Series
5965
CAHAYA matahari pagi yang menyusup masuk melalui celah langsir sutera berwarna champagne di bilik barunya mengejutkan Orked Widuri daripada lena yang tidak seberapa. Dia tersentak lantas matanya terus tertuju ke arah jam loceng di atas meja sisi.
"5:45 pagi!"
Orked melompat turun dari katil. Jantungnya berdegup kencang. Dia hanya punya masa 15 minit sebelum waktu yang ditetapkan oleh Arshad Iskandar. Dia tidak mahu memberi sebarang alasan untuk lelaki itu melepaskan amarahnya lagi. Apatah lagi jika ia melibatkan keselamatan bantuan perubatan ibunya.
Selepas membersihkan diri secara ringkas dan menyarung baju kurung kegemarannya Orked bergegas keluar. Keadaan di sayap atas banglo itu masih sunyi sepi. Dia menuju ke pantry kecil yang dikhaskan untuk kegunaan peribadi Tuan Arshad di tingkat atas.
Dengan tangan yang masih sedikit terketar, Orked menyediakan kopi hitam. Dia teringat pesanan Arshad; kopi hitam tanpa gula. Bau kopi yang pekat dan pahit mula memenuhi ruang dapur kecil itu. Selesai dengan kopi dia beralih pula ke bilik persalinan Arshad yang terletak bersebelahan bilik tidur lelaki itu.
Pintu bilik tidur Arshad terbuka sedikit. Orked menolak perlahan. Suasana di dalam masih malap. Dia dapat melihat susuk tubuh Arshad yang masih terbaring di atas katil luas itu yang hanya ditutupi selimut tebal. Orked menelan saliva yang berkumpul di kerongkong. Tanpa membuang masa Orked melangkah berjinjit-jinjit menuju ke almari pakaian yang sebesar sebuah bilik.
Dia mencari kemeja biru muda seperti yang diarahkan. Selepas menemuinya Orked segera menggosok kemeja itu dengan penuh teliti. Setiap garisan dan lipatan dipastikan sempurna. Hati Orked berbisik, dia bukan lagi sekadar pembantu; dia kini umpama hamba peribadi atau hamba tahanan.
"Mana kopi aku?"
Satu suara serak basah menyapa dari belakang membuatkan Orked hampir terlepas seterika di tangannya. Gadis itu berpaling dan melihat Arshad sudah berdiri di muka pintu bilik persalinan. Lelaki itu hanya memakai seluar trek hitam tanpa baju menampakkan dada bidangnya yang tegap dan perut yang berotot pejal.
Orked segera menundukkan pandangan. Pipinya terasa membahang.
"Ad... ada di pantry, tuan. Saya bawa sekarang."
Arshad tidak berganjak. Dia memerhati Orked dari atas ke bawah dengan pandangan yang sukar dibaca.
"Bawa ke sini. Aku nak minum sambil kau siapkan barang aku."
Orked mengangguk laju dan keluar dari situ. Apabila dia kembali dengan secawan kopi panas, Arshad sudah duduk di kerusi santai di balkoni biliknya. Orked meletakkan kopi itu di atas meja kecil di sebelah Arshad.
Arshad menghirup kopi itu perlahan. Matanya masih tertuju pada pemandangan pagi di luar walaupun fikirannya jelas tertuju pada gadis di hadapannya.
"Dah siap gosok baju aku?"
"Dah, tuan. Kemeja biru muda dan seluar kelabu gelap. Saya dah gantung dalam bilik air sekali dengan tuala," lapor Orked dengan suara yang dikawal sebaik mungkin.
Arshad meletakkan cawan kopi yang masih berbaki separuh.
"Bagus. Hari ini aku ada tetamu penting untuk makan tengah hari di sini. Aku nak kau yang hidangkan makanan. Jangan biarkan Mak Nab atau sesiapapun yang masuk ke ruang makan utama."
Orked mengerutkan dahi. "Tapi tuan, selalunya Mak Nab yang uruskan tetamu..."
Arshad bangkit dan melangkah mendekati Orked. Dia berhenti tepat di depan gadis itu sehingga Orked terpaksa mendongak. Arshad meletakkan sebelah tangannya pada dinding di belakang Orked sekaligus mengurung gadis itu dalam ruang peribadinya.
"Aku dah cakap semalam, kan? Kau adalah bayangan aku. Apa yang tetamu aku nampak, aku nak mereka nampak kau sebagai 'orang kepercayaan' aku. Faham?" Arshad merendahkan suaranya memberikan satu tekanan yang halus namun intens.
"Faham, tuan."
"Satu lagi. Pakai baju yang lebih elok sikit. Aku tak nak tetamu aku fikir aku ambil pembantu rumah dari zaman purba. Ada kotak di atas katil kau. Pakai baju dalam tu untuk tengah hari ni."
Orked hanya mampu mengangguk. Dia berasa seperti sebuah patung yang sedang didandani mengikut kehendak pemiliknya.
Tengah hari itu Orked membuka kotak yang dimaksudkan oleh Arshad. Di dalamnya terdapat sepasang baju kurung moden daripada kain sutera berwarna emerald green yang sangat cantik dan nampak mahal. Apabila dia menyarungnya baju itu terletak sempurna pada tubuhnya yang ramping.
?Kenapa Tuan Arshad buat semua ni?? bisik Orked pada cermin.
Dia turun ke ruang makan utama. Meja makan sudah dihias indah oleh Mak Nab sebelum wanita itu dihalau ke dapur belakang oleh Arshad. Tidak lama kemudian bunyi loceng kedengaran.
Seorang lelaki pertengahan umur yang nampak berwibawa masuk bersama seorang wanita muda yang berpakaian sangat menjolok mata. Wanita itu yang diperkenalkan sebagai Camelia terus meluru ke arah Arshad dan memeluk lengan lelaki itu dengan mesra.
"Arshad! I miss you so much! Lama sangat you tak call I," suara Camelia yang manja itu membuatkan Orked berasa sedikit kurang selesa.
Arshad hanya tersenyum tipis. Matanya sempat melirik ke arah Orked yang berdiri kaku di sudut ruang makan.
"Sibuk sikit, Mel. By the way, ini Orked. Dia yang akan uruskan kita hari ini."
Camelia memandang Orked dengan pandangan atas bawah yang berbaur penghinaan.
"Oh, pembantu baru? Cantik juga. Mana you kutip ni, Arshad?"
Arshad tidak menjawab soalan itu. Dia hanya memberi isyarat kepada Orked untuk mula menghidangkan makanan. Sepanjang sesi makan tengah hari itu, Orked terpaksa menahan sabar. Camelia sengaja menjatuhkan sudu, meminta air yang tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas serta pelbagai permintaan yang tidak masuk akal semata-mata mahu membuli Orked di depan Arshad.
"Eh, pembantu! I minta air suam. Kenapa ni panas sangat? You nak lecurkan lidah I ke?" Camelia menjerit kecil sengaja mahu menarik perhatian.
Orked segera menghampiri gadis bongkak yang menjengkelkan. Namun ditahan saja rasa itu demi menjaga air muka Arshad.
"Maafkan saya, cik. Saya ambilkan yang baru."
Namun, ketika Orked mahu mengambil gelas itu, Camelia sengaja menyenggol tangan Orked sehingga air itu tertumpah ke atas baju kurung sutera yang dipakai Orked.
"Ops! I'm so sorry. Tangan I licin pulak."
Camelia ketawa kecil langsung tidak menampakkan sedikitpun rasa bersalah. Orked terpaku. Baju sutera yang mahal itu kini basah lencun. Dia memandang ke arah Arshad mengharapkan lelaki itu akan membela atau sekurang-kurangnya menegur tetamunya. Malangnya Arshad hanya membatu dan sebaliknya menghirup minumannya seolah-olah tiada apa yang berlaku.
"Pergi tukar baju kau. Kau dah nampak macam pengemis dengan baju basah tu," ujar Arshad dingin tanpa memandang ke arah Orked.
Hati Orked bagaikan disayat sembilu. Dia segera berlari ke dapur belakang dengan air mata yang sudah mula bertakung. Di dapur itu Mak Nab segera mendapatkan Orked.
"Sabar, Orked. Mak Nab nampak tadi. Cik Camelia tu memang macam tu kalau dengan perempuan yang dekat dengan Tuan Arshad," pujuk Mak Nab.
"Orked tak kisah pasal baju ni, Mak Nab. Tapi kenapa Tuan Arshad diam saja? Dia yang suruh Orked pakai baju ni. Dia juga yang suruh Orked layan mereka... tapi bila Orked dihina? dia buat tak tahu," rintih Orked.
Orked membersihkan dirinya dan menukar semula kepada baju kurung kapas usangnya. Dia kembali ke ruang tamu untuk mengemas. Sementelah, tetamu Arshad sudahpun pulang. Arshad sedang berdiri di ruang tamu sambil memegang segelas minuman keras.
"Kenapa pakai baju buruk tu balik?" tanya Arshad sebaik sahaja melihat Orked.
"Baju tadi dah kotor, tuan. Lagipun, saya memang pembantu. Tak layak pakai baju mahal-mahal," balas Orked dengan nada yang sedikit berani tanda protes terhadap layanan Arshad tadi.
Arshad meletakkan gelasnya dengan kasar ke atas meja. Dia melangkah laju ke arah Orked dan mencengkam kedua-dua bahu gadis itu memaksa Orked bersandar ke dinding.
"Kau marah aku sebab aku tak bela kau depan Camelia tadi?" Arshad menyoal dengan nada yang rendah namun tajam.
"Tuan rasa saya patut rasa apa? Tuan jadikan saya macam hamba. Tuan biarkan orang hina saya..."
"Sebab aku nak kau sedar satu perkara, Orked Widuri."
Arshad memotong kata-katanya. Dia merapatkan wajahnya sehingga hidung mereka hampir bersentuhan.
"Di dunia luar sana kau tak ada sesiapa. Kau tak ada nilai. Hanya aku yang boleh bagi kau perlindungan. Hanya aku yang boleh bagi kau apa yang kau perlukan."
"Tapi perlindungan tuan ni menyeksakan!" luah Orked dengan nada mendatar namun punya ketegasannya tersendiri.
"Sekurang-kurangnya kau selamat di bawah aku," bisik Arshad.
Lelaki itu tiba-tiba melepaskan cengkamannya dan menyeluk saku seluar seraya mengeluarkan satu kotak kecil dan mencampakkannya kepada Orked.
"Apa ni?" soal Orked kehairanan.
"Krim untuk lecur. Aku nampak tangan kau terkena air panas tadi. Pakai. Aku tak nak hamba aku nampak cacat bila bekerja."
Arshad berpaling dan terus naik ke tingkat atas tanpa menoleh lagi. Orked memandang kotak krim di tangannya. Hatinya keliru. Arshad Iskandar adalah seorang lelaki yang sukar diprediksi. Dia yang menyakiti dan dia jugalah yang seolah-olah peduli.
Orked menyapu krim itu pada kulit tangannya yang mula bertukar kemerah-merahan. Pedihnya tidak seberapa berbanding pedih di dalam hatinya. Dia sedar hidupnya kini bagaikan satu permainan catur bagi Arshad. Dia adalah bidak yang boleh digerakkan, dikorbankan atau disimpan. Semuanya mengikut kemahuan sang raja yang berhati batu itu.
Malam itu Orked kembali ke biliknya. Dia memandang ke arah balkoni yang menghubungkan biliknya dengan bilik Arshad. Dia tahu dan sedar esok akan ada lagi ujian yang lebih berat. Hakikatnya, di sebalik rasa benci yang mula membuak ada satu rasa ingin tahu yang kecil tentang apa yang sebenarnya tersembunyi di sebalik topeng dingin Arshad Iskandar.
Share this novel