbaring mengerekot. Matanya dipejam erat. Dia tidak larat mengambil selimut yang terjatuh di atas lantai yang ditarik oleh Shahrif tadi.

Shahrif melepaskan keluhan kecil lalu dia memungut selimut di atas lantai dan mengibas-ngibaskannya sebelum dia menyelimuti tubuh isterinya. Perlahan-lahan dia menutup pintu dan keluar dari bilik membawa gelas kosong di tangannya.

Puan Maya memandang anaknya sekilas pandang. "Sampai kat luar ni dengar suara bertekak," tegur Puan Maya yang masih duduk di depan TV menonton Forum Perdana.

"Menantu mak tulah, degil! Suruh makan ubat pun macam orang suruh makan bangkai."

Puan Maya ketawa kecil. "Jadi, berjaya ke?"

"Hmm, berjaya. Itupun, macam yang mak dengar tadi tulah. Kena perang mulut dulu," jawabnya lalu melangkah menuju ke dapur.

Beberapa minit kemudian, dia keluar dari dapur membawa sebekas air dan tuala kecil menuju ke bilik.

"Nak buat apa tu?" soal Puan Maya.

"Nak tuam dahi menantu mak tulah."

"Alaa, cakap jelah, nak tuam dahi isteri Shah. Sedap sikit bunyinya. Malu-malu pula," kata Puan Maya lalu tersengih.

"Dah mak yang carikan jodoh untuk Shah dulu kan? Jadi, istilah menantu mak lagi sesuai," balas Shahrif dengan lagak bersahaja lalu dia terus masuk ke dalam bilik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience