Series
5965
MALAM semakin larut. Akan tetapi, keheningan di Banglo Seri Iskandar terasa lebih menyesakkan daripada biasa. Orked Widuri berdiri di hadapan pintu bilik utama yang terletak di hujung sayap kanan tingkat atas. Pintu kayu jati yang gelap itu bagaikan pintu gerbang ke sebuah dunia yang dia sendiri tidak pasti ke mana pengakhirannya.
Jam di pergelangan tangannya menunjukkan pukul 9:55 malam. Ada lima minit lagi sebelum waktu yang ditetapkan oleh Tuan Arshad. Orked menarik nafas dalam-dalam cuba menenangkan getaran di dadanya yang seolah-olah mahu pecah. Dia sudah menukar pakaian pembantu rumahnya kepada baju kurung kapas berwarna biru lembut yang sudah sedikit pudar warnanya. Baju kurung itu adalah satu-satunya pakaian paling selesa dan sopan yang dia ada.
?Kau boleh lakukanya, Orked. Demi ibu,? bisiknya sendirian.
Dia teringat pesanan Mak Nab sebelum dia naik tadi. Mak Nab hanya mampu memandangnya dengan pandangan sayu tanpa berkata apa-apa. Di rumah ini, kata-kata Arshad Iskandar adalah undang-undang mutlak. Tiada siapa yang berani membantah. Malahan, nenda Arshad sendiri pun sering beralah dengan kedegilan cucu sulungnya itu.
Tepat pukul 10:00 malam, Orked mengetuk pintu. Dadanya yang sesak bertambah galau dengan detak jantung yang melaju.
Tok! Tok! Tok!
"Masuk."
Suara garau itu kedengaran dari dalam, pendek dan tegas. Orked memulas tombol pintu dengan tangan yang sejuk seperti ais. Sebaik sahaja pintu dibuka, dia disambut dengan kedinginan penghawa dingin yang menusuk hingga ke tulang. Bilik itu sangat luas. Saiznya mungkin tiga kali ganda saiz rumahnya di kampung. Pencahayaannya samar sahaja. Hanya lampu tidur dan lampu di meja kerja Arshad yang bernyala memberikan suasana yang suram namun sangat eksklusif.
Arshad Iskandar sedang berdiri di balkoni yang terbuka luas membelakangi Orked. Dia sudah menanggalkan kotnya dan hanya memakai kemeja hitam yang lengannya dilipat hingga ke siku. Dia kelihatan sedang menghisap cerut. Asapnya berkepul-kepul ditiup angin malam.
Orked menutup pintu perlahan dan berdiri tegak di tepi katil bersaiz king yang kemas rapi. Dia tidak berani melangkah lebih jauh.
"Datang sini."
Arshad tidak menoleh, namun suaranya yang autoritatif itu sudah cukup untuk membuatkan kaki Orked melangkah mendekat. Orked berhenti kira-kira dua meter di belakang lelaki itu.
"Tuan... saya dah sampai.? Suara Orked hampir tidak kedengaran.
Arshad memusingkan badannya. Cahaya bulan dari luar balkoni menyinari separuh wajahnya, menonjolkan rahangnya yang tajam dan renungan matanya yang redup namun berbahaya. Dia meletakkan cerutnya di atas bekas abu rokok di meja kecil lalu melangkah perlahan ke arah Orked.
Setiap langkah Arshad membuatkan Orked mahu berundur. Tetapi, dia memaksa dirinya untuk tetap kaku. Arshad berhenti tepat di hadapan jasad Orked. Begitu dekat sehingga Orked dapat menghidu campuran bau tembakau mahal, wangian sandalwood, dan sesuatu yang sangat maskulin.
"Pukul sepuluh tepat. Bagus. Aku benci orang yang tak menepati masa," ujar Arshad sambil matanya melirik ke arah tangan Orked yang masih dibalut dengan sapu tangannya tadi.
"Dah cuci luka tu?"
"Dah, tuan. Terima kasih sebab... sapu tangan ni."
Orked cuba menghulurkan sapu tangan yang sudah dicuci bersih itu. Arshad hanya memandang sepi kain itu.
"Buang saja. Aku tak pakai barang yang dah kena darah orang luar."
Hati Orked terasa seperti dicubit. Begitu sekali hinanya dia di mata lelaki ini. Dia perlahan-lahan menurunkan tangannya semula.
"Duduk," arah Arshad sambil memberi isyarat ke arah sofa kulit di sudut bilik.
Orked akur. Dia duduk di hujung sofa dengan penuh tertib manakala Arshad mengambil tempat di kerusi kerja yang bertentangan dengannya. Arshad menyandarkan badan, menyilangkan kaki longlai dan memandang Orked dengan pandangan yang penuh misteri.
"Kau tahu kenapa kau ada di sini, Orked Widuri?"
"Sebab... sebab saya kena bayar hutang pasu tu," jawab Orked tunduk memandang lantai. Tidak berani menatap sepasang mata yang tajam bak helang itu.
Arshad ketawa kecil. Ketawa yang kedengaran sinis di pendengaran Orked.
"Itu cuma asbab. Hakikatnya, aku perlukan seseorang yang boleh aku kawal sepenuhnya. Seseorang yang takkan banyak soal bila aku bagi arahan. Dan kau... kau adalah calon yang paling sempurna."
Orked memberanikan diri untuk mendongak. Ayat yang meluncur keluar dari bibir nipis lelaki itu kedengaran menakutkan sehingga romanya merinding.
"Apa yang tuan nak saya buat sebenarnya? Mak Nab cakap... tuan nak saya jadi pembantu rapat tuan. Tapi saya ni cuma pembantu rumah. Saya tak tahu apa-apa pasal dunia tuan."
"Kau tak perlu tahu pasal dunia perniagaan aku. Tugas kau mudah."
Arshad bangun dan berjalan ke arah sebuah laci meja. Dia mengeluarkan sekeping sampul surat besar dan mencampakkannya ke atas meja di depan Orked.
"Dalam tu ada kontrak. Baca."
Orked mencapai sampul itu dengan tangan yang menggigil. Dia mengeluarkan beberapa helai kertas yang ditaip kemas. Matanya terbeliak membaca setiap baris ayat yang tertera.
"Kontrak Perkhidmatan Pembantu Peribadi Khas?" Orked membaca tajuknya dengan nada tidak percaya.
"Syarat pertama?"
Arshad mula berjalan mengelilingi sofa yang diduduki Orked bagaikan seekor pemangsa yang sedang mengelilingi mangsanya.
"Kau akan tinggal di sayap atas ni. Di bilik sebelah bilik aku. Kau kena siap sedia 24 jam sehari. Kalau aku panggil pukul tiga pagi untuk buatkan kopi, kau kena ada."
Orked menelan liur. "Baik, tuan."
"Syarat kedua. Segala urusan peribadi aku termasuk pakaian, makanan, jadual harian? kau yang akan uruskan. Mak Nab takkan campur urusan aku lagi. Aku nak kau yang siapkan baju aku setiap pagi. Aku nak kau yang pastikan ubat aku ada atas meja."
Orked mengerutkan dahi.
"Ubat? Tuan sakit ke?"
Langkah Arshad terhenti. Dia memandang Orked dengan tajam.
"Jangan tanya soalan yang bukan urusan kau. Tugas kau cuma laksanakan arahan. Faham?"
"Faham, tuan. Maafkan saya."
"Syarat ketiga... dan yang paling penting."
Arshad berhenti di belakang Orked. Dia membongkok sedikit lalu merapatkan bibirnya ke telinga Orked.
"Kau tak dibenarkan ada hubungan dengan mana-mana lelaki. Baik di luar, mahupun di dalam rumah ni. Terutamanya pemandu aku atau pengawal keselamatan di depan tu. Kalau aku nampak kau bercakap dengan lelaki lain lebih daripada urusan kerja... aku akan pastikan bantuan kewangan untuk ibu kau di kampung dihentikan serta-merta."
Orked terasa nafasnya terhenti. Ini bukan sekadar bayar hutang; ini adalah perhambaan emosi.
"Tapi tuan... itu tak adil. Saya ada kawan, saya ada..."
"Adil?"
Arshad mencengkam bahu Orked sekaligus memaksa gadis itu memandangnya.
"Dunia ni tak pernah adil, Orked. Aku bagi kau duit yang cukup untuk selamatkan nyawa ibu kau. Aku bayar semua bil hospital dia. Sebagai galang gantinya, kau adalah milik aku. Hidup kau, masa kau, malahan nafas kau pun... aku yang punya."
Air mata Orked mula bergenang. Dia merasakan maruahnya dipijak-pijak. Apakan daya, dia tidak punya kuasa untuk melawan. Dia teringat wajah ibunya yang pucat lesi di atas katil hospital. Dia teringat betapa sukarnya mereka mencari sesuap nasi selama ini.
"Kenapa tuan buat saya macam ni? Apa salah saya pada tuan sampai tuan nak seksa hidup saya?" tanya Orked dalam esakan yang tertahan.
Arshad melepaskan cengkamannya. Dia berpaling, membelakangi Orked sekali lagi.
"Sebab aku benci melihat orang yang nampak suci macam kau. Kau nampak naif, Orked. Tapi aku tahu, semua orang ada harga. Dan hari ini aku dah beli harga kau."
Arshad melangkah ke arah katilnya. "Sekarang, keluar. Pergi ke bilik sebelah. Mak Nab dah letakkan barang-barang kau kat sana. Esok pagi pukul enam tepat, aku nak kopi hitam tanpa gula dan baju kemeja biru muda aku sudah siap digosok. Jangan lambat."
Orked bangun dengan longlai. Dia memeluk kontrak itu ke dadanya.
"Baik, tuan. Saya minta diri dulu."
Sebelum dia sempat memulas tombol pintu, suara Arshad sekali lagi kedengaran.
"Satu lagi, Orked."
Orked menoleh.
"Selamat datang ke 'neraka' kau. Jangan harap kau boleh keluar dari sini dengan mudah."
Orked tidak menjawab. Dia segera keluar dan menutup pintu dengan rapat. Dia bersandar pada pintu kayu itu. Jantungnya berdegup kencang. Dia memandang ke arah koridor yang gelap dan sunyi. Bilik di sebelahnya kini menjadi penjara barunya.
Dia masuk ke dalam bilik barunya. Ia jauh lebih mewah daripada bilik pembantunya di tingkat bawah. Bezanya ia terasa sangat dingin. Orked duduk di birai katil seraya memandang kontrak di tangannya. Dia tahu bermula malam ini, Orked Widuri yang ceria dan bebas sudah mati. Yang tinggal hanyalah seorang gadis yang terikat dengan rantaian emas seorang lelaki bernama Arshad Iskandar.
Di luar sana kilat menyambar di langit Kuala Lumpur dan menerangi bilik itu buat seketika. Orked merapatkan kakinya ke dada automatik memeluk lutut, dan menangis semahunya. Dia tertanya-tanya mampukah dia bertahan dalam situasi itu? Atau adakah dia akan hancur sebelum sempat membayar 'hutang' yang tidak masuk akal itu?
Tanpa dia sedari di sebalik dinding bilik itu, Arshad Iskandar juga sedang berdiri kaku. Dia memandang ke arah dinding yang memisahkan mereka. Tangannya digenggam erat. Ada satu perasaan aneh yang menjentik tangkai hatinya apabila melihat air mata Orked tadi. Tetapi ego dan dendam masa lalunya jauh lebih kuat melawan rasa aneh itu.
?Kau akan tahu betapa peritnya dikhianati, Orked. Dan aku akan pastikan kau takkan ada peluang untuk buat bahkan terfikir tentang perkara itu pada aku,? bisik Arshad perlahan sebelum mematikan lampu biliknya.
Bermula pada alam itu dua jiwa kini berada di bawah satu bumbung namun dipisahkan oleh jurang dendam dan darjat yang sangat dalam. Dan bagi Orked Widuri, ini hanyalah malam pertama dalam sebuah penantian yang panjang di masa akan datang.
Share this novel
ouhhh... mst arsyad ni pnh frust
nafas? hulihuhummm laen mciam
uih, xleh ada bf