Bab 1

Humor Completed 508795

SUASANA pagi yang tadinya hening, tiba-tiba bertukar menjadi hingar-bingar. Kedengaran satu suara garau sedang marah-marah yang tidak jelas butir percakapannya dan dibalas dengan satu suara nyaring yang begitu lantang sekali.

"Hisy! Mama dengan papa ni awal-awal pagi lagi dah nak memekak," rungut Yasmeen lalu menekup wajahnya menggunakan bantal peluk.

Selang beberapa minit, suasana kembali sunyi. Yasmeen menarik nafas lega. Bantal peluk dipeluk semula sambil tersenyum bahagia dengan mata yang masih terpejam erat.

Pappp!

"Awww! sakitlah!" rengek Yasmeen sambil mengusap pinggulnya yang terasa perit ditampar.

"Bangunlah, Yas! Sebab Yas, mama yang kena marah dengan papa tau! Apa nak jadilah dengan Yas ni," bebel Datin Delilah.

"Eee... mama ni! Apa yang Yas buat? Janganlah kacau Yas sekarang. Yas belum puas tidur lagi ni." Bantal peluknya dirapatkan ke dada dan dipeluk erat. Selimutnya ditarik sehingga ke paras bahu.

Datin Delilah menggeleng lalu mendengus. Kesabarannya terhadap anak daranya itu saban hari, kian menipis.

"Yas jangan buat sampai papa hilang sabar, Yas. Bangun cepat! Papa panggil sarapan." Datin Delilah menarik selimutnya dan mencampakkannya ke atas kerusi meja solek, lantas, dia berdiri menuju ke tingkap lalu menyelak langsir dan membuka tingkap untuk memberi ruang supaya udara segar dan cahaya masuk ke dalam bilik.

"Ma! Silaulah, ma!" marah Yasmeen.

"Pergi mandi, lepas tu turun! Jangan sampai papa yang naik heret Yas," ugut Datin Delilah lalu keluar.

"Ha, eloklah tu buat muka macam tu depan rezeki!" tegur Datuk Aziz.

Yasmeen menjeling tanda protes. Nasi goreng di dalam pinggan, disodok-sodok kasar menggunakan sudu.

"Macam ni ke perangai yang cakap nak tinggal kat tengah hutan Amazon ni? Membuta sampai matahari dah tinggi? Photoghrapher konon! Ceh! Macam dah tak ada kerja lain lagi kat muka bumi ni!" bebel lelaki berusia pertengahan lima puluhan tahun yang masih kacak dan segak itu.

"Hisy, papa ni! Dah itu je yang orang minat. Salah ke?"

"Memang salah! Yas sorang je anak papa dengan mama tau tak! Berpuluh ribu papa habis belanja Yas belajar dalam bidang perniagaan dulu sebab papa nak Yas ambil alih syarikat papa nanti, sekali dah habis belajar, kerja ni yang Yas pilih? Yas fikir Yas boleh hidup ke kalau mama dengan papa tak ada?" bentak Datuk Aziz dengan suara yang semakin ditinggikan.

"Boleh je. Yas kahwin ajelah. Biar laki Yas yang tanggung. Boyfriend Yas ada kilang tayar," jawab Yasmeen dengan riak bersahaja.

"Yas!" Datin Delilah mencubit paha anaknya di bawah meja. Walaupun suaminya tidak pernah angkat tangan, kadang-kadang risau juga kalau tiba-tiba diterajangnya anak mereka itu. Anak daranya yang seorang itu pun satu. Betul-betul keras kepala. Apa yang dilarang, itulah yang dibuat. Entah menurun daripada siapalah agaknya perangai budak ni. Datin Delilah bersungut dalam hati.

Datuk Aziz merenung wajah Yasmeen dengan mata yang terbelalak garang selepas mendengar jawapan selamba anaknya tadi.

"Baiklah kalau itu yang Yas nak. Papa akan kahwinkan Yas bulan ni juga!"

"Abang!" Datin Delilah mengerutkan dahi memandang wajah suaminya dengan pandangan tidak percaya.

"Senang je anak awak jawab tadi kan?" Datuk Aziz kemudian mengalihkan pandangannya kepada Yasmeen. "Nak kahwin? Okey, papa tunaikan! Tapi dengan pilihan papa dan keputusan papa muktamad!"

Yasmeen menjegilkan mata. Terkejut dengan apa yang baru didengarnya tadi. "Pa! Yas tak nakkk!" protes Yasmeen lalu menghempas sudunya ke dalam pinggan dan dia bingkas berdiri. Renungan tajam ayahnya dibalas tanpa sekelumit pun rasa takut.

"Yas cakap Yas boleh hidup tanpa mama dengan papa kan? Kita tengok nanti! Kalau Yas mampu bertahan lebih daripada sepuluh bulan dengan lelaki yang papa pilih, Yas buatlah apa yang Yas nak. Papa izinkan Yas pergi ke tengah hutan Amazon tu, tangkaplah gambar segala binatang dan hantu jembalang kat situ! Segala kos, papa tanggung!"

"Janji?" Yasmeen menaikkan jari telunjuk.

"Janji," balas Datuk Aziz.

Datin Delilah hanya mampu mengeluh dan menggeleng. Entah apa-apalah dua beranak ni!

"Apa?" Jeffri membuntangkan mata memandang wajah kekasih hatinya dengan pandangan tidak percaya.

"Alaa, sepuluh bulan jelah. Bukannya lama pun," pujuk Yasmeen lalu mengeluh.

"Masalahnya bukan sekejap atau lama, Yas. Habis tu, you ingat I nak biarkan lelaki lain yang sentuh you dulu sebelum I ke? Lepas tu, I? Dapat bekas? Macam tu?" bentak Jefri dengan kemarahan yang meluap-luap. Berombak-ombak dadanya.

"Kalau pasal tu, you jangan risau. You kena percayakan I. I takkan bagi mana-mana lelaki sentuh I kecuali you. Tapi kena tunggu habis tempoh yang papa bagi tu dulu, lepas tu, I minta cerai, kita kahwin, okey?" kata Yasmeen meyakinkan.

"Are you sure?" Jeffri menjongket sebelah kening.

"I'm pretty sure, sayang," jawab Yasmeen bersama dengan anggukan yakin.

"Okey, I percayakan you," balas Jeffri lalu dia merapatkan bibirnya ke pipi Yasmeen.

"Behave, Jeff!" marah Yasmeen sambil menolak lembut dada kekasihnya itu.

"Kiss pipi je lah. Sebelum you kahwin dengan orang lain," kata Jeffri selamba.

"No! I dah cakap balik-balik kan sebelum ni? Selagi kita belum kahwin, you tak boleh suka-suka kiss atau sentuh I," tegas Yasmeen bersama dengan renungan tajam.

"Fine! Okey, okey." Jeffri menjulang kedua-dua tangan ke udara tanda menyerah dan akur.

Datuk Aziz sengaja memakai pakaian biasa-biasa supaya penampilannya tidak terlalu menonjol. Dia hanya memakai t-shirt putih jenama Pagoda dan kain pelikat masuk ke dalam warung di dalam sebuah kampung yang dia masuk secara rawak semata-mata untuk mencari calon suami buat satu-satunya anaknya yang sengal dan keras kepala itu. Dia berniat untuk merisik-risik khabar daripada ahli jemaah masjid. Manalah tahu ada ahli surau yang masih bujang untuk dijadikan calon.

Kereta yang dibawanya pula hanya sebuah kereta lama yang dibelinya di sebuah kedai kereta terpakai. Semuanya dilakukan demi anak daranya yang seorang itu. Anaknya harus diberikan pelajaran dan pengajaran supaya tahu erti bersyukur dan menghormati orang. Kalau boleh, dia hendak mencari calon yang garang dan tegas.

Bila difikirkan balik, sejak kecil, mereka sudah mendidik anaknya dengan adab dan budi bahasa yang sepatutnya. Mereka tidak pernah memanjakan pun anak mereka itu, tetapi sejak anaknya bergaul dengan rakan-rakannya di sekolah menengah dulu, Yasmeen berubah menjadi seorang gadis sosial, keras kepala dan tidak menghormati orang, walaupun terhadap orang tuanya sendiri.

"Anak kau si Shah tu bila nak kahwin, Maya? si Jamidi anak si Budin tu sebaya dengan anak kau kan? Minggu lepas dia balik dari KL, dah tiga orang dah anak dia. Ke kau yang tak bagi si Shah kahwin ni?"

"Entahlah, Baidah. Bukannya aku tak bagi si Shah tu kahwin. Masalahnya, dia bukan jenis yang bergaul. Kau sendiri nampak dia sibuk sangat dengan kolam dan ternakan dia semua tu kan? Manalah ada masa nak cari girlfriend. Dia asyik guna alasan, tak ada perempuan yang nakkan dia. Aku nak buat macam mana lagi?"

Datuk Aziz melirik ke arah pemilik-pemilik suara yang sedang berbual itu. Pura-pura dia menarik kerusi untuk merapatkan lagi kedudukan mereka supaya dia dapat mendengar dengan lebih jelas lagi butir percakapan dua orang wanita yang kelihatan lebih kurang usianya itu.

"Kau carikanlah jodoh untuk dia. Kalau dia tak kahwin, tak bertambahlah keturunan kau. Dahlah seorang tu je anak kau. Aku umur-umur macam ni, dah lapan orang cucu tau. Sempatlah juga aku rasa peluang jadi nenek sebelum aku mati."

"Haih... mahu ke si Shah tu kalau aku carikan? Baru aku cakap pasal kahwin, dia dah tukar topik dah."

"Alaa, kau cakap je lah kau nak tengok dia kahwin dan ada anak sebelum kau mati. Manalah tahu hati dia terusik dengar kau cakap macam tu. Siapalah yang tak nak dengan si Shah tu, Maya? Ada rupa, rajin kerja dan yang paling penting, rajin lima waktu kat masjid tu haa."

"Tengoklah macam mana nanti. Anak aku tu jenis tegas dan serius. Risau perempuan takut sebab tu je."

"Dia tegas dan serius bertempat kan? Kalau aku berselisih dengan dia, dia tegur juga aku. Sopan dan berbudi bahasa je budak tu dengan orang tua. Hmm... okeylah, Maya. Aku balik dulu. Aku singgah sini sebab nak belikan roti canai untuk cucu aku ni je."

Setelah salah seorang daripada wanita itu pergi. Datuk Aziz segera berdiri di tepi meja wanita yang sedang mengira jumlah kuih baki yang diletakkan di warung itu pagi tadi.

"Assalamualaikum, puan. Maaf mengganggu. Err... boleh saya duduk?" soal Datuk Aziz dengan sopan.

"Waalaikumsalam. Boleh," jawabnya sambil mengerutkan dahi. Tidak pernah pula dia nampak lelaki itu sebelum ini.

"Terima kasih. Maaflah, tadi saya terdengar perbualan puan pasal anak lelaki puan. Boleh kita bersembang sekejap? Nama saya Aziz." Senyuman mesra dilakarkan di bibirnya.

"Maya. Nama saya, Maya," kata Puan Maya lalu menghentikan kerja yang sedang dilakukannya dan menanti lelaki itu memulakan bicara.

"Ehem! Sebenarnya saya datang ke kampung ni, nak carikan jodoh untuk anak perempuan saya. Saya terdengar perbualan puan tadi dan saya berminat nak jadikan anak puan sebagai menantu," kata Datuk Aziz tanpa berselindung. "Ni gambar anak saya. Nama dia, Yasmeen. Kelulusan Ijazah dalam bidang perniagaan, umur 26 tahun," katanya lagi sambil menghulurkan sekeping gambar.

Puan Maya membuntangkan mata melihat gambar seorang gadis cantik yang dihulurkan. Lantas, dia memandang wajah lelaki di depannya dengan kerutan seribu di dahi. Hairan.

"Anak encik ni cantik, berpelajaran tinggi, tapi kenapa nak cari orang kampung jadi suami dia? Anak saya lulusan SPM je, encik," kata Puan Maya dengan perasaan segan.

"Apa kelulusan dia tak penting. Saya dengar tadi ciri-ciri anak puan yang kawan puan cakap tu dan saya rasa, saya dah jumpa lelaki yang tepat untuk bimbing anak saya."

Puan Maya membungkam. Dia fikir, mana mungkin anaknya akan bersetuju jika dia dijodohkan dengan orang yang dia tidak kenal.

"Puan jangan risau. Segala kos perbelanjaan untuk majlis kahwin nanti, saya yang tanggung. Lepas anak saya dah kahwin dengan anak puan, segala belanja makan minum di rumah puan pun, saya yang akan sediakan setiap bulan, tapi..."

Puan Maya mengecilkan mata memandang wajah lelaki di depannya. "Tapi?"

"Saya nak puan rahsiakan perkara ni daripada sesiapa pun, termasuk daripada anak puan sendiri," kata Datuk Aziz.

Puan Maya mengetap bibir dan teragak-agak untuk bersetuju. Macam mana nanti kalau anaknya menolak?

"Maaf, encik, tapi saya takut anak saya tak terima rancangan saya nak jodohkan dia ni."

Datuk Aziz tersenyum. "Puan buatlah alasan macam yang kawan puan cadangkan tadi," ujar Datuk Aziz.

Bergerak-gerak bola matanya memikirkan tentang tawaran yang disebut oleh lelaki itu tadi.

"Bila rancangan encik nak langsungkan majlis?"

"Saya bercadang nak langsungkan majlis dalam bulan ni juga. Tolong pujuk anak puan supaya bersetuju ye, puan," kata Datuk Aziz yang kedengaran seperti merayu. Tiba-tiba dia berdiri dan melangkah pantas menuju ke keretanya yang diparkir di depan warung dan kembali selepas seminit.

"Ni kad saya. Telefon saya bila puan dah dapat persetujuan anak puan. Saya betul-betul berharap anak puan setuju."

Puan Maya mengeluh kecil lalu memandang kad di tangannya untuk membaca butiran yang tertera. Serta merta matanya terbeliak. "Datuk?"

Laju sahaja Datuk Aziz meletakkan jari telunjuk di bibirnya sendiri sebagai isyarat menyuruh wanita itu memperlahankan suara.

"Datuk?" kata Puan Maya lagi, namun kini dengan suara yang lebih perlahan.

Datuk Aziz mengangguk. "Tolong rahsiakan identiti saya kalau ada sesiapa tanya nanti," pesan Datuk Aziz lalu tersenyum.

Puan Maya masih tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Seorang lelaki berpangkat datuk hendak menjodohkan anaknya yang cantik dan berkelulusan tinggi dengan anaknya yang tidak setaraf? Kalau Shahrif setuju, aku berbesan dengan datuk? Aku bermimpi ke ni?

"Mak, apa ni mak? Mak nak Shah kahwin dengan orang yang Shah tak kenal langsung?" protes Shahrif lalu melempar gambar yang dipegangnya ke atas meja.

"Shah, perempuan tu anak kawan mak juga. Mak ni dah tua, Shah. Kawan-kawan mak dah bercucu cicit dah. Umur mak ni dah senja, kubur dah kata mari. Sekurang-kurangnya, bagilah mak peluang tengok Shah kahwin. Shah seorang je anak mak tau. Shah lah penyambung keturunan. Boleh ye, Shah? Kalau mak mati pun, sekurang-kurangnya mak sempat tengok Shah kahwin," pujuk Puan Maya dengan nada sayu.

Shahrif melepaskan keluhan panjang. Wajahnya diraup. Serba-salah pula dia rasakan selepas mendengar kata-kata ibunya sebentar tadi. Otaknya ligat berputar.

"Apa yang Shah perlu sediakan?" soal Shahrif selepas beberapa minit membisu.

Puan Maya mengoyak senyuman lebar. Tak sangka menjadi pula tips kau, Baidah, bisik hatinya.

Share this novel

Yus Rah
2023-07-19 20:46:42 

halo

Agnes
2023-06-29 23:14:07 

Yas kena sabar

BungaOrkid97
2023-04-05 23:16:37 


NovelPlus Premium

The best ads free experience