Bahagian 3

Fantasy Series 716

BAHAGIAN 3

SATU-SATUNYA budak yang selamat itu diberikan makan dan minum secukupnya. Soalan demi persoalan mula bermain di minda mereka berempat, cuma menunggu masa saja mahu diluahkan. Mereka belum berkesempatan mahu bertanya, kerana budak itu masih dalam keadaan trauma.

Dulce berlalu keluar. Lama dia memandang jauh ke sebelah timur. Asap putih masih kelihatan terapung ke atas dari tempat yang sama. Lalu satu keluhan terlepas. Mimpinya semalam serupa dengan apa yang sedang berlaku. Cuma bezanya, budak yang disangkanya mati dipancung oleh pembunuh tersebut tidak pula mati.

Alamat apa sebenarnya yang cuba disampaikan melalui mimpinya itu. Dulce buntu sendiri.
Tidak semena-mena, bahu kanannya ditepuk perlahan. Pantas kepalanya menoleh ke sisi. Allura memandangnya dengan pandangan risau. Mungkin tingkahnya tadi membuatkan kakaknya itu ingat dia masih memikirkan hal semalam.

“Bagaimana budak itu? Sudah bercerita apa yang berlaku?” Dulce bertanya mahu tahu. Allura geleng sekali.

“Dia ketiduran saat ini. Masih penat agaknya dengan kekacauan tersebut,” beritahu Allura. Dulce mengangguk kecil.

“Apa yang merisaukan kamu, Dulce?” soal Allura apabila melihat Dulce masih kelihatan risau macam mula-mula tadi.

“Dulce bermimpi semalam. Mimpi ngeri,” cerita Dulce kemudian memandang ke arah Allura. Jelas wajah gadis itu tidak mengerti maksudnya.

“Apa kaitannya dengan kejadian hari ini?” soal Allura mula resah. Dia mula berprasangka ada benda yang dirahsiakan Dulce.

“Dalam mimpi itu, apa yang berlaku di pekan sama dengan mimpi Dulce,” cerita Dulce. Terus mata Allura membulat.

“Kalau begitu, kamu nampak siapa punya angkara?” soal Allura tidak sabar. Dulce menggeleng perlahan.

“Semuanya memakai hud menutup kepala. Hanya yang kelihatan senyuman sinis melihat ramai penduduk kampung yang mati dan bertempiaran lari.” Tambah Dulce.

“Bagaimana dengan budak yang kita jumpa, adakah dia juga ada dalam mimpi kamu?”

“Iya. Tapi…” Ayatnya terhenti di situ, bagai cuba mengingat kembali mimpi terakhirnya sebelum dia terbangun dari tidur.

“Sebilah pedang dihayunkan ke arah budak itu sebelum Dulce terbangun dari tidur.” Satu keluhan terlepas dari mulut Allura. Mimpi adiknya itu tidak dapat membantu untuk mereka mengesan siapa yang telah mengucar-kacir dan membunuh penduduk pekan.

“Andai pembunuhan ini melibatkan persengkataan dua kerajaan, pasti raja tidak akan berdiam diri. Kita doakan yang baik-baik sahaja,” doa Allura. Dulce hanya mendiamkan diri.

*****

“BAGAIMANA? Jumpa apa yang aku mahukan?” Suara bertanya itu bergema di gua tersebut.

Ada lebih sepuluh orang yang berhud hitam duduk menundukkan kepala ke arahnya. Seorang pun tidak berani mengangkat kepala. Misi mereka untuk mendapatkan apa yang diperintahkan hari ini, tidak berjaya.

“Aku benci pada kegagalan!” jeritnya lagi membuatkan kesemuanya mereka terpelanting ke belakang. Seraya itu kedengaran raungan dan jeritan menahan azab yang baru saja diberikan pada mereka semua.

“Ampun Tuanku! Berikan kami peluang sekali lagi untuk mencari mereka semua!” pinta salah seorang dari mereka.

Kuasanya segera dihentikan untuk menyeksa hamba-hamba lemahnya itu.

“Terakhir atau nyawa kamu semua menjadi milik aku!” laungnya lagi sebelum menghilangkan diri. Hanya asap nipis yang tertinggal di tempat berdiri.

Hamba-hamba yang diberikan peluang kedua untuk melaksanakan misi tersebut, tercungap-cungap mencari nafas. Seksaan yang baru saja dilakukan kepada mereka itu, hampir saja meragut nyawa mereka semua. Ternyata, ilmu sakti lelaki yang memberikan arahan itu benar-benar ampuh.

“Aku juga bencikan kegagalan, tapi kenapa bukan dia saja yang mencari mereka! Kenapa kita yang menjadi mangsanya!” suara tidak puas hati kedengaran dari salah-seorang dari mereka.

“Awasi bicaramu! Nyawamu pasti berakhir andai dia mendengarnya!” tegur lelaki yang berdiri paling depan antara mereka semua. Satu dengusan kedengaran.

“Apa yang perlu kita buat sekarang? Pekan tadi sudah kita cerobohi, namun orang yang dicari belum ketemu,” bicara yang paling hampir dengannya. Lama dia mendiamkan diri. Bisa-bisa seksaan tadi masih tersisa di tubuhnya menyebabkan dia lambat memberi jawapan.

“Malam nanti kita merangka rancangan seterusnya. Sekarang, berehat dahulu. Tubuh kalian pasti masih berasa bisa seksaan tadi.” Arahnya sebelum berlalu masuk ke dalam gua yang lebih dalam, mahu bertafakur sambil menanti malam menjelma.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience