Bahagian 2

Fantasy Series 716

BAHAGIAN 2

LAUNGAN dan jeritan terdengar sana sini. Larian pecut seperti mahu lari dari sesuatu yang menakutkan. Ada anak kecil yang tertinggal kerana ibu-bapa masing-masing sibuk selamatkan diri. Tangisan turut kedengaran dalam keadaan kelam kabut tersebut.

Muncul orang-orang berkuda berpakaian hud hitam dan bersenjata. Melibas senjata pada sesiapa yang berlari melewati mereka. Lalu terpisahlah tubuh dari badan. Tergolek ke tanah dan darahpun memenuhi kawasan pekan tersebut.

10 orang kelibat berkuda berhenti di tengah-tengah pekan. Mencari-cari mangsa yang masih tertinggal di situ. Namun pekan itu sudah senyap sunyi dari larian dan juga jeritan.

Dari jauh kedengaran sayup-sayup tangisan dari seseorang. Lalu salah seorang dari mereka menuju ke arah suara tersebut. Disebalik gerai kecil yang sudah ditinggalkan, seorang budak perempuan sedang menangis teresak-esak di situ.

Sebaik menyedari lelaki berhud hitam berdiri di hadapannya, budak perempuan itu terus terdiam. Matanya buntang kerana tahu itulah kelibat yang telah mengucar-kacirkan pekan kecil tersebut.
Satu senyuman sinis dilemparkan sebelum pedang panjang lagi tajam dihayunkan tepat ke arah leher budak perempuan itu.

Dulce terbangun dari tidur seperti terkena renjatan elektrik. Badannya basah dengan peluh. Nafas turun naik dengan pantas, kerana mimpinya tadi seolah-olah benar berlaku.

Dia menoleh ke sisi, namun kelibat Allura tidak ada di situ. Mungkin sudah bangun dan sedang menyiapkan sarapan pagi buat mereka adik-beradik. Mimpi tadi segera dilupakan. Mimpi hanya mainan tidur.

Lalu dia berlalu keluar bilik dan meninjau-ninjau ke arah dapur. Memang betul tekaannya, kakaknya itu sedang menyediakan makanan buat mereka. Kelihatan Allura meniup perlahan kayu kering. Terus kayu itu terbakar sedikit demi sedikit.

Lantas hatinya terusik. Dia benar-benar terasa hati melihat kelebihan yang dimiliki oleh tiga saudara kandungnya itu. Kenapa hanya dia saja yang masih belum memiliki kuasa. Adakah faktor dia masih belum dewasa atau sememangnya dia tidak memiliki kelebihan tersebut.

Menyedari Dulce berdiri di muka pintu dapur, seraya Allura memaniskan romannya.

“Sarapan hampir siap. Panggilkan Ovid dan Liam sarapan ya,” pinta Allura sengaja mahu menganggu perhatian Dulce yang mungkin masih terkesan dengan hal semalam.

Ya, bukan semalam sahaja. Hari-hari lain pun, adik bongsunya itu selalu berkecil hati. Dia sendiri buntu bagaimana mahu memujuk. Kerana hakikatnya, Dulce belum memiliki sebarang kuasa seperti mereka.

Dulce tersenyum kecil lalu berlalu keluar. Di luar pula, kelihatan Ovid dan Liam sedang mempraktikkan kuasa masing-masing. Kelihatan seperti bermain walau hakikatnya, kedua lelaki dewasa itu sedang berlatih sungguh-sungguh.

“”Ovid, Liam! Ayuh sarapan dulu!” panggil Dulce. Riak wajah kecewa sedaya-upaya dikawal agar tidak disedari oleh kedua abangnya itu. Sememangnya mereka cukup mengerti perasaannya selama ini.

Serentak keduanya menoleh ke muka pintu. Kuasa masing-masing dihentikan lalu menuju ke dalam. Sebaik kelibat Dulce hilang di sebalik pintu, Liam memandang Ovid.

“Apa benar… kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk bangkitkan kuasa milik Dulce?” Soal Liam tiba-tiba.

Ovid melepaskan nafas berat. Dia menggeleng perlahan. “Aku sendiri tidak tahu, apa Dulce punya atau tidak.” Jawapan itu membuatkan Liam terdiam tanpa kata.

*****

KEEMPAT-EMPAT mereka menuju ke air terjun yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Ovid dan Liam berenang di air sungai yang bersih dan dingin itu sambil-sambil mencari ikan untuk bekalan makanan mereka hari ini.

Sementara itu, Allura dan Dulce pula mencari kayu api berhampiran mereka. Penuh satu beg rotan, mereka kembali ke arah air terjun. Ovid dan Liam masih menyelam dan timbul sekejap mencari udara. Kemudian menyelam semula.

Sesekali pusaran air yang terbentuk di dalam air itu menunjukkan Liam sedang berusaha menangkap ikan menggunakan kuasanya. Usahanya tidak pernah silap, kerana dia sudah terbiasa dengan kuasa itu.

Allura menjeling sekilas ke arah Dulce. Dia tahu Dulce sedang menahan rasa. Apakan daya, dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa.

“Adik tidak mahu mandi?” tanya Allura. Dulce segera geleng kepala.

“Sejuklah,” balasnya ringkas. Suara sedaya upaya diceriakan agar kakaknya itu tidak susah hati.

Kembali dua adik-beradik itu mendiamkan diri sambil melihat Ovid dan Liam yang masih menyelam di dasar sungai. Sesekali kuasa Liam terlepas hingga menyebabkan air sungai terpercik sampai ke arah Allura dan Dulce. Basah kuyup mereka akhirnya. Tidak terjun sungai pun, mereka sudah basah begini.

Terlepas juga jeritan kecil kerana terkejut dengan percikan air sungai yang dingin. Lalu tawa terburai antara mereka berdua.

Keriangan empat beradik itu dicemari dengan keriuhan yang datang secara tiba-tiba. Datangnya seperti dari tempat yang jauh suara-suara jeritan dan raungan hanya kedengaran sayup-sayup sahaja.

Lantas Allura memanggil Ovid dan Liam agar naik ke darat. Sebaik keduanya timbul, pendengaran mereka segara disapa dengan suara-suara tersebut. Cepat-cepat keduanya berenang ke tepi dan memakai pakaian masing-masing.

“Suara apa itu?” soal Liam bingung.

“Seperti ada kekacauan yang sedang berlaku di pekan hujung sana,” balas Allura resah.

“Ayuh, kita lihat apa yang berlaku. Lekas!” ajak Ovid dan sudah berlari di hadapan diikuti oleh Allura, Liam dan Dulce.

Semakin langkah mereka laju, semakin jelas dipendengaran mereka suara-suara jeritan tersebut. Datangnya dari arah pekan tempat mereka bekerja di rumah hantu.

“Ada orang jahat yang datang?” soal Dulce risau. Allura sekadar menggeleng tidak pasti.

Akhirnya mereka berempat tiba di pekan itu. Namun begitu, keadaan sudah senyap sunyi. Yang kelihatan cuma asap putih yang diterbangkan angin. Pekan yang malamnya itu pasti meriah serta-merta bertukar dengan keadaan kucar-kacir.

mayat bergelimpangan di atas tanah tidak kira lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Sama ada yang sudah tua atau dewasa. Semuanya terbaring tidak bernyawa. Darah memercik merata tempat tanda ada pertelingkahan yang berlaku sebelum mereka tiba di situ.

“Perbuatan siapakah ini?” soal Liam tidak berpuas hati. Perit betul hatinya melihat mayat-mayat tidak berdosa dibunuh tanpa belas kasihan. Nasib yang lain pula tidak pasti.

Tiba-tiba kedengaran sayup-sayup tangisan dari seorang kanak-kanak. Segera mereka berempat mencari arah suaran tangisan tersebut. Ovid menuju ke satu longgokan kayu seperti sengaja di letak begitu untuk menyembunyikan sesuatu.

Semakin dia hampir, semakin jelas suara tangisan tersebut. Sebaik sampai, suara itu jelas kedengaran. Ovid yakin, budak itu berada di sebalik kayu-kayu tersebut. Perlahan Ovid alihkan kayu-kayu itu sehingga menampakkan tubuh seorang kanak-kanak perempuan sedang duduk memeluk tubuhnya.

Pantas Dulce mendekat dan duduk menghadap budak kecil itu. Perasaan sedih segera menerpa ke hati melihat tubuh budak itu calar-balar. Pasti saja dia berusaha lari dari kekecohan tadi dan bersembunyi di sini sehingga kekacauan tadi berhenti.

Apabila Dulce cuba memegang bahunya, budak itu menjerit nyaring. Masih trauma dengan keadaan tadi.

“Jangan takut, kamu selamat,” pujuk Allura.
Budak itu memandang mereka satu persatu sambil teresak-esak menangis. Namun sudah tidak sekuat tadi. Melihat keempat-empat mereka melayaninya dengan baik, barulah dia berhenti menangis.

“Kamu tahu, siapa yang buat semua ini?” tanya Ovid hati-hati. Bimbang pula budak itu menangis lagi. Lalu budak itu menunjuk ke satu arah, menuju ke tengah hutan belantara.

Semua mereka memandang ke arah yang sama, sebelum kedengaran bunyi larian kuda yang banyak mula menghampiri pekan tersebut.

“Pasti tentera kerajaan yang datang. Ayuh, kita bersembunyi dulu!” arah Allura. Cepat-cepat semuanya mencari tempat persembunyian bersama budak tadi sebelum tentera kerajaan muncul di situ. Nanti tidak pasal-pasal pula mereka yang dituduh membuat kekacauan tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience