MMD#04

Romance Series 5965

MALAM semakin menjauhkan diri daripada siang serta membawa bersamanya kedinginan yang menusuk sehingga ke sum-sum tulang. Hujan yang turun dengan lebat di luar Banglo Seri Iskandar seolah-olah irama duka yang tidak berpenghujung. Kilat sesekali menyambar dan menerangi bilik Orked Widuri buat seketika sebelum kegelapan kembali menguasai.

Orked berbaring kaku di atas katilnya yang empuk. Malangnya matanya tetap segar memandang siling. Fikirannya berserabut. Bayangan wajah bengis Arshad siang tadi, kata-kata nista Camelia dan rasa pedih di tangannya yang terkena air panas semuanya bercampur baur menjadi satu rasa yang menyesakkan dada.

?Kenapa hidup aku jadi macam ni?? bisiknya sendirian.

Dia memandang ke arah dinding yang memisahkan biliknya dengan bilik Arshad Iskandar. Lelaki itu adalah misteri yang paling ngeri pernah dia temui. Sekejap Arshad bertindak seperti seorang diktator yang tidak punya hati nurani. Sekejap lagi pula dia seolah-olah peduli dengan memberi krim lecur itu. Adakah itu hanya cara Arshad untuk memastikan 'hambanya' terus boleh bekerja atau adakah masih ada sisa kemanusiaan di dalam hati yang keras itu?

Tiba-tiba, telinga Orked menangkap satu bunyi yang ganjil dari sebalik dinding. Ternyata bukan bunyi guruh. Ia kedengaran seperti bunyi benda berat yang jatuh terhempas ke lantai disusuli dengan suara erangan yang sangat perlahan seolah-olah seseorang sedang bergelut dengan sakaratul maut. Jantung Orked berdegup kencang. Bunyi aneh itu datangnya dari bilik sebelah iaitu bilik Arshad.

Tanpa berfikir panjang Orked bingkas bangun. Perasaan takut kepada Arshad hilang sekelip mata digantikan dengan rasa bimbang yang luar biasa. Dia menyarung tudung sarung hitamnya dengan pantas dan berlari keluar dari bilik. Keadaan koridor yang gelap hanya diterangi lampu dinding yang malap.

Dia berdiri di hadapan pintu bilik utama itu. Tangannya teragak-agak mahu mengetuk. Bagaimana kalau Arshad hanya terjatuh kerana mabuk? Bagaimana pula kalau kehadirannya hanya akan menambah kemarahan lelaki itu?

"Tuan? Tuan Arshad okey ke?" panggil Orked. Suaranya sedikit gementar.

Tiada sebarang jawapan Orked terima. Hanya bunyi nafas yang tercungap-cungap kedengaran seperti seseorang yang kelemasan di daratan. Orked tidak membuang masa lagi. Dia memulas tombol pintu yang tidak berkunci. Sebaik sahaja pintu dibuka, bau haruman sandalwood yang biasanya mewah kini terasa menyesakkan bercampur dengan bau peluh yang dingin. Cahaya lampu jalan dari luar balkoni yang samar-samar menampakkan susuk tubuh tegap Arshad Iskandar yang sudah tersungkur di atas lantai marmar bersebelahan dengan katil king miliknya.

"Tuan Arshad!" Orked meluru ke arah lelaki itu tanpa berfikir apa-apa lagi.

Apabila dia menghampiri jasad Arshad barulah dia nampak betapa parahnya keadaan lelaki itu. Wajah kacak itu kini berubah pucat seperti mayat. Peluh jantan membasahi dahi sehingga rambutnya melekat pada kulit. Tangan Arshad mencengkam kuat pada bahagian dadanya seolah-olah dia sedang cuba menarik keluar sesuatu yang sedang menghimpit jantungnya.

"Jangan... jangan sentuh aku...."

Arshad bersuara garau serta tersekat-sekat di kerongkong. Walaupun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan egonya tetap cuba berdiri tegak.

"Tuan sakit! Saya kena panggil Mak Nab atau ambulans!"

Orked sudah hampir menangis melihat keadaan Arshad. Dia cuba memegang bahu Arshad untuk membantunya duduk namun Arshad menepisnya dengan sisa tenaga yang ada walaupun akhirnya dia sendiri kembali tersandar pada birai katil dengan wajah yang menahan perit.

"Tak payah... ubat... laci... laci atas..." Arshad menunjuk ke arah meja sisi dengan jari yang menggigil hebat.

Orked segera bangkit. Dia menyelongkar laci tersebut dengan terburu-buru sehingga beberapa keping dokumen terbang ke lantai. Dia menemui sebuah botol ubat kecil tanpa label. Dengan tangan yang lebih menggigil daripada Arshad, Orked mengeluarkan sebiji pil kecil. Dia kemudian mencapai gelas air di atas meja yang sudah hampir kosong.

"Tuan, makan ni. Tolonglah, tuan... buka mulut," rayu Orked. Dia melutut di sebelah Arshad dan menyuakan pil itu.

Kali ini Arshad tidak melawan. Dia menelan pil tersebut dengan bantuan air yang diberikan Orked. Orked tidak berganjak. Dia membiarkan kepala Arshad bersandar pada bahunya yang kecil. Dia dapat merasakan betapa panasnya suhu badan Arshad berbeza dengan tangannya yang sesejuk ais.

"Tarik nafas, tuan. Ikut saya... tarik perlahan-lahan... hembus..."

Orked membisikkan kata-kata semangat persis seorang ibu yang menenangkan anaknya yang sedang dalam ketakutan. Beberapa minit yang terasa seperti berjam-jam berlalu dalam keheningan yang menyesakkan. Perlahan-lahan, nafas Arshad mulai stabil. Cengkaman pada dadanya mengendur dan warna kulitnya mula kembali sedikit merah. Matanya yang tadi terbeliak menahan sakit kini terpejam rapat.

"Terima kasih..." bisik Arshad dengan sangat perlahan.

Orked melepaskan satu keluhan lega yang amat panjang. Air mata yang ditahannya tadi akhirnya tumpah juga.

"Tuan buat saya takut. Kenapa tuan tak beritahu saya tuan sakit? Tuan kata saya ni pembantu peribadi tuan, saya kena jaga semua keperluan tuan."

Arshad membuka matanya sedikit. Dia memandang wajah Orked yang lencun dengan air mata. Hati Arshad sedikit tersentuh. Sepanjang hidupnya air mata yang tumpah untuknya selalunya adalah air mata palsu untuk menagih simpati atau wang ringgit. Namun, air mata Orked... ia terasa sangat tulus.

"Sebab aku tak nak nampak lemah... di depan sesiapa. Terutamanya di depan kau, Orked."

Arshad cuba untuk duduk dengan betul. Orked segera membantunya naik ke atas katil sambil menyusun bantal supaya lelaki itu dapat bersandar dengan selesa.Arshad menyandarkan kepala memandang siling biliknya yang tinggi.

"Dunia aku kejam, Orked. Kalau mereka tahu Tuan Arshad Iskandar ada serangan panik... ada kelemahan pada jantungnya... empayar yang aku bina ni akan runtuh dalam sekelip mata. Mereka akan pijak aku sama macam mana aku pijak orang lain."

Orked terdiam sambil tangannya masih memegang botol ubat tadi.

"Tapi tuan bukannya robot. Tuan manusia. Kenapa tuan perlu seksa diri sendiri untuk nampak sempurna? Kenapa tuan perlukan validasi orang lain? Jadi diri sendiri dah cukup."

Arshad ketawa sinis. Tetapi, ketawanya kedengaran sangat kosong dan lohong.

"Sempurna? Sejak bonda meninggal dunia, perkataan sempurna tu dah mati bagi aku. Aku jadi macam ni sebab aku tak nak rasa sakit lagi. Tapi nampaknya, makin aku lari makin sakit tu mengejar aku." Dia memalingkan wajahnya memandang Orked.

"Melihat kau pakai baju bonda siang tadi... melihat kau dihina oleh Camelia... hati aku rasa sesuatu yang aku dah lama aku buang jauh-jauh. Iaitu rasa bersalah."

Orked terpaku mendengar pengakuan Arshad. Jadi, itu sebabnya Arshad terkena serangan malam ini? Adakah ego lelaki ini sebenarnya sedang berperang dengan hati nuraninya sendiri?

"Pergi ambil tuala basah. Lap peluh aku. Kau hamba aku, kan? Ini sebahagian daripada tugas kau," arah Arshad kembali dengan nada autoritinya. Kali ini ia tidak kedengaran seperti menghina. Ia lebih kepada permintaan seorang lelaki yang sedang diasak rasa malu dengan kerapuhannya sendiri.

Orked segera menurut. Dia mengambil besen kecil berisi air suam dari bilik air dan tuala kecil yang bersih. Dengan penuh ketelitian dan kelembutan, Orked memulakan tugasnya. Dia memulakan dengan mengelap dahi Arshad, kemudian turun ke leher dan lengan tegap lelaki itu.

Setiap kali tuala itu menyentuh kulit Arshad, satu getaran aneh meresap ke dalam hati Orked. Dia dapat melihat parut-parut kecil di tangan Arshad sebagai bukti bahawa lelaki ini juga mempunyai sejarah hidup yang tidak semuanya indah.

"Kenapa kau masih baik dengan aku, Orked? Walaupun aku dah buat macam-macam pada kau? Aku paksa kau hadap dengan ego aku. Aku hina kau depan tetamu aku..." Arshad bertanya tiba-tiba. Matanya terpejam menikmati kedinginan tuala pada kulitnya.

Orked berhenti mengelap seketika. Dia memandang wajah Arshad yang kini nampak lebih tenang. Hilang segala garis kemarahan yang biasanya menghiasi wajah itu.

"Sebab ibu saya selalu pesan... jangan balas kejahatan dengan kejahatan. Lagipun, saya tahu tuan bukan orang jahat sepenuhnya. Tuan cuma? rasa kesunyian yang amat sangat."

Arshad membuka matanya luas. Dia memandang Orked dengan satu pandangan yang tajam namun penuh dengan rasa terkejut.

"Kesunyian? Aku ada segalanya, Orked. Duit, rumah besar ni, pengaruh..."

"Tapi tuan tak ada sesiapa yang ikhlas sayangkan tuan tanpa melihat semua tu, kan?" celah Orked berani.

"Tuan ada ramai orang sekeliling tuan, tapi tuan tak ada kawan untuk berkongsi rasa sakit. Tuan simpan semuanya sendiri sampai jantung tuan pun tak mampu nak tanggung beban tu lagi."

Arshad terdiam seribu bahasa. Kata-kata Orked menusuk tepat ke pusat jiwanya. Memang benar. Dia dikelilingi oleh manusia-manusia parasit yang hanya mahukan hartanya. Malahan Camelia sendiri hanya mahukan statusnya. Hanya pembantu rumah yang sedang melutut di sisinya ini yang berani melihat terus ke dalam lubuk hatinya yang paling gelap.

"Dah siap, tuan. Tuan rehatlah. Saya akan tunggu di kerusi sana sampai tuan betul-betul tidur," ujar Orked sambil mengemas barang-barangnya.

"Orked..." Arshad memanggil perlahan ketika Orked mahu melangkah pergi.

"Ya, tuan?"

"Jangan beritahu sesiapa pasal malam ni. Kalau aku tahu rahsia ni pecah, kau sendiri tahu aku mampu buat apa pada ibu kau," ugut Arshad. Nadanya sudah tidak lagi mempunyai taring.

Orked tersenyum tipis, sejenis senyuman yang pertama kali Arshad lihat sejak gadis itu menjejakkan kaki ke sini.

"Rahsia tuan selamat dengan saya. Saya hamba tuan yang setia, kan?"

Pada malam itu buat pertama kalinya Orked tidak pulang ke biliknya sendiri. Dia duduk di kerusi sofa di sudut bilik Arshad yang gelap. Dia memerhatikan susuk tubuh lelaki itu sehingga nafas Arshad menjadi teratur dan akhirnya dia tenggelam dalam mimpi.

Dalam keheningan malam yang hanya ditemani bunyi hujan, Orked menyedari sesuatu yang sangat aneh mula bertapak di hatinya. Dia mulai merasai sesuatu terhadap Arshad. Bukan rasa benci. Bahkan juga bukan juga rasa takut yang biasa. Sebaliknya, satu rasa ingin melindungi.

Dia tahu dia sedang bermain dengan api. Arshad Iskandar adalah lelaki yang boleh menghancurkan hidupnya dalam sekelip mata. Namun, melihat Arshad yang lemah sebentar tadi membuatkan Orked sedar bahawa di sebalik tembok tinggi yang dibina oleh Arshad, ada seorang anak kecil yang sedang menangis mencari perlindungan.

"Tidurlah, Tuan Arshad. Biar 'bayangan' tuan ni jaga tuan malam ni," bisik Orked perlahan sebelum dia sendiri menyandarkan kepala pada sofa dan menutup mata dalam kedinginan malam yang kini terasa sedikit hangat.

Tanpa Orked sedari, di atas katil itu Arshad sebenarnya belum tidur sepenuhnya. Dia mendengar setiap bisikan Orked. Untuk pertama kali dalam tempoh bertahun-tahun Arshad Iskandar merasakan hatinya yang beku mula mencair sedikit demi sedikit. Namun, dia juga tahu; cinta adalah saru bentuk kelemahan dan dia tidak boleh membiarkan Orked menjadi kelemahannya yang paling besar.

Share this novel

DHIA AMIRA.
2026-05-18 16:08:37 

ok smpai sjni dlu. bab 5 ats tgu koin

DHIA AMIRA.
2026-05-18 16:06:21 

msih ada sisi lmbut

DHIA AMIRA.
2026-05-18 16:06:11 

ouh. xla narsis sgt kn si arsyad


NovelPlus Premium

The best ads free experience