Bahagian 4

Fantasy Series 716

BAHAGIAN 4

SIKAP berdiam diri Dulce dari pagi tadi merisaukan Allura, namun tidak pula dia sampaikan pada Ovid dan Liam. Budak perempuan yang selamat itu dibiarkan merehatkan diri di dalam bilik Allura.
Lamunan Dulce terganggu apabila bahunya di sentuh Allura. Pantas dia cuba tersenyum.

“Kamu masih memikirkan hal mimpi kamu dan apa yang telah berlaku?” Allura memulakan perbualan. Wajah resah Dulce dipandang. Nafas berat terlepas dari kerongkongnya.

“Dulce tidak sedap hati dengan apa yang berlaku, kak. Seolah-olah ada perkara besar yang tidak elok bakal terjadi pada kita.” Luah Dulce akhirnya.

“Jangan terlalu dilayan mimpi itu, Dulce. Kamu juga sendiri lihat, budak itu masih hidup. Tidak sama dengan mimpi kamu langsung.” Pujuk Allura. Moga saja Dulce tidak berfikir yang bukan-bukan lagi.

“Tidak tahu, kenapa perasaan Dulce makin bertambah resah. Dingin malam ini juga lain semacam, kakak tidak perasankah?” soal Dulce lagi. Allura memandang sekeliling kawasan rumah mereka itu. Diterangi dengan samar-samar lampu obor yang dipasang keliling rumah mereka.

Dingin yang dikatakan Dulce mula terasa pada dirinya. Bicara adik bongsunya itu tidak main-main. Memang benar dingin malam ini berbeza benar dengan malam-malam sebelumnya.

“Dulce bimbang, penjahat-penjahat tadi datang malam ini menyerang kita.” Sambung Dulce.
Bunyi tapak kaki kuda berlari menuju ke kawasan rumah mereka kedengaran sayup-sayup.

Walaupun Dulce tidak memiliki kelebihan seperti adik-beradiknya yang lain, namun dia tetap memiliki pendengaran yang tajam seperti mereka.

Tidak lama kemudian, Ovid dan Liam keluar dari rumah itu dan menuju ke arah mereka berdua.

“Seolah-olah ada yang menghampiri kita dengan niat tidak baik.” Liam bersuara bimbang.

“Budak itu mana?” soal Allura kemudian.

“Di dalam, masih ketiduran.” Beritahu Liam. Terus Allura meluru masuk ke dalam dan mendukung budak kecil itu. Terpisat-pisat matanya kerana tidak mengerti. Mujur saja dia tidak menangis kerana tiba-tiba didukung tadi.

“Kita bukan lawan mereka. Ayuh bersembunyi dulu,” perintah Allura dan mereka sama-sama berlari ke hutan belakang rumah mereka. Lalu bersembunyi di semak-samun sambil menanti ketibaan orang-orang yang datang ke situ.

Tidak lama kemudian, muncul kelibat bersama kuda masing-masing. Jika melihat pada pakaian mereka, mereka pasti itu tentera kerajaan ini. Apa alasan mereka datang ke situ malam-malam begini.

Baru saja Ovid mahu berdiri, bahunya ditahan Dulce lalu dia menggeleng kepala.

“Kita tunggu dan lihat apa yang mereka mahu buat.” Bisik Dulce. Ovid mengangguk perlahan dan terus memfokuskan pandangannya ke hadapan semula.

“Tidak ada manusia di sini!” jerit salah seorang tentera yang baru keluar dari rumah mereka.

“Jadi, benarlah mereka yang punya angkara di pekan itu pagi ini?” tuduh seorang yang masih setia duduk di atas kudanya.

Sebaik mendengar tuduhan tersebut, keempat-empat mereka membeliakkan mata. Tidak semena-mena kejadian pagi tadi mereka yang dituduh. Ini sudah lebih. Sekali lagi Ovid mahu berdiri. Namun kali ini Allura yang menegahnya.

“Ini sudah melampau, Allura!” suara Ovid berdesis sakit hati. Allura gelengkan kepala.

“Tidak perlu bertindak terburu-buru. Bimbang keadaan makin parah.” Sua Allura. Dulce dan Liam mengangguk perlahan. Walaupun mereka sakit hati, namun mereka perlu bertindak sesuai dengan keadaan. Wajah resah budak perempuan dalam dukungan Allura, dipandang sayu oleh Dulce.

Kalau ikutkan hati Ovid tadi, mahu saja dia tiupkan angin puting beliung ke arah tentera berkuda yang menuduh mereka yang melakukan pembunuhan itu. Biar semua mati di situ.

“Apa yang perlu kita buat sekarang?” tanya Liam dengan suara perlahan.

“Tunggu sampai mereka pergi dari situ, selepas itu kita fikirkan langkah kita seterusnya.” Allura memberi cadangan dan mereka bertiga hanya mengangguk setuju.

Kerana tidak menjumpai apa yang mereka cari, akhirnya tentera berkuda itu meninggalkan kawasan tersebut.

Setelah yakin semuanya sudah pergi, perlahan-lahan empat beradik itu keluar dari tempat persembunyian mereka. Namun, mereka tidak menuju semula ke arah rumah mereka.

“Tempat ini sudah tidak selamat untuk kita duduki lagi. Mungkin selepas ini, akan muncul orang lain pula mencari kita atas fitnah yang telah dilemparkan.” Sua Allura tenang.

“Atas dasar apa kita dituduh melakukan pembunuhan tersebut?” Liam bertanya tidak puas hati.

“Pasti ada yang menyimpan dendam pada kita secara senyap-senyap.” Ovid mereka tekaan sendiri.

“Siapa?” tanya Liam kemudian. Ketiga-tiga mereka senyap tidak tahu memberikan jawapan pada persoalan tersebut.

“Pasti salah seorang dari kita ada membuat silap tanpa sedar. Jika tidak, mustahil perkara ini terjadi.” Jawapan Dulce membuatkan mereka saling berpandangan.

“Siapa yang pernah mempamerkan kuasa selain di hadapan kita berempat?” soal Allura tiba-tiba.

“Selama aku hidup, hanya pada kamu bertiga aku menunjukkan kuasa ini.” Balas Ovid laju.

“Aku juga.” Liam juga menjawab sama. Kini Allura yang menjadi perhatian mereka.

“Kuasaku hanya terpamir saat aku mahu memasak. Lebih dari itu, tidak pernah.” Allura mempertahankan dirinya.

“Mustahil aku pula, sedang aku tidak punya kuasa apa-apa.” Pastinya jawapan Dulce membuatkan mereka tidak mampu menuduh adik bongsu itu. Kerana sememangnya hanya Dulce yang tidak ada kuasa istimewa tersebut.

Budak yang berada didukungan Allura terkebil-kebil mendengar cerita mereka berempat. Satu ayatpun dia tidak mengerti apa yang sedang didebatkan oleh penyelamatnya itu.

“Adik, siapa nama kamu?” tiba-tiba Dulce mengalihkan tajuk perbualan pada budak perempuan tersebut. Budak itu diam tidak berkata-kata. Mungkin sedikit takut dengan pertanyaan Dulce yang sedikit tegas. Lantas Allura menyapu-nyapu bahunya agar tidak berasa hati.

“Boleh kakak tahu, siapa nama kamu? Senang kami hendak memanggil kamu nanti,” pujuk Allura penuh lemah lembut.

“Ofelia. Namaku Ofelia,” sebutnya satu-satu. Barulah Allura tersenyum senang. Nama itu cukup indah untuk disebut. Sepadan dengan wajahnya yang comel.

“Ofelia, nanti kalau kamu sudah bersedia. Ceritalahkan pada kami apa yang berlaku, boleh?” pinta Allura lembut. Lama Ofelia memandang Allura, kemudian Ovid, Liam dan Dulce yang menantikan jawapan.

Perlahan Ofelia menganggukkan kepala. Barulah mereka berempat mampu tersenyum lega.
Lalu mereka berlima meninggalkan rumah peninggalan ibu bapa mereka itu. Walaupun tidak rela, namun demi keselamatan semua mereka harus pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience