Series
5965
BUNYI dentingan jam dinding antik di ruang tamu utama Banglo Seri Iskandar itu terasa bagaikan detak jantung Orked Widuri. Laju, tidak menentu dan sarat dengan kegelisahan yang sukar diungkapkan. Setiap kali jarum panjang berganjak, setiap kali itulah nafas Orked terasa semakin sesak. Di tangannya, sehelai kain mikrofiber digenggam erat sehingga buku jarinya memutih.
Sudah hampir enam bulan dia menghambakan diri di sini. Namun, setiap sudut banglo yang gah berdiri di atas bukit itu masih terasa asing bagi Orked. Baginya, Banglo Seri Iskandar bukan sekadar rumah mewah; ia adalah sebuah sangkar emas yang dipenuhi dengan peraturan yang menjerut leher. Lantai marmar yang berkilat itu bagaikan cermin yang memantulkan segala kedukaan yang cuba disembunyikan di sebalik wajah polosnya.
"Orked, termenung apa lagi tu? Cepat sikit lap pasu-pasu kat ruang tamu ni. Lepas tu, pastikan bilik bacaan Tuan Arshad bersih sebelum pukul lima petang. Dia tak suka habuk walau sedikit pun. Kalau dia nampak, masak kita semua," suara garau Mak Nab, ketua pembantu rumah di situ mematikan lamunan Orked.
Orked tersentak. Semerta dia menundukkan kepala tanda akur.
"Baik, Mak Nab. Orked buat sekarang. Maaf, Orked cuma... teringatkan ibu kat kampung."
Mak Nab mengeluh kecil. Dia tahu beban yang dipikul gadis muda di depannya ini. Di usia awal 20-an, ketika gadis lain sibuk menghabiskan masa di menara gading atau bersiar-siar dengan rakan sebaya, Orked Widuri terpaksa membanting tulang demi sesuap nasi untuk menanggung kos rawatan dialisis ibunya yang semakin meningkat saban bulan.
"Sabar ya, Orked. Kerja baik-baik. Tuan Arshad tu memang garang bak singa. Tapi kalau kita ikut arahan dia, insya-Allah semuanya okey. Cuma satu saja pesanan aku... jangan sesekali sentuh barang peribadi dia kalau tak disuruh. Terutamanya dalam bilik bacaan tu," pesan Mak Nab lagi sebelum berlenggang ke dapur.
Orked menarik nafas panjang. Bilik bacaan Tuan Arshad. Kawasan paling 'berhantu' dalam rumah ini. Bukan berhantu dengan makhluk halus, tetapi berhantu dengan aura pemiliknya yang mampu membuatkan sesiapa sahaja menggigil tanpa sebab.
Dengan langkah yang berat, Orked mendaki anak tangga menuju ke tingkat dua. Kakinya tenggelam ke dalam permaidani tebal yang menghiasi koridor. Pintu kayu jati berukir indah itu dipandang lama sebelum dia memberanikan diri menolaknya perlahan.
Kriekk?
Bau wangian sandalwood dan maskulin terus menyerbu rongga hidung. Bau yang sangat melambangkan Arshad Iskandar; mewah, dingin dan mengintimidasi. Ruang itu luas dipenuhi dengan ribuan buku yang tersusun rapi mengikut warna dan saiz. Di tengah-tengahnya berdiri sebuah meja kerja besar daripada kayu mahogani gelap.
Orked mula melakukan tugasnya selepas melepaskan rasa kagum dengan apa yang dia lihat. Dia mengelap satu persatu bingkai gambar, rak buku dan hiasan dinding dengan penuh ketelitian. Setiap pergerakannya dibuat dengan penuh berhati-hati seolah-olah dia sedang berjalan di atas lapisan kaca yang nipis.
Matanya kemudian tertancap pada sebuah pasu seramik biru firus yang terletak di sudut meja kerja Arshad. Pasu itu tidaklah terlalu besar, tetapi rekaannya sangat unik dengan motif tradisional yang nampak sangat mahal. Orked teringat kata-kata Mak Nab; itu adalah barang peninggalan arwah bonda Tuan Arshad yang dibawa khas dari luar negara. Nilai sentimentalnya tidak dapat diukur dengan wang ringgit.
"Lap sikit saja..." bisik Orked pada diri sendiri.
Dia mula mencapai bahagian atas rak buku yang sedikit tinggi iaitu betul-betul di belakang meja kerja tersebut. Kerana badannya yang agak kecil, dia terpaksa menjinjitkan kaki. Sedang dia berusaha mencapai habuk di sudut atas, kakinya tersilap langkah lalu hilang imbangan.
Buk!
Sikunya terpukul kuat pada bucu meja. Goncangan itu menyebabkan pasu seramik biru firus itu bergoyang sebelum meluncur jatuh ke lantai marmar yang keras.
Prakkk!
Bunyi seramik pecah itu bergema di seluruh bilik. Semestinya bagi Orked bunyi itu kedengaran seperti satu hukuman mati buatnya. Dunia seolah-olah terhenti berputar seketika. Dia terpaku serentak matanya terbeliak memandang serpihan pasu yang kini bertebaran di atas lantai.
"Ya Allah... apa aku dah buat?"
Orked jatuh terduduk. Tangannya yang menggigil hebat cuba mengutip serpihan itu seolah-olah dengan berbuat begitu pasu itu akan kembali sempurna. Air mata mula mengalir deras membasahi pipinya. Dia tahu dia sudah menggali lubang kuburnya sendiri.
"Siapa benarkan kau sentuh barang atas meja aku?"
Satu suara garau, dalam dan dingin menyapa dari arah pintu yang terbuka luas. Orked tersentak hebat sehingga jarinya terhiris oleh serpihan tajam pasu tersebut. Darah merah mula menitis, namun dia tidak peduli.
Arshad Iskandar berdiri di sana. Kemeja putihnya yang mahal tersarung kemas tanpa sedikit pun kedutan. Wajahnya yang kacak namun beku itu memandang ke arah lantai kemudian beralih tepat ke arah mata Orked. Renungannya tajam, seolah-olah mahu menembusi terus ke dalam jiwa gadis itu.
Arshad melangkah masuk. Setiap derapan langkah kasut kulitnya di atas lantai marmar terasa seperti paluan gendang perang. Dia berhenti tepat di depan Orked yang masih melutut.
"Tuan... saya... saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya tengah lap rak tadi, lepas tu..." Suara Orked tenggelam dalam esakan.
Arshad tidak membalas. Dia hanya memerhatikan serpihan pasu itu dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Amarah? Kecewa? Atau sesuatu yang lebih sebal dari itu?
"Kau tahu tak, pasu ni tak ada galang gantinya di dunia ni?" Arshad akhirnya bersuara. Nadanya rendah tetapi bergetar dengan amarah yang tertahan.
"Saya tahu, tuan. Saya akan ganti. Saya akan kerja lebih kuat. Saya... saya akan bayar balik harganya," rayu Orked seraya mendongak memandang wajah lelaki yang kini membayanginya dengan ketinggian 189 cm itu.
Arshad mencangkung. Dia merapatkan wajahnya ke wajah Orked sehingga Orked dapat menghidu bau nafas lelaki itu yang berbau mint. Jari jemari Arshad yang panjang dan kasar tiba-tiba mencengkam dagu Orked sekaligus memaksa gadis itu memandangnya tepat di mata.
"Ganti? Dengan apa, Orked Widuri?" Arshad tersenyum sinis; sejenis senyuman yang tidak sampai ke mata.
"Gaji kau setahun pun tak cukup nak beli sekerat daripada pasu ni. Kau nak ganti dengan apa? Nyawa kau? Atau maruah kau?"
Orked kelu. Cengkamannya pada dagu tidaklah menyakitkan, tetapi ia sangat menghina.
"Saya... saya cuma ada tenaga saya, tuan. Tolonglah, jangan pecat saya. Ibu saya sakit..."
"Aku tak perlukan tenaga kau sebagai pembantu rumah lagi. Sebab kau dah buktikan kau pembantu yang gagal," Arshad melepaskan dagu Orked dengan kasar menyebabkan kepala gadis itu tertoleh ke tepi.
Arshad bangun semula dan menyeluk saku seluarnya sambil memandang ke luar jendela besar yang menampakkan pemandangan bandar Kuala Lumpur yang sedang dihujani renyai.
"Aku takkan pecat kau. Tapi mulai saat ini, kau bukan lagi pembantu rumah di bawah arahan Mak Nab.?
Arshad berpusing semula lalu matanya kembali mengunci pandangan Orked yang masih lencun dengan air mata.
"Habis tu... saya kena buat apa, tuan?" tanya Orked dalam ketakutan.
Arshad melangkah mendekati Orked sekali lagi, membongkok sedikit sehingga bibirnya berada betul-betul di tepi telinga Orked.
"Hutang pasu ni... dibayar dengan cara lain. Kau akan jadi bayangan aku. Di mana aku ada, di situ kau kena ada. Kau akan layan setiap keperluan aku, siang dan malam. Kau adalah milik peribadi Arshad Iskandar sehingga aku rasa hutang kau dah lunas."
Orked tersentak. Jantungnya bagaikan mahu luruh ke perut. Kata-kata Arshad berbaur ugutan dan hukuman.
"Tuan... maksud tuan..."
"Maksud aku... kau adalah hamba kepada ego aku, Orked Widuri. Jangan harap kau boleh melangkah keluar dari rumah ni selagi aku tak izinkan. Kau nak duit untuk ibu kau, kan? Aku akan bagi. Tapi harganya... adalah kebebasan diri kau."
Arshad menarik sehelai sapu tangan dari sakunya dan mencampakkannya ke atas riba Orked.
"Lap darah kat tangan kau tu. Aku tak suka tengok darah kau kotorkan lantai aku. Malam ni, aku nak kau ada kat bilik aku pukul sepuluh tepat. Jangan lambat walau sesaat atau kau akan tahu apa nasib ibu kau di kampung."
Tanpa menanti balasan, Arshad berpaling dan melangkah keluar dengan penuh gaya meninggalkan Orked yang masih terduduk layu di tengah-tengah serpihan seramik yang berkecai.
Di luar, guruh mula berdentum kuat, seolah-olah menandakan bahawa ribut dalam hidup Orked Widuri baru sahaja bermula. Dia memandang sapu tangan putih di ribanya yang kini mula bertukar merah. Dia tahu, dia bukan lagi Orked yang bebas. Dia kini adalah tawanan di dalam sebuah mahligai yang pemiliknya tidak pernah mengenal erti belas kasihan.
Orked masih terpaku di atas lantai marmar yang sejuk itu. Matanya yang merah menatap kosong ke arah pintu yang baru sahaja ditutup rapat oleh Arshad Iskandar. Kata-kata lelaki itu; ?Harganya adalah kebebasan kau? bergaung dalam kepalanya, lantas memicu satu ingatan pahit yang cuba dia tanam jauh-jauh dalam sudut hati.
Tiga bulan yang lalu?
SUASANA di Kampung Parit Melati tidak seindah selalu. Bau tanah basah selepas hujan lebat biasanya menenangkan, tetapi hari itu ia hanya membawa sebuah khabar duka. Orked duduk di tangga rumah kayu usangnya dan memegang sekeping bil hospital yang sudah pun lencun terkena titisan air matanya.
"Orked... jangan susah hati, nak. Kalau tak ada duit, ibu tak payahlah pergi cuci darah tu lagi. Ibu dah tua, Orked. Ibu dah tak larat nak tengok kau menderita sebab ibu," suara lemah Ibu Kalsom kedengaran dari dalam bilik.
Orked segera menyapu air matanya. Dia bingkas bangun dan masuk ke dalam mendapatkan ibunya yang sedang terbaring lesu. Wajah yang dulunya ceria kini cengkung dan pucat.
"Apa ibu cakap ni? Selagi Orked bernafas, Orked akan cari jalan. Ibu kena sihat. Kita cuma ada sesama sendiri saja, bu," balas Orked sambil mengusap tangan ibunya yang kasar dan berkedut.
"Tapi dari mana kau nak cari lima ribu ringgit sebulan, Orked? Tanah kita dah habis kita gadai. Pak Long kau pun dah tak mahu tolong..."
Orked terdiam. Kata-kata ibunya ada benarnya. Dia hanyalah seorang graduan lepasan diploma yang belum sempat mendapat pekerjaan tetap. Namun, takdir seolah-olah mendengar rintihannya apabila seorang kenalan lama arwah ayahnya memaklumkan tentang kekosongan jawatan pembantu rumah di Kuala Lumpur.
"Gajinya besar, Orked. Cukup untuk bayar bil hospital ibu kau setiap bulan. Tapi... kerjanya di rumah orang kaya yang sangat cerewet. Kau sanggup?"
Orked tidak berfikir panjang. Baginya, maruah dan penat lelah tidak setanding dengan nyawa ibunya. Dia masih ingat saat dia melangkah keluar dari halaman rumah, membawa sebuah beg pakaian usang dan tekad yang membara. Dia berjanji pada dirinya sendiri untuk menjadi 'halimunan' di banglo itu; hanya bekerja, mengumpul duit dan seterusnya pulang ke kampung.
Namun, dia tidak pernah menyangka bahawa 'perangkap' itu bukan terletak pada beratnya kerja rumah. Sebaliknya pada susuk tubuh seorang lelaki bernama Arshad Iskandar.
Orked tersedar daripada lamunan apabila jarinya yang terhiris tadi mula berdenyut pedih. Darah sudah mula mengering di atas sapu tangan putih milik Arshad. Dia perlahan-lahan mengumpul sisa kudrat untuk bangun. Setiap serpihan pasu itu dikutip satu persatu dengan penuh rasa hiba. Setiap serpihan itu seolah-olah mewakili hatinya yang kini hancur berkecai.
Dia melangkah keluar dari bilik bacaan itu dengan langkah yang longlai. Di koridor, dia terserempak dengan Mak Nab yang sedang membawa dulang minuman.
"Astaghfirullah, Orked! Kenapa dengan tangan kau ni? Muka kau kenapa pucat sangat?" Mak Nab meletakkan dulang ke atas meja konsol dan meluru ke arah Orked.
Orked hanya mampu menggeleng lemah. Bibirnya terkunci rapat. Dia tidak sanggup memberitahu Mak Nab tentang perjanjian 'syaitan' yang baru sahaja termeterai antara dia dan Tuan Arshad.
"Pasu biru tu... Orked pecahkan, Mak Nab," bisik Orked perlahan.
Wajah Mak Nab berubah serta-merta. Dia menutup mulut dengan tangan. Matanya terbeliak ketakutan.
"Pasu tu? Ya Allah, Orked... itu barang kesayangan arwah bonda Tuan Arshad. Habislah kau... Tuan Arshad kata apa? Dia pecat kau ke?"
Orked memandang Mak Nab dengan pandangan yang kosong.
"Tak... dia tak pecat Orked. Tapi dia nak Orked... jadi bayangan dia."
Mak Nab terdiam. Dia memandang Orked dengan simpati yang amat mendalam. Sebagai orang lama di rumah itu, dia tahu benar apa maksud 'bayangan' bagi seorang lelaki seperti Arshad Iskandar. Arshad tidak pernah melepaskan mangsanya dengan mudah. Dia akan memburu, mengawal dan memiliki sehingga mangsanya tidak punya apa-apa lagi untuk diberikan.
"Sabar, Orked. Banyakkan berdoa. Tuan Arshad tu... dia sebenarnya terluka. Sejak bonda dia meninggal, dia jadi macam tu. Tapi kau kena kuat," pesan Mak Nab sayu.
Orked hanya mengangguk kecil sebelum berlalu pergi menuju ke biliknya di tingkat bawah.
Masuk sahaja ke dalam bilik yang sempit itu, Orked terus merebahkan diri di atas katil. Dia memandang siling menghitung waktu yang berbaki sebelum pukul sepuluh malam. Setiap saat yang berlalu terasa seperti detik bom jangka yang menunggu masa untuk meledak.
"Ibu... maafkan Orked. Orked terpaksa jual kebebasan Orked demi ibu," rintihnya dalam hati.
Dia tahu, malam ini akan menjadi permulaan kepada sebuah kisah yang dia sendiri tidak pasti pengakhirannya. Di sebalik kemewahan Banglo Seri Iskandar, ada sebuah rahsia gelap yang bakal menyelubungi hidupnya sebagai milik mutlak Tuan Arshad Iskandar.
Orked bangkit semula menuju ke cermin kecil di sudut bilik. Dia melihat pantulan dirinya. Dia menarik nafas panjang lalu menyapu sisa air mata dan mula bersiap.
Pukul sepuluh malam. Masa untuk dia menyerahkan dirinya kepada 'neraka' yang dicipta oleh Tuan Arshad.
Share this novel