BAB 4

Fantasy Completed 303

Harum bangkit menadah syukur. Bisikan pepohon ditepis mengelak perasaan
malu. Merah padam wajahnya cepat-cepat disembunyikan di balik telapak
tangan yang kejap berdoa santun. “Terima kasih Tuhan, Kau lindungilah
Kuntum teman baikku. Moga Engkau merahmati atas setiap sabar si Kuntum
terhadap keluarganya.” Kuntum mula tersenyum, hatinya berbunga. Masih
ada yang sudi mendoakan kesejahteraannya. Ekor mata mula bercerita. Riak
manis seri memancar.

Di teratak mewah tiba-tiba mati suara. Riuh-rendah Mekar dan Kuncup
diserkup kebuntuan. Mama terpempan melihat papa seperti kurang enak
duduk diamnya. Papa bangkit kemudian duduk. Perlakuan itu berlangsung
dan berulang-ulang. Biji-biji mata yang melihat kelelahan sendiri.

“Ah, apakah pula selepas ini?” Mekar merayu jawapan.

Papa seolah sengaja menrenggut kekacakan gaya rambut yang tersisip rapi
selama ini. Hujung rambut depan yang digayakan tegak mencacak jatuh
memuncak. Papa serba tidak kena. Dalam ruang yang mati suara itu bayu
yang tidak segan menjamah teratak mewah menebarkan bisik suara papa.

“Apa yang papa racaukan itu, mama?” Nada sayu Kuncup bagai nak pecah
cuba meminta kepastian mama.

Mama diam. Mama tidak bersuara. Keadaan mama sekarang sama seperti
Kuntum yang selama ini memilih diam atas setiap yang berlaku kepadanya.
Mungkin mama tiada penjelasan atas keadaan papa yang tiba-tiba meracau
dan merobek emosi sendiri. Atau mama sendiri memang tidak punya alasan
untuk diceritakan kepada dua anak itu. Keadaan papa yang mula
compang-camping menarik perhatian pembantu-pembantu rumah. Mereka
akhirnya berlalu tanpa kata. Diam melarikan diri. Pasti fikir mereka,
“tuan aku sudah gila!”.

“Kuntum. Kau tidak mahu pulangkah?” Teragak-agak Harum bersoal.

Pepohon buah-buahan yang memagari teratak usang itu cuba menyelam hati
si Kuntum. Gemersik suara pohon mangga apabila Harum menyatakan soalan
berupa itu. Walau pun pasti bukan niat Harum untuk menghalau kehadiran
Kuntum, namun pepohon masih tidak mahu kehilangan Kuntum yang baik.
Pepohon itu sayangkan Kuntum umpama Kuntum buah manis yang lazat.

“Kau tidak suka aku tinggal di sini?” Kuntum berbalas tanya. Matanya
jauh merenung dedaun yang berguguran. Liang-liuk tubuh sekalian pohon
memahami hatinya yang sedang pilu.

“Kau menangis? Maafkan aku.”

“Tak…kau tidak salah apa-apa padaku.”

“Bukan niat aku untuk menghalau kau, Kuntum. Cuma, aku tidak mahu kau
menjadi anak derhaka. Kau boleh duduk di sini selama mana yang kau mahu.
Tapi, kau masih punya teratak untuk didiami. Kau masih punya mama dan
papa yang melindungi.”

“Hei, tuan Harum. Bagaimana pula dengan Mekar dan Kuncup yang zalim
itu?” Si pohon betik melambai bisik suara. Harum akur akan persoalan
itu. Namun, apa dayanya. Sebagai teman baik, dia tidak mahu melihat
Kuntum yang selama ini penyabar akan dijilat seksa bahang api kerana
menderhaka kepada mama dan papa. Seolah-olah sia-sia saja diam dan
penyabarnya yang disemat selama ini.

Kuntum beralih duduk. Melarikan pandang dari segenap alam yang
bersimpati terhadapnya. Kuntum diam. Sudut kamar sepi menggigit rasa
iri. Emosinya keliru. Ada dengki ada pilu. Dengki dengan alam yang masih
riang walau simpati kejap menerjah. Pilu akan nasib diri dihantui sifat
rakus raksasa-raksasa kejam di teratak mewah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience